IKLAN

Cari Blog Ini

Jumaat, Januari 27, 2006

Sastera Mesti Bebas, Mandiri dan Indipenden

JIMADIE SHAH OTHMAN atau nama penuhnya Mohd. Jimadie Shah Othman merupakan antara penulis muda dari gelombang kedua kelompok generasi baru yang agak aktif dipentas sastera tanahair. Dilahirkan pada 12 september 1980 di Kangar, Perlis. Menulis dalam pelbagai genre; - skrip drama, cerpen, sajak dan juga essei-essei sastera, beliau merupakan graduan lulusan Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Pernah mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustakan (DBP). Cerpen beliau pernah memenangi hadiah Formula Malaysia bagi kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT). Telah menerbitkan 3 naskhah antologi sajak bersama iaitu “Mitos Sperma Amerika”, “Onani Sendiri”, dan “Jalan Esfahan” secara cetakan Photostat. Ikuti wawancara wartawan eSastera.com, MOHD. DAHRI ZAKARIA bersama beliau baru-baru ini.


Bila saudara mula menulis?

Minat-minat menulis waktu sekolah menengah. Seperti biasa, saya juga mengalami pengalaman peribadi yang tidak mudah. Bila dah besar, baru karya boleh keluar di media.

Bila tu?

Masuk matrikulasi. Jumpa Anjan Anzana, berkawan baik dengan Fakrurazi Mahmud. Jadi avid dengan sastera. Jadi gila dengan sastera. Sama-sama kongsi minat. Kemudian belajar-belajar baca sajak. Kemudian sambung belajar di Kuala Lumpur, masuk MPR. Waktu tu tu mula jumpa dengan penulis-penulis baru, yang, terlalu peramah sebenarnya.

Saudara pernah mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Apa pentingnya program itu bagi saudara dan sejauh mana ia boleh membantu dalam penghasilan karya-karya besar?

Saya percaya, karya-karya besar tidak lahir dari bengkel dan seminar; sebaliknya dari pengalaman, pemikiran dan renungan intelektual, dan kreatif dengan sungguh-sungguh. Tentang MPR, sejujurnya saya rasa ia memberi pendedahan yang bagus dan berguna. Terutamanya bagi penulis yang baru-baru belajar nak pegang pen. Ia memberi satu kesan lingkungan, semacam satu titik kecil antara banyak titik yang membentuk satu imej besar sastera Malaysia . Di situ saya belajar melihat sastera sejernih mungkin. Keluar dari MPR, seni jadi fenomena. Kami berlumba-lumba menerbitkan karya di media. Itu seawalnyalah, maksud saya.

Saudara menyentuh tentang intelektual. Pada pandangan saudara sejauh mana nilai intelektual itu telah digunakan dalam banyak karya-karya sastera di negara kita sekarang ini?

Sejujurnya, saya tidak nampak kegilaan yang sangat serius ke arah itu. Contohnya, kita masih tidak bersedia untuk dikritik, dalam apa soal sekali pun. Bukan semata-mata sastera. Dan tiap kritik akan dimomok-momokkan dengan istilah “kritikan membina” atau “kritikan membunuh”. Walhal kritik ialah kritik. Tak jauh bezanya dengan “kutuk”. Iya, maksud saya harus merenung “kejahatan” subjek, atau objek sedalam mungkin. Dan lebih malah apabila pengkritik cenderung dilihat sebagai penjahat. Ada orang panggil “budak nakal sastera”. Ini malang sekali. Sebab, saya percaya, tanpa kritik, sastera kita tidak akan berkembang. Ini budaya intelektual yang paling asas.

Berbalik kepada nilai intelektual dalam karya sastera kita, rata-rata saya kita masih di tahap kulit. Sastera kita tidak akses dengan perkembangan semasa globalnya, apa lagi berinteraksi dan memberi pandang. Kita kenal, secara mentah, intelektual, seniman, sasterawan dunia – yang dapat Hadiah Nobel, Hadiah Pulitzer tetapi dunia itu, dunia idea itu, tidak mengenal pun kita. Orang lebih kenal Malaysia dengan susu getah dan kelapa sawitnya. Dengan Proton dan KLCC-nya. Tetapi orang tidak kenal Sasterawan Negara kita yang sembilan itu.

Banyak penyakit ini, pengkarya lebih berminat pada ‘cerita-cerita seluar dalam’ pengkarya daripada melihat soal idea dan pemikiran. Maksud saya cerita-cerita peribadi penulis, gossip penulis. Kita lebih suka melihat siapa bergaduh dengan siapa, penulis tu couple dengan siapa, penulis sastera Islam itu ada skandal seks di luar Negara, misalnya. Itu perangkap yang kita bina sendiri. Ini nonsense. Dunia sekarang tidak melihat orang yang tidak pandai. Itu semua dialog orang remeh. Langsung tak intelek.

Dalam Diskusi Karya Eceran anjuran Biro Penulis PENA di Rumah PENA lalu, salah seorang panelnya, SM Zakir, menyebut kebanyakan penulis muda sekarang hanya banyak bersikap ‘copy and paste’ dalam memberi hujah dalam setiap karya mereka. Beliau waktu itu merujuk kepada cerpen saudara, Teks. Apa komen saudara?

Semua orang tiru dan tampal. Saya tidak faham maksudnya, dan soalan saudara.

Maksud beliau, kebanyakan penulis muda sekarang mempunyai keinginan yang tinggi untuk bercakap tentang isu-isu besar lewat falsafah dan juga pemikiran, dan barangkali intelektualiti. Malangnya mereka ini sebenarnya hanya bercakap pada peringkat kulit atau permukaan saja, dan tidak dapat mengupas sesuatu isu secara mendalam dan luas.

Melihat sastera dan dunia dari sisi-sisi lain, yang tidak selalu, itu bagus. Yang tidak bagusnya, tidak faham. Jadi wujud budaya burung kakak tua. Kedua, tebal atau nipisnya garapannya di kertas itu soal yang lain. Yang penting sama ada idea itu diletakkan dengan sedar atau tidak. Untuk menunjukkan dia faham, tak perlu ‘meng-essei-kan’ sesebuah cerpen. Seterusnya, kita harus melihat tampalan idea (yang sedar) sebagai satu perkembangan, atau naratif intelektual sebuah cerita.

Saya percaya, ini tidak dimaksudkan oleh Zakir. Barangkali dia maksudkan dengan fenomena burung kakak tua tadi. Ini saya faham dan saya akui sungguh-sungguh pengaruh jurnalisme dalam sastera hingga menjadikan sastera kian keras. Harus diingat, asas cerpen itu cerita. Kemudian, sastera itu kata Ibn. Khaldun, keindahan/estetika asasnya. Kemudian baru idea. Itu saya percaya.

Tentang Teks, itu konflik kompleksiti falsafah dan teologi yang dilihat secara bebas dari sudut pandang seorang pelajar biasa. Ia memang tidak menyarankan penyelesaian atau apa-apa. Saya berharap cuba dunia dari sisi-sisi lain. Melihat bahawa hidup tidak ‘sesimple’ yang kita bayangkan. Hidup lebih dari sekadar hitam dan putih, kanan atau kiri.

Bagaimana pula dengan sastera Islam?

Bagi saya itu konsep yang tak masak atau barangkali tak sempat masak. Sejujurnya saya tidak faham. Sebab, serasa saya, sastera melampaui batas teologi. Ia lebih daripada itu. Barangkali lebih universal sifatnya, milik semua kelompok dan entiti tak kira apa agama pun. Sastera dan budaya adalah sudut pandang lain, ‘bahasa’ lain kepada kehidupan, selain agama, dan kekuasaan. Bukan menentang, cuma saya tidak faham. Benar-benar tak faham.

Maksud saudara?

Saya melihat sastera dari sudut lain, yang universal sifatnya, yang manusiawi. Sastera tidak harus dipandang dari kacamata agama. Jalur tradisinya berbeza. Sastera yang diacuankan oleh pandangan agama atau mana-mana faham moral hakikatnya propaganda. Sastera bagi saya hanya satu dari pelbagai puzzle lain yang melengkapkan kehidupan ini. Sebab, sastera itu subjektif sifatnya, berwarna-warni, bukan hitam-putih, halal-haram semata-mata, mengikut pandangan tipikal pengikut agama. Sastera sebenarnya milik semua bangsa, semua kelompok. Ia bebas sepenuhnya. Ia menolak tunduk pada apa pun, biarpun agama, termasuk tradisi-ortodoksi dan kekuasaan.

Adakah ini bermakna dalam dunia sastera kita sekarang ini wujud masalah pemetakan yang melampau terhadap karya-karya sastera, sehingga memberi kesan kepada penerimaannya kepada masyarakat umum?

Soal pemetakan karya, saya sangat positif. Maknanya saya sangat tidak selesa dengan sastera satu mazhab, satu aliran; seperti saya tidak selesa dengan Islam satu mazhab. Sebab, tanpa aliran dan jalur yang pelbagai, sesuatu itu tidak akan berkembang dan barangkali terus pupus. Di Malaysia, sekarang ini, pada saya kita masih ortodoks. Variasinya tidak jelas, tidak begitu meriah. Petak-petak dibina, selalunya atas dasar kronisme, bukan aliran. Tidak hairanlah karya kita asyik-asyik membicarakan benda yang sama, dari sudut pandang yang terlalu klise. Fenomena ini akhirnya merugikan pasaran karya seni. Masyarakat, sebagai “pembeli” menuntut choice, menuntut pilihan. Keadaan ini bukan saja anti seni. Tetapi anti ekonomi juga.

Saudara kata pemetakan sangat positif jika wujud dinegara kita. Lupakan soal aliran. Masalahnya hal itu memang telah lama wujud pun ditempat kita. Sebab itu dalam sastera kita, kita boleh jumpa “sastera popular”, “sastera picisan”, “sastera islam”, “sastera underground”, “sastera berat” dan beberapa lagi. Bagaimana dengan ini?

Pemetakan atas dasar aliran memang bagus, tapi kalau soal medium (karya underground), soal penerimaan (karya popular), Islam atau tidak, ringan atau berat, itu bukan masalah sastera. Ia soal tanggapan dan keberadaan sesuatu karya sastera dalam lingkungannya. Sebenarnya ia mengelirukan sebab pemetakan ini sesetengahnya tidak dibina atas dasar yang kuat. Tidak melalui wacana dan kritik yang mendalam dan rencam, seperti yang saya tekankan pada awalnya, keperluan kritik sebagai asas meningkatkan mutu karya seni. Jadi, dalam kesamaran inilah sastera kita dipaksakan. Ini sebetulnya soal cap, soal jenama dan label. Sebotol kicap, bubuhlah cap apa pun tetap sebotol kicap.

Tiga naskhah antologi sajak saudara sebelum ini banyak mengenengah isu seks. Dua naskhah terawal contohnya, “Mitos Sperma Amerika” dan “Onani Sendiri” yang diterbitkan secara ‘underground’ bersama beberapa orang penulis muda, agak ketara dan jelas tentang isu ini. Adakah wajar isu ini diketengahkan secara terbuka sebagai memberi moral kepada pembaca?

Salah, “Mitos Sperma Amerika” bukan isu seks, tetapi perang. Paparan seksualiti, itu hanya soal stail, soal kulit, bukan isi. Apatah lagi bagi sebuah sajak yang mempunyai kesan lapis makna. Begitu juga dengan “Onani Sendiri”, ia bercerita dan mengambil tema yang pelbagai. Soalnya tetap bukan seks. Kami melihat seksualiti dalam konteks yang lain, tidak sekadar kelucahan dan lambang kerendahan hati nurani. Ia lebih daripada itu dan sebetulnya tak ada kaitan dengan moral. Saya tidak menyarankan moral. Saya mahu bikin seni. Saya percaya kata “moral” hanya momokan nakal kelompok-kelompok tertentu yang berkepentingan, dengan tujuan memesongkan perhatian daripada pokok perbincangan. Seperti juga dengan kata-kata “Nilai-Nilai Timur”, kenapa tiba-tiba wujud istilah ini, sedangkan kita sedang berwacana tentang kekejaman perang? Adakah ini releven? Tentang masalah peristilahan ini, saya cadangkan sasterawan-sasterawan kita kembali belajar tentang semiotic.

Beralih ke kegiatan. Saudara agak aktif dengan Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT), dan sekarang dengan Gerak Sastera. Orang melihat kedua-duanya sebagai jalan alternative kepada persatuan sastera lain yang sedia ada. Barangkali pengimbang kepada persatuan yang sedia ada. Apa komen saudara?

Saya bersama kedua-duanya dengan sangat selesa. Saya menolak monopoli kelompok tertentu dalam sastera dan saya percaya sastera itu khazanah bersama. Tentunya tidak ada masalah kami mengambil bahagian secara aktif dalam bidang yang kami yakini dan cintai ini. Kelahiran kumpulan-kumpulan baru bukan untuk menyaingi mana-mana pihak, tapi sekadar memeriahkan dan menerokai jalur-jalur baru sastera Malaysia. Dengan KsJT kami cuba mempromosikan kebebasan kreatif dan wacana rancak seni budaya. Dengan Gerak Sastera kami mempromosikan penulis-penulis baru. Barangkali boleh dikatakan pengimbang kepada persatuan yang sedia ada. Lebih tepat lagi, kita sebenarnya saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Kita ke karya sastera di Malaysia sekarang. Apa pandangan saudara? Maksud saya, tentang penulis, karyanya, serta penerimaan khalayak terhadapnya.

Pertama, penulis kita kena berjiwa besar. Mesti bersaing di peringkat global. Kalau orang bercakap pasal karya pascamoden misalnya, kita tidak boleh lagi jadi penerima idea, sebaliknya jadi penyumbang dalam wacana besar dunia. Saya kira kita masih tertinggal. Hentikanlah diasyikkan dengan “cerita-cerita seluar dalam” pengkarya. Kedua, terimalah globalisai sebagai kenyataan kita. Pesimis dan prejudis terhadapnya tidak akan membawa kita ke mana-mana. Globalisasi tetap akan jadi fenomena walau apa pun sikap kita. Seniman kita harus mengambil sebanyak mungkin peluang daripada arus ini. Inilah masanya untuk kita berkongsi idea dengan seniman dari negara-negara lain yang mempunyai sejarah seni dan intelektual yang usianya ratusan tahun. Sudah tiba masanya kita membuka jendela-jendela yang menghubungkan kita dengan tamadun dan kebudayaan luar dengan sejujur mungkin, dan rupanya, oh, dunia ini memang benar-benar bulat. Di sana ada khalayak yang lebih besar. Itu lebih baik dari cuba ‘mengurat’ khalayak kita yang ‘secupak’ itu, yang tak makan-makan saman.

Bagaimana hubungan yang saudara nampak wujud antara kelompok penulis muda dan lama? Ada kesinambungan tak?

