IKLAN

Cari Blog Ini

Isnin, Disember 25, 2006

Mencari penerbit.

Jimadie sedang mencari penerbit untuk dokumentari yang sedang dirakamkan beliau.

Dokumentari sepanjang 45 minit itu berkisar tentang fenomena banjir besar 100 tahun sekali di Johor dan implikasinya terhadap masyarakat.

Tentatif Rakaman
24 Disember - Kota Tinggi
25 Disember - Segamat dan Muar

"Jasamu membantu mangsa banjir amat dihargai."


-bukanJimadie-

Khamis, Disember 21, 2006

4

Jangan baca entri ini. 4 maksudnya mati.

Saya teruja dengan entri "ada apa dengan lima" oleh Tuan Tanah. Ia beri saya inspirasi. Maka saya akan menulis 'cerita-cerita seluar dalam'.

5 Benda atau Perkara yang Saya Lakukan Jika Saya Seorang Jutawan


1. Melabur dalam industri hartanah dan/atau judi untuk jadi lebih kaya.
2. Berkahwin empat senyap-senyap di benua-benua yang berbeza. Contoh: Seorang di Afrika, seorang di Hong Kong dan seorang lagi di Iran atau Israil. Isteri tua tentulah di Malaysia. Jadi saya akan ke luar negeri selalu dengan alasan kena out station.
3.Pergi Mekah buat haji.
4. Beli buku banyak-banyak.
5. Makan/cuba semua benda yang sedap di dunia ini.

5 Tabiat Buruk


1. Sangat pendendam.
2. Suka tidur banyak.
3. Kuat merokok (tetapi tidak minum arak).
4. Menganggap rules hidup terlalu mudah: Hanya jangan sampai mati.
5. Kadangkala terlalu kritis, suka provoke sampai orang tak suka atau salah tanggap.

5 Perkara yang Saya Benci Melakukannya

1. Basuh pinggan, iron baju dan sidai baju.
2. Makan seorang diri.
3. Buat akaun.
4. Tengok filem Hindustan, Razak Mohaiden dan lain-lain yang seangkatan.
5. Berada dalam situasi perpisahan yang menyedihkan. Oh, serupa dengan Tuan Tanah.

5 Perkara Yang Tidak Akan Saya Lakukan

1. Terhegeh-hegeh bersalam dengan orang politik, ustaz Forum Perdana atau artis pop.
2. Khianati kawan.
3. Pergi 'Rumah Merah' atau 'main' dengan pelacur.
4. Tulis novel picisan tanpa meletakkan nama samaran yang tidak dikenali.
5. Diktator dan sistem komunis dalam rumah tangga.
(6. Ada satu lagi yang tidak tertulis: Mengundi Umno dalam pilihan raya.)

5 Perkara yang Saya Menyesal Lakukannya


1. Memberi harapan, meninggalkan Putri, kekasih awal saya dengan kejam.
2. Melepaskan Sarah pergi begitu saja bila dia minta putus dulu.
3. Berkahwin muda. Entahlah, saya confuse dengan jawapan ini.
4. Menyesal.
5. Menyesal.

5 Permata Hati Saya

1. Juga Allah dan rasul dan lain-lain (tidak termasuk tokong berhala).
2. Emme, Adam, emak, ayah, nenek.
3. Kawan-kawan.
4. republikan--kawan-kawan dari republik cinta.
5. Putri.

5 Tempat yang Saya Suka

1. Ruang luar rumah ibadat yang memandang ke arahnya (jika tepi tiang masjid tiada tulsan "Sebuah Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional".
2. Australia, New Zealand, Perancis, Israil, Sepanyol, Tembok Besar China, Iran.
3. Bawah/ atau atas (ha, ha, ha!) perut bini.
4. Syurga.
5. Mekah.

5 Benda/Perkara yang Saya Suka


1. Imaginasi.
2. Buku.
3. Perempuan.
4. Harta.
5. Pencarian.

5 Perkara Tentang Diri Saya

1. Mendengar.
2. Memendam.
3. Meluahkan perasaan dalam cerpen atau diari. Paling serius kalau menulis sajak.
4. Jujur.
5. Sentiasa positif tentang masa depan.
6. Cara berfikir saya rawak dan kritis tapi sangat tersusun.
7. Senang jatuh cinta.

5 Orang yang Paling Saya Suka dalam Blog

Dirahsiakan. Tetapi jika ada link di blog saya, anda mungkin salah seorang daripadanya (tidak termasuk link balas budi, kerana dia link saya dulu).

5 Orang yang Saya Pilih untuk Menyambung Tag Ini


Saya tidak jawap bahagian ini.

Dan maaf lagi, saya berdusta. Saya menyambung kembali blogging di sini.

Gambar di atas juga dicuplik dari Tuan Tanah. Tidak mengapa bukan? Saya mencuri gambar, bukan hati.

Selasa, Disember 05, 2006

tak mau jadi blogger (lagi)


Saya ingin berhenti menulis blog sebab bila saya menulis blog saya tidak menulis benda lain. Saya ingin menulis benda lain buat masa ini. Saya telah blogging setahun lebih. Biar saya cuti sebulan atau dua bulan untuk menghayati zaman 'bujang' sementara isteri berpandang di kampung. Tetapi saya tidak berhentu menulis e-mel. jimadieshah@gmail.com.

Sebenarnya yang ingin saya katakan adalah saya ingin berhenti menulis blog. Bosanlah menulis blog. Tak kaya. Ha, ha, ha!

Isnin, Disember 04, 2006

Bagaimana (Manusia) Agama Menzalimi Pendosa

Sebuah drama menarik di TV3 aku tonton sepulangnya dari Pontian semalam di Pearl International--sunyi dan bosan--tanpa Emme atau Adam (corak di tapak tangannya aneh, seperti di tanganku, hanya kami). Judulnya tidak menarik: Jack dan Bobby. Dua beradik yang ingin mencari kebahagiaan dengan cara masing-masing.

Jack membuntingkan perempuan muda 16 tahun dari keluarga yang 'beragama'. Perempuan itu, yang selalu berbaju pink kain lembut tersedu-sedu. "Ini bukan Randy punya. Kami tidak pernah tidak ingat memakai kondom," katanya.

Tubuhnya lemah dan kaku. Ayah kau akan bunuh aku, fikir Jack. "Kau kata kau ada makan pil perancang, ketika main dengan aku," kata Jack.

"Aku tipu." Masalah itu memberatkan Jack.

Ia akan hancurkan hudupnya yang baru menjangkau 16. Berkahwin dan membela anak. Komitmen yang paling menyusahkan, kata emaknya. "Perkara yang paling menyusahkan dalam hidup aku adalah membesarkan kamu berdua."

Jack dan ibunya, yang lebih gemarkan anaknya jadi ateis daripada Evangelis (aku tak pasti mazhab Kristian macam mana ini). Pelik, bapa penzina menyambut dengan sambutan yang panas. "Kami gembira kau akan menjadi ahli keluarga ini. Kamu dirahmati tuhan. Tuhan memberikan peluang menyucikan hubungan ini. Anakmu akan dilahirkan dan kami bakal menikah," katanya.

"Tinggal sekali, beli mesin basuh? Oh, my God, tidak," keluh teman perempuan Jack yang lain.

Dalam masa yang sama Bobby, bocah belasan tahun menemui kebahagian di gereja. Tetapi suatu hari yang dia tunggu adalah memalukan. Siapakah akan akan menjadi bapa pembabtisnya? Ia ke tempat Jimmy, bapa penakan yang gemarkan catur. Sebuah perlawanan biasa. Tetapi niat itu dapat dicaba Jimmy. "Tidak, tidak sayang. Saya dan tuhan telah lama berpisah. Ketika dia biarkan isteri saya mati."

Dan ibunya juga, "agama adalah proses penyucian otak. Aku lebih suka dia jadi ateis."

"Kau berikan dia hak memilih tetapi bila dia memilih, kamu menafikan," kata rahib perempuan yang berwajah murni.

"Dia boleh memilih tapi bukan yang ini."

Berbalik pada Jack. Ia rasa bersalah dan berdosa. Tetapi tuhan menyelamatkannya ketita perempuan itu dikutuki kerana bersama dua lelaki (pada masa yang berbeza, pak).

"Sama ada kamu dialukan di rumah ini dengan suami atau kami pergi." Perempuan muda itu tidak menyangkan hingga setakat ini.

"Ini bukan Jack, tapi Randy. Tetapi laki itu sial. Aku tidak mahu anak ini mendapat bapa sepertinya. Sebab itu aku sebut nama Jack. Kamu cuma sekali saja. Selepas parti itu."

Tetapi satu hari itu telah memusingkan kepala Jack teramat sangat. Sister, saya fikir saya akan tangguhkan pembabtisan saya. Saya percaya ini petanda dari tuhan. Tetapi Sister itu tabah. Petanda tuhan bukan buat kami berserah dan tamatkan. Ia ujian, sayang.

Ketika itulah Jimmy datang. "Tunjukkan pak cik apa yang perlu dibuat."

"Pak cik kata pernah datang ke gereja," acah Jimmy.

"Itu dulu, sekarang pak cik dah lupa." Bobby akan dibabtiskan dengan agama dan pilihan yang ia percaya. Ketika Bapa bertanya, "adakah kamu akan menegakkan keadilan dan keamamanan serta menjaga maruah manusia (human dignity)," budak kecil itu menjawab, "i do." Agama kepada Jack dan Bobby menjadi berbeza-beza.

* * *

Dan jawapan kepada entri teka-teki yang lalu: Telur bebulu sebab batang je yang dapat masuk. Telor asyik kena tinggal kat luar je.

Khamis, November 30, 2006

Kenapa Telor Bebulu?

Teka teki teka tekok,
ulaq mati ataih pokok.

Ini bukan teka-teki dia. Teka-teki dia bunyi macam ini: Kenapa telor bebulu?

Tak Iliad


undefined

Rabu, November 29, 2006

Pundek

Sebenarnya aku ada menulis pantun teka-teka. Aku nak kamu teka buku warna hijau (yang grafik kulitnya tidak senonoh) yang di depan aku ini. Ditulis seawal 1987 tetapi masih 'diberhalakan' (dalam dunia sastera) sehingga kini. Buku itu namanya Telok Gong. Tapi entah mengapa entri itu jadi kosong. Dan akhir-akhir ini juga, entah mengapa aku rasa aku suka sebut perkataan ini: Pundek. Dan sapa kata Beef Foldover McD tak sedap angkat tangan! Hairan (lagi), sejak bini aku balik kampung, aku makan susah nak kenyang. Mari kita fikirkan. Fail-fail itu dinamakan misteri seperti kawan aku yang disangsikan orientasi seksnya.

Gong

Selasa, November 28, 2006

Adam

Maaf, sangkaan kita meleset. Budak jantan 3.8 kg itu telah dinamakan Adam Azfar dan berbinkan Jimadie Shah Othman. Tidak Rumi atau Jibril. Sebuah toleransi yang gagal kerana seperti selalu mem lebih pandai memilih daripada mencadang. Selamat hari lahir kepada budak yang bibirnya seperti bibirku, jarinya seperti jariku dan rambutnya seperti rambutku. Perangai dia macam mak dia. Entri ini tidak ada kena mengena dengan laptop curi.

Isnin, November 20, 2006

Dunia Baru

Saya sedang cuba memasuki dunia baru yang tidak seperti Dunia Baru siri di TV3 yang mengada-ngada itu. Untuk itu, saya perlukan teman. Ada sesiapa yang boleh mencadangkan kepada saya tentang pengubahsuian lot kedai menjadi pusat pengajian dan pejabat? Saya akan bayar pada dia lebih dari harga lap top saya yang kena curi itu.

