IKLAN

Cari Blog Ini

Khamis, Mei 04, 2006

Kenang-kenangan kepada Lipas

Cerpen

Photobucket - Video and Image Hosting

EMME SMS minta saya jadi penulis yang hebat. Saya fikir, ini kali pertama dia beri cadangan yang bagus.

Semalam dia kemalangan, kaki bengkak, sakit, suka marah-marah trafik. Pagi ini dihantarnya bertalu-talu SMS buat saya, merengek seperti perempuan merengek. Seperti lipas. Seperti bulan yang sering miring.

Kami bertemu di Kem Tasik Meranti, kira-kira sebulan lalu, berkenalan, berjanji temu dan sama-sama dipanah Cupid, tepat ke jantung yang kiri. Saya telah tiga tahun membujang dan dia baru tujuh bulan ditinggalkan kekasih.

Tetapi dalam khayalan skizofrenia saya tidak begitu. Yang benarnya ialah: saya telah menikah dengan seorang perempuan Aceh cara diam-diam. Maisarah namanya. Ia nyata perempuan yang paling sempurna.

Gadis GAM (Gerakan Aceh Merdeka) itu, dia datang dalam keadaan saya yang paling bingung – menganggur, terhina, berdosa dan lupa berdoa. Saya menghabiskan sisa hidup yang paling bosan, sunyi, sepi, berabuk – seperti dongeng Sumer tentang orang mati. Begitu saya dihumban Tuhan. Begitu saya dikambus Tuhan dalam rumah sendiri.

Musim sial datang. Musim sial pergi
.
Emme, di sini bulan menjadi satu

Dan Maisarah datang lagi bersama cicak. Bulan terbelah tiga. Dua belahan yang sama, pada garis yang pernah diguris kuku Muhammad. Dan dari yang sebelah itu terserpih pula kepada dua bahagian.Saya kira 1/3 daripada keseluruhan separuh itu. Yang terkecil itulah sedang menuju ke bumi. Kuala Lumpur akan diberangus dalam satu hari. Dalam saat singkat inilah saya mencari cinta.

* * *

Telefon bimbit berbunyi. Satu lagi (lagu) Rasa Sayang. Pastinya pesanan dari Emme, perempuan gedik dan manja itu. Kami menikah hujung tahun ini. Asalnya mahu ke Golok. Tapi saya fikir (lagi), itu benar tidak rasional.

“Ya, benar, bulan gugur di Laut India,” tulis Emme. “Tsunami datang lagi. Cepat, perkemaskan bahtera. Kita akan belayar.”

“Aku bimbang, air (hujan) yang mempertemukan kita itulah juga yang akan memisahkan kita,” katanya lagi, dalam ruang telefon bimbit yang kaku dan sempit.

Tsunami yang dulu telah membawa pergi isteriku Maisarah. Satu hari selepas Natal yang bahagia, 26 Disember, 8:16 pagi, 57 saudaranya dihabisi. 4 Januari, selepas mengenang Isa yang terseksa, dia pulang, cuba menjejaki. Sejak Januari itulah kami tidak pernah bertemu lagi. Khabarnya ditangkap Tentera Nasional Indonesia (TNI). Tapi itu cuma khabar angin. Saya fikir, dia (kembali) menjelma lipas. Menjelma dari ketakutannya.

Dan saya menjadi tikus. Emme yang menjadi kucing itulah yang menangkap dan menggigit saya, rakus dengan gerahamnya. Saya fikir, dia jelmaan Dewa Kucing dengan sembilan nyawa. Kerana itu, tiap kali saya membunuhnya, dia selalu ada. Seperti selalu, menggigit-gigit.

Kakinya sakit. Tetapi gadis kecil ini terus saja mengajak saya melancong ke Bukit Fraser. Barangkali bertolak 1 Mei ini, sebelum para demonstran mazhab Kiri membakar jalan raya. 1 Mei bagi komunis, barangkali seperti hari raya (Aidil Fitri) bagi kita. Lebih tepat lagi, baik kita bandingkan dengan 10 Muharram, Hari Karbala bagi Syiah, sisi Islam yang lain, Hussin yang disimpati.