Ada, dan tidak ada. Tetapi saya tidak rasa mereka bersama. Masih saling prejudis kiranya. Kadang-kadang semacam ada perang dingin misalnya. Ini biasa saya kira, dalam setiap ruang dan zaman, akan sentiasa ada pergelutan semacam ini. Contohnya kes Zainal Rashid Ahmad lawan Atondra di Rumah PENA. Dalam hal ini saya rasa banyak masalah berpunca daripada golongan lama yang gagal pada awal usia muda mereka atau masih diasyikkan dengan romantisme lama. Selain itu, ada juga penulis muda yang tua sebelum masanya, tidak ghairah, bertenaga, gelojoh dan berani. Ini satu lagi penyakit. Dalam banyak hal saya sangat pro pada anak muda.

Sedikit masa lalu saudara agak aktif dengan sastera siber. Tapi sejak akhir-akhir ini penglibatan saudara mula berkurangan. Apa pandangan saudara tentang sastera siber ini?

Lebih banyak medium, lebih banyak ruang. Tidak ada salahnya, malah saya kira sastera siber mesti dimajukan agar setaraf dengan sastera yang bercetak. Masalah utamanya, berlaku lambakan karya yang tidak berkualiti. Walau bagaimana pun, saya percaya sastera siber ada potensi dan masa depan yang cukup besar. Tetapi buat masa ini, orang lebih selesa cara konvensional, cara kertas.

Dunia sastera kita juga selalunya dikaitkan dengan dunia politik. Razali Endun contohnya, kembali menulis setelah rehat bertahun-tahun hanya kerana kesan daripada peristiwa dalam politik negara. Dua perkara yang saya hendak saudara huraikan di sini. Pertama, keperluan dan pengaruh atau fungsi karya sastera dalam dunia politik. Dan kedua politik dalam dunia sastera.

Banyak karya sastera yang terilham dari alam politik. Sebelum merdeka, sastera menjadi alat memperjuangkan kemerdekaan. Selepas 1998, Shahnon melahirkan Shit. Sabelumnya lagi ada Telok Gong membela petani miskin, Keranda 152 memperjuangkan isu bahasa dan Usman Awang menulis sajak-sajak tentang mogok Utusan yang kemudiannya dibukukan dalam antologi Duri dan Api. Dalam banyak kes, sastera cuba mengkoreksi kegawatan dunia politik, menjadi alat protes dan pembelaan kepada orang-orang yang tidak dominan. Sekurang-kurangnya menyarankan pandangan penulis tentang kegawatan itu. Banyak karya sastera ditulis kesan dari keberadaan penulis dalam lingkungannya. Barangkali sebab pola fikir masyarakat kita yang terlalu obsess dengan politik. Tak ada perkara yang lebih menarik dari politik. Orang bercakap tentang politik di mana-mana, jadi tidak hairanlah kalau subjek utama pengkaryaan masih soal politik. Tetapi untuk menjadikan sastera sebagai alat politik, terutamanya politik sempit kepartian saya tidak setuju. Sastera mesti bebas dan mandiri. Ia mewakili sudut pandang lain masyarakat yang barangkali jauh lebih telus dan luwes dari pandangan politik.

Kedua, tentang hubungan politik dan sastera, awal sekali mesti ada usaha melepaskan diri dari kekangan-kekangan kekuasaan dan ‘agama’ yang tidak munasabah. Sastera harus dibiarkan mandiri sendiri. Pertama sekali ruang ekspresi kreatif kita mesti ditolak sejauh mungkin. Sebab yang selalu menekan kita ialah anasir dari politik dan ortodoksi-agama-tradisi yang saya sebutkan tadi. Kebebasan kreatif harus dianggap sebagai satu tuntutan hak asasi manusia yang dilindungi PBB.

Tentang politik dalam dunia sastera, jangan sampai lupa pada ‘work’. Itu soal utama. Tidak ada yang negatifnya, kecuali penyakit “politik dalam dunia politik” berjangkit masuk dalam “politik dalam dunia seni”.

Ok, sebagai kesimpulan daripada saudara, untuk dunia sastera kita. Atau juga barangkali untuk penulis muda seperti saudara.

Saya harapkan sastera kita yang lebih daripada ini – sastera yang memberi alternative kepada politik dan agama. Sastera yang bebas sepenuhnya, mandiri dan indipenden. Untuk itu sasterawan kita, terutamanya yang muda selain harus sungguh-sungguh merpertingkatkan mutu karya dan bersaing di peringkat globalnya, harus juga memperkasakan ruang bersama sastera kita daripada manipulasi dua faktor awal yang saya sebutkan awal tadi iaitu politik dan agama. Saya percaya selain berkarya dan berkarya, tembok sastera kita mesti dijaga juga. Jika tidak, kita tidak boleh berkarya dengan selesa, ekspresi kreatif akan terbantut, pulangan ekonomi selalu tidak menjanjikan. Sebagai penulis baru, saya harapkan tenaga orang muda, keghairahan orang muda, gelojohnya, sikap terburu-burunya, kegilaannya dapat mencorakkan wajah baru sastera Malaysia. Kehadiran budak-budak baru sastera mohon tidak dibuli dan dikotak-kotakkan dalam ruang tertentu hingga tidak mampu melihat dunia luas yang sebenar.


• WAWANCARA TAMU > 2005 > Sastera Mesti Bebas, Mandiri dan Indipenden - Jimadie Shah Othman disumbangkan pada Sabtu, 9 April 2005 4:17:27 AM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 18 April 2005 1:06:43 PM oleh dahrie


Sumber: Berita dan Bicara Sastera

Selasa, Januari 24, 2006

Sasterawan Muda Berhimpun di Penghujung Asia - Edisi Dua

Oleh Salman Sulaiman

"...Sesi itu menjadi gamat dengan kenyataan Jimadie yang penuh kontroversi. Di belakang, Kak Azah dari Utusan beristighfar panjang,"Mengucap," katanya, "ingat Tuhan." Faisal Tehrani bangun, keluar meninggalkan dewan pembentangan. Khairul Nizam sempat mencuit saya untuk ikut serta beredar. Tapi, saya kekal duduk juga..."


Tiba di Kukup Golf Resort agak lewat, terlepas daripada jadual asal yang telah ditetapkan pihak penganjur. Terus saja kami melangkah ke dewan taklimat, saya dan Norzailani memilih kerusi paling hadapan takut-takut kami tertidur pula kalau duduk di belakang - maklum saja dengan tubuh letih lesu mengharungi perjalanan panjang ke Pontian. Dari KL ke Pontian, jauhnya hampir-hampir mencecah perjalanan Machang ke Kuala Lumpur sebelumnya. Fuh, jauh berjalan lenguh lutut - seperti diungkapkan dalam peribahasa versi budak-budak.

Semasa berucap dengan beberapa pemberitahuan penting kepada para peserta, En. Saleeh Rahamad sempat pula menyebut tentang sebab-sebab kelewatan para peserta tiba di Kukup Golf Resort hari itu dengan menambah, "Bas rosaklah, apalah." Dapat juga saya rasakan, tiada lain sindiran tajam itu rupanya untuk kami berempat - saya, Norzailani, Rozais Al-Anamy dan Zanazanzaly. Kerana dek kelewatan kamilah, perjalanan peserta yang lain juga ikut tertangguh. Maaf ya, kami ni bukannya berpacu sendiri, sekadar menumpang ke mari. Maaf, sekali lagi.

Usai taklimat, terus saja dengan penuh kepenatan kami mendengar ucapan oleh beberapa pembentang dalam sidang pertama hari itu di bawah judul - Idealisme & Gerakan Penulis Muda Serantau yang dibicarakan oleh Shamsudin Othman (Malaysia), Viddy AD Daery (Indonesia), Zefri Ariff (Brunei) dan Abd Razak Panaemale dari Selatan Thailand yang berpengerusikan En. Rusdi Abdul Rahman - wakil DBP Wilayah Selatan.

Jam enam lebih hari pertama, sehabis sesi awal siang itu; selesai melapor diri dan mendaftar penginapan dan kumpulan, saya sempat melihat kelibat sifu - Faisal Tehrani bersama teman sekuliah MPR tahun 2000 - Khairul Nizam Abdul Raub. Saya menghulur salam, lama benar kami tak jumpa sebetulnya.

Melihat saya berambut pendek tanpa kumis dan janggut, Faisal Tehrani menegur, - "Kau masuk kadet eh?". Saya membalas, "Isk, tak adalah." Sempat juga saya duduk di sebelahnya dan dia dua tiga kali melurut belakang saya, lantas saya seperti meminta, "Hah eloklah, biar masuk berkat banyak-banyak," seingat saya, lebih kurang begitulah bunyinya pinta saya.

Malam - majlis perasmian PPMN 2005. Saya tak berkesempatan memilih meja makan di bahagian dalam dewan. Kami sekadar menjamu selera di luar, melilau-lilau sekejap melihat apa yang dipersembahkan di atas pentas di bahagian dalam. Kak Ritah Yahya (Pen. Editor Tunas Cipta) minta duduk di meja kami, sebelah saya. Sempat juga saya tanyakan tentang puisi yang saya hantar ke Tunas Cipta. Katanya, sudah diserahkan kepada Ketua Editor. Sportingnya Kak Ritah kali ini, dia datang sebagai peserta - bukan selaku pembentang atau urusetia. Jawatannya di DBP itu, saya kira disimpan seketika dua tiga hari ini di dalam saku. Atau disangkut buat sementara di meja kerjanya di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majlis malam itu bertele-tele juga dengan macam-macam tarian. Saya ke tepi kolam yang dihias pancutan air yang cantik - berbicara dengan Jimadie dan teman-teman yang lain di Gerak Sastera, Mohd Zainuddin dan Kamaludin Tahir. Siti Arina Razali datang ikut serta. Gadis dari Pasir Mas ini ikut menyumbangkan empat buah puisinya dalam antologi selenggaraan teman-teman saya di Gerak Sastera - Bayi Kota Berahi. Dia juga merupakan penuntut di UIA. "Elok sangatlah," saya berkata di dalam hati, menambah koleksi penulis dari UIA yang sedia ada. Bangga juga, sebab sudah dua orang dari Kelantan - dia dan Nasriah Abdul Salam atau lebih dikenali dengan Nasa Natrah sebelumnya. Yang lain terdahulu, tentu saja - Siti Hajar Mohd Zaki, Ghafirah Idris dan Huda Said. Juga sahabat MPR saya Wan Nor Al-Tasnim Saad (hati-hati, penulis ini dari kaum Adam, bukan perempuan, saya sekadar mengingatkan, kerana mula-mula saya sendiri menyangka dia perempuan). Atau saja ramai lagi yang lain dari UIA, tapi saya saja yang kurang mengetahui.

Diikuti pula dengan persembahan para peserta, tapi saya tidak ikut sama - sekadar mendengar-dengar saja. Saya tidak terus balik kemudiannya, diajak berbual oleh Ria Asmira. Penulis yang ini pun lelaki juga. Seingat saya ramai juga penulis lelaki yang memakai nama pena seperti perempuan. Entah mengapa, saya pun tak tahu, cuba-cubalah tanyakan mereka sendiri. Itupun kalau-kalau mereka mahu memberitahu.

Mulanya, saya ditempatkan di banglo, tinggal berenam sebilik bersama anak didik Cikgu Shamsudin Othman. Kebetulan, Nazim Mohd Subari berseorang di Villa. Saya bersama WB Rendra berpindah malam itu juga ke biliknya yang nampaknya lebih selesa. Elok juga, kami tinggal bertiga - saya, WB Rendra dan Nazim Mohd Subari. Kami ini sama-sama menulis puisi, rasanya lebih serasi. Nazim, pertama kali saya kenali di alam maya. Sebelum ini, sekadar sempat dikenal di alam pena. Lebih cantik, Rendra adalah kenalan lama saya di Bengkel KEPEZI 2002. Lama sungguh tak jumpa, banyaklah yang keluar dimulut untuk dibicara.

Esoknya, hari kedua di PPMN 2005 - sabtu, 4 Jun 2005. Sidang sebelah pagi berjalan lancar dengan Ucap Utama oleh Datuk Baha Zain yang dipengerusikan oleh Dr Gunawan Mahmood. Dibahas pula kemudiannya oleh Prof Madya Zainal Abidin Borhan, Sdr Mohamad Saleeh Rahamad dan Sdr Jaafar Rahim.

Sidang "Gerakan & Masa Depan Penulis Muda" berlangsung dalam dua sesi berlainan. Saya bersama Faisal Tehrani dan Khairul Nizam memutuskan mendengar sesi yang disertai Jimadie sebagai pemakalah. Nak dengar juga, apa yang bakal dibebelkan oleh teman saya ini. Saya memandang ke sebelah, Faisal Tehrani yang tadinya membelek buku, khusyuk mendengar pembentangan Jimadie, lantas menutup buku. Mahu juga dia tahu, apa yang bakal dibebelkan oleh anak muridnya itu.

Sesi itu menjadi gamat dengan kenyataan Jimadie yang penuh kontroversi. Di belakang, Kak Azah dari Utusan beristighfar panjang,"Mengucap," katanya, "ingat Tuhan." Faisal Tehrani bangun, keluar meninggalkan dewan pembentangan. Khairul Nizam sempat mencuit saya untuk ikut serta beredar. Tapi, saya kekal duduk juga. Tetap keras kepala untuk terus mendengar apa lagi yang akan 'dilalutkan' Jimadie. Kontroversi ini kemudiannya terus berlarutan sampai ke gerai makan di bucu DBP KL, selepas kami pulang dari Pontian - bising dibicarakan oleh teman-teman wartawan dan para pegawai Dewan, Dewan Bahasa & Pustaka maksud saya.

Bersama Jimadie, yang ikut membentang ialah Mohd Hanafi Ibrahim, Dr Hashim Ismail dan Amirudin Ali - dipengerusikan Hasni Abas dari DBP. Soalan saya untuk Jimadie kemudiannya, tidak dibenarkan untuk dijawab oleh Hasni. Saya sudah lupa tentang sekatan awalnya supaya hal agama dibicarakan oleh yang pakar sahaja, kerana ghairah saya untuk mengetahui apa hujah Jimadie untuk kenyataan beraninya itu.

Petangnya, berpacu dengan kereta bersama Nazim Mohd Subari dan WB Rendra - kami mendahului ketibaan para peserta yang lain di Tanjung Piai - bertemu di hujung benua. Kedatangan para peserta di sini diiktiraf oleh pihak Taman Negara Johor dengan senaskhah sijil penghargaan, kerana tanjung ini merupakan tanjung paling hujung di benua Asia.

Kami dibahagi mengikut kumpulan untuk merentas denai bakau bertiti jambatan kayu menapak ke hujung benua. Saya di kumpulan kuning, berfasilitatorkan seorang kakak yang boleh tahan juga peramahnya - merupakan pekerja taman negara dan pemandu kami petang itu, ke penghujung benua. Macam-macam jenaka pula mengiringi perjalanan kami ke hujung benua petang itu. Ditambah dengan business card dari buku catatan saya terbang ke sarang tembakul di jeti berhadapan Pulau Karimun. Sempat pula si kakak penunjuk jalan berjenaka,"Awak bagi kad kat ikan tembakul ?" Lebih riuh ketawa para peserta dengan gelagat saya dengan peristiwa 'kad untuk ikan tembakul'.

