IKLAN

Cari Blog Ini

Rabu, Mac 29, 2006

Luqman 3

Sajak


aku ingin jadi cacing peluru bom pedang bendera
angin
bau dadamu mengasyikkan
letupan epal sang sangkakala
(cebis bibirmu telah kubuang)
aku akan mati dan kau akan
hidup

Budi

Hari ini budi hantar resume seorang perempuan pada aku dengan nota bertulis: a--apa kejadahnya? Ini resume apa? Aku invite dia ke blog ni suruh tulis fasal cerita-cerita yang tak semput aku tulis tentang Perlis negeriku. Tapi dia buat benda lain. Perempuan ni muda lagi. Tak ada gambar. Mengaji tak berapa pandai. Tapi dia perempuan. Budi, aku dah menikah pun. Aku reject nama kau sebagai penyumbang untuk blog ni. Padan muka kau.

Aku masuk kerja lewat hari ini. Bukan sebab berkarya seperti yang lut katakan tapi aku dah rasa jadi robot. Bosan aku adalah bosan yang panjang. Aku bosan dan tidak semua orang suka perubahan. Tak ada salahnya, bukan?

Selasa, Mac 28, 2006

Bosan

Aku bosan tulis blog. Aku bosan bekerja dan bosan dengan kehidupan yang statik. Aku bosan dengan lingkungan dan zon biasa. Kerana itu aku ingin benar melancong atau menyendiri atau lepas dari ikatan apa saja. Itu makna sebenar bebas.Aku melihat gambar-gambar Rumi di Internet. Aku ingin jadi Rumi.Aku mendengar kisah-kisah tentang Abdullah Hukum, aku ingin naik mesin masa dan pulang ke zaman lalu. Atau balik ke hari kelmarin dan tengok keputusan nombor ekor di surat khabar. Hidup sentiasa menghambat. Kenapa hidup tidak pernah cerah dan tenang seperti air?

Foto Pernikahanku

10 Mac 2006

Isnin, Mac 27, 2006

Luqman 2

Prosa

Aku sedar dari situasi separa sureal. Aku rasai pelan-pelan. Bahawa sesungguhnya aku akan menikah dan punya anak.



Aku suka nama Wahyu tapi itu sudah ditempah awal-awal oleh Rahim (entah dia masih gilakan "nida"--gadis gunung atau tidak). Aku suka Ali tapi itu seperti nama kampung dan nanti orang kata aku Syi'ah. Aku fikir aku pilih Rumi. Emme, bini aku kata macam bunyi Rumi dan Juli atau Romeo and Juliet versi Melayu (dan dia tidak kenal Jalaluddin Rumi yang terkenal itu--menari mengingat sang Khaliq).

Bila aku buka TV ada cerita Menteri rasuah. Ada cerita jambatan runtuh. Ada cerita mat rempit kena langgar lori. Ada cerita anak perempuan kena rogol dan ada cerita perempuan muda berzina dengan laki-laki sial dan putus harap pada kehidupan kerana sesudah itu dia menjadi sampah dan ditinggalkan. Aku kasihan pada anak-anak Hawa yang tidak selalu beruntung ini. Mereka disumpah epal Eden, kata al-Kitab.

Malam itu. Agak lewat. Isteriku, aku sayang dia, dan dia telah tidur. Aku lepas membelek (buku) Alexender yang aku beli dekat kompleks beli-belah di Paddy's Market, keluaran Pengiun dengan harga $ 4.75. Murah sekali.

Pemuda gagah itu berjalan meninggalkan gurisan pedang di gurun yang gersang dan menguasai tanah dari Timur dan Barat. Kekuasaannya umpama matahari. Dan dia kehilangan nyawa, dikalahkan Tuhan menjelang usia 32 tahun sahaja.

Biarlah Rumi dikalahkan Tuhan, bukan oleh nasib yang malang.