Yang ada ialah cinta. Dan ingatan-ingatan kepada Maisarah. Tentang Putri, lupakan dulu. Sumpah saya tidak akan cerita.

Sekarang saya menetap di Bangsar (lagi). Sunyi ketika kawan-kawan bangun kerja. Angin membawakan deru piano dari rumah sebelah. Mendengar suara piano seperti mendengar perempuan menangis. Demi Allah, saya kalah.

Kadang-kadang selepas bosan menaip, saya berhenti ambil angin depan beranda. Berfikir meletihkan saya. Namun saya terpaksa berfikir lagi. Bagaimana nanti jadinya bahtera saya? Tsunami baru akan melanda. Laut India umpama neraka. Bagaimana saya harus bermula? Dengan apakah bahtera itu akan dibina? Itulah yang terpaksa saya fikirkan.

Saya yakin mampu mengubahsui kereta Shah, teman bilik saya menumpang sini, jadi motobot. Dia masih tidur. Pukul sembilan dia akan bangun pergi kerja. Saya fikir, sekaranglah masanya. Jam 8 tepat. Masih bersisa satu jam.

Makanya saya menelefon Emme.

“Helo sayang. Bawakan tools,” kata saya.

Kemudian Putri.

“Helo sayang. Bawakan tools,” kata saya.

Kemudian Niza.

“Helo sayang. Bawakan tools,” kata saya.

Kemudian Nashdia.

“Helo sayang. Bawakan tools,” kata saya.

Kemudian Nam Phen.

“Helo sayang. Bawakan tools,” kata saya.

Kemudian si Jawa Alda, dari Bogor.

“Helo sayang. Bawakan tools,” kata saya.

Tetapi, melainkan Emme, “jahanam kau, panggillah tukang kayu!” kata mereka.

Inilah Khadijah saya yang memilih iman Muhammadnya. Mereka semua isteri dan anak-anak Noh yang celaka. Biar dibaham dan diperkosa air dari hujan; dan tsunami buas.

Emme datang tidak bertudung hari ini. Dengan jean dan cuma kemeja T, gaya ranggi yang tidak pernah saya lihat.

“Kerja-kerja lasak memang perlu pakai begini,” katanya.

Kami pun bertukang, bertukang dan terus bertukang. Hinga 8:18 pagi, hingga 8:43, hingga 8:47, hingga 8:54, hingga tepat jam sembilan, tidak kurang satu minit, tidak lebih satu minit.

Shah masih tidak turun. Dia tidur mati. Barangkali sebab semalam penat menghantar saya kepada Emme yang kemalangan.

Kami bertukang lagi. Terus bertukang hingga berhari-hari, berbulan-bulan, bertahun-tahun, berabad-abad, berkurun-kurun. Apabila saya naik semula di bilik (Emme pergi beli air kotak di Petronas), Shah sudah pun tiada. Dia meninggal dalam selimut. Yang tinggal hanya tulang-belulangnya yang sumbing. Barangkali digerit tikus.

Saya menangis kali yang ketiga. (Pertama ketika menonton Spiderman 2, kedua ketika menonton Xiu Xiu, filem besar dari China.)

Emme pulang. Dia pegang bahu, pelan-pelan merangkul kepala saya ke dadanya. Saya menangis seperti budak menangis; dan tsunami pun tiba.

Kami saya-sama dilambung ombak. Lebih malang, saya tidak tahu berenang. Emme datang menyelamatkan, menarik dan menghumban saya ke bahtera dengan kudrat perempuannya. Enjin terpaksa dihidupkan. Bahtera terpaksa ditarik sauhnya. Saya berlayar tanpa mempedulikan lambaian kekasih. Emme mati di depan-depan mata saya sendiri.

Benar, kesudahan begini sangat menyedihkan. Biar saya rekonstruki semula cerita ini. Yang tadi, sebagai sebuah akhir, biar disebut begini: Mereka pun berlayar di atas kapal dan terdampar di sebuah pulau. Di situ mereka berkahwin dan hidup bahagia hingga ke anak cucu.