Ditambah jenaka dan bermacam-macam soalan para peserta, kami kumpulan terakhir mengakhiri sesi di Tanjung Piai hari itu. Saya sudah ditinggal pulang oleh WB Rendra dan Nazim. Walhal, saya tak membawa apa-apa untuk jamuan makan malam nanti. Kerana kami bercadang untuk kembali ke Kukup Golf Resort sehabis berkelana di hujung benua. Dengan t-shirt rasmi perhimpunan, saya menjamah juadah malam itu diiring tarian dan persembahan bersama Nimoiz, Siti Hajar Mohd Zaki, Hanisah Othman dan Nasa Natrah yang duduk semeja - mengadap laut luas, melepas pandang yang begitu nostalgik ke Pulau Temasik yang penuh warna-warni.

Hari ketiga di PPMN 2005, serasa saat berpisah makin terasa.


Sumber: Ke Kebun Kata Seorang Pemain Bahasa

Bayi Kota Berahi

LEBIH kurang pukul 12.30 tengahari ( 22 / 08 / 2005 ) pulang ke jabatan setelah menghadiri upacara penganugerahan sijil khidmat setia , sijil dan anugerah khidmat cemerlang di Dewan Tunku Canselor.

Setelah sampai di jabatan – pergi ke kotak surat ( pigeon hole ). Terdapat satu bungkusan kuning yang tebal , berat dan berukuran lebih kurang 10 x 20 cm dan bersetem RM 2.00.

Apabila dibuka didapati kiriman dua buah buku ANTOLOGI KREATIF GERAK SASTERA yang bertajuk BAYI KOTA BERAHI yang diselenggarakan oleh seorang penyair yang gigih dan seorang deklamator yang hebat ( saya belum pernah melihat mana-mana deklamator sehebat beliau ). Penyair yang saya maksudkan ialah Md. Zainuddin Hj. Abd Rahman. Beliau juga seorang ketua Editor untuk buku seperti di atas dan dibantu oleh penyair yang selalu sajak-sajak mereka tersiar di media arus perdana atau pun majalah . Pembantu beliau dalam sidang editorial ialah Jimadie Shah Othman , Kamaludin Mohd Tahir , anjan Ahzana dan Shahrizal Abdan.

Antologi BAYI KOTA BERAHI cuma berharga RM17.90 dan mungkin boleh didapati secara telefon terus kepada Md. Zainuddin ( 012-6914429 ) , Jimadie Shah Othman ( 017 –328**** ) , Anjan Ahzana ( 019-2070054 ).

Sufi

(Untuk Salman Sulaiman)


Sewaktu ini Hallaj dikuliti
jubah kain kasar.
Ahmad.
11
11
11
11
11
Imam.
Jiwa.
Cinta,
lumba-lumbamu dengan
Nur Muhammad.

sangkar
bunyi
kemudian kicau
akan ada ghazal, Sulaiman.
Balqis akan turun meronta zauk.

- Jimadie Shah
UNIVERSITI MALAYA

Resensi Novel Hostel:Debaran Kedua




Penulis

Irwan Abu Bakar dan Hasimah Harun (Penyelaras), Abdul Latip Talib, Anbakri, Ida Munira Abu Bakar, Jimadie Shah, Md Zainuddin Abd Rahman, Mohamad Hata Ghazali, Muhammad Zakir, Nimoiz T.Y, Rudy Ludinata, dan Wan Nur-Ilyani Abu Bakar

Terbitan

eSastera Enterprise, Kuala Lumpur, 2004

MEMBACA novel bersiri di dalam Internet bukanlah sesuatu perkara baru buat pelayar alam siber yang aktif. Seorang penulis Melayu dari Singapura, berusia hujung 20-an, boleh dikatakan prolifik dalam berkarya di alam siber, setelah menerbitkan banyak novel-novelnya secara percuma lewat laman sawangnya, beliau kini sedang rancak menyiapkan novel bersirinya yang terbaru dan tidak dinafikan mempunyai kelompok peminat yang tersendiri.

Tetapi, novel yang ditulis secara bersiri oleh 12 orang penulis yang berlainan latar belakang, lapis usia, dan pengalaman dalam genre penulisan itu sendiri, adalah sesuatu yang unik. Kemuncak kepada keunikan tersebut ialah apabila himpunan siri-siri tersebut dinaskhahkan dan seterusnya dicetak untuk diedar kepada khalayak pembaca di luar jaringan Internet.

Itulah keistimewaan Hostel: Debaran Kedua, yang penerbitannya ke medium bercetak bukan sahaja membibitkan perasaan bangga kepada penulis-penulis yang terlibat dalam pembikinan novel tersebut, tetapi kepada seluruh warga eSastera amnya.

Untuk usai membaca 50 episod yang terkandung di dalam novel ini, tidaklah memakan masa yang lama. Unsur saspens dan kesudahan tak dijangka yang direncahkan pada hampir setiap hujung episod juga banyak membantu pembaca untuk bertekad menghabiskan novel ini dengan seberapa segera. Bermula dengan anekdot sekumpulan mahasiswa yang curiga dengan laku buruk senior mereka yang berstatus ustaz, cerita ini terus bergerak di atas landasan suka duka hidup pelajar-pelajar universiti, karenah birokrasi, percintaan yang tersekat-tersekat, seram yang meremangkan, drama yang membiaskan ragam masyarakat Melayu, hinggalah kepada nostalgia zaman kanak-kanak yang melucukan malah cukup mengilukan (rujuk episod 39).

Seperkara lagi yang menjadi tapak asas pembikinan novel ini ialah pemilihan Universiti Malaya (UM) sebagai latar utama. Dengan bantuan 8 orang penulisnya yang pernah atau sedang berada di dalam persekitaran UM, gambaran peristiwa menjadi bertambah jelas dan banyak membantu pemahaman pembaca. Latar utama yang konsisten ini juga memberi kekuatan kepada keseluruhan kausaliti cerita.

Secara mudahnya, Hostel adalah novel santai. Santai tetapi sarat dengan pengajaran nilai-nilai murni. Terselit juga sindiran kepada golongan-golongan tertentu. Pengajaran dan sindiran ini diolah secara kreatif dan mudah diterima. Ini seharusnya dicontohi oleh penulis lain, menyampaikan sesuatu dengan cara yang halus tetapi mendatangkan kesan.

Bertitik tolak Hostel adalah hasil buah tangan lebih daripada seorang penulis, penyambungan episod yang dibuat tanpa perbincangan, serta gabungan penulis muda dan penulis kawakan, kehadiran Hostel sepatutnya tidak dilepas pandang oleh peminat-peminat novel. Jika sebelum ini khalayak pembaca merungut karya-karya sastera hasilan penulis sastera serius tidak sesuai untuk tahap mereka, tetapi rungutan ini telah dijawab dengan terhasilnya Hostel. Santai, tetapi masih mementingkan pemartabatan bahasa Melayu serta dihiasi dengan nilai-nilai moral untuk dicontohi.

Akhir kata, jika dahulu Ahadiat Akashah pernah mempersembahkan Pilot Cafe secara duet dengan Zuraidah Othman serta Malam Ini Kita Semua Menangis berduet dengan Nor Erny Othman, ahli-ahli esastera.com telah menghadiahkan khalayak dengan novel Hostel yang ditekuni oleh 12 orang penulis. Satu perkembangan menarik dalam dunia sastera tanah air. Semoga eSastera tidak berhenti dalam usahanya memartabatkan karya sastera ke tahap yang sewajarnya.

Nota Kaki:

Artikel ini ditulis untuk laman web www.communityzero.com/resensi

Iklan:

Buku ini boleh diperoleh daripada Penyelaras projek penulisannya, iaitu Profesor Dr. Ir. Wan Abu Bakar, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur (Tel: 019-2680086 atau emel: drirwan@esastera.com) dan Puan Hasimah Harun, SMK Sultan Abdul Samad, Jalan 12/13, 46200 Petaling Jaya, Selangor.

keterangan lanjut di
http://www.esastera.com/kedai/buku/hostel.htm


Sumber: Jurnal Separa Peribadi Amir Mukkriz

Ancaman samakan budaya

"...Ungkapan-ungkapan berbaur "lucah" atau "makian" (masih boleh dibahaskan) dalam puisi-puisi Lutfi Ishak, Anjan Ahzana dan Jimadie Shah ini terus sahaja dibenarkan, sementelah lagi diangkat sebagai luahan puncak kebencian sasterawan muda..."


"Moralisme telah masuk ke birokrasi dan klinik. Bukan moralitas. Sehingga, mereka tak bisa membedakan ‘berkeluarga’ dengan ‘bersetubuh’, memeriksa fizik [badan] dengan memeriksa moral, ‘bertugas di luar kota’ dengan ‘tak pakai kondom’" -- Ayu Utami dalam majalah Djakarta! (Mei, 2002)

"Saya mau masturbasi, ah," tulis Ayu Utami di awal-awal sebuah rencananya. Novelis dari Jakarta ini popular, dan pemenang anugerah sastera, dengan Saman dan Larung. Mujurlah dia berbicara lanjut: "Yaitu asyik berbicara tentang diri sendiri. Lagi-lagi tentang topik yang membosankan: kawin atau tidak kawin."

Tulisan "kurang sopan" ini boleh dibaca dalam himpunan catatan pendek, Si Parasit Lajang. Karya terbaru Ayu terbahagi tiga. Kupasan berani isu-isu kondom, selera seks, mimpi basah, patriarki, anak patung Barbie, tetek atau bintang porno dikelaskan di bawah bahagian "Seks, jender dan kapitalisme".

Sangat sukar (apakah pernah ada?) penulis di Malaysia mengupas persoalan seumpama ini dengan mudah dan menghiburkan tetapi matang dan rasional. Apatah lagi penulis "lancang" ini seorang wanita pertengahan 30-an yang tidak mahu berkahwin dan sudah mengumpul, bukan sekali gus, lima orang pacar. "Di luar yang lima (tadi) tak terhitung pacar," tambahnya.

Paling dekat, dua antologi puisi (edisi samizat) Mitos Sperma Amerika buah tangan tiga penulis muda dan Bogela Testikal, karya aktivis-wartawan Rahmat Haron. Tetapi Ayu membentangkan isu-isu "sensitif" ini melalui 13 rencana (bukan cereka) dalam dua majalah antara Mei 1998 hingga Februari 2003.

Oleh kerana Mitos Sperma Amerika mengambil latar peperangan Iraq-Amerika Syarikat yang cukup meluap-luap, mudah menggamit iman dan sekali gus emosi, maka antologi ini "dihalalkan" Diskusi di Rumah PENA atau ulasan akhbar tentang karya ini umumnya positif.

Ungkapan-ungkapan berbaur "lucah" atau "makian" (masih boleh dibahaskan) dalam puisi-puisi Lutfi Ishak, Anjan Ahzana dan Jimadie Shah ini terus sahaja dibenarkan, sementelah lagi diangkat sebagai luahan puncak kebencian sasterawan muda.

Nampaknya, jika kita masih muda atau sedang marah, maka lesen kreatif kita tiba-tiba sahaja boleh lebih besar! Tetapi rupa-rupanya tidak begitu.

Seorang pensyarah kanan yang berminat menerbitkan antologi (samizat) ini kepada edisi buku "segan" memakai tajuk asal. Dia mengenakan syarat tambahan: perkataan "sperma" harus digugurkan daripada Mitos Sperma Amerika jika projek penerbitan ini mahu dijayakan.

Kita tidak tahu apakah sajak-sajak dalam antologi ini akan disunting lagi kerana projek ini terus gagal akibat para pengarang menolak pengguguran kata "sperma" dari judulnya.

Bogela Testikal tentunya lebih sukar disenangi, agak saya. Beberapa bait yang eksplisit dengan sokongan grafik sedikit pornografik (kalau mahu disebut begitu) juga terdapat dalam buku Ayu Utami itu tentunya boleh mengundang rasa resah. Namun sebagai sebuah samizat terbitan sendiri, antologi ini tidak kurang sambutannya.

Tulisan saya dalam majalah seni budaya Siasah (tidak lagi beroperasi) tentang "politik kelentit" malangnya memancing rasa ganjil, jika tidak mual, seorang sasterawan besar dan beberapa ahli politik pembangkang. Malah teman-teman wartawan di Malaysiakini.com, semacam takjub dengan keterbukaan saya itu, walau tentunya mereka juga ketawa besar.

Siri tulisan saya "ringan-ringan", "dua tebing" atau "buah dada" sebelum itu sedikit sebanyak telah mula menggelisahkan penerbitnya. Walau sudah dipesan agar tidak menulis lagi tema seumpamanya, tetapi dengan berkat taktik "kotor", saya mencerahkan sikap dalam coretan (Siasah, Mei 2003) seterusnya "Polit*k kel*nt*t (lagi?)". Kali ini, sidang pengarang berganda-ganda resahnya! Maaf!

Bukan soal mengungkit kemelut peribadi atau hal remeh-temeh di sini.

Tajuk filem U-Wei Hj Saari, Perempuan, Isteri dan .... (sebaris titik ini asalnya: Jalang) pernah menjadi kontroversi. Proses "samakan budaya", cultural sanitization, seumpama inilah yang harus mengganggu kita semua khasnya budayawan, seniman atau aktivis.

Apatah lagi awal tahun 2003, The Sun melaporkan bahawa secara tidak rasmi stesen-stesen radio kita mengharamkan perkataan kondom walau ia diucap untuk kempen anti-Aids oleh tokoh besarnya, waktu itu anak Perdana Menteri, Marina Mahathir.

Perkataan 'keling' didesak agar tidak dimasukkan di dalam kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rangkap-rangkap sajak penulis muda Salman Sulaiman "sepatuku dicuri tangan Tuhan sendiri, takdir tetap pasti, bahawa Tuhan tak akan memotong tangan-Nya lagi" dianggap, oleh sasterawan Shuhaimi Hj Muhammad, "tidak sesuai dengan khalayak umum".

Skrip filem Mistik arahan profesor madya A Razak Mohaideen perlu diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar unsur-unsur tahyul berjaya "disamak" terlebih dahulu! Oleh itu tidak perlu pemotongan berlebihan di Lembaga Penapisan Filem (LPF), kononnya.

Begitu juga bantahan terhadap filem Bruce Almighty didakwa "bertentangan dengan agama kerana menzahirkan Tuhan atau melawak dengan watak-Nya" walau inti moral dan kesimpulannya tidak kurang religious dan boleh menginsafkan penonton (jika mahu).

Juga, jangan lupa, garis panduan baru yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk teater atau persembahan pentas. Ia berbangkit susulan perselisihan dewan ini dengan Instant Cafe Theatre (ICT) beberapa bulan lalu.

Garis panduan terlalu umum dan sangat terhad. Jika diikut, hampir semua ekspresi seni lakonan pentas terkubur.

Terkini, saya dimaklumkan, pihak berwajib menapis skrip bagi empat persembahan teater Projek Suitcase 2003 pertengahan bulan Disember (lepas), yang diusahakan oleh penggiat muda negara ini dan Singapura.

Wisma Putra dengan khabarnya melarang perkataan "George W Bush" dan "Tony Blair" diungkapkan oleh pelakon-pelakon ini!