Sabtu, November 18, 2006

Sedang 'Mengsampahkan' Si Pemain Pedang

Saya tertekan ketika cuba 'mengsampahkan' pementasan Cinta Si Pemain Pedang. Harap S.M. Zakir tidak kecil hati. Saya menganggapnya sebagai penulis yang bagus. Juga seorang kawan yang boleh diharap dan tidak pandai mencarut seperti penulis-penulis muda lain yang penuh keghairahan dan akhirnya mati pucuk. Saya cuma mengsampahkan persembahan ideanya di pentas. Dalam saya mengsampah-sampah itu, untuk berlaki adil, saya fikir, ada sisi menariknya teater ini untuk diulas, biarpun ruang munculnya di pentas itu nipis dan runcing sekali. Ia adalah nada politiknya. Sifatnya tersembunyinya yang Republik Teater sifatkan (tentang Cinta Si Pemain Pedang), dalam risalah mereka, sebagai homo-politicus. Ini saya kesan banyak sekali dalam tulisan-tulisan beliau. Selain obsesnya dia pada ideologi, sufisme dan kisah-kisah klasik dan mitos seperti Sharazad si pemintal cerita dan dongeng-dongeng orang Sumer. Saya fikir, kali pertama saya membaca tulisan penulis muda ini dalam Dewan Budaya ketika saya masih schooling di Arau. Itu mengubah persepsi saya tentang cerpen. Macam ini pun dipanggil cerpen, fikir saya. Tentang Saf dan Hasya dan raja dan petani-petani, dalam persembahan kecil di Stor Teater itu, bebelan Zakir itu segar untuk dinikmati walaupun bukanlah idea yang terlalu baru. Sudah terlalu banyak politikus berkacap tentang pertukaran sistem melalui pertukaran regim dan sudah terlalu banyak penulis menulis tentangnya. Tetapi dalam konteks Malaysia, sejak 'tamatnya' generasi Kerusi, Patung-patung; kemudian Namron dan Alternatif Stage, aduh, dunia teater Melayu dingin sekali nada politiknya. Malangnya kita, sejak sepuluh tahun yang lalu, kita asyik menonton Tamu Bukit Kenny, Tanah Bernanah, Bukan Lalang Ditiup Angin, Lantai T. Pinkie tak habis-habis. Teater Inggeris pula yang kononnya berani itu dengan siri-siri pelik di Actors Studio dan sensitif itu sebenarnya kering imaginasi. Terlalu banyak make up dan passion. Yang seperti saya katakan selalu, akhirnya membawa kepada mati pucuk. Saya sedang mengupas Si Pemain Pedang untuk sebuah penerbitan. Dan saya rasakan ketegangan. Saya mengejar masa. Dan saya menulis di pejabat kerana lap top saya dikebas si lahanat yang tidak boleh saya maafkan seperti Isa al-Masih. Khalid Jaafar saya fikir memahaminya bahawa si pelintir pencuri lap top saya itu tidak mungkin menghasilkan novel dan kemudian memenanggi Hadiah Nobel kesusasteraan seperti Orhan Pamuk. Kalau menulis Mona Gersang dengan komputer curi, itu mungkin saya boleh yakini. Ha, ha, ha! Orang kita pandai berfantasi seks. Maaf semua, saya selalu berlebih-lebihan mengkritik dan mempersendakan orang lain. Jika saya katakan sampah, maksud sebenarnya tidaklah sampai ke situ.

Jumaat, November 17, 2006

Asal-usul

Nama blog ini asalnya dimodified dari judul sebuah novel aku yang tak siap. Judulnya Yang Israiliyat dan yang Benar-benar Cinta. Dalam novel bertulis tangan dan sempat masuk bahagian yang kedua itu, ceritanya berkisar dongeng-dongeng cinta dari pelbagai sumber termasuk Alkitab dan percintaan moden di dunia yang real. Aku namakan blog ini sebagai Yang Separuh Israiliyat sebab sebahagian saja cerita dalam blog ini yang dongeng/rekaan, selebihnya adalah realiti. Dan tentunya aku menulis bertitik tolak daripada perasaan cinta.

Semalam aku belek-belek manuskrip lama itu. Sepenuhnya surat-surat. Kebanyakannya kertas jiwang terhadap kekasih imaginasiku Maisarah--pemberontak Acheh yang berkahwin denganku tanpa aku cinta dia (hanya kerana dia memikat ibuku). Tetapi dia baik sekali. Selepas tsunami 26 Disember, 57 orang saudaranya di Acheh hilang dibawa arus. Ketika Maisarah pulang, dia hilang.

Ketika itulah aku merasai manisnya Maisarah. Dan kesunyian. Dan sekonyong-konyong, Alda timbul setelah enam tahun. Gadis Jawa yang menuntut di belgium dalam Jurusan kaji bintang. Dua tua dua atau tiga tahun dari aku.

Kami bercinta dan merancang perkahwinan. Cuma perempuan Sunda dari Bogor ini Katholik dan aku Muslim.

Konflik bermula. Dan "aku" itu sebenarnya hanya watak rekaan.

Dua bulan bermula Disember, aku kesunyian lagi ketika isteri pulang berpantang di Pontian. Aku fikir ingin menaip semula manuskrip ini untuk disiarkan dalam blog secara bersiri. Bila jadi bujang kita akan rasakan masa terlalu panjang.

Tetapi si sialan yang mencuri lap top aku belum memulangkannya. Ya, Allah, mcederakanlah dia dalam kemalangan yang ngeri. Biar hancur tangan dia dan cacat seumur hidup. Perinagatan: Doa aku ini adalah doa orang yang teraniaya.

Khamis, November 16, 2006

Main Pedang

Di tangan Republik Teater (banyak pula geng republikan akhir-akhir ini), Cinta Si Pemain Pedang, teater yang diadaptasi daripada cerpen S.M Zakir, menjadi sampah.

Kawan-kawan kita dari UKM ini, main pedang sajalah, jangan main-main buat teater.

Maaf, saya terlalu berlebih-lebih mengkritik orang lain. Jika saya katakan sampah, maksud sebenarnya tidaklah sampai ke situ.

Selasa, November 14, 2006

Musim Hujan

Selepas panas yang panjang, ada hujan yang menyiram. Dalam imaginasi siapa pun dia, hujan tetap berwajah muram, membawa kesunyian, suram, diam yang dalam. Tetapi sesudah itu muncul pelangi. Hujan asyik turun akhir-akhir di di KL. Kerana itu, hampir sebulan aku tidak cuci kereta.

Orang kata, anak pertama membawa rezki. Emme melahirkannya 23 hari bulan ini. Awal dua minggu dari masa yang sepatutnya. Anak aku songsang dan mak dia glukos tinggi dalam darah, hampir diebetis. Faktor keturunan. Kerana itu ia kerap ke klinik dan minggu lalu ditahan di Hospital Kuala Lumpur. Doktor akan membedah dan merobek perut isteriku. Aduh, sakitnya.

Anak pertama ini aku rasa lain macam sikit. Panas. Barangkali sebab itu menjadi lelaki. Macam-macam ujian sebelum lahirnya budak itu. Kereta rosak dah dua kali dan lap top dicuri dan lain-lain. Rumi macam musim hujan. Tetapi, kami cuma berharap, selepas hujan lebat itu akan selalu muncullah pelangi. Akan selalulah muncul.

Jumaat, November 10, 2006

Cinta dalam 30 Minit Sahaja

Menonton Cinta membuatkan punggung kita terasa berat selama 30 minit. Lakon yang bersahaja dengan gandingan pelakon yang sedang meingkat naik mahu pun yang sudah mapan. Tetapi malangnya selepas 30 minit yang berbahagian itu ia menjadi statik--sinimatografi cantik dan kering.

Saya akan menulis lagi. Lebih banyak jika laptop saya tidak dicuri.

Rabu, November 08, 2006

Laknat

Aku doakan barang siapa yang mencuri lap top aku tadi petang akan dilaknat oleh Allah S.w.t di langit dan di bumi. Aku tak halalkan dunia dan akhirat. Kawan-kawan kalau ada bomoh best, tolong rekemenkan pada aku. Aku belanjan minum kopi. Aku sangat sedih. Orang yang mencuri lap top aku, dia tidak sekadar mencuri yang itu, ia juga mencuri seluruh karya-karyaku, diriku yang lalu, diriku yang kini. Aku sedang berkira-kira membuat laporan polis.

Selasa, November 07, 2006

Nak Tengok Wayang: Cinta

Tak sabar nonton Cinta. Sinimatografi yang menarik. Ia digembar-gemburkan dengan lima bintang, lima kisah, satu cerita. Petikan dalam tv menggambarkan ia sebuah cerita cengeng. Penuh air mata. Percintaan yang sangat serius--cinta yang penuh sumpahan atas nama langit mahupun bumi. Saya akan bagi empat bintang kalau filem ini boleh buat saya menangis. Cerita cinta pop yang saya boleh layan hanyalah Ada Apa Dengan Cinta dan Kuch Kuch Hota Hai sahaja (walaupun hanya itu filem cinta Hindi yang saya boleh tonton). Dan untuk pengetahuan semua, seumur hayat, saya hanya pernah menangis depan cerita Xiu Xiu (China--diharamkan) dan Spiderman 2. Selain itu tidak. Hati saya keras.

Jumaat, November 03, 2006

Tahun Kesedihan dan Kenang-kenangan kepada Singa

Siapa kata Tan bukan singa, maksudnya dia tolol dan bahlul. Pemuda (kerana semangatnya) nampak lekeh. Kepalanya botak. Hisap Gudang Garam dan selalu bosan bermesyuarat politik. Ia gemar ekspresi di jalanan. Tan Cina yang masuk jawi. Asalnya Kedah. Menyewa bilik di Sungai Besi dan ramai orang kesedihan. Aku merindukan Tan Sang Singa itu. Semalam 4:50 am Tan atau Umar Tan Abdullah kembali ke rahmatullah kerana serangan jantung mengejut. Tan tidak lebih sebagai politikus, melainkan reformis yang menunjukkan wajah dan hasrat sebenar seorang rakyat biasa. Ketita dia turun ke jalanan--demonstrasi, hantar memorandum atau buat laporan polis, aku tahu Tan melakukannya dengan ikhlas dan tidak pernah mengharapkan projek atau habuan kalau nanti Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Aku tidak ada alasan. Aku cuma tahu. Al-Fatihah kepada almarhum. Kita semua juga tahu semua kawan dan lawan akan merasa rindu. Maafkanlah, halakan makan minum, biarlah dia pergi dengan aman. Tetapi dia tetap tingga di hati.

Dan aduh, tahun ini banyak sekali aku menulis perkataan "belasungkawa".

Khamis, November 02, 2006

CSI atau Yusuf Haslam?

Barangkali adanya Yusuf Haslam membolehkan kita menonton cerita polis yang baik. Di saat semua siri tv tempatan statik, sama, klise dan mengulang-ulang cerita yang hampir sama--cinta cengeng, dunia koprat yang orang Melayunya kaya raya dan penuh dengki khianat dan kisah anak muda kampung yang terlalu gigih, justeru jadi mangsa kezaliman kelas. Atau segala yang seumpanya. Sekali-sekala dapatlah juga kita tonton cerita yang agak lain latar dan temanya. Cerita polis-polis dan tembak-tembak. Aku mula kenal mamat ni melalui Roda-roda Kota Raya. Tetapi menonton cerita-cerita sebegini dari kecil tidaklah memupuk minat aku jadi polis. Bagi aku polis yang cool adalah polis dari Jabatan Forensik. Macam CSI sot.

Selasa, Oktober 31, 2006

Pasca, Korupsi dan Yusuf Haslam

Aku ngomong-ngomong dalam Jalantelawi.com, sesudah denggi yang nakal (terima kasih kepada mereka yang berdoa, dan berbahagialah).

Pasca
Adalah mustahil melihat sejernihnya perjuangan sebelum 1957 itu tanpa merenung daripada perspektif rakyat keseluruhannya yang menjadi tulang perjuangan kemerdekaan. Oleh itu, perlunya penulisan sejarah yang adil dan jujur terhadap pengetahuan. (Pasca-The Asian Renaissance) Baca betul-betul

Korupsi
Patriach buka butang bawah sekali baju perempuan itu, selongkar dan tarik kutang-kutang sampai putus talinya. Ia hembus nafas panas ke perut yang putih kemerah-merahan. Ada sedikit bulu-bulu halus hampir tidak kelihatan. Warnanya juga putih. (Beberapa Cerpen Pendek Tentang Korupsi)Baca betul-betul

Dan patutkah kita berterima kasih kepada Yusof Haslam? Saya ada jawapannya dan saya rasa dia tidak kena denggi.

Isnin, Oktober 16, 2006

Denggi

Terima kasih denggi kerana memusnahkan harapanku untuk beraya seperti orang lain. Terima kasih juga kerana memberi aku cuti raya lebih awal tiga hari daripada orang lain.

Sekarang 3.41 petang. Tubuhku tidak dapat bertahan lagi. Emme juga badannya telah naik bintik-bintik merah. Mujur misi kata, denggi tak jejaskan kandungan. Semua kerja aku tak boleh buat lagi. Dadaku rasa padat semacam. Badan panas-panas dingin. Kaki sejuk. Ini kali pertama aku kena penyakit ini dan malang. Ubat tertinggal dalam kereta dan kereta itu bapa mertua bawa ke Putrajaya.