Anda puas, sukakan happy ending?

* * *

Maaf, cerita begini tidak pernah tamat. Ada saja interupsi-interupsi lain. Maisarah ada datang. Sebelum kematian Shah. Sebelum kami memulakan kerja-kerja pertukangan. Musim sial asyik datang (ke mana Mikail pergi?).

Selepas makan, Shah pulang ke tempat kerja. Saya merokok, menanggalkan seluar dan menggigit berus gigi. Tetap juga memusing-musing di kerusi, merenung monitor seperti merenung (mata) Mona Lisa.

Matanya coklat, cuma sesekali ungu. Dalam mitos, diceritakan orang, barang siapa yang dapat melihat mata Mona yang ungu, dia akan memperolehi kuasa – mata yang telus, yang tidak lagi berhijap.

Demi Allah, saya melihatnya. Ia benar ungu. Bahkan warna ungu yang saya lihat ada dalam mata Emme juga. Saya melihat saya yang polos. Saya melihat Emme yang polos, walau dia kini di Gombak, asyik membelai kakinya yang itu-itu juga.

Saya turun memberus gigi dan saya kesunyian. Barangkali seperti sunyi Adam di syurga, tanpa Hawa, tanpa cinta.

Cuaca panas seperti musim sial yang dulu, ketika neraka didekatkan Tuhan dan tamat pada hari (fenomena) Ekuinos dijangka melanda.

Ia benar hari tolol 1 April seperti yang pernah tercatat.

Telefon bimbit berbunyi lagi. Lagi-lagi (lagu) Rasa Sayang. Saya fikir Emme. Atau juga Samad yang baru tiba dari Perlis tadi pagi. Dia kebosanan di Mid Valley.

Saya biarkan SMS yang masuk beberapa ketika. SMS tentang cinta tidak cukup banyak di angkasa, kerana itu langit lambat muram. Dan udara pun panas kerana dendam.

Saya ambil telefon, saya buka sms. Bukan dari Emme yang sering hadir dalam pakaian merah. Bukan Samad yang susah membingkaikan wacana. Ia Maisarah. Ia Maisarah.

“Air yang memisahkan kita jugalah yang akan mempertemukan kita,” tulisnya.

Di langit malaikat-malaikat menghujam kilatan. Orang Yunani percaya Zeus berang pada anaknya (biarlah Hercules mengurat dara jelita Helen di dunia). Kilatan itu dipanggil orang Hindu trisula, panahan Dewa Shiva.

Maisarah datang awal. Ketika asyik kami bertukang, dia memerhatikan senyap-senyap dari beranda. Dia menyanyi lagu (kumpulan) The Corrs, Butterfingers dan Gerhana Skacinta. Dia mengungkap dialog-dialog dari filem Dari Jemapoh ke Manchesteé yang saya suka, seolah-olah dia akan menakluk kembali jiwa saya.

Benar, saya bergegar. Tapi telus mata ini tidak berkesan untuk Maisarah. Dia perempuan yang lain, yang berani datang kepada saya walaupun dalam mimpi. Ia bukan lagi bunyi piono yang dilarikan angin dari rumah sebelah. Ia bukan seperti suara perempuan menangis. Ia benar-benar perempuan. Ia benar-benar menangis.

Dan anjing pun berteriak seperti kucing gatal. Mata Emme kelihatan ungu.

Dari jauh, ombak memecut seperti Watson Nyambek. Watson Nyambek membesar. Watson Nyambek bertambah menjadi ribuan Watson Nyambek. Watson Nyambek memecut lebih laju, menyamai Carl Lewis, menyamai motosikal Yamaha SS 110, menyamai kereta Kancil Emme, menyamai Satria Shah, menyamai Cheetah, paus, bunyi, cahaya, menyamai kaki malaikat-malaikat.

* * *

Maaf, kesudahan begini pun tidak menyenangkan.