Mengapa muncul semacam gejala penyamakan, atau sanitisasi, budaya seumpama ini? Apakah ia proses terbaik memperelok moral bangsa atau sejenis ancaman paling berbahaya terhadap kebebasan kreatif?

Rupa-rupanya kita makin seronok menjadi "polis moral", meminjam istilah yang suka diucap Rahmat Haron, akhir-akhir ini.

Lebih jauh lagi, kita boleh bertanya sama ada gejala ini datang akibat merebaknya fundamentalisme Islam atau/dan semakin kuatnya kongkongan politik? Bagaimana bentuk luahan kreatif, dan juga karya bukan cereka, kita pada masa depan jika kecenderungan ini berlanjutan?

Soal inilah yang harus dijadikan wacana serius seniman dan sasterawan kita dan juga mereka yang merenung isu-isu kebebasan bersuara, demokrasi atau hak asasi.

Proses menyamak budaya datang daripada orang ramai, bukan hanya birokrasi atau kuasa politik, dan tanpa sistem "suntingan moral" yang rasional-ilmiah. Sebaliknya ia berkembang semata-mata daripada psikologi, rasa kurang senang, yang tidak berasas.

Menyamak budaya merupakan tanda-tanda konservatisme yang semakin melampau dalam masyarakat kita. Sementara birokrasi pula menjadikan desakan daripada orang ramai itu, di luar kerajaan, sebagai alasan untuk mengecilkan ruang luahan kreatif dan bukan kreatif.

Mula-mula alasan menjaga moral, kemudian menjaga kepentingan politik.

Kita tentu sukar menerima penyamakan puisi Chairil Anwar, "aku ini binatang..., dari kumpulannya terbuang" atau lagu Selimut Putih (popular sejak 1970-an) digam daripada keudara.

Walau pernah sekali, tahun 2000, sebuah tabloid pembangkang tersohor menyamak perkataan Karl Marx daripada rencana aktivis-pengarah filem Hishamuddin Rais.

Karya yang bertemakan pelacur, anak haram, hubungan sejenis atau wanita simpanan -- sisi-sisi gelap kemanusiaan, intrigue, kemelut atau paradoks dunia mereka -- akhirnya nanti, saya menduga, tidak jauh daripada khutbah moral. Ibarat mutiara nasihat di akhir novel porno Mona Gersang?

Cerpen atau novel untuk remaja kita memang telah lama memakai dasar ini, dasar menyamak budaya agar yang indah sahaja dipaparkan (mungkin wajar kerana dianggap peringkat bawah umur).

Cuma kita hairan apabila mendengar puisi, atau membaca ruangan gosip-gosip artis, yang dikarang seakan-akan dari atas mimbar.

Dengan latar kongkongan seumpama ini, tidak mungkin muncul karya-karya seumpama Ayu Utami walau pasarannya besar (saya percaya) kerana diminati ramai dan mudah difahami.
Pendekatan Ayu juga boleh dijadikan landasan untuk memudahkan wacana serius tentang feminisme, seks, kesetaraan jantina, kapitalisme atau kuasa diturunkan kepada khalayak pop.

Malah mungkin sahaja Si Parasit Lajang layak diharamkan di sini, siapa tahu? -- Fathi Aris Omar, Malaysiakini.com, 5 Januari 2004


Sumber: Selak Lagi :: Blog Kulit Kitab

Gerak Sastera Terbit Bayi Kota Berahi

Oleh Nimoiz TY

"...Beberapa penulis muda dan mapan yang turut sama menyumbangkan karya mereka ialah Kamaludin Tahir, Jimadie Shah Othman, A Hamid Halim, Wan Azman Wan Mamat, Salman Sulaiman, Sahrunizam Abdul Talib, Ijamala MN, Nimoiz TY, Ridzuan Khamis, DJ Dolasoh, Anjanglie, Aladin Mohamad, Arisel BA dan HMS Abu Bakar..."


Gerak Sastera, sebuah pertubuhan sastera berdaftar telah menerbitkan sebuah antologi sajak, Bayi Kota Berahi. Naskhah berkenaan merupakan himpunan sajak-sajak yang disumbangkan oleh pelbagai lapisan penulis dari seluruh negara ekoran daripada insiden jenayah seksual yang berlaku secara menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini terhadap wanita dari pelbagai lapis usia.

Menurut Penyelaras Gerak Sastera yang juga penyelenggara antologi berkenaan, Md Zainuddin Hj Abd Rahman, usaha untuk menerbitkan antologi berkenaan adalah sebagai melahirkan rasa simpati terhadap mangsa-mangsa serangan seksual serta memberikan sokongan moral kepada sebarang gerakan menentang sebarang bentuk keganasan terhadap wanita.Antologi yang memuatkan 117 buah puisi ini merupakan antara program pertama yang digerakkan oleh Gerak Sastera.

Selain sajak, turut terdapat dalam naskhah ini ialah syair, sajak jenaka (sajen) dan juga catatan pendek terpilih. Manakala kata pengantarnya pula ditulis oleh penulis mapan, A Rahim Abdullah yang juga merupakan pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan.
Beberapa penulis muda dan mapan yang turut sama menyumbangkan karya mereka ialah Kamaludin Tahir, Jimadie Shah Othman, A Hamid Halim, Wan Azman Wan Mamat, Salman Sulaiman, Sahrunizam Abdul Talib, Ijamala MN, Nimoiz TY, Ridzuan Khamis, DJ Dolasoh, Anjanglie, Aladin Mohamad, Arisel BA dan HMS Abu Bakar.Naskhah berkenaan dijual dengan harga RM17.90 dan boleh didapati dengan menghubungi beliau ditalian 012-6914429.


Sumber: Jurnal Nimoiz

Sabtu, Januari 21, 2006

Teks

Oleh Jimadie Shah Othman


PERTAMA, cinta. Kedua, teks.

Malam itu saya tak makan. Lepas main sepak raga tadi petang, saya tidur. Jam sebelas saya terganggu dengan suara perempuan memberi salam. Saya bangun jenguk ikut tingkap. Baiti sedang panggil suaminya. Saya pun bangun cepat-cepat dan buat-buat tanya, ``Air minum ada tak?''

Belum sempat mereka jawab, saya buka peti sejuk depan bilik mereka, terus minum. Guntur kata mereka nak keluar ke kafe Internet. Saya tanya, ``Boleh tolong print tak resume aku untuk KUIM?''

Dia masuk dalam bilik buka komputer. Fail itu dalam My Document. Guntur bagi sekeping disket. Saya simpan pakai format document text.

Waktu saya nak keluar dan mereka pun nak berangkat, Baiti kata kalau nak menonton, boleh duduk dalam bilik mereka. Saya jawab, ``Boleh juga.''

``Artikel kau masuk Mingguan Malaysia, dah baca?''

Saya angguk.

Dengan motosikal, mereka bertolak. Saya buka televisyen dan cari alat kawalan jauh. Saya nak main Winning Eleven dengan pelantar Play Station, tapi alat kawalan itu tak jumpa. Saya tengok televisyen saja. Rancangannya langsung tak ada pesona. Barangkali sebab rasa lapar.

Saya nampak nasi dalam periuk. Saya bangun dan buka peti sejuk. Ada ikan tilapia goreng tak habis kami makan petang tadi lepas main sepak raga dan sos nasi ayam yang tidak langsung dijamah.

Dengan rakus saya makan, sebab saya lapar. Nasi itu pula cukup-cukup sepinggan. Jadi, saya rasa tak kenyang. Tapi waktu hisap rokok, sandar di bantal dan layan cerita bangang di televisyen okey juga. Waktu mereka balik hampir jam satu pagi, saya buat-buat tidur.

Mereka masuk, saya buat-buat terkejut dan terus bangun. Mamai kononnya.

Guntur terus saja cari alat kawalan jauh. Televisyen mereka ada kelemahan, tak ada fungsi av. Kena buka dengan alat kawalan saja. Sambil tu, Baiti masak maggi di dapur. Lama kami cari, tapi tak jumpa. Jadi, kami berhenti makan dulu. Lepas makan, dia saja cuba-cuba jeluh bawah meja teh yang penuh dengan buku-buku teks universiti dan nota kuliah.

``Ada pun,'' katanya.

Kami terus buka Play Station dan main Winning Eleven sampai bang. Hari ini tak jadi nak ke Masjid Negara sembahyang subuh. Lepas solat, kami berkira-kira nak ke Restoran Yusuf makan nasi lemak. Samad, teman sebilik saya yang baru bangun pun nak ikut sama. Kami turun dengan dua buah motosikal. Satu plat RF dan satu lagi RE. Kedua-duanya dari Perlis. Dan ini tak ada apa-apa kaitan dengan semangat kenegerian sebetulnya.

Guntur agak membosankan kalau lepak lama-lama. Dia tak ada pengetahuan melainkan tentang (rejimen askar) semboyan dan hal-hal yang berkaitan dengan ketenteraan sahaja. Dia seperti langsung tidak berminat dengan produk idea. Pemikirannya agak masih dalam acuan tradisi-ortodoksi yang kukuh, dengan sudut pandang yang terlalu tipikal.

Cuma Samad kadang-kadang boleh melayan gila saya, walaupun dia ada masalah besar dengan proses analisis idea dan berfikir mendalam, berangkai dan keberanian mempersoalkan kepastian. Sebenarnya, apabila sesuatu kepastian itu dipersoalkan, kepastian akan menjadi bukan kepastian. Maksudnya tiada yang mutlak dalam setiap perkataan yang berkaitan dengan idea. Keraguan akan sentiasa menambahkan kepintaran.

Waktu saya dan Samad berbincang tentang kedai kopi, tentang maksud dan falsafahnya, yang dikaitkan dengan kebangkitan intelektual di Eropah, bermula di zaman pencerahan, Guntur akan cuba mengaitkannya dengan ketenteraan juga. Contoh soalannya, ``Apakah peranan ketenteraan pada zaman pencerahan dan sesudah Revolusi Perancis?''

Waktu itu saya dan Samad cuba berlucu, bahawa kami tidak pernah lihat, dan jumpa seorang manusia dari kecil sampai besar pernah bercita-cita nak masuk askar. ``Lebih baik kau menulis. Masuk askar tak seronok. Sebuah kerjaya yang rigid. Membosankan, bahkan.''

Sambil rancak sembang-sembang, minuman tiba. Sejurus kemudian, tiga pinggan nasi lemak mamak dan satu lagi dibungkus untuk isteri Guntur, Baiti yang sekarang barangkali masih nyenyak tidur.

Semalam saya baru lepas kuliah pencerahan di Studio Kurusatre dengan Wan. Saya bagi tahu pada Samad. Kami rujuk buku Dorida Outram, judul The Enlightment. Sekarang masuk bab ke-3, cerita tentang kedai kopi dan pengguna dan peranannya dalam konteks masyarakat pencerahan.

Saya percaya pada pendapat Immanuel Kant, kata saya pada mereka berdua, sambil makan nasi lemak yang gagal - pedas, pencerahan merupakan satu proses yang tak selesai. Dan ia sentiasa berterusan. Masyarakat pencerahan ialah masyarakat yang berasaskan idea. Wujud di dalamnya debat rancak dan matang tentang sesuatu perkara yang menjadi isu besar dalam tamadun, sekurang-kurangnya dalam lingkungan kecil seperti negara.

Entah mengapa mereka macam percaya buta-buta saja kata-kata ini. Maka saya semakin ghairah untuk bercerita. ``Pencerahan merujuk kepada kemunculan pemikir-pemikir besar dalam masyarakat.''

Samad tanya saya, dengan sokongan Guntur, ``Apa kaitannya dengan kedai kopi yang kau kata tadi?''

Saya juga percaya Jrgen Habermas. Selain tokoh-tokoh besar, pencerahan juga diisi oleh komponen-komponen dalam `ruang awam' yang berupaya memberikan pandangan umum terhadap sesuatu isu, suatu ruang yang dianggap paling independent, tanpa campur tangan sebarang entiti berkepentingan seperti kapitalis dan daulah. ``Ruang awam ialah macam ini,'' kata saya.

Waktu balik, kami singgah di Caltex beli akhbar. Hari-hari ada kempen suruh orang berhenti merokok. Tapi kami tak nak berhenti. Kami nak hisap rokok.

Waktu baca iklan itu, kami ketawa besar, kami percaya bahawa kami ialah orang yang tidak percaya pada teks lagi. Kami kenal penulis berita ini, dia wartawan junior di Utusan. Dia pun kuat merokok, avid dengan Gudang Garam. Dunia ini (dunia teks) ialah dunia terka-terka, dunia sipi-sipi, bukan yakin.

Tengah hari itu saya tidur hingga ke petang. Waktu jaga, saya sedar bahawa semua itu hanyalah mimpi semata-mata. Tetapi bagaimana untuk membuktikan bahawa sekarang ini bukan juga mimpi? Bahawa semalam betul-betul bukan realiti?

* * *

Kerana tak ada duit, saya abaikan makan malam saya hari ini. Dan untuk mengelakkan kelaparan, saya terpaksa tidur. Tapi mata saya sudah tidak terpejam. Sudah terlalu puas. Maka saya pun ke bilik Guntur dan buat-buat tanya, ``Air minum ada tak?'' dengan harapan dia ajak saya makan malam sama-sama.

``Ada,'' katanya.

Guntur suami isteri sedang bersiap nak ke kafe internet di Pantai Dalam.

Saya minta mereka print resume KUIM saya. Mereka kata ok. Motosikal RGX baru warna kuning hilang di jalanan.

Dalam bilik Guntur, saya cari alat kawalan jauh televisyen. Terasa nak main Winning Eleven. Sampai sudah tak juga diketemu remote itu.

Menonton saja. Namun, perhatian tidak juga terfokus. Saya memang lapar. Terasa nak lompat tinggi-tinggi bila nampak ada nasi dalam periuk elektrik Guntur.

Waktu pegang pinggan, saya jadi sedar, astaga, apakah saya lagi bermimpi?

Saya ketawa, ``Nampaknya aku sekarang berada di alam Matrix.''

(Waktu itu orang sudah berhenti memperkatakan tentang kekaguman mereka pada filem The Matrix. Harus diingat, saya adalah generasi trilogi The Matrix, walaupun The Matrix bukanlah filem sebenarnya).

Saya mula mempersoalkan hak saya, hak untuk memilih, hak untuk tahu kenapa memilih, apa yang dipilih.

Terimbas kata Oracle kepada Neo, dalam filem yang mendepani teknologi bullet time itu, ``Kamu datang ke sini bukan untuk memilih. Pilihan telah dibuat. Kamu datang ke sini hanyalah untuk mengetahui kenapa memilih?''

Saya pun seperti Neo, teks ini di Luh Mahfuz, siap ditandatangani.

Saya jadi ragu bahawa kehidupan bergerak linear; ia berputar sebetulnya - ke depan dan kemudian kembali ke belakang dan ke depan dan ke belakang. Hidup bukan garis panjang yang lurus; atau garis pendek yang lurus.

Sesudah makan malam yang lewat, saya hisap rokok, baring malas-malas depan televisyen. Waktu Guntur pulang, saya buat-buat lena. Terdengar dia kepoh-kepoh cari alat kawalan jauh televisyen. Saya buat-buat terganggu dengan semua itu, gesek-gesek mata beberapa kali dan pandang muka dia lama-lama. Mamai kononnya.