Rabu, Oktober 11, 2006

Wangi Jadi Saksi: Gambaran Oportunis dalam Politik Klasik Melaka

Ulasan teater ini tersiar dalam akbar 'haram' Suara Keadilan edisi terbaru (11 Oktober 2006 dengan judul "Gambaran Oportunis dalam Politik Klasik Melaka". Sebelum ini ada kritikan-kritikan saya terhadap naskhah di tangan pengarah pop U-wei ini. Tetapi rata-rata kritikan saya terhadap persembahan ini adalah dari sudut pengarahan, kontangnya keghairahan idea pada satu titik.

Kerana itu banyak bumbu make up luaran semata-mata. Antaranya kesan teknikal, muzik live, set yang berubah-rubah dan kemantapan lakonan pemeran (diulangi: Pemeran, bukan pameran). Dari sudut lakonan saya fikir bagus sekali hatta Vanida Imram yang junior itu (dalam persembahan pentas) sekali pun. Kritikan saya juga pada skrip yang tidak mendalam dan tidak 'bertanggungjawap' hasil kemalasan kreatif penulis.

Bagi saya, selalunya, melontarkan pandangan (dakwaan kematian Jebat di tangan Kerma Wijaya) tanpa memberikan alasan yang kukuh dan boleh diyakini adalah tanda-tanda mati pucuknya idea dalam pengkaryaan. Tetapi, seperti teks-teks yang lain, Wangi Jadi Saksi terbuka kepada tafsiran. Niat dan maksud sebenar pengkarya hanya dalam hati U-Wei sendiri. Ia menyanyi sendiri.

Namun, ulasan yang saya tulis dalam akbar itu adalah daripada kaca mata politik semasa, dalam situasi politik yang ada nama-nama ini: Pak Lah, Mahathir, Anwar, Khairy, Pas, Umno dan Keadilan. Dari sudut ini, Wangi Jadi Saksi menarik minat saya. Dan "wangi tidak jadi busuk", seperti kata seorang teman, daripada aspek ini.

Teks penuh tanpa suntingan boleh dibaca di bawah.






* * *

Wangi Jadi Saksi: Gambaran Oportunis dalam Politik Klasik Melaka

SITUASI telah terbalik. Tun Dr. Mahathir tiba-tiba menjadi antagonis.

Andaikan negara ini Melaka enam kurun yang lalu semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah (1458-1477) ketika jawatan Laksamana mula diperkenalkan dan pelan-pelan menghambat populariti empat Orang Besar: Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Seri Bija Negara.

Selepas menonton Wangi Jadi Saksi teater perdana dari pengkarya terkenal U-Wei Saari (yang dilakonkan oleh pemain-pemain terkenal pula), bayangkan dalam persengketaan yang terpahat dalam ingatan kolektif bangsa dalam sejarah Melayu membabitkan dua pahlawan terkenal Hang Tuah dan Hang Jebat itu dalam ruang politik semasa. Maka mudah bagi kita membayangkan Jebat sebagai Tun Dr. Mahathir, Wangi sebagai PAS, Anwar Ibrahim menjadi Tuah, Pak Lah sebagai Sultan dan sudah tentu Khairy Jamaluddin, menantunya sebagai Bendahara. Tentang Pateh Kerma Wijaya nanti dulu, versi U-Wei Hj. Saari ini sedikit lain.

Tidak pernah ada Kisah perlawanan (juga persahabatan) sehebat Tuah dan Jebat dalam tradisi Melayu. Tragedi ini terakam dalam dua naskhah besar Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan Hikayat Hang Tuah. Kerana kuatnya daya tarikan terhadap naskhah klasik ini, tidak hairanlah beberapa nama besar telah menyentuhnya. Sejarah Melayu misalnya telah disentuh oleh sarjana Shellabear, Winsted, Munsy Abdullah, Tun Sri Lanang, A. Samad Ahmad dan seterusnya oleh Kassim Ahmad.

Oleh itu, dalam kemuncak pergolakan politik tanah air, sempena sambutan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghitung hayatnya yang ke-50, persembahan pentas ini hadir tepat pada masanya.

Pengarahnya, U-Wei sebagai pengkarya, mengakui menyukai sejarah. Dan hikayat bukan barang mati yang tidak terlepas kepada tanggapan dan tafsiran dari masa ke semasa. Mengambil sudut pertelingkahan dua laksamana seperguruan yang bertikam selama tujuh hari tujuh malam di istana, yang akhirnya membawa kepada kematian Jebat, U-Wei cuba menyonsong sejarah dengan 'membunuh' Jebat, tetap dengan keris Taming Sari, tetapi dengan hayunan lengan Pateh Kerma Wijaya. Provokasi bermula. Juga mengejutkan. Jebat turun ke tanah dengan seribu amukan sebelum mati dipangkuan abangnya Tuah.

Dalam tafsiran semasa, tahun 2006 tidak sama dengan 1998 semasa Hang Tuah, orang kepercayaan Sultan, difitnah dan dijatuhi hukuman bunuh. Tuah yang sepatutnya mati, setelah enam tahun merengkok dalam penjara telah kembali di saat Sultan kali ini yang terdesak menghadapi Hang Jebat baru dengan nama Tun Dr. Mahathir. Tuah pada tahun 2006 tentulah tidak sama dengan Tuah pada 1998 dan Tuah yang dinukilkan dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah itu. Tuah yang ini membawa legasinya sendiri—memusnahkan Sultan yang zalim dan menghapuskan Jebat si penderhaka sekali gus.

Dan dayang istana yang pernah bercinta-cintaan dengan Tuah kini ingin disunting si Jebat. Politik memang aneh bila Dr. Mahathir datang berceramah di Kelantan, mengkritik Anwar Ibrahim di gelanggang PAS dan orang PAS ketawa dan bertepuk tangan. Di sini, kesetiaan teruji. Begitu juga dengan apa yang berlaku semasa di Kelab Century Paradise, beberapa pemimpin utama PAS turun 'bersekedudukan' dengan Tun.

Cuma selepas Tuah bebas (mengikut sejarah: Dibebaskan!) Tuah yang ini tidak semberono. Ia memilih tidak berpaksi kepada manusia, biar siapapun dia, melainkan kepada kebenaran dan keadilan. Ketika inilah kompleksiti berlaku dan payah diterka. Apakah Tuah akan menikam Jebat seperti diperikan hikayat Melayu dulukala? Apakah versi U-Wei benar-benar menghadirkan oportunis sepantas dan selicik Pateh Kerja Wijaya atau amuk Jebatkah yang akan terus menghancur dan mengharu-birukan Melaka?

Dalam sudut ini, pandangan U-Wei menjadi sangat segar, pedas dan tidak merapung-rapung jauh di angkasa. Kreativiti menjadi sesuatu yang lahir dari kebenaran dan hati nurani jujur pengkarya yang ingin menyuarakan sesuatu yang berlaku dalam lingkungan diri seorang artis. U-Wei, seperti Telok Gong, Keranda 152, Duri dan Api, Menteri, Shit dan Dari Derita Bangsa meneruskan tradisi kritikan terhadap situasi politik semasa dalam bentuk yang lebih kreatif. Malaysia sememangnya memerlukan pengkarya yang semacam itu, yang, seperti kata almarhum Usman Awang, “berani menyatakan sikap”, dan, membuktikan keberadaan mereka dalam dunia yang nyata dan real.

U-Wei membuka pentas dengan babak Bendahara (lakonan Rahim Razali) bersama Pateh Kerma Wijaya (Khalid Salleh) berdiolog dalam pandangan separuh siluet. Skrin jarang besar bertulis hikayat dalam tulisan Jawi direka mengurung pemeran. Tata cahaya agak malap. Perbualan itu ada rencana. Sejak awal, pentas nyata memukau dan mengikat penonton.

Kemudian, Dang Wangi (Vanida Imran) Keluar, pentas dibantu dengan kesan multimedia dari projektor sebagai latar belakang, sebuah monolog, bunyi gamelan yang segar, kesan-kesan khas dan pentas yang berubah-rubah hampir tiap babak yang pendek dan pantas membawa kesan kecelaruan yang dalam. Seperti politik yang penuh simpang siur. Tetapi di pentas yang satu itu, U-Wei membuktikan, boleh berlaku apa saja. Di pentas yang sama menjadi ruang dalam istana, rumah Dang Wangi, tempat beradu Hang Jebat dan tempat bertikam dua Laksamana.

Kali ini, cerita Tuah (Khir Rahman) dan Jebat (Mohammad Shoffi Jikan) dibawa dalam sudut pandang wanita, Dang Wangi sebagai isteri Jebat yang taat dan setia, yang menyediakan makan-minum kedua pahlawan dalam perseteruan tujuh hari tujuh malam mereka di istana. Ketika seorang pahlawan gugur, hanya seorang yang menyaksikannya dan orang itu hanyalah Wangi, seorang pelayan istana.

Keseluruhan cerita adalah kesedihan dan kepiluan-kepiluan seorang Dang Wangi. Tetapi menurut Wangi, dalam bicaranya dengan Pateh Kerma Wijaya, Tuah dan Jebat bukan sedang menikam, sebaliknya melepaskan kerinduan sebagai adik dan abang. Dan kalau Tuah ingin menikam, mana mungkin Jebat melawan; sedangkan Taming Sari juga diberikan. Dan bagi Tuah, adakah mungkin mampu dia menikam saudaranya sendiri?

Wangi di dapur ketika itu, duduk di atas dua betis, sedang orang Melaka riuh di bawah rumah. Cuba menikam jika ada kesempatan. Wangi masuk ke dapur dan menyediakan berpuluh-puluh talam. Di atas itu, kedua pahlawan beradu.

Akhirnya, Jebat menyediakan dadanya kepada Tun Tuah untuk ditikam. Tetapi Tuah tidak menikamnya kerana tidak sampai hati melihat tubuh saudaranya itu berdarah. Maka Jebat berlindung di balik langsir menunggu Taming Sari Tuah hinggap di dadanya. Tetapi Tuah telah pergi dan Pateh Kerma Wijaya, seperti tikus, memungut keris di lantai, dari celah-celah langsir terperciklah darah Jebat.

Wangi melihat, “apakah di tangan tuanku itu?” soalnya. Sedang Jebat meraung, lebih kuat dalam sukmanya, betapa dia (sangka) dibunuh saudara sendiri.

Jebat turun meneruskan amukan. Dalam tiap masyarakat sentiasa ada sang oportunis. 'Hang Tuah' yang setia itu telah dibebaskan dari kesalahan meliwat atas keputusan 2-1 oleh pihak juri. Hayat politiknya selama enam tahun dalam penjara tidak mampu dipadam. Parti Keadilan Nasional (keADILan) bertambah kuat dengan penggabungannya bersama Parti Rakyat Malaysia (PRM) membentuk Parti Keadilan Rakyat.

Tinggallah kini Hang Jebat merayau-rayau mencari jalan membunuh Sultan (yang beliau sendiri tabalkan). Tetapi situasi kali ini, Taming Sari telah berada kembali di tangan Tuah. Tetapi dalam sejarah Tuah membunuh sahabatnya itu. Dalam versi U-Wei juga, Jebat tetap mati, walau kali ini dalam tangan Pateh Kerma Wijaya. Tetapi siapakah Pateh Kerma Wijaya itu? Adakah ia Khairy Jamaluddin? Dan apakah Tuah akan terus mentaati raja yang mengkhianatinya?

Sesungguhnya realiti tidak semudah hikayat. Hikayat perlu ditafsirkan tetapi realiti perlu ditentukan dengan penuh keberanian dan maruah sebagai rakyat—sesuatu yang tidak dimiliki orang-orang Melaka yang menjolok lembing dari bawah istana ketika Tuah dan Jebat sedang berentap enam kurun yang lalu.

Melalui Wangi Jadi Saksi, pengarah dan penerbit (LeBrocguy Fraser Productions) membuktikan kesaksian mereka. Rakyat Malaysia, anda pula bila?

Soalnya lagi, siapakah Pateh Kerma Wijaya? U-Wei barangkali ada jawapannya.

Selasa, Oktober 10, 2006

Kabus dan 'Tuhan' yang Terkurung

Kuala Lumpur jerebunya seperti kabus. Patutlah dekat 7.30 pagi semalam aku keluar rumah untuk ke tempat kerja, kenderaan masih memasang lampunya. Hingga tengah hari. Mendung kering. Tetapi petang ini, jam tiga dalam tren, nyaman sekali mendengar deru angin dan titis hujan yang melompat. Kuala Lumpur macet dalam jerebu. Warganya sibuk beli baju raya.