Yang menariknya tentang idea ialah ia boleh dirombak berkali-kali. Yang menariknya tentang masa depan ialah ia boleh dirancang satu-persatu.


Yang sebenar ingin saya tulis sejak awal, tetapi tidak kesampaian ialah: Orang sesat tidak kritis dan orang kritis tidak sesat.

Itu isi satu SMS yang baru saya terima dari Wan tadi petang.

“Seorang pencari ialah seorang yang bisa singgah di mana-mana. Ia menolak sesat. Selain berfikir, kau kena banyak baca campur diskusi,” tulisnya, ketika imam hampir di mimbar Jumaat.

“Jakarta tidak panas. Biasa-biasa saja,” katanya lagi.

Dalam kamar kecil ini tidak ada bunyi lipas atau cicak atau kucing. Saya merindukan seekor lipas yang mati di bucu katil, di kampung kecil di Perlis. Saya merindukan emak yang gemar mengumpan cicak dengan sisa nasi yang dicampur racun cap Tengkorak.

Kerinduan begini melupakan saya pada Emme dan Maisarah. Mereka ingin bercinta tetapi tidak pernah memahami saya. Kerana itu saya datang kepada kawan-kawan, sambil mempercaya kata Shakespeare dalam Macbeth, pernah dipetik wartawan Helme Hanafi dalam sebuah artikelnya dalam samizat Onani Sendiri yang sama-sama kami terbit suka-suka, “seorang kekasih lebih disayangi melebihi 400 orang saudara.”

Begitulah romantiknya si pujangga Inggeris ini. Tetapi, yang sesungguhnya benar ialah, seorang saudaralah yang lebih disayangi melebihi 500 orang kekasih.

Sebelum ombak tiba, sebelum hujan, saya pun duduk depan komputer lagi, merangka-rangka masa yang tak tiba.

Dan saya tidak terdesak untuk menikah.