Saya fikir nak tanya dia, ``Cari apa?''

Sesudah dia menjawab, saya buat-buat pandai, dengan mudah mencupliknya dari bawah meja yang penuh dengan buku universiti dan nota kuliah.

Bagaimana saya tahu? Tentulah, semalam saya sudah mimpi.

``Apa termenung?'' tanya Guntur; sambungnya lagi (kepada Baiti, memperli), ``Mamailah tu.''

Baiti gelak.

``Kau cari apa?''

``Remote control. Ada nampak? Boleh main Play Station.''

Saya selamba gagau bawah meja teh. Gagau dan gagau. Astaga, memang tak ada! Nyata teks tidak pernah berulang, ia menyusun kehidupan secara linear, mem-puzzle-puzzle-kan sesuka hati.

Saya tak boleh percaya semua ini. Saya terus keluar dari bilik mereka dan masuk dalam bilik sendiri. Saya kena periksa kembali nota kelas falsafah, tentang interaksi akal-minda-alam (World 3) yang saya belajar di Studio Kurusatre.

Waktu saya buka zip beg nak ambil nota, Guntur datang panggil makan maggi. Dari alam surreal itu, saya terbangun. Benar saya bermimpi, hanya kerana terjaga di atas tilam?

Ya, ada suara perempuan memberi salam. Pastinya Baiti yang baru habis peperiksaannya di Universiti Malaya. Dia dan suaminya Guntur akan ke kafe internet di Pantai Dalam sebentar lagi.

Kedengaran pintu dibuka. Mereka bersembang. Betul. Saya belek jam dinding. Memang ini waktunya, sebelas malam. Tepat.

Saya akan keluar bilik sebentar lagi dan tanya mereka, ``Ada air tak?''

Saya masuk dan makan nasi dan main permainan video dan lepak di Restoran Yusuf hingga jam sembilan.

Semua ini akan terjadi. Ini ialah teksnya. Ia akan sentiasa berulang, dalam mimpi, dalam realiti.

Berulang.

Berulang.

Berulang.

Tidak, apa kejadahnya! Apa kata kalau kita pakat-pakat menafikan teks? Katakan saja saya adalah saya pada hari ini sahaja. Kita tidak terikat dengan masa dan ruang. Saya hidup kerana (tafsiran) fikiran saya hidup. Semua yang terpercik daripada indera, adalah tafsiran tipikal saya yang klise terhadap kehidupan, yang terganggu oleh sejarah dan memori. Biar sejarah dan ingatan diluputkan, hanya ilmu dan informasi terus-terusan ada.

Apa kata kalau hari ini saya tidak menjadi saya, sebaliknya pelakon Bollywood Shah Rukh Khan. Kenapa pula tidak? Saya nanti terbit, kata pada Guntur, bukan ``air ada tak?'' tapi, ``aku tau kau Jimadie. Pergi, jangan sentuh isteri aku! Nyahlah!''

Saya keluar dari bilik dan bertemu muka dengan jantan bajingan yang telah menyamar sebagai saya. Tatkala sedang menyusun kata-kata dalam hati, dia lebih dulu berkata, ``apa filem terbaru engkau?'' dan, ``Kenapa kau tinggalkan isteri kau ikut suka saja? Bodoh betullah engkau ni!''

Diam, mangu bodoh. Dia menambah, ``Tunggu sini kejap, aku nak ke kafe internet, cari artikel aku yang keluar dalam Mingguan Malaysia semalam. Kau dah baca?''

Soalan semudah itu pun saya tidak mampu lagi menjawabnya. Fikiran membeku. Teks macam elektrik. Ya, tuhan, mimpi (macam) apa ini?

Saya fikir nak masuk tidur dulu dengan isteri saya, esok bila jaga, saya faham saya hari esok tidak ada kena-mengena dengan saya hari ini. `Saya esok' adalah sarjana Karl Poper, yang yakin bahawa antara minda dan tubuh memang tak punya konflik, bahkan tetap saling berinteraksi antara satu sama lain.

`Saya lusa' adalah Samuel Backhett yang menulis Waiting of Godot yang sangat terkenal itu, demi menyelesaikan masalah hubungan minda dengan ruang, dengan lingkungan.

Selepas itu saya mati. Atom-atom di badan saya berpecah-pecah. Tenaga saya berpindah dari medium ke medium. Jadi haba, meresap ke tanah, ditukik ulat dan cacing, dimakan ayam, mati dan menjadi baja kepada tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran, dipetik manusia dan dimakan; akhirnya saya ada dalam setiap ruang depan. Memang tenaga, dalam teori sains tamadun mana pun, mustahil sesekali dapat dimusnahkan. Saya adalah tenaga yang membentuk alam. Saya ada ketika Adam ada. Saya ada ketika saya tiada - adalah hamba tuhan yang diperhambakan hamba tuhan.

Dalam bilik, saya dapati alat kawalan jauh televisyen saya hilang. Saya gagau bawah meja.


P/s: Cerpen ini pertama kali dimuatkan dalam Mingguan Malaysia, Ahad pertama Jun 2004. Pernah diulas oleh Zurinah Hasan sebulan sesudahnya dan SM Zakir dalam akhbar yang sama. Cerpen ini salah satu daripada 20 senarai pendek untuk Anugerah Sastera Utusan-ExxonMobil. Kutipan ini diambil dari Baca Online yang menkategorikannya bawah kelompok cerpen kanak-kanak.

Kerja Kolektif Penulis Muda

Oleh: RAJA YUSOFF ARIFFIN
Petikan Mingguan Malaysia 19 Jun 2005


"...Sesi II barangkali akan lebih diperkatakan dan diingati kerana keceluparan salah seorang pemakalah (Jimadie) yang seolah-olah menghina Islam..."



Ada beberapa perkara menarik dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 (PPMN 2005) anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) di Kukup Golf Resort dan Tanjung Piai Resort, Pontian, Johor awal Jun lalu.

PPMN 2005 yang bertema Menjana Akal Budi Penulis Muda dan konsepnya pengukuhan idealisme penulis muda ini disertai kira-kira 250 penulis muda.

Pertama ialah pujian yang diterima daripada pelbagai pihak mengenai kelancaran program. Sepanjang empat hari, tidak kedengaran rungutan peserta yang membingitkan telinga pihak penganjur.

Selain kelancaran program, PPMN 2005 juga diperhebatkan dengan penerbitan empat buku, iaitu Idealisme Penulis Muda (antologi esei), Memartabatkan Persuratan Melayu (ucap utama Baha Zain), Idealisme & Intelektualiti Dalam Karya dan Karya Sasterawan 2005 (antologi puisi dan cerpen).

Apa yang tersirat di sebalik hakikat ini? Sebelum menjawabnya, kita lihat dulu barisan ahli jawatankuasa PPMN 2005. Mereka yang membarisi jawatankuasa induk PPMN 2005 daripada penaung hingga timbalan pengerusi bersama memang bukan dari kalangan penulis/orang muda.

Penulis muda (dalam konteks ini, kita ambil salah satu syarat penyertaan, iaitu peserta mestilah penulis yang berusia 40 tahun ke bawah) hanya memegang jawatan Setiausaha Bersama, iaitu Mohd. Amran Daud (DBP), S. M. Zakir (Timbalan Setiausaha Agung Pena) dan Amiruddin Ali (Ketua Dua PPJ).

Shamsudin Othman dan Mohamad Saleeh Rahamad dari Pena pula bertindak sebagai Penyelaras Bersama. Dalam barisan Jawatankuasa Kerja dan Urus Setia ada ramai penulis muda. Di kalangan mereka itu pula, kebanyakannya popular dan kerap memenangi hadiah besar sastera tanah air seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.

Kejayaan PPMN 2005 ini boleh menjadi benchmark bahawa penulis muda terbabit bukan saja cemerlang berkarya malah juga mampu bekerja menjayakan program penulisan sastera. Apatah lagi PPMN 2005 bukan acara kecil. Ini sedikit sebanyak dapat mengikis anggapan bahawa orang sastera tidak mampu menjadi pengurus hatta program mereka sendiri. Jadi, penulis muda bukanlah sekadar tahu bising dan berkarya saja.

PPMN dirancang akan diadakan dua tahun sekali. Jika dipersetujui, maka PPMN 2007 nanti tidak perlu bimbangkan tenaga penggeraknya. Dengan prestasi tenaga penggerak PPMN 2005 yang cemerlang, memang PPMN 2007 tidak perlu bimbang.

Masih ramai penulis terbabit boleh terus memberi sumbangan kerana belum melewati usia 40 tahun pada 2007 dan 2009. Zakir misalnya, boleh berkhidmat pada PPMN 2007 dan PPMN 2009. Mungkin dia boleh menjadi penasihat pula. Shukri, Marjan S dan Rahimidin juga masih boleh memberi sumbangan pada PPMN 2007 kerana ketika itu mereka berusia 39 tahun. Apatah lagi Saifullizan yang sekarang berumur 30 tahun mampu memberi sumbangan untuk program yang akan datang.

Malangnya Saleeh, Amiruddin dan Shamsudin tidak dapat lagi bersama pada PPMN 2007 nanti kerana telah melewati syarat umur. Saleeh berusia 43, Amiruddin, 42 dan Shamsudin pula 41 pada 2007.

Bagaimanapun, jika ada beberapa peserta PPMN 2005 sendiri yang telah melewati usia 40, tentu boleh diberi kelonggaran sedikit bagi panitia. Sementelah, ada juga di kalangan ahli jawatankuasa yang telah berusia 43 tahun!. Mungkin penganjur tidak perlu terlalu ketat dengan had umur untuk panitia.

Sementara Faisal Tehrani, Siti Jasmina Ibrahim, Amaruszati Nor Rahim, Salina Ibrahim dan Zainal Rashid Ahmad yang tidak menganggotai panitia PPMN 2005 masih boleh terlibat atau dilibatkan dalam PPMN akan datang.

Itu jika dua tahun sekali. Bagaimana jika tempoh itu agak panjang memandangkan pelbagai cabaran menggugat penulis hari ini hingga ada cadangan agar PPMN dijadikan acara tahunan.

Ini semua petanda baik bahawa PPMN akan datang mampu terus cemerlang. Tenaga muda yang ada hari ini adalah pelapis mantap dan berdedikasi. Ini relevan dengan dua daripada empat matlamat penganjuran PPMN 2005, iaitu menggerakkan sasterawan muda dalam dunia persuratan Melayu serta membentuk corak gerakan penulis muda dan pembinaan jati bangsa.

Dua lagi matlamat PPMN 2005 ialah membentuk kesejajaran antara idealisme sasterawan dan dinamisme intelektual serta mempertahankan bahasa, sastera dan budaya tempatan dalam menghadapi gugahan globalisasi.

Bagaimanapun, ini tentulah sama sekali tidak menolak peranan penulis veteran. Golongan karyawan lama masih boleh memberi perhatian, nasihat dan panduan. Ini penting kerana tiada penulis baru jika tanpa penulis lama sebagaimana yang Nisah timbulkan semasa Sidang V PPMN 2005.

Cuma, yang lebih penting ialah kecemerlangan di kertas dan di pentas ini dapat terus dipertahankan. Kita tidak mahu apabila cemerlang di pentas, keterampilan dan momentum tenaga muda ini terbantut pula di kertas. Begitu pula sebaliknya.

Perkara kedua, kejayaan penganjuran saja tidak mencukupi jika gagal melahirkan penulis. Kejayaan melahirkan lebih ramai penulis tetap penting. Di kalangan peserta PPMN 2005 memang ada penulis muda yang telah sedia gigih berkarya dan terkenal. Antaranya termasuklah Nazim Mohd. Subari, Salman Sulaiman, Mohd. Zaid Akhtar, Hameer Habeed Muhammad, WB Rendra, Anjan Ahzana, Zanazanzaly dan Rozais al-Anamy.

Dengan bajet yang besar (RM200,000) serta kesempurnaan penganjuran, alangkah rugi dan sedihnya jika gagal melahirkan lebih ramai penulis muda berbobot. PPMN 2005 dipenuhi lima sidang dan lima sesi perbincangan termasuk ucap utama, Memartabatkan Persuratan Melayu oleh Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) pada Sidang II, team building di Taman Negara Tanjung Piai, persembahan pentas dan aktiviti luar.

Sidang I memperkatakan Idealisme & Gerakan Penulis Muda Serantau, Sidang III (Bahasan Ucap Utama), Sidang IV (Bersama Editor) dan Sidang V (Arah Masa Depan Penulis Muda).

Sesi I membincangkan Gerakan & Masa Depan Penulis Muda I, Sesi II (Gerakan & Masa Depan Penulis Muda II), Sesi III (Idealisme & Intelektual Karya Penulis Muda: Teater/Drama & Budaya), Sesi IV (Cerpen & Novel) dan Sesi V (Puisi & Esei).

Penulis muda yang menyertai PPMN 2005 turut berpeluang menjejakkan kaki di tanah paling selatan atau penghujung benua Asia di Taman Negara Tanjung Piai. Mungkin banyak ilham yang mereka peroleh hasil kunjungan itu di samping menimba ilmu dan menyusun hala tuju masa depan dalam sesi dan sidang diskusi.

Jika ada kecacatan yang boleh dicatat selain beberapa peserta yang melebihi umur, hanyalah semasa Sidang I yang dibarisi Shamsudin (Malaysia), Viddy AD Daery (Indonesia), Abd. Razak Panaemale (selatan Thailand) dan Zefri Ariff (Brunei Darussalam) yang kurang ceria dan bermaya.

Ini kerana peserta dan pemakalah berkenaan langsung tidak sempat berehat selepas perjalanan dari Rumah Pena di Kuala Lumpur. Sesi I (Hasyuda Abadi, Abizai Abi, Uthaya Sankar SB dan Nisah) juga kurang menarik.

Sementara itu, Sesi II barangkali akan lebih diperkatakan dan diingati kerana keceluparan salah seorang pemakalah yang seolah-olah menghina Islam. Pemakalah yang menjayakan sesi ini termasuklah Hanafi, Dr. Hashim Ismail (UM/Gapena), Jimadie Shah Othman dan Amiruddin (PPJ).

Mujur Hasni Abas dari DBP Kuala Lumpur yang mempengerusikan Sesi II itu berjaya mengawal situasi daripada menjadi semakin panas. Persoalannya, mengapa pemakalah itu perlu melencong daripada kertas kerjanya? Sia-sia saja lencongan yang dibuat itu kerana beliau telah menghasilkan sebuah kertas kerja yang baik, iaitu Potret Seorang Penulis Muda Sebagai Hang Nadim.

Ahli panel atau pemakalah tersebut bernasib baik tidak diarahkan pulang (sepatutnya pemakalah itu disingkirkan daripada perhimpunan). Pun begitu, beliau sendiri seolah-olah telah menghukum dirinya sendiri apabila langsung tidak menghadiri sesi dan sidang diskusi lain - cuma kelihatan pada majlis penutup.