* * *

Saya fikir saya harus menjelaskan maksud 'Tuhan' yang kerkurung dalam teks. Penjelasan yang saya tangguhkan lebih satu tahun. Komen dari Raja Yusoff Ariffin dan orang-orang (penulis muda) dari Tanjung Piai amat saya alu-alukan. Tunggulah kalau ada dalam entri-entri saya yang akan datang.

Khamis, Oktober 05, 2006

Zhang Ziyi, telah Matikah Panggung Opera China?

Asyik-asyik Zhang Ziyi.Asyik-asyik Zhang Ziyi.Tak ada lagikah pelakon lain dalam sebesar-besar China itu? (Aduh, Solekan Maharani Wan itu menghodohkan keaslian kejelitaan gadis Timur itu).Perempuan manis itu, ia berlakon seperti yang sudah-sudah. Melihat wajahnya memberi ilham kepada saya.

Filem Cina terbaru, The Banquet kali ini tampil beda. Aksi lincah bukanlah yang utama. Tetapi perasaan-perasaan, melalui gerak, visual, permainan warna dan shot-shot menarik. Tidak sesuai mengkelaskan filem ini dalam jurusan thriller-aksi, ia menghampiri drama, penuh estetika yang kadangkala sebu dan muak hingga mahu muntah. Kali ini filem Cina menjadi tidak komunikatif dan eletis persis tarian opera dalam majlis diraja--pemerannya berpakaian puteh, bertopeng tanpa perasaan dan hanya tiga warna: Putih untuk kebaikan, hitam untuk kejahatan dan merah untuk maharaja, maharani dan kekuasaan. The Banquet bertitik tolak dari simbolisme yang sangat asas.

Aksi-aksi perlawanan menjadi tarian. Lembut, meliuk tetapi masih terbang melompat dan penuh kesaktian. Saya fikir The Banquet tidak seimbang dan secara keseluruhanya tidak menghiburkan. Temanya klise--pergolakan takhta kerajaan silam China disulam sedikit bumbu cinta, kesetiaan dan pengkhianatan. Saya hairan, telah matikah panggung opera China itu?

Filem ini jauh kualitinya dengan filem-filem sutradara pop Zhang Zimou yang menggegarkan dulu. Ia tidak boleh duduk sebaris dengan Croching Tiger Hidden Dragon, The House of Flaying Daggers, Hero; apatah lagi The Road Home dan The Love Letter yang menggondol beberapa penghargaan di peringkat antarabangsa. Tetapi seperti kritikan saya terdahulu terhadap Sepet dan Gubra (dan barangkali pada Mukhsin yang bakal menyusul), karya seni ini sebenarnya berada dalam ruang dan kelas yang lain. Secorot mana pun kedudukannya tetap tidak dapat dibezakan (atau disamakan) dengan filem-filem Melayu seperti Remp-it atau Tipah Tertipu atau Man Laksa atau Pemburu Emas Yamashita.

Dua jam itu sebenarnya saya tidak menonton The Banquet. Saya menonton Zhang Ziyi--si jelitawan manis dan memberahikan; seperti yang anda semua juga lakukan sehingga membatalkan puasa.

Rabu, Oktober 04, 2006

Thaksin, Pergilah Seperti Siti Nurhaliza

Thaksin meletakkan jawatan. Maknanya dalam suatu segi, kudeta berjaya. Tetapi Thaksin hanya meletakkan jawatan sebagai Presiden Thai Rak Thai (TRT), bukan Perdana Menteri (PM) Thailand. Maka nampaknya beliau seolah-olah akur tanpa kata pada kudeta--sebuah dosa untuk demokrasi. Thaksin bukan politikus yang baik dan berani. Jika tidak dia akan mempertahankan kerusinya seperti Sadam Hussin.

Sehingga digulingkan melalui peluru, Saddam, masuk ke kandang pesalah di mahkamah, Saddam tidak pernah menegaskan bahawa dia adalah Saddam Husin. "Saya adalah Presiden Iraq yang sah." Thaksin boleh berkata begitu jika dia berani. Barangkali juga Thaksin juga sedar bahawa memang benar bahawa menguruskan manusia (rakyat) dan negera tidak pernah persis sebuah syarikat. Thailand Inc. korup.

200 ahli-ahli parlimen TRT negara Gajah putih itu juga meletakkan jawatan. Penganalisis meramalkan politik Thaksin akan gelap. TRT bungkus dan mereka tidak dibenarkan aktif dalam politik untuk tempoh lima tahun. Itu sudah cukup memandomkan karier politik bekas PM.

Barangkali juga Thaksin akan mengalami nasib yang sama seperti Tun Dr. Mahathir. Tetapi kalau benar mahu pergi, jangan pergi seperti Tun. Pergilan seperti Siti Nurhaliza. Menikah, pelan-pelan mengundur tanpa perlu diperasankan orang. Dan seperti sang jeneral yang melakukan comeback untuk junta, Thaksin juga barangkali akan melakukannya. Tetapi waktu itu dia sudah tua. Seperti comebancknya Anwar Ibrahim.

Selasa, Oktober 03, 2006

Mawi, Ina, Kudeta

Thailand mahu kembali kepada demokrasi. Tetapi jalannya melalui kudeta. Seperti peperangan di Asia Barat, demokrasi Iraq 'dipulihkan' dengan peluru; begitu juga di Palestin, Lubnan dan di mana-mana pun. Hitler otaknya tidak cerah dengan membunuh Yahudi tidak berdosa. Kita adalah bayang-bayang keterbalikan sebuah panji.

Kudeta itu diraikan dengan seyuman dan tepukan di jalanan. Taksin jatuh antaranya kerana tragedi di Selatan negara Gajah Putih itu. Merupakan dosa besar terhadap demokrasi dan hak asasi manusia. Maka kudeta mendapat restu bumi. Kemudian restu tahta. Tetapi pilihan untuk Thailand ini adakah mampu menagih restu langit--restu tertinggi berdasarkan prinsip? Bagaimana mungkin demokrasi digulingkan melalui kudeta? Rakyat Thailand mungkin mendapat kenikmatannya. Tetapi barangkali tidak untuk demokrasi jangka panjang di negara itu. Kekerasan sentiasa menawarkan dirinya dan Selatan Thai barangkali ada mempelajari sesuatu. Demokrasi itu tenang di permukaan.

Itu adalah pilihan sah dan berani rakyat Thailand. Kita di Malaysia tidak, kita hanya tahu memilih Mawi melalui AFUNDI dan Ina. Kita lebih rasional bukan? Dan kita akan lebih rasional jika memilih anak bekas Perdana Menteri itu (lihat gambar: Kiri, berbaju putih) sebagai cewek tengok wayang.

Sabtu, September 30, 2006

Gosip Umat Islam dan Ibu Segala Bom

Gambar ini saya terima melalui e-mel. Selalunya saya anggap spam tetapi tidak saya blok, memikirkan ia datang dari e-mel teman saya. Kadangkala e-mel sebegini menggeletek hati saya. Tetapi alangkah tidak baiknya menggelakkan orang lain berdasarkan fizikalnya. Gambar ini bagi saya mempersendakan fizikal manusia. E-mel itu berjudul, "Bom terbaru Amerika, ibu segala bom".

E-mel seterusnya tentang Tanah Haram. Saya terkesan menyiarkan semula e-mel ini setelah menerima komen Khalid Jaafar dalam entri yang lalu, "mengapa takut pada perkataan haram," (tetapi selain "haram", saya kita ada satu perkataan lain yang jangan ditidakperasankan: "gosip". tulisnya. Selainnya baca sendiri, jangan malas. Isi penuh e-mel gosip itu saya tampilkan di sini.

Jumaat, September 29, 2006

SK


Akhbar 'haram' ini aku tidak terlalu gemar, walau sering baca. Budi, dan kini Zuhdi mengedarkannya. Dan di SK, tidak pernah aku terfikir untuk menyumbang ke situ, kecuali sedetik sehari sebelum semalam. PK pernah tanya kenapa tak hantar ke SK. Aku jawab, "tak mahu menulis dalam surat khabar haram." Ketawa.

Sambil menonton dan tidak bertarawikh, lepas berbuka yang mengembungkan perut, ada sebuah kritikan 'pelik' terhadap SK daripada bini aku yang tidak terjawab: Gosip!

Dia tidak pernah membaca SK dan memilih apolitikal.

Khamis, September 28, 2006

Mengelilingi Eropah dalam Masa 8 Jam

Kota Paris dan Eiffiel. Tanpa cinta, sunyi, dingin dan keseorangan. Sebelumnya di Jerman, pinggir ibu kota, sebuah apartment sewa yang mahal. Bangunannya tinggi, kaca biru gelap, simen putih bersih. Aku naik lif. Laju. Masuk dalam apartmen, beberapa orang Mat Saleh disibuki dengan hal masing-masing. Dan mereka tentunya tidak berpuasa. Warna-warna suram, biru pucat seakan kelabu, perak dan hitam memenuhi ruang ini. Aku lempar pandangan dari jendela. Hanya beberapa biji kereta Subuh itu. Sebuah tanah lapang hijau di sebelahnya dan aneh sekali, langit hampir muram. Orang yang bergerak tidak banyak. Aku berkot labuh kelabu, jean biru, kemeja-T dan melilit leher. Perjalanan dari lapangan terbang ke hotel biru gelap ini kurang lebih makan 20 minit. Lebih cepat jika tidak sesat dan mencari-cari. Akan teman itu, tidak aku temui. Aku pulang ke Malaysia dan kembali.

2
Aku bertemu dia dalam bilik yang sama.

"Macam mana kau tahu aku di sini?"

"Aku telah datang menziarah tetapi kamu tidak ada. Kamu minum di kedai kopi selang 150 meter, dekat traffix light di sebelah hotel ini," kata aku.

Teman aku itu berkemeja-T dan berlilit putih di leher. Kainnya lembut.

3
Awal malam di Effeil aku melihat manusia dalam kecintaan.

Isnin, September 25, 2006

Sastera Ramadan

Bulan ini seeloknya bawa bersama sastera dan penulisan berpuasa. Tak boleh makan, minum, bersetubuh dan melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbitnya fajar hingga terbenam matahari. Disertai dengan niat. Adakah sastera boleh buat? Dan lagi, blog pun kena puasa. Hormatilah orang Islam.

Khamis, September 07, 2006

Buku Baru


ANTOLOGI CERITA PENUH BUIH-BUIH

'Ngembara ke Utopia Republik Cinta Sesudah Letih Menjadi Lelaki

Ditulis oleh
Jimadie Shah Othman (salah seorang pengarang Mitos Sperma Amerika)
Salman Sulaiman (pengarang Pemain Bahasa)

RM 15.00

Sila beli dan lihat iklan panjang di http://pemainbahasa.blogspot.com

Rabu, Ogos 23, 2006

Boo

Sam kena boo. Semalam dia berucap di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mewaliki parti politik yang dia dokong. Perhimpunan malam ini membentangkan pandangan tentang kes Lubnan dan Palestin. Sam bermula dengan kritikan, katanya, kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), langsung kepada OIC yang mempunyai kepimpinan yang lemah. Beliau minta hadirin bayangkan kalau Anwar Ibrahim ketuai pertubuhan Islam besar ini. Orang Umno boo dia. Kemudian pengerusi suruh dia tamatkan ucapan (dengan vokal, bukan nota yang seperti biasa). Sebelum itu penyokong Umno masuk dengan bendera mereka jadi macam perhimpunan agung Umno. Katanya, orang keADILan banyak tak boleh masuk. Aku pakai baju hitam. Sepatutnya aku tak boleh masuk dan aku tak masuk. Aku pergi makan ikan bakar dekat istana. Kemudian balik lepak dengan mereka dekat retoren Amjal dekat Universiti Malaya. Aku tahu Sam orang baik. Aku kenal dia. Tetapi bagaimana jika anda dijemput ke suatu majlis untuk berucap dan kemudiannnya anda diboo? Adakah itu bagus? Orang yang waras tidak melakukannya dan Yahudi di Palestin dan Lubnan tidak waras. Kita yang mengutuk kekejaman dan kezaliman tahu.