IKLAN

Terdapat ralat dalam alat ini

Label

Personal (47) Filem (42) Politik (32) Budaya (21) Sastera (21) Kreatif (16) Agama (15) Blogzine republik KATA (14) Artikel (11) Buku (11) Jalan Telawi (11) Meor Yusof Aziddin (11) Pekak (11) Pendidikan (9) Pencerahan (8) Sejarah (8) Cinta (7) Kewartawanan (7) Lagu (7) Sajak (7) Bahasa (6) Belasungkawa (6) Jimadie Shah Othman (6) Media (6) Teater (6) Blog Foto (5) Deaf Cultures (5) Fiksyen (5) MySL (5) Subversif (5) Anwar Ibrahim (4) Foto (4) Islam (4) Komuniti Pekak (4) Lao Zi (4) Maskara (4) Puisi (4) Tao (4) society (4) Adi Putra (3) Bahasa Isyarat (3) Carutan (3) Cerpen (3) Folk (3) Kemanusiaan (3) Metafizik (3) Rumah Pena (3) A Samad Ismail (2) Ahmad Kamal Abu Bakar (2) Aidil Fitri (2) Amin Iskandar (2) Anugerah Khatulistiwa (2) BN Perikatan (2) Catatan Pinggir (2) Daiyan Trisha (2) Demo (2) Drama (2) Etika (2) Gambar (2) Hamsad Rangkuti (2) Ili Farhana (2) Islam dan Pluralisme (2) Jepun (2) Karam Sikh (2) Komedi (2) Maskara 7 (2) Mikon (2) Mingguan Wasilah (2) Novel (2) PRU 12 (2) Pantun (2) Pas (2) Pramoedya Ananta Toer (2) Sastera Underground (2) Seni Multimedia (2) Seni Persembahan (2) Soceity (2) Sosial (2) Tanggapan (2) Tidak dikategorikan (2) Travelog (2) Utusan Malaysia (2) Yahudi (2) lagu raya (2) pop (2) sam ahmad (2) 'Mantan' Sasterawan Negara (1) 10 x 10: 100 Minutes to Change the World (1) 127 Hours (1) 1957: Hati Malaya (1) 1998 (1) 300 (1) 9 Naga (1) A. Samad Said (1) AEI (1) Ahadiat Akashah (1) Al-Hidayah (1) Allah (1) Amerika Syarikat (1) Amiena Rev (1) Ana Raffali (1) Antara-Agama (1) Apuke (1) Aron Ralston (1) Ashutosh Gowarika (1) Astro (1) BERSIH (1) Balik Pulau (1) Berhala (1) Berita Harian (1) Bibir Dalam Pispot (1) Black 14 (1) Blog (1) Bumi Manusia (1) Bunyi (1) Chairil Anwar (1) Chamil Wariya (1) China (1) Cowboys and Aliens (1) DAP (1) Danny Boyle (1) Datuk (1) Democrat (1) Demonstrasi (1) Denias (1) Dominic Sena (1) Ezam Mohd Noor (1) Fikh Wanita (1) Free Burma (1) Fun (1) GAPENA (1) Gangguan Teksual (1) Gerak (1) Goenawan Mohamad (1) HINDRAF (1) Harry Potter (1) Hassan Abdul Karim (1) Hindi (1) Hollowood (1) Hollywood (1) Ibrani (1) Interview (1) Istana (1) James Franco (1) Jodha (1) KTBM (1) Kakiscript Playwright Competition (1) Karya (1) Katholik (1) Keadilan (1) Kebab Connection (1) Kebebasan Kreatif (1) Komputer (1) Komrad (1) Korea (1) Kristian (1) Kung Fu Dunk (1) La Nuit des Caligraphes (1) Makanan (1) Malaysian Book of Records (1) Mamat Khalid (1) Man Laksa (1) Manga (1) Manifesto (1) Mary Magdalena (1) Mat Sentul (1) Melaka (1) Merdeka (1) Muzik (1) Napoleon (1) Naskhah (1) Negaraku (1) Negarakuku (1) Nick Murphy (1) Nicolas Cage (1) Nopen (1) Novel bersiri (1) Obama (1) P. Ramlee (1) PKN (1) PKR (1) PRM (1) Pakatan (1) Pantoum (1) Papua (1) Pemanasan global (1) Pena (1) Pendidikan Khas (1) Penulis (1) Pilihan Raya (1) Politik Baru YB J (1) Potret (1) Prima (1) Progresive Folk (1) Promosi (1) Psikologi (1) Puchong (1) Pulau Pinang (1) Pushna (1) Rajinikhan (1) Rasuah (1) Razak Moheidin (1) Reformasi (1) Republican (1) Revolusi Kebudayaan (1) Ria (1) Rise of the Planet of the Apes (1) Rock (1) Ron Howard (1) Rudi Soedjarwo (1) Sarawak (1) Sasterawan Negara (1) Satira (1) Season of the Witch (1) Semusim di Neraka (1) Shah Rukh Khan (1) Shamsiah Mohd No (1) Sharif Shaa'ri (1) Shuffle (1) Siasah (1) Sivaji the Boss (1) Soekarno (1) Sosialis (1) SoundCloud (1) Subbudaya (1) Sucker Punch (1) Sukan (1) Syed Husin Ali (1) TV Realiti (1) Taiwan (1) Teman Muhasabah (1) The Da Vinvi Code (1) The Last Life in Universe (1) The Warlords (1) Turki (1) Umno (1) Umno PKR (1) Video (1) Wayang Pacak (1) Woman On Top (1) Xiu Xiu (1) Yeshoshafat Harkabi (1) Yusmadi Yusoff (1) Zack Snyder (1) Zaid Ibrahim (1) adiwira (1) arahkiri (1) berani bercinta (1) dendang buat ibu (1) duta solaris (1) entri yang pernah ditarik balik (1) gig (1) ingin jadi manusia (1) instrumental (1) iseekmusic (1) kotak hitam 5.0 (1) malay mail (1) moi last von (1) puisi jadi senjata (1) ramadan (1) satuarah (1) single (1) zulfikar samsuri (1)