Sidang V yang dipengerusikan Zam Ismail (Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor) turut meninggalkan kesan mendalam. Ia boleh dianggap sebagai perbincangan yang berbobot, mesra, sesekali humor dan mengharukan.


P/s: Saya kutip dari Faisal Terani Online, yang entah dari mana pula mengutip artikel ini. Tulisan ini asalnya diterbitkan pertama kali dalam Mingguan Malaysia seperti yang dinyatakan di atas.

Ancaman samakan budaya

Oleh Fathi Aris Omar

"...Ungkapan-ungkapan berbaur "lucah" atau "makian" (masih boleh dibahaskan) dalam puisi-puisi Lutfi Ishak, Anjan Ahzana dan Jimadie Shah ini terus sahaja dibenarkan, sementelah lagi diangkat sebagai luahan puncak kebencian sasterawan muda..."



"Moralisme telah masuk ke birokrasi dan klinik. Bukan moralitas. Sehingga, mereka tak bisa membedakan ‘berkeluarga’ dengan ‘bersetubuh’, memeriksa fizik [badan] dengan memeriksa moral, ‘bertugas di luar kota’ dengan ‘tak pakai kondom’" -- Ayu Utami dalam majalah Djakarta! (Mei, 2002)

"Saya mau masturbasi, ah," tulis Ayu Utami di awal-awal sebuah rencananya. Novelis dari Jakarta ini popular, dan pemenang anugerah sastera, dengan Saman dan Larung. Mujurlah dia berbicara lanjut: "Yaitu asyik berbicara tentang diri sendiri. Lagi-lagi tentang topik yang membosankan: kawin atau tidak kawin."

Tulisan "kurang sopan" ini boleh dibaca dalam himpunan catatan pendek, Si Parasit Lajang. Karya terbaru Ayu terbahagi tiga. Kupasan berani isu-isu kondom, selera seks, mimpi basah, patriarki, anak patung Barbie, tetek atau bintang porno dikelaskan di bawah bahagian "Seks, jender dan kapitalisme".

Sangat sukar (apakah pernah ada?) penulis di Malaysia mengupas persoalan seumpama ini dengan mudah dan menghiburkan tetapi matang dan rasional. Apatah lagi penulis "lancang" ini seorang wanita pertengahan 30-an yang tidak mahu berkahwin dan sudah mengumpul, bukan sekali gus, lima orang pacar. "Di luar yang lima (tadi) tak terhitung pacar," tambahnya.

Paling dekat, dua antologi puisi (edisi samizat) Mitos Sperma Amerika buah tangan tiga penulis muda dan Bogela Testikal, karya aktivis-wartawan Rahmat Haron. Tetapi Ayu membentangkan isu-isu "sensitif" ini melalui 13 rencana (bukan cereka) dalam dua majalah antara Mei 1998 hingga Februari 2003.

Oleh kerana Mitos Sperma Amerika mengambil latar peperangan Iraq-Amerika Syarikat yang cukup meluap-luap, mudah menggamit iman dan sekali gus emosi, maka antologi ini "dihalalkan" Diskusi di Rumah PENA atau ulasan akhbar tentang karya ini umumnya positif.

Ungkapan-ungkapan berbaur "lucah" atau "makian" (masih boleh dibahaskan) dalam puisi-puisi Lutfi Ishak, Anjan Ahzana dan Jimadie Shah ini terus sahaja dibenarkan, sementelah lagi diangkat sebagai luahan puncak kebencian sasterawan muda.

Nampaknya, jika kita masih muda atau sedang marah, maka lesen kreatif kita tiba-tiba sahaja boleh lebih besar! Tetapi rupa-rupanya tidak begitu.

Seorang pensyarah kanan yang berminat menerbitkan antologi (samizat) ini kepada edisi buku "segan" memakai tajuk asal. Dia mengenakan syarat tambahan: perkataan "sperma" harus digugurkan daripada Mitos Sperma Amerika jika projek penerbitan ini mahu dijayakan.

Kita tidak tahu apakah sajak-sajak dalam antologi ini akan disunting lagi kerana projek ini terus gagal akibat para pengarang menolak pengguguran kata "sperma" dari judulnya.

Bogela Testikal tentunya lebih sukar disenangi, agak saya. Beberapa bait yang eksplisit dengan sokongan grafik sedikit pornografik (kalau mahu disebut begitu) juga terdapat dalam buku Ayu Utami itu tentunya boleh mengundang rasa resah. Namun sebagai sebuah samizat terbitan sendiri, antologi ini tidak kurang sambutannya.

Tulisan saya dalam majalah seni budaya Siasah (tidak lagi beroperasi) tentang "politik kelentit" malangnya memancing rasa ganjil, jika tidak mual, seorang sasterawan besar dan beberapa ahli politik pembangkang. Malah teman-teman wartawan di Malaysiakini.com, semacam takjub dengan keterbukaan saya itu, walau tentunya mereka juga ketawa besar.

Siri tulisan saya "ringan-ringan", "dua tebing" atau "buah dada" sebelum itu sedikit sebanyak telah mula menggelisahkan penerbitnya. Walau sudah dipesan agar tidak menulis lagi tema seumpamanya, tetapi dengan berkat taktik "kotor", saya mencerahkan sikap dalam coretan (Siasah, Mei 2003) seterusnya "Polit*k kel*nt*t (lagi?)". Kali ini, sidang pengarang berganda-ganda resahnya! Maaf!

Bukan soal mengungkit kemelut peribadi atau hal remeh-temeh di sini.

Tajuk filem U-Wei Hj Saari, Perempuan, Isteri dan .... (sebaris titik ini asalnya: Jalang) pernah menjadi kontroversi. Proses "samakan budaya", cultural sanitization, seumpama inilah yang harus mengganggu kita semua khasnya budayawan, seniman atau aktivis.

Apatah lagi awal tahun 2003, The Sun melaporkan bahawa secara tidak rasmi stesen-stesen radio kita mengharamkan perkataan kondom walau ia diucap untuk kempen anti-Aids oleh tokoh besarnya, waktu itu anak Perdana Menteri, Marina Mahathir.

Perkataan 'keling' didesak agar tidak dimasukkan di dalam kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rangkap-rangkap sajak penulis muda Salman Sulaiman "sepatuku dicuri tangan Tuhan sendiri, takdir tetap pasti, bahawa Tuhan tak akan memotong tangan-Nya lagi" dianggap, oleh sasterawan Shuhaimi Hj Muhammad, "tidak sesuai dengan khalayak umum".

Skrip filem Mistik arahan profesor madya A Razak Mohaideen perlu diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar unsur-unsur tahyul berjaya "disamak" terlebih dahulu! Oleh itu tidak perlu pemotongan berlebihan di Lembaga Penapisan Filem (LPF), kononnya.

Begitu juga bantahan terhadap filem Bruce Almighty didakwa "bertentangan dengan agama kerana menzahirkan Tuhan atau melawak dengan watak-Nya" walau inti moral dan kesimpulannya tidak kurang religious dan boleh menginsafkan penonton (jika mahu).

Juga, jangan lupa, garis panduan baru yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk teater atau persembahan pentas. Ia berbangkit susulan perselisihan dewan ini dengan Instant Cafe Theatre (ICT) beberapa bulan lalu.

Garis panduan terlalu umum dan sangat terhad. Jika diikut, hampir semua ekspresi seni lakonan pentas terkubur.

Terkini, saya dimaklumkan, pihak berwajib menapis skrip bagi empat persembahan teater Projek Suitcase 2003 pertengahan bulan Disember (lepas), yang diusahakan oleh penggiat muda negara ini dan Singapura.

Wisma Putra dengan khabarnya melarang perkataan "George W Bush" dan "Tony Blair" diungkapkan oleh pelakon-pelakon ini!

Mengapa muncul semacam gejala penyamakan, atau sanitisasi, budaya seumpama ini? Apakah ia proses terbaik memperelok moral bangsa atau sejenis ancaman paling berbahaya terhadap kebebasan kreatif?

Rupa-rupanya kita makin seronok menjadi "polis moral", meminjam istilah yang suka diucap Rahmat Haron, akhir-akhir ini.

Lebih jauh lagi, kita boleh bertanya sama ada gejala ini datang akibat merebaknya fundamentalisme Islam atau/dan semakin kuatnya kongkongan politik? Bagaimana bentuk luahan kreatif, dan juga karya bukan cereka, kita pada masa depan jika kecenderungan ini berlanjutan?

Soal inilah yang harus dijadikan wacana serius seniman dan sasterawan kita dan juga mereka yang merenung isu-isu kebebasan bersuara, demokrasi atau hak asasi.

Proses menyamak budaya datang daripada orang ramai, bukan hanya birokrasi atau kuasa politik, dan tanpa sistem "suntingan moral" yang rasional-ilmiah. Sebaliknya ia berkembang semata-mata daripada psikologi, rasa kurang senang, yang tidak berasas.

Menyamak budaya merupakan tanda-tanda konservatisme yang semakin melampau dalam masyarakat kita. Sementara birokrasi pula menjadikan desakan daripada orang ramai itu, di luar kerajaan, sebagai alasan untuk mengecilkan ruang luahan kreatif dan bukan kreatif.

Mula-mula alasan menjaga moral, kemudian menjaga kepentingan politik.

Kita tentu sukar menerima penyamakan puisi Chairil Anwar, "aku ini binatang..., dari kumpulannya terbuang" atau lagu Selimut Putih (popular sejak 1970-an) digam daripada keudara.

Walau pernah sekali, tahun 2000, sebuah tabloid pembangkang tersohor menyamak perkataan Karl Marx daripada rencana aktivis-pengarah filem Hishamuddin Rais.

Karya yang bertemakan pelacur, anak haram, hubungan sejenis atau wanita simpanan -- sisi-sisi gelap kemanusiaan, intrigue, kemelut atau paradoks dunia mereka -- akhirnya nanti, saya menduga, tidak jauh daripada khutbah moral. Ibarat mutiara nasihat di akhir novel porno Mona Gersang?

Cerpen atau novel untuk remaja kita memang telah lama memakai dasar ini, dasar menyamak budaya agar yang indah sahaja dipaparkan (mungkin wajar kerana dianggap peringkat bawah umur).

Cuma kita hairan apabila mendengar puisi, atau membaca ruangan gosip-gosip artis, yang dikarang seakan-akan dari atas mimbar.

Dengan latar kongkongan seumpama ini, tidak mungkin muncul karya-karya seumpama Ayu Utami walau pasarannya besar (saya percaya) kerana diminati ramai dan mudah difahami.
Pendekatan Ayu juga boleh dijadikan landasan untuk memudahkan wacana serius tentang feminisme, seks, kesetaraan jantina, kapitalisme atau kuasa diturunkan kepada khalayak pop.

Malah mungkin sahaja Si Parasit Lajang layak diharamkan di sini, siapa tahu? -- Fathi Aris Omar, Malaysiakini.com, 5 Januari 2004


P/s: Diangkat dari Selak Lagi :: Blog Kulit Kitab

Minggu Penulis Remaja (MPR)

Oleh Ghafirah Idris


"...masih ada sebilangan penulis produk MPR generasi baru yang masih berbisa kepengarangannya, seperti Siti Hajar Mohd Zaki, Muhammad Lutfi Ishak, Mohd Jimadie Shah Othman, Salman Sulaiman, Wan Nor Al-Tasnim Saad, Fahd Razy, Khairul Nizam Raub, Ida Munira Abu Bakar, Nimoiz T.Y dan yang terbaru Nor Ashikin, Abdul Rauf Baharuddin, Ukuza, Amir Mukhriz dan Ammar Gazali..."



Fokus Dewan Sastera bulan ini ialah berkenaan penulis muda. Malah kolum Karyawan Bulan Ini turut menampilkan seorang tokoh penyair dari kalangan penulis muda- Shamsudin Othman (cikgu saya masa kat MPR04).

Tentunya paling teruja ialah ketika membaca tulisan Saudara S.M Zakir tentang pergerakan penulis muda. S.M Zakir membahagikan pergerakan penulis muda sekitar 1990-an hingga 2005 kepada empat kelompok, iaitu Angkatan 21, Alumni MPR, Sekretariat Penulis Muda GAPENA dan Biro Penulis Muda PENA. Beliau menceritakan secara agak terperinci sejarah penubuhan keempat-empat kelompok pergerakan penulis muda ini.

Namun, apa yang paling menarik perhatian saya tentunya tulisan S.M Zakir tentang kelahiran Kelab Alumni MPR yang dibentuk di bawah naungan DBP.

Kelab Alumni MPR ditubuhkan sempena 10 tahun MPR. Tokoh yang menggerakkan penubuhan Kelab Alumni MPR ini ialah Allahyarham Dr. Othman Puteh, di samping Ayob Amin di DBP, serta pembimbing MPR pada masa itu seperti Rahman Shaari dan Ali Majod. Kelab Alumni MPR ini ditubuhkan pada 31 Mei 1997 dengan Presiden pertamanya ialah Hizairi Othman, timbalan presiden Uthaya Sankar SB, dan setiausahanya Ade Irma Che Leh.

Kelab Alumni ini mempunyai barisan kepimpinan yang terdiri daripada penulis-penulis muda yang ghairah menjalankan aktiviti dan sangat aktif di bawah pimpinan Hizairi Othman dan Faisal Tehrani.

(Baca lanjut : Dewan Sastera, Mei- halaman 15-19)

Tahun ini, Minggu Penulis Remaja bakal diadakan lagi seperti tahun-tahun sebelumnya. Dan penulis berjenama MPR @ ahli Kelab Alumni MPR bakal bertambah lagi. Namun sejauh mana peserta-peserta MPR yang bertambah dari tahun ke tahun ini mampu meneruskan kegemilangan penulis-penulis produk MPR seperti Faisal Tehrani, Hizairi Othman, Saharil Hasrin Sanin, Shamsudin Othman, Zaen Kasturi, Nisah Haron, Salina Ibrahim dan Uthaya Sankar SB sering menjadi persoalan.

Suatu ketika dahulu, MPR dilihat sebagai platform yang mampu melahirkan penulis-penulis muda yang membanggakan dan ia dilihat sebagai program yang amat mengesankan dan berjaya. Namun, cahaya kegemilangan penulis-penulis produk MPR generasi baru saban tahun dilihat seakan hampir malap. Amat sukar menemukan penulis-penulis MPR generasi baru yang aktif berkarya.

Namun tidak dinafikan, masih ada sebilangan penulis produk MPR generasi baru yang masih berbisa kepengarangannya, seperti Siti Hajar Mohd Zaki, Muhammad Lutfi Ishak, Mohd Jimadie Shah Othman, Salman Sulaiman, Wan Nor Al-Tasnim Saad, Fahd Razy, Khairul Nizam Raub, Ida Munira Abu Bakar, Nimoiz T.Y dan yang terbaru Nor Ashikin, Abdul Rauf Baharuddin, Ukuza, Amir Mukhriz dan Ammar Gazali.

Namun bilangannya sangat sedikit dan ini dilihat sebagai suatu fenomena yang kurang sihat. Amat merugikan setelah peserta-peserta MPR diberi pendedahan tentang pelbagai perkara yang menyentuh soal penulisan dan sastera, selain dibimbing dan berpeluang bertemu dengan penulis-penulis tersohor termasuk Sasterawan Negara, mereka masih tidak mahu menulis.