Ahad, Ogos 20, 2006

Berahi

Perempuan cantik ini berumur 19 tahun dari Texas, Amerika Syarikat yang barangkali saudara-maranya berada di dunia perang Baitul Maqdis. Klik di sini untuk mengenali lanjut perempuan ini.





Smadar putus nyawa di Baitul Maqdis pada tahun 1997 semasa umurnya 13 tahun. Siapa Smadar? Klik sini.

Shisha Honeydew Lawan Shisha Perasa Anggur

Seorang blogger berjaya membazirkan masa saya pagi ini hampir satu jam. Dia masih muda dan pernah gagal di universiti. Penulis jurnal yang mengaku rock ini memberikan saya sekeping gambar yang saya kita poyo sekali. Budak muda pakai baju sejuk, sedikit depat, berkaca mata tebal barangkali. Maka saya boleh bayangkan dia suka komik, main Play Station, menghormati penulis-penulis yang dianggap besar dan hidup dengan angan-angan dan dalam masa yang sama menghabiskan masa menulis alasan-alasan kenapa sesuatu itu tidak boleh dilakukan. Saya fikir anak muda ini sakit. Dan saya mencabarnya melalui YM. Aku sedih dengan mereka yang selalu merendah diri dan meninggikan orang lain. Dan paling poyo dia hisap shisha perasa honeydew. Ha, ha, ha!

Khamis, Ogos 17, 2006

Sharifah Amani Tak Baca Catatan Pinggir?

Aku tidak suka memuja Catatan Pinggir (yang ditulis esais terkenal itu, Goenawan Mohamad). Aku ego. Entri Khalid yang aku baca semalam menyebut "Sharifah Amani, Dia memang bodoh" sebagai respon pada ucapan ringkas perempuan muda itu ketika menerima anugerah dalam Festival Filem Malaysia. Pelakon muda yang tergedik-gedik (dalam lakonannya) itu dilaporkan berkata "I'm sound stupid if I speak Malay". Maka Khalid mencabar, jika Amani membaca Catatan Pinggir, tentu dia tahu langit itu tinggi atau rendah.

Khalid seperti optimis sekali dengan Bahasa Melayu belakangan ini. Tetapi catatan ini tidak mahu memperkatan tentang catatan itu. Catatan ini mahu memperkatakan esei Mas Goen, nama manjanya, dalam Off the Edge yang diterjemahkan Eddin Khoo. Majalah ini dikatakan mencapai jualan 8000 unit tiap keluaran. Tidak setinggi mana. Dewan Budaya yang dikeluarkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga mencapai angka yang tidak jauh beda (jika saya salah sila betulkan, khabarnya 6000 naskhah setiap keluaran). Dan majalah seni budaya untuk orang berniaga itu nampak macam kereta Porshe. Tetapi golongan elit yang membaca tulisan Mas Goen sebagai karya terjemahan ini sesekali tidak akan menikmati Catatan Pinggir seperti yang kami candui.

Kalau Amani tidak membaca Off the Edge, saya tidak fikir dia langsung membaca Catatan Pinggir dalam Tempo, majalah terkenal itu. Kami sebagai penikmat bahasa Melayu tentu berasa bodoh jika tidak (pernah) membaca apatah lagi tidak tahu menahu fasal esei-esei yang dimaksudkan itu. Tetapi Amani tidak perlu malu (jika benar beliau tidak membacanya), kerana dia tidak mahu nampak bodoh.

Kalau Amani bercakap bahasa Melayu, sudah tentu aku sumpah dia.

Perempuan muda itu harus ingat, tiada salahnya tidak bercakap Melayu, tetapi berbicara seolah menghina itu mengguris perasaan orang lain. Kasihan juga pada orang yang malu membeli majalah berbahasa Melayu. Maka, sebagai solusi mereka kena baca Catatan Pinggir dalam bahasa Orang Putih. Otak mereka tidak seelit yang mereka fikir.

Lagi-lagi fasal Amani: Kata-kata beliau yang tadi, jika berniat memperlekehkan bahasa kebangsaan sebanding bahasa Inggeris tentulah berdosa besar dalam negara yang bahasa rasmi pertamanya adalah Bahasa Melayu. Lebih-lebih lagi dalam bulan mulia sempena ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke-49. Apalah salahnya kita kibarkan bahasa Melayu seperti bendera kecil yang kita pasang di bumbung kereta. Saya hormati, justeru mendokong semangat patriotik. Patriotik hakiki, bukan patriotik simbol-simbolan.

Rabu, Ogos 16, 2006

Ultra Melayu dan Cina Juga Adalah Sahabat-sahabat kita.

Puisi dalam The Lusiad itu, yang dipetik dan diterjemahkan Anwar dalam Pidato Kemerdekan tahun lalu mengungkap sifat penduduk rantau ini, dari mata penyair Portugis zaman Renaisans. Di rantau ini, penduduknya disifatkan ada dua kelompok: (1) Melayu yang berahi (sentimental) dan (2) Jawa yang berani.

Hari-hari akhir ini berahi aku memuncak. Aku mula rasakan aku Melayu, yang jarang aku rasa begitu. Itu kesan pengaruh ideologi bahawa sifat internasionalisme itu menidakkan semangat nasionaslisme. Nasionalisme selalu menjadi assabiyah. Tetapi pagi ini, awal pagi, SMS dan percakapan telefon dengan Lut dan sudah tentu selepas ulang tonton Gubra, yang dinobatkan dalam Festival Filem Malaysia, aku fikir aku Melayu. Aku fikir ada makna warna kulit sawo matang ini. Dan bukan sekadar warna.

Pemuda anak dua ini kata Amani kata dia nampak bodoh kalau cakap Melayu. Dan bla bla bla. Kalau benar, nampaknya Amani saya kira layak menjadi heroin satu Malaya, dia telah menjiwai watak Orked sampai ke luar layar. Orked dalam Gubra bila mendapat tahu suaminya curang lapan kali dengan perempuan lain, ia berkata, "kamu Melayu bodoh", sudah tentu dalam bahasa yang ia agung-agungkan: Inggeris.

Tapi aku tak pernah masuk parti Melayu dan aku bukan ultra Melayu. Aku suka sambal belacan dan budu. Dan aku belajar dalam bangsa Melayu, kita tidak diajar mempertuhankuan duit dan meterialisme. Mungkin gambaran itu hanya wujud dalam imaginasi lama filem-filem Melayu, kisah cinta dua darjat.

Waktu aku belajar dan berteman dengan beberapa rakan Cina, aku melihat dari luar beberapa gaya hidup mereka. Mereka ini malas mandi pagi, tidak ambil sarapan, dinner di hujung petang dan supper di malam hari. Lepak malam-malam. Dan bila bertemu sesama sendiri mereka tidak bertanya khabar, mereka tanya, "sudah makan atau belum?"

Itu juga mak aku ajar dan aku buat. Aku makan sama seperti masa mereka tapi aku tidak jadi Cina. Keluarga aku pentingkan makan. Nenek aku dulu tiap kali jual lembu dan bagi duit dekat aku masa aku belajar selalu suruh aku guna duit dia untuk makan, jangan beli baju atau benda lain. Benda itu melekat. Makanya aku suka makan. Berbeza dengan bini aku. Aku sentiasa fikir duit itu mudah dan aku optimis terhadap kehidupan.

Dan masa aku bujang, aku fikir nak kahwin dengan Cina. Tapi, seperti Orked aku kahwin dengan Melayu. Cuma bini aku ada darah Cina dari neneknya. Melayu berkahwin dengan Cina cuma lambang perpaduan, aku fikir.

Kemudian aku tertarik dengan bangsa Yahudi (bukan dengan perempuannya). Aku mula membaca Alkitab, meminati Israiliyat dan bercita-cita mahu belajar bahasa Yahudi. Tetapi guru aku itu belum pulang ke Malaysia. Tahun depan baru aku berpeluang mendalami bahasa tua itu.

Aku tidak berdosa kan? Oksidentalis bukan? Dan aku pernah berfikir, untuk betul-betul mendalami kebudayaan bangsa yang dianggap musuh ini, aku mesti berkahwin dengan perempuan Yahudi. Bolehkah?

Tapi Yahudi yang mana. Di Rumah Pena Jumaat lalu, teman aku, seorang penulis kata, dia menonton drama pentas karya Nordin Hassan. Betty Benafe belakon jadi Yahudi. Yahudi yang mana? 'Yahudi dari Georgetown' katanya.

Cina juga adalah sahabat-sahabat kita.

Aduh, banyak sekali bendera Malaysia mula berkibar. Siapa faham makna merdeka?

Jumaat, Ogos 11, 2006

Teater: Masa Jadi Saksi untuk Wangi Jadi Saksi


Wangi Jadi Saksi saya kira sebuah teater yang sederhana. Sederhana bagi saya maksudnya memainkan peranannya sebagai sebuah persembahan yang tidak bercacat cela secara serius. Jika sesebuah teater itu mahu dikenal sebagai persembahan yang bagus, dia harus berbalik kepada berapa banyak idea dan berapa besarkah imaginasi sang pengarah. Dan sudah tentu mesti dilandasi dengan skrip yang bagus. Maaf, Wangi Jadi Saksi tidak sebegitu.

Filem arahan U-wei ini cuba memberi tafsiran baru terhadap epik Melayu Hang Tuah. Pertarungan Tuah (Khir) dan Jebat (Sofwan) dilihat seperti kerinduan dua sahabat lama dan tidak ada persengketaan. Mereka saling berkasih sayang tapi dengan pandangan dan pendekatan politik yang berbeza. Jebat memilih menentang manakala Tuah memilih taat. Ketepikan dulu soal siapa benar atau salah, teater ini saya fikir tidak mencari yang itu.

Dalam pertarungan yang dikatakan berlangsung selama tujuh hari tujuh malam itu, hanya seorang yang terus-terusan memerhati pertarungan maut itu. Kemudian apabila penat bertarung, dua pahlawan berhenti rehat, makan dan minum. Ketika itulah Dang Wangi muncul membawa makanan dan minuman.

Tetapi, dalam versi ini, ketika Jebat mendepangkan dadanya untuk ditikam tuah, bersembunyi balik langsir, Tuah telah tiada. Hanya Patih Kerma Wijaya (Khalid Saleh) yang datang tidak dijemput, pulang tak berhantar mengutip keris di lantai, menikam kemas ke perut Jebat dari belakang. Hanya seorang yang melihatnya: Dang Wangi. Sedang orang Melaka sibuk riuh di bawah rumah, menikam lembing dari bawah, dengan sifat bacul mereka.

Jebat, dalam kesakitan itu turun ke laman dan memberangus seluruh manusia yang melintas tanpa ia sedari, keris dari tangan Tuah tidak pernah menikamnya.

Sebuah cerita biasa.

Untuk reka pentas, salut kepada tuan pengarah. Percuban yang berani membawa lakonan menjadi separa siluet dengan tulisan jawi menjadi layar yang mengurung pemeran. Penggunaan pentas yang sangat anjal dengan set yang berubat-rumah hampir setiap saat. Tetapi kerana kekaguman penonton kepada sebuah benda inilah yang menyebabkan mereka terlupa bahawa sebenarnya drama pentas ini cuma meneruskan kebiasaan klise lama dalam dunia teater Melayu, tidak meyakinkan.

Walau bagaimana pun, diakui dialog dan lakonan pelakon-pelakon U-wei baik sekali. U-wei, dengan tahapnya sekarang, mengecewakan. Jika pengarah lain, boleh saja saya beri A.

Dan lagi, watak Masa (Sabri Yunus) itu adalah make up yang mengada-ngada, menjemukan dan tidak bermakna. Jika beliau meneruskan inti dan gaya daripada filem-filem terkenalnya terdahulu, Jogho, Kaki Bakar, Sepohon Rambutan dan kemudiannya Wangi Jadi Saksi, beliau tidak akan pergi lebih jauh. Hanya masa akan jadi saksi.

Selasa, Ogos 08, 2006

Dari KL ke Moroko: E-mel 2

From: Mohd Jimadie Shah Othman <jimadieshah@gmail.com>
Date: 2006 Agu 8 09:21
Subject: Re: le tableau noir (blackboard)
To: rahim amri <guar_sanji98@yahoo.com>



Aku belum tengok. Aku tak tau masuk market malaysia atau tak. Aku akan
tak berapa busy bulan sembilan ni. Aku tengok Hollywood dengan VCD cetak
rompak saja sekarang ni. Kadang-kala aku tengok VCD cerita Melayu yang bini
aku beli. Ada kenikmatan juga bila tengok kebodohan filem melayu.
Boleh buat kita gelak panjang. Lepas hampir 50 tahun merdeka, ada lagi
orang buat filem macam tu. aku kecewa pada imaginasi pengarah Melayu
(dan Malaysia--Cina pun sama, lagi teruk kadang-kadang). Aku curi masa tiap
hari tulis e-mel pada hang.