Apakah faktor utama yang mendorong kepada masalah ini?

Saya berani menyatakan bahawa kebanyakan mantan MPR generasi baru yang masih menulis hingga kini adalah penulis-penulis yang mempunyai sikap dan jati diri kepengarangan yang kukuh. Kebanyakan daripada mereka ini sudahpun mempunyai kesedaran dan minat yang mendalam terhadap dunia penulisan sebelum menyertai sebarang bengkel lagi.

Sikap yang betul. Itu faktor terpenting yang mendorong kepada kesinambungan karya mereka. Bengkel dan apa jua program penulisan hanyalah bertindak sebagai pemudah cara, pembimbing, dan pembuka jalan, selain memberi pendedahan yang sejernihnya terhadap penulisan dan sastera. Selebihnya, ia bertitik-tolak atas sikap, keinginan dan kesungguhan penulis itu sendiri. Itu sangat saya percaya.

Buat kawan-kawan dan adik-adik yang bakal menyertai Minggu Penulis Remaja ke-19 pada tahun ini, semoga anda tidak hanya menjadi pembawa jenama MPR yang sia-sia, tetapi berjaya menggunakan segala ilmu dan pengalaman yang anda perolehi sepanjang MPR nanti untuk berjaya lahir sebagai penulis yang berkualiti, cemerlang dan berperibadi tinggi. Insya Allah.


***********

MPR Lagi!!

Tengah hari tadi saya terima dua SMS. Satu daripada adik saya, Shaafiqah dan satu lagi daripada seorang teman yang saya kenali di Temu Sastera IPT, Khairun Nasriah (Nasa Natrah). Kedua-duanya berjaya ke Minggu Penulis Remaja 2005.

Agak mengejutkan juga Shaafiqah terpilih ke MPR. Agaknya Kak Salina ambil nama dia daripada Majalah Fokus Februari yang menyiarkan cerpen sulungnya bertajuk Laluan Impian. Saya pernah menyatakan hasrat kepadanya untuk mencadangkan namanya ke MPR, namun dia menolak. Alih-alih, pagi tadi terima panggilan telefon dari DBP. Hehe. Keputusannya? Masih atas pagar. Pergi atau tidak, saya serahkan bulat-bulat kepada budi bicara tuan empunya diri.

Buat Nas, Tahniah! Semoga lepas ni, lebih giat dan bersemangat untuk menulis!


(Ghafirah : Manisnya mengenang MPR 04)


Sumber: sinar di hujung pena :: blog Ghafirah Idris

Gema Suara Merdeka yang Bergema

Oleh Ghafirah Idris


...Lepas ambik Abg Faisal dan Abg Zakir, dalam renyai-renyai hujan, saya jemput Jimadie yang sedang hisap rokok bawah tangga besar (kami panggil tangga Firaun). Dia berbaju melayu merah terang, dengan rokok di tangan. Saya pernah tanya dia apa yang best sangat hisap rokok tu? Dia jawab, seperti si penyair yang rindu nak baca puisi. Lepas ambik Jimadie, Nas suruh jemput Attok dan Abg Rahimidin Zahari. Sekali lagi saya ke tangga besar. Juga dalam renyai hujan, tanpa payung... TEKS PENUH


Sumber: sinar di hujung pena :: blog Ghafirah Idris

Penulisan Cerpen Tolak fahaman konvensional

Bahagian Akhir

Oleh S.M ZAKIR



PENULIS diindividukan melalui teks, sama ada di dalam pergelutannya menentang pengaruh atau krisis transisi atau di dalam menjalinkan pandangan dan ruang.

Blooom menyebut, ``the will to utter permanent truths of desire, and to utter these within a tradition of utterance.''

Teks ada kalanya diganggu oleh pertanyaan-pertanyaan yang tidak terjawab dan ini melanjutkan proses pemahaman oleh alegori atau pencarian daripada pembacaan. Teks adalah kepastian yang wujud di dalam skeptikaliti.

``Apabila sesuatu kepastian itu dipersoalkan, kepastian akan menjadi bukan kepastian. Maksudnya tiada yang mutlak dalam setiap perkataan yang berkaitan dengan idea. Keraguan akan sentiasa menambahkan kepintaran.''

Petikan ini dilihat menjadi quaestio atau titik bahasan yang membina tubuh cerpen Teks karya Jimadie Shah Othman. Keseluruhan cerpen ini akan pergi dan datang kembali kepada titik quaestio ini. Ia menjadi pusat kepada teks dan putaran persoalan yang dikemukakan oleh Jimadie.

Jimadie bermain dengan realiti yang paling dekat dengan mewujudkan watak dirinya hidup bersama teman-teman seuniversiti, Guntur dan isterinya Baiti, dan Samad di dalam rumah sewa yang mereka kongsi bersama.

Seperti Saharil dan Lutfi, Jimadie juga mencemuh realiti tetapi mungkin tidak sekasar Saharil dan Lutfi. Cemuhan Jimadie terhadap realiti terikat kepada de jure teksnya.

Cerpen ini bergerak spontan mengisahkan hidup sehari-hari aku, bermain play station di rumah, mencari nasi ketika perut lapar, makan di warung mamak bersama Guntur dan Samad dan berbincang tentang idea-idea besar dunia seperti zaman pencerahan dan sebagainya.

Dalam kespontanan ini, Jimadie perlahan-lahan mengetawakan realiti. Sebagai contoh melalui petikan ini, ``Hari-hari ada kempen suruh orang berhenti merokok. Tapi kami tak nak berhenti. Kami nak hisap rokok.''

Pada pertengahan cerita cerpen ini mula mewujudkan ruang kacaunya, apabila aku yang percaya kepada Immanuel Kant dan Jurgen Habermas mula dikaburi unsur-unsur symptomal subject iaitu simptom ketegangan subjek perlahan-lahan dilontarkan oleh Jimadie ke dalam cerpennya.

Aku mula keliru samada dia sedang bermimpi atau bukan. Kemudian perlakuan berulang-ulang pun muncul seolah-olah aku berada dalam mimpi.

Kekeliruan mula mengharubirukan kepastian. Aku sekejap masuk sekejap terkeluar dalam dan dari teks. Aku mula pecah menjadi tenaga mutlak yang berulang dalam proses kehidupan.

Klimaksnya preteks, konteks dan teks berculang-caling melewati perlakuan aku dan aku kembali kepada kepastian yang menjadi bukan kepastian lagi. Pada tahap ini Jimadie kembali kepada titik quaestio iaitu `keraguan akan sentiasa menambahkan kepintaran'.

Cerpen Teks ini seperti filem Matrix yang diperkatakan di dalamnya juga bermain dengan bullet time yang mencirikan suatu bentuk teks pascamoden terutama fenomena simulacrum yang dipopularkan oleh Jean Baudrillard.

Fenomena simulacrum empat tahap ialah: pertama refleksi daripada realiti asal; Jimadie mewujudkan Teks daripada refleksi kehidupan realitinya.

Kedua, ia menopengkan atau memutarkan realiti asal; Jimadie mewujudkan wacana yang mula mengaburkan realiti. Ketiga, ia menjadi pengganti kepada ketidakhadiran realiti asal; Jimadie mewujudkan aku yang keliru yang menanggap dia sedang bermimpi.

Keempat, ia tidak berkaitan lagi dengan realiti dan menjadi simulacrum sepenuhnya; Jimadie mewujudkan peristiwa berulang-ulang dan ia betul-betul sekarang berada dalam mimpi.

Jimadie bukan mengada-adakan ceritanya, tetapi dengan sengaja telah mempertembungkan realiti dengan non-realiti dan akhirnya menggantikan realiti tersebut dengan apa yang disebut sebagai simulacrum.

Cerpen ini bukan mencemuh realiti tetapi menggantikan realiti dengan sifat revolusionernya yang jelas.

Age somniemus, (andaikan kita sedang bermimpi) satu maxim Latin yang masyhur yang menyifatkan meditasi atau mimpi akan membina dunia yang baru. Imaginasi dan mimpi berlangsung dalam satu set aturan yang sama.

Fungsi mimpi atau imaginasi sebagai penghasil lambang merupakan satu usaha untuk melahirkan fikiran asli manusia. Fikiran asli atau psiki primitif adalah sesuatu yang berkaitan dengan kewujudan dan asal usul kemanusiawiannya.

Ia membentuk apa yang disebut sebagai, `keseluruhan peribadi manusia'. Fikiran asli ini mungkin tertimbus ketika berlakunya proses pembesaran manusia daripada peringkat bayi kepada orang dewasa.

Peringkat bayi adalah peringkat ketidaksedaran dan ruang psiki primitif. Ketika manusia membesar, perlahan-lahan dia mengembangkan peringkat kesedarannya.

Fikiran sedarnya ini kemudian perlahan-lahan kehilangan hubungan dengan tenaga psiki primitif dan fikiran aslinya terbuang sewaktu proses pengembangan kesedaran itu menjadi kompleks. Imaginasi dan mimpi hadir sebagai usaha manusia untuk memperolehi kembali fikiran aslinya.

Keempat-empat buah cerpen ini ternyata mengembangkan ruang psiki yang cukup baik dalam melihat fungsi sastera sebagai set aktiviti yang memandu realiti dan bukan dipandu realiti yang merupakan ruang statik yang tidak mampu berubah tanpa adanya pergerakan unsur lain.

Keempat-empat cerpen ini memperlihatkan sifat revolusioner dan radikal yang mengkesampingkan segala bentuk konvensi cerpen.

Para penulis ini membuktikan bahawa cerpen tetap adalah cerpen walaupun tidak mempunyai set atau struktur mekanikal yang konvensional itu.

Keberanian untuk berubah ini telah menolak fahaman konvensional daripada konsep tradisi dulce et utile yang terikat kepada set realiti yang statik.

Ini mengakibatkan tiga buah cerpen yang tersiar pada tahun 2003 ini tersingkir daripada pemerhatian panel hakim untuk menerima penghargaan kesusasteraan.

Penilaian Hadiah Sastera memperlihatkan langkah yang kembali ke belakang dengan kebanyakan cerpen yang menerima anugerah memenuhi konsep `yang manis dan yang berguna' dan membawa suatu bentuk simplicity.

Karya-karya yang dilihat bergerak ke depan dengan keberanian yang revolusioner disingkir akibat pembacaan satu sisi yang tidak memperlihatkan pandangan jauh yang berani.

Dunia sastera menjadi paradoks apabila suara yang mahukan karya garda depan (avant garde) adalah suara yang juga menolak pembaharuan yang berani dan revolusioner.

Satu skema yang terlalu rigid dan terikat dengan set nilai-nilai murni dari sisi etik dan moral kadang-kadang melupakan kita tentang karya-karya agung yang lahir daripada penentangan terhadap set nilai itu sendiri.

Set nilai yang menjadi skema penentuan karya sastera terbaik di Malaysia menjadi anakronistis dan terperosok dalam gelung yang suram apabila paradigma dari dekad lampau masih menjadi nilai ukuran pempiawaiannya.

Pemilihan karya-karya yang terbaik tidak harus terperangkap dalam set nilai-nilai murni yang terikat dengan konteks politik mahupun sosial, tetapi set nilai-nilai murni harus berdiri di dalam konteks kesusasteraan yang asli. Iaitu konteks keradikalan dan revolusioner.

Penentuan cerpen mestilah sebuah cerita juga perlu dilihat jauh. Cerpen juga adalah bahan sastera dan sastera adalah bahasa. Bahasa juga adalah kuasa. Di dalam bahasa wujud dua unsur iaitu langage (language) suatu bentuk legislatif dan langue (speech) satu bentuk kod.

Langue menyalurkan suatu bentuk kuasa sedang langage adalah fakulti semulajadinya. Sebagai bahan sastera, cerpen juga perlu memperhatikan sisi yang lain selain daripada penyampaian cerita dalam bentuk konvensional. Kerana sastera juga menyampaikan `kuasa'.

Jika kita masih terperangkap dalam ketertutupan set-set nilai, norma dan struktur yang berwajah satu sisi ini, maka ketika dunia lain sedang maju melangkah ke hadapan, dunia sastera pula mundur melangkah ke belakang.

Age somniemus, andaikan saja kita sedang bermimpi. Dan, kita sedang memasuki sebuah dunia baru.


Sumber: Mingguan Malaysia


P/s: Tulisan ini merupakan siri terakhir daripada empat siri artikel SM Zakir mengulas empat cerpen penulis muda Malaysia yang beliau kira garda depan. Dalam siri terakhir ini beliau mengulas langsung cerpen saya Teks yang terbit di Mingguan Malaysia, Ahad pertama Jun 2004.

Jumaat, Januari 20, 2006

Salam Puisi

Salam Puisi
salam fikir
salam dari sanubari
salam mohon dimampir

bukan salam mabuk bikir
bukan salam anak pandir

salam kami memperingati zikir
tapi tuan tak hadir-hadir

salam ini bukan untuk siapa-siapa
yang hidup, mati atau yang jatuh kuda
salam

"assalamualaikum"

MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN



Sumber: Forum Kreatif, Idealis Mahasiswa.


P/s: Ini merupakan sajak (kalau boleh dikata begitu) pertama yang saya baca di pentas beberapa tahun lalu semasa masih belajar di matrikulasi Universiti Malaya. Barangkali tahun 1999. Kali pertama membaca bersama Mohd Fakarul Razi.

Kampus Gedung Sasterawan

Oleh ANJAN AHZANA


TULISAN ini barangkali boleh mengangkat sejumlah besar nama penulis baru yang diyakini boleh membentuk segerombolan baru bagi mengarusi kesinambungan penulis yang datang dan pergi bagi setiap kurun.

Di bawah program pengembangan penulis baru khususnya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak harus dipertikaikan malahan wujudnya pelbagai program seperti Minggu Penulis Remaja (MPR), dan penerbitan majalah Tunas Cipta yang dikhaskan untuk memberi ruang kepada bakal penulis baru seperti mahu melengkapkan tanggungjawab itu.

Cuma keberkesanannya ke arah pembinaan jati diri penulisnya, di samping kesannya kepada mutu pengkaryaannya sama sekali harus dilihat secara lebih mendalam. Ada baiknya, pada tempoh lima tahun pertama penerbitan majalah ini, biarkan seramai mungkin anak muda menulis tanpa dihiraukan mutunya selagi layak dipanggil karya tetapi proses pembesaran harus dikawal dan sesudah itu sampailah waktu untuk mengemas kini kualiti karya di dalamnya pada tahap yang sepatutnya.

Penerbitan majalah Tunas Cipta, terbitan DBP yang dikira tepat kepada penulis baru dan agak kurang diberi perhatian oleh sebilangan besar para penulis tanah air.

Lantaran yang mengisi ruangnya ialah tangan penulis baru yang rata-ratanya agak ketinggalan dari segi mutu, teknik dan gaya penulisan tetapi apa yang lebih penting dan harus dilihat adalah hasrat yang mahu disampaikan dalam suara anak muda ini. Apa sebenarnya yang mereka mahukan dalam karyanya?