Gambar: A. Razak Mohaideen, pengarah Melayu yang profilik bertaraf Prof. Madya dalam bidang perfileman tetapi mutu karyanya sentiasa dipertikaikan.

Dari Moroko ke KL: E-mel 1

From: rahim amri <guar_sanji98@yahoo.com>
Date: 2006 Agu 7 21:57
Subject: le tableau noir (blackboard)
To: Mohd Jimadie Shah Othman <jimadieshah@gmail.com>



Tajuk dia atas adalah tajuk filem. aku tak tahu sama
ada hang tengok atau belum.Kalau belum; carilah dan buat koleksi republik. Bagus!
Filem Iran yang diarahkan oleh Samira Makhmalbaf anak
kepada Mohsen Makmalbaf. Dia telah memenangi hadiah
khas juri di Cannes ketika berumur 20 tahun dan itu
adalah filem yang keduanya. Filem petama, La Pommes (buah epal) juga memasuki Cannes tahun 1998.masa aku tgk the making filem ni; aku rasa macam nak
berhenti belajar dan buat filem.aku tahu hang busy, jadi, tolonglah cari dan tengok filem
ni, kalau ada masa. Ajak kawan-kawan len sama.

Rahim Sabri

Jumaat, Ogos 04, 2006

Switzerlannd dalam Winter



Rahim e-melkan aku gambar yang menarik. Aku fikir dari Moroko. Tapi sebenarnya wajah Switzerland dalam winter. Bila aku klik pada gambar, keluar gambar perempuan terlanjang. Cuba kamu klik, jadi tak? Malam ini aku menonton Wangi Jadi Saksi arahan U-wei. Semalam aku menonton Hang Tuah versi P. Ramlee.

Sabtu, Julai 29, 2006


Dan sayang, patutkah aku menulis pasal politik?

Kota yang Basah Aku Nampak Seksi

KL hujan. Pertama, Faisal pulang selepas pow sebatang rokok aku. Moon pulang lepas teledon cakap bahasa Sabah yang aku tak faham dalam telefon. Jam 7.05 pm. Hujan. Benar. Senja dan malam. Aku takut hantu.

Kampung aku (apartmen tempat aku tinggal) ada kenduri-kendara. Jam lapan aku terbangun dengar lagu nasyid bunyi kuat-kuat. Bunyi dia macam peluru mendesup ke celah-celah nako rumah aku, masuk dalam bilik, kuak selimut dan menari-nari depan gegendang telinga. Lebih kuat dari suara pak bilal (hairan, sejak tinggal di sini, jarang aku dengar muazin bang pagi-pagi). Kereta aku sangkut waktu nak keluar pagar. Emme beli bihu yang aku tak makan. Dia ingat aku makan. Dia harap begitu. Abah Emme baik. Dia balik kampung tanpa SMS aku.

Rumah aku dipenuhi dengan kotak kerana aku mahu pindah. Max yang cari Dato' Saleh kata ada rumah di Hill Park. Aku memang tak akan ambil rumah tu. Sewanya dekat RM 2000 sebulan.

Moon rambutnya yang diwarnakan berbelang-belang. Dia make up lagi sebelum balik. Beg dia bawa sama besar dengan badan dia yang gedabak.

Dan katanya semalam Tun Dr. Mahathir kena sembur di Kota Bharu. Aku tengok ada gambarkan dekat Malaysiakini dan Harakahdaily. Kasihan juga. Muka dia kerunyok macam adik-adik kita di Lubnan (eh, tentera Lubnan tak reti angkat senapang ke?).

Max semalam jalan-jalan kutip sewa. Dia selalu pakai baju putih lengan panjang, seluar hitam, kasut kulit. Pendek kata: Kemas.

Aku masih pakai topi Italia.

Waktu hujan aku jadi rindu. Waktu hujan imaginasi dan produktiviti aku meliar. Kota yang basah aku nampak seksi.

Jumaat, Julai 28, 2006

Puisi Tak Mampu Ubah Apa-apa

Katanya Mao Zedong pun menulis puisi.

Seorang ustaz muda berkata: "Nasyid bukan lagi dakwah. Berapa orang masuk Islam bila dengar nasyid." Ada benar katanya dan barangkali bagaimana dia mengkaitkan dakwah dan Islam itu ada kecelaruan. Bukankah mengajak kepada kebaikan itu dakwah yang sangat Islamik sifatnya.

Seorang tua ulat buku berkata: "Puisi tak mengubah apa-apa." Itu beberapa tahun lalu. Saya tidak percaya. Maka saya terus menulis sajak-sajak yang saya gemar dan orang gemar. Sehingga saya menyumbang untuk Mitos Sperma Amerika, barangkali tidak sampai sepuluh sajak pun yang saya tulis lagi. Itu kerana saya obses dengan cerpen. Saya fikir saya harus pilih satu dan memiliki kedua-duanya bukan hak saya. Sekarang saya hampir percaya kata orang tua itu.

Tetapi semalam di Devi's Corner, Jalan Telawi, katanya: "Aku nak tulis puisi. Sebab prosa aku makin mirip pada puisi. Baik aku tulis puisi."

Saya fikir dia akan membuktikan bahawa kenyataan dalam judul entri ini adalah salah. Sahutkah dia cabaran ini?

Saya fikir saya tujukan entri ini untuk Khalid Jaafar.

Ahad, Julai 23, 2006

Matahari di Dalam Tangan

Capek. Benar. Capek sekali. Semalam aku tidur dua jam. Aku melawan masa dan batasan. Dan manusia itu sentiasa ditewaskan, yang, membikin kita rasa kecil. Juga dalam tiap aksi kepada tuhan--sujud dan mengecil ke lantai. Kita, selalu membenarkan dan mengulang-ulang keabdian. Tetapi tentang kebesaran, human dignity itu kenapa orang tidak membesarkan. Justeru, membilang takbur.

Matahari di dalam tangan adalah simbol faham manusia dan tuhan.

Ketakutan-ketakutan. Dan kenapa tuhan disimbolkan daripada cahaya? Aku fikir ada jawapan kenapa si majusi menyembah matari. Aku benarnya. Tetapi si tolol yang beragama, barangkali tidak pernah terfikir bahawa tuhan itu cuma kita fahami daripada simbol. Tetapi ia bukan yang itu. Kerana itu ada tuhan yang beda antara tuhan yang sebenar dan tuhan yang dikenal manusia melalui tanda-tanda, yang, dicipta, dimakna dan dikonsepkan manusia.

Tuhan itu tanpa batasan seperti nomboran. Kita tidak. Cepat capek dan menyerah. Aku tidur, bung. Barangkali mimpi siang itu indah.

Sabtu, Julai 22, 2006

demo dan ini cerita budak arau


arau. benar. ini kampungku yang dirindui. masjid arau, bulan puasa ada tarawikh yang panjang. tapi cuma lapan rakaat. itu aku gemar. tanpa witir. kemudian langsung ke kedai kopi bawah jambatan dekat lebuh raya bersama teman-teman republikan. kenangan. masa yang seolah sangat panjang. tepu nostalgia dan ingatan. ingatan. tetapi apakah gempa terbesar di arau? dan apakah gempa yang lebih besar dari politik? tiada . sungguh.

politik di arau hanya satu kayu ukur: kamu umno atau pas. tidak ada selain itu. kamu umno kerana kamu sudah lama umno dan kamu percaya warta berita. kamu pas sebab kamu punya ibu bapa pas dan kamu rasa berdosa pangkah parti lain. orang kampung kami suka bersorak (pesta) dan kenduri-kendara. kamu keluarkan seribu dalil dan buku politik seintelek mana pun, kamu dapati buku itu cuma kertas. tak ada bezanya dengan tisu tandas. dan, cuma di sini, yang namanya arau. kamu suka berniaga dan suka raja. bila ditanya asal, kami selalu jawab "arau", bukan perlis, tanpa nafi.

dalam pilihan raya lepas, ada sensasi. harun din lawan syed razlan, orang kerabat. keadilan bertanding di pauh kalah teruk. dia lawyer muda. sebelumnya dalam pilihan raya kecil hashim jasin masuk parlimen. sepenggal cakap fasal harga padi dalam dewan. syed adalah keturunan dihormati di perlis. dan, lebih benar, tanpa arau, tidak, tidak pernah aku menulis. dan sekarang aku rindu bau jerami dan sawah padi. (tapi aku sudah takut ular air dalam lopak parit gila).

aku dapat gambar dari internet gambar orang demo di arau. masjia arau. depan istana. cantik tapi tidak pernah sekali aku pijak rumput. seni binanya ada ilham belanda. raya puasa aku tidak ke rumah terbuka raja sebab aku suka tidur di pagi raya lepas solat pagi raya. demo. itu pun tidak pernah aku bayangkan. arau sudah berubah. tetapi cinta tidak berubah. cinta bertambah-tambah.

entri ini tak ada huruf besar sebab tak ada huruf besar di arau. tuan, kami suka monarki. katalah feudal ke apa benda. dah cinta.

Rabu, Julai 19, 2006

Tentang Liberalisme yang 'Berdosa'

Aku ingin ke kelas pengajian liberal (lagi). Dua minggu lepas aku menulis tentang liberalisme untuk sebuah majalah agama bulanan. Di sini, ada sosok liberal yang lain. Liberal yang tidak selalu kita kenal. Semua orang fikir liberal itu hantu pontianak. Saya fikir tidak. Kalau pontianak itu dicucuk paku pada lehernya, ia akan menjelma menjadi perempuan manis. Biar aku kutip sedikit intro artikel aku tentang hantu pontianak yang berdosa itu.

Liberal seakan menggugat tradisi bangsa tetapi sebenarnya tidak pada tradisi keilmuan. Lewat kebelakangan ini semakin diperkatakan liberalisme atau pluralisme atau seumpamanya aliran-aliran pemikiran yang menghiasi wacana-wacana keilmuan.

Dalam konteks Malaysia, pandangan terhadap liberalisme sering disalah tanggap. Liberalisme dipercayai sebagai konsep Barat yang tidak cocok dalam lingkungan budaya dan masyarakat setempat. Liberalisme menjadi sebuah ideologi, pandangan falsafah dan nilai politik yang ‘berdosa’.

Kecaman mutakhir terhadap liberalisme bermula dengan melebarnya fahaman Islam Liberal, yang dilihat sebagai ‘pengacau’ kepada faham tradisional versi Sunni dalam agama. Kerana itu, hampir segala macam pergulatan dalam pemaknaan (dan pengalaman) agama tidak lepas dikaitkan dengan perkataan liberal, selain hedonisme dan penyelewangan dari kemurnian agama.

Kritikan mengkal dan rasa kurang selesa dengan perkataan “kebebasan” yang menjadi pokok kepada perbicaraan liberalisme, tanpa merujuk kepada sumber rujukan yang sahih dalam disiplin ini; sedangkan pokok perbicaraan seputar liberalisme itu luas (juga tua) sekali merangkumi kebebasan berfikir bagi individu, pembatasan kekuasaan, penegakan hukum, pertukaran gagasan yang bebas, ekonomi pasar yang mendukung usaha peribadi (private enterprise) yang relatif bebas, dan suatu sistem pemerintahan yang telus, yang di dalamnya hak-hak kaum minoriti dijamin.

Tetapi liberalisme yang ‘berdosa’ itu, sering bermula dengan hujahan mengkal berdasarkan ‘kata orang’—sebuah liberalisme yang tidak mengenal John Locke, J.S Mill dan Kant, apatah lagi pemikir-pemikir yang lebih kontemporari seperti Karl Popper dan Richard Rorty.

Sabtu, Julai 15, 2006

Epal Merah yang Lain Warnanya

Ada juga epal yang lain warnanya.

* * *

Bosanlah baca-baca. Jom tengok gambar.

Epal Hijau itu biasa.

Epal merah itu luar biasa; dan dah kena gigit pun.

Tapi anehnya, dari dua ketul epal merah itulah, lahirnya semua yang terkurung dalam frame ini.

Apakah yang Adam dan Hawa lakukan?


Foto Keliling (Bukan Keling) Brickfields

Pindah

Aku rasa bosan photoblogging dengan Blogger. Makanya aku pindah semula ke rumah lama di Fotopages--Foto Keliling (Bukan Keling) Brickfields di alamat http://jimadieshah.fotopages.com.

Mere Nam Mawi

U-Roy, MC yang cool.



Budak-budak tu ingat mereka cool. Macam Tupac Shakur. Mereka duduk-duduk buat bising dekat kedai mamak. Nak conteng dinding penakut nak mampus. Aku tidak tahu ada berapa dongeng dalam hip hop. Adakah grafiti, yang menjadi elemen asas aliran ini adalah menconteng dinding? Adakah grafiti sekadar percikan lucah dan ghairah di dinding? Sebab itu, budak-budak yang pakai baju dan seluar besar ini, usung papan selaju serata tempat, pakai topi senget ini sebenarnya berotak kontot. Hip hop yang pernah hadir sebagai gerakan budaya yang berwibawa akhirnya menjadi bahasa slanga dan fesyen generasi muda yang tidak ketahuan hala. Yo, kamu tidak cool. Kamu tidak ada semangat yang itu. Kerana itu kamu menjadi Mawi. Kamu adalah fenomena.

* * *

Biar aku kutip bahagian dari Gurindam Illium yang diterjemahkan Khalid. Aku suka benar.

Paduka Dewi, nyanyikanlah: kisah amok
Akilis putera Peleus, dan bala pedih yang
menimpa tentera Akia, ribuan nyawa,
nyawa-nyawa wira perkasa, terhumban ke
neraka, dan jasad mereka menjadi santapan
anjing dan burung, maka terlaksanalah
hasrat Zeus. Mulakan, paduka Dewi, pada kala
pecah pertengkaran antara
putera Atreus, pengeran semua manusia, dengan
Akilis yang gemilang bagai dewa.

Khamis, Julai 13, 2006

Babysitter

Sam hantar anak dia pada babysitter. Babbysitter tu jaga dua lagi budak yang dah besar. Anak Sam tiga bulan. Kepala dia okey di luar tapi tak okey di dalam. Doktor kata berdarah. "Baby kamu boleh cacat, buta, pekak dan lain-lain," kata Doktor. Bini dia doktor tapi dia bukan doktor.

Malam itu anak dia muntah tak henti-henti. Doktor kata, benar, ada hentakan. Kalau kamu tak pukul, mungkin babysitter pukul atau budak-budak lain yang dah besar sikit pukul, atau ada hentakan yang tidak disengajakan dan tidak juga terperasan.

Sam mengalami masalah.

Isnin, Julai 10, 2006

Sama Ada

Sama ada aku baru hendak bertolak atau sudah pulang. Suhu panas. Merokok memeritkan kerongkongku. Orang Inggeris itu dalam pakaian merah. Berborak dengan seorang laki-laki Melayu pertengahan umur (Melayu itu ertinya tunduk, merendah diri macam paku pakis). Emme dan adik ipar dan birasku dalam KLIA. Suka betul penghawa dingin. "Dulu saya angel. Sekarang saya sedang sedang bercuti," kata lelaki Inggeris itu sambil menghisap rokok dan memegang sebuah beg hitam.

Berahi

Gambar Hiasan

Perlawanan semalam pagi tidak terlalu memberahikan. Permainan sebegitu tidak menarik bagi aku. Aksi yang membosankan dan penamat yang separuhnya di tangan takdir. Zidane menamatkan hayat bolanya dengan kad merah dan keluar dari padang penuh bergaya. Aku sokong Itali tapi jika menyokong lawan, bukanlah Perancis tapi hero kepala botak mereka, Zidane. Petang semalam aku terima SMS dari PK: Ayam tak berkokok esok pagi kerana dah disembelih oleh Itali. Hari ini aku buka Khalidjaafar.org, boleh tahan juga skil orang tua ni kutuk orang, aku fikir begitu.

Sabtu, Julai 08, 2006

Kenangan dan Tangan Kiri



Aku bertemu kenangan. Andaikan empat tahun lalu di sini. Bukan bola sepak, tetapi perempuan-perempuan cantik dan gedik, comel dan segar menari-nari di jalanan. Aku bertemu Ida.

Perempuan muda itu, ia tetap comel, masih gelap dan lebih tinggi beberapa inci daripada dulu. Ia belum menikah dan, giginya tidak tersusun, ia datang bersama tiga lagi teman. Seorangnya perempuan Siam rambut lurus seperti perempuan Rejoice. Benar, perempuan itu juga telah besar dan menjadi cantik. Tetapi Zuhdi yang bermulut celupar itu telah merosakkan rencanaku. Ia kata aku menikah dan punya empat anak.

* * *

Tetapi Ida menjadi pemalu.

Ismail yang kami panggil Cik Mail bertopi ingin ke CM. Cik Mail juga jadi pemalu. "Aku dua kali terlepas kenduri kawin kau," katanya. Dan, "Mana Chot dan Rahim?"

"Rahim di Moroko belajar sosiologi," kataku dan aku ceritakan aku kerja di Brickfields.

* * *

Aku puas makan. Mulanya aku memerap Zuhdi dan Sobri ke Masjid Negara untuk makan rojak Vena Veni Vinci; kemudian di Dataran (Merdeka) tengok persiapan penutup Citrawarna 2006; kemudian lagi jagung rebus; sebelumnya kebab Arab. Aneh, perut aku tak mahu kenyang-kenyang.

Aku menyusur Dataran dengan kenangan. Mataku meliar.

Aku bertemu kenangan. Empat tahun lalu aku di belakang bangunan mahkamah, aku buat prob, jaga lembing. Aku bergurau dengan perempuan penari. Aku perhati kecantikan mereka, aku bawa air untuk mereka minum. Aku bahagia.

Ida yang dulu jadi penari sudah jadi jurulatih. Cik Mail kini berkhidmat di Pejabat Kebudayaan Selangor. Aku bertemu mereka semua ini di pentas yang kami sama-sama kongsi. Sebahagiannya untuk seni tari, dan sebahagiannya seni lakon.

Aku berteater dengan tangan kiri. Tangan kanan aku gunakan untuk menulis. Tetapi setelah empat tahun yang seperti dekat seperti jauh seperti dekat itu telah memotong sebelah tanganku--tangan yang ketiga.

Hasilnya sekarang, aku memenuhkan perut dengan tangan kanan dan tangan kiri pula aku menulis. Tak ada lagi tangan ketiga.

Drift Saja?

Filem



The Fast and The Furios sudah masuk fasa ketika. Kali ini dengan Tokyo Drift, ada seribu stunt menarik dalam kawasan parking, jalan raya dan menaiki bukit di pinggiran Tokyo. Kerana seorang betina, seorang budak muda menghancurkan kereta ibunya dalam perlumbaan di kawasan pembinaan Amerika. Ia dicekup polis dan ibunya datang.

"Ini bandar ketiga untuk kita dalam dua tahun ini," kata ibu pelik itu, menghisap rokok dalam balai.

"Kali ini ke mana kita akan berpindah?"

"Kita tak akan ke mana-mana?" Jawap si ibu.

Maka bermulalah episod drift-drift merbahaya. Akan pemuda itu, dihantar menuruti ayahnya di Tokyo, rumah kecil, dua syarat: (1) Kamu pergi sekolah dan kamu balik sekolah; (2) kamu dilarang menyentuh kereta.

Tokyo suatu bandar yang cukup pelik baginya. Ia berkenalan dengan laki-laki negro yang menjual perlbagai jenis barang-barang di sekolah. Tapi soal sang protagonis, "kamu ada kereta?" itu membawa kepada persahabatan yang erat. Mereka bermusuh dengan anak penakan Yakuza. "Apa Yakuza?" soalnya. "Mafia, mafia," kata negro.

Mereka menyelesaikan permusuhan dengan sebuah perlumbaan. Sean, laki-laki itu telah hancurkan Mona Lisa, kereta buatan tangan Han, rakan kongsi anak mafia. "Kamu pastikan tidak keluar dari bandar ini," kata Han.

Bermulalah persahabatan dan cinta dan episod-episod drift yang mengagumkan. Tiada aksi yang lebik memikat, membawa perasaan daripada pemanduan Sean dan teman wanitanya menaiki bukit, sebuah malam sunyi, kereta berpusu-pusu. Yang ada hanyalah drift yang berbunyi seperti salakan serigala dari hutan dalam.

Cerita ini berbeza. Bukan sekadar drift. Tidak layak membandingkan dua edisi The Fast and the Furios sebelumnya. Saya menikmati cerita ini: Sederhana dan mengagumkan.

* * *

Saya ke Rumah Pena (lagi) semalam. Mar, mana kamu dan ayah kamu? Ketika Zakir tepuk bahu aku, aku kata, "ingat ada Ahadiat Akashah."

Zakir senyum, sedikit gelak dan berkata-kata. Ia tidak update Mata Kaca.

Jumaat, Julai 07, 2006

Juara Piala Dunia

Pasukan yang mampu menjadi juara Piala Dunia 2006 adalah pasukan yang mampu mengetepikan saingan Republik Czech. Dan pasukan itu hanya satu: Itali.

Khamis, Julai 06, 2006

Superman Wanted*


Tempat kerja aku memerlukan beberapa orang Superman dengan segera. Superman yang diperlukan seperti berikut: (1) Dapat terbang selaju mungkin untuk menghantar surat dan lain-lain barang (despatch); (2) dapat meng-hensome-kan diri untuk mencuci pejabat supaya cantik dan bersih (cleaner dan (3) boleh jadi setiausaha. Lelaki mendapat kelebihan. Bukan nak pandang rendah kaum perempuan, tapi kerja ni kena pakai seluar dalam kat luar (maklumlah Superman).

Untuk jawatan nombor (1) dan (2), syarat asasnya mestilah boleh membaca dan menulis. Ada lesen motorsikal lagi baik. Kalau tak ada, bayar saman sendiri.


*Entri ini semata-mata iklan.

Selasa, Julai 04, 2006

Superman untuk Malaysia 2: : Lihatlah Wajahnya yang Pengasih dan Penyayang


Sudah berapa kali saya kata, kita perlukan Superman. Superman adalah lambang manusia ideal, kuat, jantan, jujur dan bersemangat. Seorang Superman mampu mengubah dunia ini agar lebih aman seperti di Syurga. Siapakah kanak-kanak lelaki yang tidak teruja dengan hero ini, lantas membesarkan imaginasinya berhari-hari, langsung hingga dewasa. Namakan (jika ada).

Sama adalah generasi yang zaman kanak dipenuhi dengan cerita Superhero yang tak pernah klise. Cerita samurai. Gaban. Hero Lima. Power Rangers. Masked Raider dan sejuta lagi kesatria agung; tetapi ini hanya imaginasi yang menghiburkan kita kerana kita sebenarnya dalam putus asa yang panjang. Hampa yang dalam.

Jika dahulu manusia, yang tidak mengenal tuhan pun, mencipta dewa-dewa dalam kepalanya bagai candu yang mententeramkan. Kemudian selepas 'mencipta' tuhan, mereka ciptakan anak-anaknya, keluarganya dan kemudian utusan-utusannnya. Bila manusia-manusia itu kembali kepada tuhan, mereka patungkan--ingin selalu ada. Kerana itu, tanpa segan, saya mengaku, tiada cerita yang lebih sedih dan mengharukan pada saya melainkan cerita superhero, bukan Kuch Kuch Hota Hai, bukan Sembilu 3. Saya tersedu menonton cerita superhero. Sungguh.

Superman. Lihatlah wajahnya yang pengasih dan penyayang.

Jumaat, Jun 30, 2006

Superman untuk Malaysia

Malaysia juga perlukan Superman dan seorang Clark Kent.

Bagus, saya sudah boleh menulis tentang cerita-cerita lain. Belum Ada Judul yang lapan siri itu telah selesai. "Saya" sudah jadi tikus dan Maisarah telah jadi lipas. Sewaktu menggilirkan lapan siri itu saya tidak menulis melainkan satu posting tentang sebuah blog taik ayam. Cerita-cerita macam tu juga orang minat komen.

Dalam seminggu ini...

Baru nak menulis, Dato' Saleh dah telefon. Hai, tangguh dulu. Belum Clark Kent datang, Lex Lutor pun dah sampai.