Bermula dari pertengahan tahun 2001, Tunas Cipta membuka laluan kepada semua anak muda yang mahu berjinak dalam dunia penulisan hinggalah ke hari ini laluan itu masih dilanjutkan, dengan tujuan meramaikan lagi khalayak menulis.

Dimaklumi bahawa kerja menulis adalah kerja murni dan kemurnian itu sebenarnya jalan kepada pembentukan warga yang berjasa.

Yakni yang mengetahui tanggungjawabnya kepada dirinya, kaum keluarganya malah ke peringkat lebih tinggi ialah kepada bangsa dan negaranya sendiri. Justeru antara matlamat lain yang harus ditekankan dalam dunia penulisan adalah kemurnian yang akhirnya mampu memurnikan seluruhnya. Pasti, melalui penulisan hasrat itu boleh dikemukakan dengan daya kekreatifan masing-masing.

Hinggalah dari tempoh itu sejumlah besar nama penulis baru telah muncul hasil dari ruang penerbitan itu seperti Muhd. Lutfi Ishak, Salman Sulaiman, Zanazanzaly, Rozais al-Anamy, Jimadie Shah, Wan Nor al-Tasnim Saad, Ghafirah Idris, Amalia Fauza Bohari, Ida Munira Abu Bakar dan Isa Romtie.

Tidak ketinggalan nama-nama seperti Zurairi Hanip, Wan Azman Wan Mamat, Dilah Tuah, Luciana Benjamin, Mohd. Salleh Hussin, Nur Hidayah Asari, Norizam Jamian, Noraini Othman, Sriwati Labot, Suhaila P. Mas, Rosmaini Mustafa, Catherine Tan May Lik, Nazira Mohd. Nur, Ruhana Md. Zaki, Ms. Dynn Marzuki, Azmoley Mohamed Aziz, Ummu Hani Abu Hassan, dan pelbagai nama-nama yang tidak diketahui dari mana datangnya.

Di sebalik nama tersebut - ramai yang lahir dari pelbagai program penulisan yang dianjurkan sama ada oleh badan induk DBP atau mana-mana persatuan penulis di seluruh tanah air. Selebihnya terbit daripada minat yang mendalam dalam diri seterusnya mengirimkan karya mereka dengan tujuan mendapat penyiaran di mana-mana media dan Tunas Ciptalah yang paling sesuai bagi peringkat permulaan ini.

Namun begitu, sudah pun berlaku fenomena di kalangan penulis baru ini gejala tumbuh-lenyap-hilang yang akhirnya mengganggu proses penerusan pengkaryaan dari satu tahap kepada tahap yang tinggi yakni dalam kematangan berkarya.

Adalah perlu dilihat kepada perkembangan sastera yang berlaku di kalangan mahasiswa negara jiran khususnya Indonesia, meskipun bukan tujuan mendewakannya tetapi kadangkala iktibar harus diambil sebagai usaha baru dalam pembenihan ke arah menumbuhkan nilai positifnya dengan menjenguk cara pendekatannya kepada golongan muda.

Agenda kesasterawanan seperti Sasterawan Bicara, Siswa Boleh Bertanya, dan Sasterawan Bicara, Mahasiswa Membaca yang telah dimulakan di beberapa universiti di Indonesia adalah terlalu baik dalam usaha mengembangkan minat dan bakat penulisan di kalangan mahasiswa mereka melalui pendedahan tersebut.

Pasti keluar masuk sasterawan mereka seperti Taufik Ismail, Hamid Jabbar, Supardi Djoko Damano, W.S Rendra, Emha Ainun Nadjib, Djamal D. Rahman, dan lain-lain lagi. Malahan budayawan seperti Asrul Sani, Novia Kolopaking ke kampus pasti meninggalkan sesuatu yang berharga ke dalam tubuh mahasiswa.

Di negara kita pada umumnya kekuatan mahasiswa lebih terserlah dalam soal kepimpinan atau kejayaan menjalankan program atau sebarang aktiviti kemahasiswaan dan selebihnya menerbitkan sekelompok mahasiswa yang memperjuangkan politik partisan.

Bakinya mahasiswa bermatlamatkan masa depan akademik, malahan ada sesetengahnya memilih untuk berada dalam ruang cacamarba yakni tanpa memiliki matlamat yang jelas atau disemat aspirasi tersendiri dalam melihat prospek diri.

Alangkah baiknya, ruang penulisan yang ada masa kini diambil perhatian oleh mahasiswa seluruhnya untuk sama-sama menyampaikan idea, pendapat, pandangan atau yang lebih maju adalah dengan menelaah karya sastera seterusnya menjadi salah seorang penulisnya untuk menikmati jurus dan posisi keindahannya.

Ruang mahasiswa yang sebenarnya tersedia untuk diisi dengan agenda kesasterawanan sewajarnya mencetuskan kesedaran betapa saluran ini boleh dijadikan pemangkin kepada pembentukan intelektualiti, kepekaan kepada peluang serta nilai kemanusiaan yang lebih murni yang akhirnya menumbuhkan nilai positif dan lebih bersifat benificial kepada khalayak mahasiswa.

Justeru, pimpinan mahasiswa melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di seluruh negara harus memulakan pendekatan ini dengan menjalin kerjasama dengan pihak yang berkuasa dalam bidang penulisan terutamanya DBP, GAPENA, atau mana-mana persatuan yang boleh dihubungjalinkan bagi merancang sesuatu program atau aktiviti yang menjurus kepada perkembangan dunia sastera selain membantu mengemukakan sebarang isu sastera mutakhir.

Lantaran itu pelbagai program seperti Mahasiswa Mendekati Sastera boleh dilaksanakan jika kecenderungan ini berlaku secara pantas di dalam kampus. Barangkali hayat usia sasterawan negara seperti A. Samad Said, dan yang mutakhir seperti S. Othman Kelantan tidak boleh dibiarkan hanya usai di hujung pena begitu sahaja tanpa ada impak kepada pembentukan karakter masyarakat muda.

Lantas, penulis-penulis baru yang masih berada di kampus sebenarnya mampu membina dominasinya tersendiri. Lalu, proses pembentukan kumpulan kecil yang boleh dimajukan sebagai platform ke arah proses pembesaran jika adanya perhatian dan galakan daripada pihak pentadbiran universiti.

Malah pimpinan pelajar sendiri dengan menjadikan agenda kesusasteraan sebagai wahana penting kepada pengembangan intelektual mahasiswa dan susilanya berserta world-view terhadap sebarang isu yang berlaku di dalam dan luar negara.

Diyakini bahawa penyertaan mahasiswa secara menyeluruh dari seluruh institusi pengajian tinggi di negara ini kepada dunia kesusasteraan akan membuka jalan penyelesaian terhadap masalah pembaca sastera yang makin terhad.

Untuk membaca sastera yang tinggi malahan absurd kadangkala memerlukan keupayaan intelektual yang jua sama dan itulah yang diharapkan berlaku dalam masyarakat kampus.

Lantaran orang dari kampus jualah yang banyak membuang masa berdampingan dengan telefon bimbit, chatting, coupling, dan beberapa aktiviti yang tidak memperlihatkan energi mahasiswa sebenar dan tanggungjawabnya kepada dunia ilmu.

Penglibatan mahasiswa secara serius dalam bidang sastera atau mana-mana penulisan ilmiah mampu membawa perubahan dalam mengubah tahap pemikiran mereka agar beralih kepada mengenal khazanah seni.

Ini akhirnya mampu memberi tahap pengetahuan luas, membentuk pemikiran kritis, dan menggerakkan daya kreativiti selain mengisi ruang kemahasiswaan untuk berdiskusi soal sejagat dan hubungannya kepada perkembangan masyarakat.

Penelaahan terhadap bahan ilmiah dan khazanah sastera ini menjadikan mahasiswa lebih mampu menguasai sejarah keagungan bangsa Melayu dan latar belakang bangsa yang boleh dikenal melalui karya sastera demi melahirkan semangat cintakan negara dan membina susila perpaduan.

Secara optimis, jika ada hubungan antara persatuan pelajar dari seluruh universiti di negara kita untuk berkerjasama dengan birokrasi kerajaan seperti DBP, dan persatuan penulis seperti Gapena, Pena atau mana-mana persatuan negeri.

Pastinya akan berlaku satu gelombang besar-besaran mengajak kelompok mahasiswa untuk mendekati sastera. Lantas, ada kemungkinan wujudnya gerombolan baru penulis muda yang menjadikan kampus sebagai pusat pengembangan sastera dan atmosfera ilmiah.

Lalu mampukah mengambil alih cara hidup mahasiswa masa kini yang lebih bersifat antiintelektual dan anti-establishment, dan lebih mendukacitakan ada segelintir atau makin bertambah di kalangan siswa lebih suka memilih kota lifestyle sebagai cara penggantungan rohani untuk melekatkan diri mereka di pusat hiburan dan secara beransur menuju kepada eskapisme.

Maka, kekosongan ruang sastera perlu mengisi mereka untuk melahirkan masyarakat muda yang murni. Selain, karya yang bermutu turut mengimbangi kepada pertumbuhan masyarakat yang susila.


Sumber: Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir


P/s: Tulisan ini pernah dimuatkan dalam Mingguan Malaysia sebelum diangkat ke Web e-PMRAM.

IKLAN

Terdapat ralat dalam alat ini

Label

Personal (47) Filem (42) Politik (32) Budaya (21) Sastera (21) Kreatif (16) Agama (15) Blogzine republik KATA (14) Artikel (11) Buku (11) Jalan Telawi (11) Meor Yusof Aziddin (11) Pekak (11) Pendidikan (9) Pencerahan (8) Sejarah (8) Cinta (7) Kewartawanan (7) Lagu (7) Sajak (7) Bahasa (6) Belasungkawa (6) Jimadie Shah Othman (6) Media (6) Teater (6) Blog Foto (5) Deaf Cultures (5) Fiksyen (5) MySL (5) Subversif (5) Anwar Ibrahim (4) Foto (4) Islam (4) Komuniti Pekak (4) Lao Zi (4) Maskara (4) Puisi (4) Tao (4) society (4) Adi Putra (3) Bahasa Isyarat (3) Carutan (3) Cerpen (3) Folk (3) Kemanusiaan (3) Metafizik (3) Rumah Pena (3) A Samad Ismail (2) Ahmad Kamal Abu Bakar (2) Aidil Fitri (2) Amin Iskandar (2) Anugerah Khatulistiwa (2) BN Perikatan (2) Catatan Pinggir (2) Daiyan Trisha (2) Demo (2) Drama (2) Etika (2) Gambar (2) Hamsad Rangkuti (2) Ili Farhana (2) Islam dan Pluralisme (2) Jepun (2) Karam Sikh (2) Komedi (2) Maskara 7 (2) Mikon (2) Mingguan Wasilah (2) Novel (2) PRU 12 (2) Pantun (2) Pas (2) Pramoedya Ananta Toer (2) Sastera Underground (2) Seni Multimedia (2) Seni Persembahan (2) Soceity (2) Sosial (2) Tanggapan (2) Tidak dikategorikan (2) Travelog (2) Utusan Malaysia (2) Yahudi (2) lagu raya (2) pop (2) sam ahmad (2) 'Mantan' Sasterawan Negara (1) 10 x 10: 100 Minutes to Change the World (1) 127 Hours (1) 1957: Hati Malaya (1) 1998 (1) 300 (1) 9 Naga (1) A. Samad Said (1) AEI (1) Ahadiat Akashah (1) Al-Hidayah (1) Allah (1) Amerika Syarikat (1) Amiena Rev (1) Ana Raffali (1) Antara-Agama (1) Apuke (1) Aron Ralston (1) Ashutosh Gowarika (1) Astro (1) BERSIH (1) Balik Pulau (1) Berhala (1) Berita Harian (1) Bibir Dalam Pispot (1) Black 14 (1) Blog (1) Bumi Manusia (1) Bunyi (1) Chairil Anwar (1) Chamil Wariya (1) China (1) Cowboys and Aliens (1) DAP (1) Danny Boyle (1) Datuk (1) Democrat (1) Demonstrasi (1) Denias (1) Dominic Sena (1) Ezam Mohd Noor (1) Fikh Wanita (1) Free Burma (1) Fun (1) GAPENA (1) Gangguan Teksual (1) Gerak (1) Goenawan Mohamad (1) HINDRAF (1) Harry Potter (1) Hassan Abdul Karim (1) Hindi (1) Hollowood (1) Hollywood (1) Ibrani (1) Interview (1) Istana (1) James Franco (1) Jodha (1) KTBM (1) Kakiscript Playwright Competition (1) Karya (1) Katholik (1) Keadilan (1) Kebab Connection (1) Kebebasan Kreatif (1) Komputer (1) Komrad (1) Korea (1) Kristian (1) Kung Fu Dunk (1) La Nuit des Caligraphes (1) Makanan (1) Malaysian Book of Records (1) Mamat Khalid (1) Man Laksa (1) Manga (1) Manifesto (1) Mary Magdalena (1) Mat Sentul (1) Melaka (1) Merdeka (1) Muzik (1) Napoleon (1) Naskhah (1) Negaraku (1) Negarakuku (1) Nick Murphy (1) Nicolas Cage (1) Nopen (1) Novel bersiri (1) Obama (1) P. Ramlee (1) PKN (1) PKR (1) PRM (1) Pakatan (1) Pantoum (1) Papua (1) Pemanasan global (1) Pena (1) Pendidikan Khas (1) Penulis (1) Pilihan Raya (1) Politik Baru YB J (1) Potret (1) Prima (1) Progresive Folk (1) Promosi (1) Psikologi (1) Puchong (1) Pulau Pinang (1) Pushna (1) Rajinikhan (1) Rasuah (1) Razak Moheidin (1) Reformasi (1) Republican (1) Revolusi Kebudayaan (1) Ria (1) Rise of the Planet of the Apes (1) Rock (1) Ron Howard (1) Rudi Soedjarwo (1) Sarawak (1) Sasterawan Negara (1) Satira (1) Season of the Witch (1) Semusim di Neraka (1) Shah Rukh Khan (1) Shamsiah Mohd No (1) Sharif Shaa'ri (1) Shuffle (1) Siasah (1) Sivaji the Boss (1) Soekarno (1) Sosialis (1) SoundCloud (1) Subbudaya (1) Sucker Punch (1) Sukan (1) Syed Husin Ali (1) TV Realiti (1) Taiwan (1) Teman Muhasabah (1) The Da Vinvi Code (1) The Last Life in Universe (1) The Warlords (1) Turki (1) Umno (1) Umno PKR (1) Video (1) Wayang Pacak (1) Woman On Top (1) Xiu Xiu (1) Yeshoshafat Harkabi (1) Yusmadi Yusoff (1) Zack Snyder (1) Zaid Ibrahim (1) adiwira (1) arahkiri (1) berani bercinta (1) dendang buat ibu (1) duta solaris (1) entri yang pernah ditarik balik (1) gig (1) ingin jadi manusia (1) instrumental (1) iseekmusic (1) kotak hitam 5.0 (1) malay mail (1) moi last von (1) puisi jadi senjata (1) ramadan (1) satuarah (1) single (1) zulfikar samsuri (1)