Selasa, Jun 27, 2006

Blog Baik Lawan Blog Jahat


Sebuah lagi blog si kitung yang tidak senonoh berjaya dikenal pasti dan berjaya meloloskan diri sebagai blog najis terhangat di pasaran. Memperkenalkan ybrazali-amkgombak. Blogger memperkenalkan dirinya sebagai Razali Abdul Ghafar atau Anak Jati Gombak sebelum ini. Dari sumber yang enggan namanya dikenali memberitahu bahawa Si Kitung juga dikenali sebagai Reformis Ceria @ Biro Jerit @ Pemeriksa Kunci Kira-kira. Jangan baca blog ini, najis lagi menajiskan.

Rabu, Jun 21, 2006

Belum Ada Judul 8 (Akhir)


Aku pegang Maisarah, aku usap tubuhnya, aku bawa ia ke bilik air, aku bersihkannya. aku lumuri sabun. Aku dan dia sandar di kolah. Mata sekejap kami buka, dan sekejap kami tututupkan. Dan kami tidak menconteng dinding. Maisarah memanjat ke dinding dan aku hampir-hampir tak ternampak. (Kenapa mak aku cat bilik air ini warna kuning?)

Aku dengar suara emak berleter-leter. Aku dengar ayah batuk-batuk. Bunyi gelas dan air dituangkan juga. Tentunya ayah sedang makan ubat darah tingginya. Aku dengar ada tapak kaki meluru ke bilik air. Kemudian ada bertalu-talu ketukan yang kuat.

“Berangan apa lagi, matahari dah di depan pintu.”

Pintu tidak kubuka. Tak ada bunyi. Tak ada suara..

Ayah datang tanpa bunyi guna kunci kecemasan buka pintu bilik air. Emak pekup tangannya ke mulut. Matanya terbeliak. Ayah tercegat tidak bergerak. Ada seekor tikus putih di lantai, seekor lipas coklat di dinding. Dinding kami diconteng (lagi).

Selesai


*Gambar hiasan: The Creation of Eve by Michelengelo

Belum Ada Judul 7


Beberapa titis darah di susuknya mula merangkak. Pelan-pelan ia merayap dan mentertawakan. Kamu di situ, Maisarah, mempertanyakan ibu mertuanya. Tetapi aku di dalam gebar, di bilik hujung. Aku paling jalang. Dan aku jadi tikus. Aku jadi Pokemon.

“Akulah perempuan dengan wajah luar biasa yang ditelanjangkan di laman depan. Dan kamu tidak menceraikan aku. Kamu adalah tikus dan Pokemon,” Maisarah menangis. Aku menangis dan hujan tidak seriat-seriat.

Sekalian kami bersembunyi. Beberapa sempat ditangkap, diperiksa KTP (kad pengenalan) mereka dan dihumban berlapis-lapis dalam mobil merah. Semua mereka dibantai. Puluhan ribu dibantai sejak Hasan Di Tiro mengistiharkan kemerdekaan negeri Pancacita ini, Acheh Darussalam yang berdaulat pada 4 Disember 1976.

Aparat melepaskan isteriku, cuma kerana dia perempuan. Dan dia telah dilangsaikan. Anak GAM yang sial – ‘Gerakan Pengacau Keselamatan Acheh’.

Bersambung...

Belum Ada Judul 6


“Orang tuamu dilarikan angin. Ribuan lang (revolusi) menyambar umat umat kita. Kadangkala garuda, iya, kita disambar syaitan, syaitan yang datang bersama angin. Itu kata ibuku mertuaku. Sungguh kupercaya. Bukalah jendela, rasakan angin ganas itu.”

Maisarah membelek gambar persandingan kami. Sebuah rumah putih. Lamannya dipenuhi bunga-bunga piring.

Aku sentuh nako, aku usap. Beberapa titis darah mula merangkak, merayap pelan-pelan. Aku tekan nako biar terbuka.

Iya, ini rumah kami. Bukan lagi imaginasi. Aku melihat Bulatan Referendum yang dibikin tahun 1998 dulu. Beberapa ekor itik jalan bergembo. Ada sungai, teratai, lalang-lalang memanjang.

“Tapi laman itu sial. Dan aku tidak menceraikan kamu.”

Aku tidak pandang Maisarah. Dan langit umpama gua tempat ibu dan ayahku mengungsi. Kelam, berabuk dan sunyi. Hujan merintik.

“Bapamu ditendang dari Honda di sini. Badannya berlumuran merah.”

Belum Ada Judul 5


"Masa memang sudah tidak penting. Yang pentingnya cinta. Dan kamu memang harus mati bersamaku. Aku ini pejuang GAM (Gerakan Acheh Merdeka), mulai minggu depan, aparat akan memenuhi kampung ini. Dan kamu memang harus mati."

Malam itu aku benar-benar berperang. Berperang dengan diriku sendiri. Pintu biliknya di tingkat atas kukuak perlahan-lahan. Aku pegang, genggam gebar nipisnya, tanganku menggeletak. Aku rentap tiba-tiba. Tetapi dia menjelma lipas. Menjelma dari ketakutannya.

* * *

Berhari-hari, imaginasiku makin meliar. Imaginasiku jadi angin, kubayangkan udara kita dipenuhi peluru dan ibuku dan ayahku sebenarnya tidak pernah wujud. Mereka sudah meninggal 20 tahun lamanya. (Rata-rata taraf hidup bangsa kami cuma 37 tahun.)

Aku di dalam gebar nipis Maisarah. Di sebelahku seekor lipas dari tandas. Dan aku sebenarnya Pokemon.

“Kamu bangsa mabukan,” kata Maisarah.

“Tidak, ini yang benarnya. Kamulah yang mabukan. Kamu tidak real. Kebohongan,” kataku.

Bersambung...

Belum Ada Judul 4



Dalam bilik, saya seboleh mungkin menyakinkan diri sendiri, saya matang, sudah habis sekolah, tamat universiti, ada kerja tetap, ada perniagaan sendiri, ada pengikut (walaupun tidaklah begitu banyak), boleh main muzik dan saya romantik. Tapi ibu, saya cuma anak usia 24.

Ibu tidak mahu dengar semua itu. Selepas daripada itu, saya bersikap dingin, pada keluarga, pada perempuan Acheh sial itu. Persepsi saya tentang masa berupah.

Tapi, "saya faham," kata perempuan Acheh itu. Maisarah namanya. "Kami mengalaminya juga. Bahkan ratusan tahun. Sebelum imperialisasi Belanda, satu hari dirasakan begitu lama, tapi selepas itu segala-galanya berjalan perlahan sekali. Selepas revolusi 45 juga. Tapi zaman DOM (Daerah Operasi Militer), satu hari lamanya umpama seratus tahun."

"Tapi kamu cuma sial, persepsi masa tidak penting. Kamu cuma jelmaan si lipas dalam tandasku."

Bersambung...

IKLAN

Terdapat ralat dalam alat ini

Label

Personal (47) Filem (42) Politik (32) Budaya (21) Sastera (21) Kreatif (16) Agama (15) Blogzine republik KATA (14) Artikel (11) Buku (11) Jalan Telawi (11) Meor Yusof Aziddin (11) Pekak (11) Pendidikan (9) Pencerahan (8) Sejarah (8) Cinta (7) Kewartawanan (7) Lagu (7) Sajak (7) Bahasa (6) Belasungkawa (6) Jimadie Shah Othman (6) Media (6) Teater (6) Blog Foto (5) Deaf Cultures (5) Fiksyen (5) MySL (5) Subversif (5) Anwar Ibrahim (4) Foto (4) Islam (4) Komuniti Pekak (4) Lao Zi (4) Maskara (4) Puisi (4) Tao (4) society (4) Adi Putra (3) Bahasa Isyarat (3) Carutan (3) Cerpen (3) Folk (3) Kemanusiaan (3) Metafizik (3) Rumah Pena (3) A Samad Ismail (2) Ahmad Kamal Abu Bakar (2) Aidil Fitri (2) Amin Iskandar (2) Anugerah Khatulistiwa (2) BN Perikatan (2) Catatan Pinggir (2) Daiyan Trisha (2) Demo (2) Drama (2) Etika (2) Gambar (2) Hamsad Rangkuti (2) Ili Farhana (2) Islam dan Pluralisme (2) Jepun (2) Karam Sikh (2) Komedi (2) Maskara 7 (2) Mikon (2) Mingguan Wasilah (2) Novel (2) PRU 12 (2) Pantun (2) Pas (2) Pramoedya Ananta Toer (2) Sastera Underground (2) Seni Multimedia (2) Seni Persembahan (2) Soceity (2) Sosial (2) Tanggapan (2) Tidak dikategorikan (2) Travelog (2) Utusan Malaysia (2) Yahudi (2) lagu raya (2) pop (2) sam ahmad (2) 'Mantan' Sasterawan Negara (1) 10 x 10: 100 Minutes to Change the World (1) 127 Hours (1) 1957: Hati Malaya (1) 1998 (1) 300 (1) 9 Naga (1) A. Samad Said (1) AEI (1) Ahadiat Akashah (1) Al-Hidayah (1) Allah (1) Amerika Syarikat (1) Amiena Rev (1) Ana Raffali (1) Antara-Agama (1) Apuke (1) Aron Ralston (1) Ashutosh Gowarika (1) Astro (1) BERSIH (1) Balik Pulau (1) Berhala (1) Berita Harian (1) Bibir Dalam Pispot (1) Black 14 (1) Blog (1) Bumi Manusia (1) Bunyi (1) Chairil Anwar (1) Chamil Wariya (1) China (1) Cowboys and Aliens (1) DAP (1) Danny Boyle (1) Datuk (1) Democrat (1) Demonstrasi (1) Denias (1) Dominic Sena (1) Ezam Mohd Noor (1) Fikh Wanita (1) Free Burma (1) Fun (1) GAPENA (1) Gangguan Teksual (1) Gerak (1) Goenawan Mohamad (1) HINDRAF (1) Harry Potter (1) Hassan Abdul Karim (1) Hindi (1) Hollowood (1) Hollywood (1) Ibrani (1) Interview (1) Istana (1) James Franco (1) Jodha (1) KTBM (1) Kakiscript Playwright Competition (1) Karya (1) Katholik (1) Keadilan (1) Kebab Connection (1) Kebebasan Kreatif (1) Komputer (1) Komrad (1) Korea (1) Kristian (1) Kung Fu Dunk (1) La Nuit des Caligraphes (1) Makanan (1) Malaysian Book of Records (1) Mamat Khalid (1) Man Laksa (1) Manga (1) Manifesto (1) Mary Magdalena (1) Mat Sentul (1) Melaka (1) Merdeka (1) Muzik (1) Napoleon (1) Naskhah (1) Negaraku (1) Negarakuku (1) Nick Murphy (1) Nicolas Cage (1) Nopen (1) Novel bersiri (1) Obama (1) P. Ramlee (1) PKN (1) PKR (1) PRM (1) Pakatan (1) Pantoum (1) Papua (1) Pemanasan global (1) Pena (1) Pendidikan Khas (1) Penulis (1) Pilihan Raya (1) Politik Baru YB J (1) Potret (1) Prima (1) Progresive Folk (1) Promosi (1) Psikologi (1) Puchong (1) Pulau Pinang (1) Pushna (1) Rajinikhan (1) Rasuah (1) Razak Moheidin (1) Reformasi (1) Republican (1) Revolusi Kebudayaan (1) Ria (1) Rise of the Planet of the Apes (1) Rock (1) Ron Howard (1) Rudi Soedjarwo (1) Sarawak (1) Sasterawan Negara (1) Satira (1) Season of the Witch (1) Semusim di Neraka (1) Shah Rukh Khan (1) Shamsiah Mohd No (1) Sharif Shaa'ri (1) Shuffle (1) Siasah (1) Sivaji the Boss (1) Soekarno (1) Sosialis (1) SoundCloud (1) Subbudaya (1) Sucker Punch (1) Sukan (1) Syed Husin Ali (1) TV Realiti (1) Taiwan (1) Teman Muhasabah (1) The Da Vinvi Code (1) The Last Life in Universe (1) The Warlords (1) Turki (1) Umno (1) Umno PKR (1) Video (1) Wayang Pacak (1) Woman On Top (1) Xiu Xiu (1) Yeshoshafat Harkabi (1) Yusmadi Yusoff (1) Zack Snyder (1) Zaid Ibrahim (1) adiwira (1) arahkiri (1) berani bercinta (1) dendang buat ibu (1) duta solaris (1) entri yang pernah ditarik balik (1) gig (1) ingin jadi manusia (1) instrumental (1) iseekmusic (1) kotak hitam 5.0 (1) malay mail (1) moi last von (1) puisi jadi senjata (1) ramadan (1) satuarah (1) single (1) zulfikar samsuri (1)