Maka itu, di kerusi, depan TV yang hampir tamat siaran aku menulis beberapa patah bait dari sajak.



Rumi, aku tidak ingin kau menjadi
cacing.


Esok aku bangun lewat, letih dan tidak pergi kerja dan lusanya Dato' Saleh marah aku dan aku tak tahu.

Luqman

Sajak

Rumi, aku tidak mahu kau menjadi
cacing.

Ahad, Mac 26, 2006

G' Day 3: Paddy's Market

Ada tiga pasar terkenal di Sydney: (1) pasar di The Rocks, (2) pasar di Paddington dan (3) Paddy's Market.

Jumaat, Mac 24, 2006

Dia Turutkan

Kerana kawan yang seorang, kuturutkan....

(Diangkat dari Ke Kebun Kata Seorang Pemain Bahasa, http://pemainbahasa.blogspot.com)


Lebih kurang jam 5 pagi, jumaat lalu - saya tiba di Hentian Puduraya, Kuala Lumpur; bersendiri berkelana. Lelah menunggu Mohd Dahri Zakaria, saya melangkah ke Restoran Anuja, depan Hentian Puduraya. Saya memesan sepinggan nasi lemak & secawan teh tarik. Saya makan seorang diri tanpa Dahri. Saya tak pedulikan orang keliling-kelalang yang barangkali nampak pelik dengan saya yang pagi-pagi buta tak subuh lagi sudah menyuap nasi lemak. Tak kisahlah, janji perut saya yang lapar terisi.

Saya kemudian menempah dua tiket bas Mayang Sari ke Pontian, perjalanan jam 10 pagi. Dahri tiba beberapa ketika kemudiannya dan saya sekali lagi minum segelas air tanpa makan apa-apa bersama Dahri. Kami tinggalkan kota Kuala Lumpur jam 10.12 pagi menuju ke Pontian, Johor. Menghadiri majlis perkahwinan sahabat penulis kami di sana, Mohd Jimadie Shah Othman dengan Emme - watak yang selalu saja ada dalam cerpen-cerpennya. Kami tiba di rumah pengantin perempuan saat imam mula membaca doa selepas akad nikah, setelah beberapa ketika tersesat jauh sampai ke Parit Kudus, walhal rumah pengantin perempuan hanyalah di Parit Semerah.

Malamnya, bersama pengantin lelaki kami bermalam di Hotel Pontian yang terletak berhampiran laut. Rupa-rupanya saya telah sekali lagi ada di penghujung Tanah Besar Asia - tempat yang telah kali pertama saya kunjungi Jun lalu pada majlis Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005. Saya melihat jauh ke tanah seberang sambil berkira-kira untuk sampai ke sana satu hari nanti. Sambil dalam hati sedikit menjerit, "Pulau Karimun - nanti aku datang kepadamu !!!!."

Malamnya, jam satu pagi, saya terlena kerana kepenatan dihingguk bas. Esok, sabtu - majlis persandingan Jimadie sebagai raja sehari. Selepas zohor, kami tinggalkan Hotel Pontian belarak ke rumah pengantin perempuan. Berkali-kali saya disuruh jadi pengapit dan berkali-kali itulah juga saya menolak. Saya hanya memegang hantaran, mengiringi pengantin - melintas jalan & berjalan perlahan-lahan ke atas pelamin di rumah pengantin perempuan.

Di sebelah saya di atas kereta, berkali-kali Jimadie menyatakan dia seperti tidak percaya menjadi suami. Saya pegang keris pengantin yang tersarung dipinggangnya, "Laksamana Hang Tuah." Kata saya dicampur sedikit jenaka. Dia cantik dan tampan dalam sepasang baju pengantin berwarna hijau pucuk pisang.

Petang itu juga kami terpaksa meninggalkan sahabat ini bergembira dengan hidup barunya sebagai suami. Saya memeluknya erat sebelum kami berpisah. Jam 4.30 petang, saya bersama Dahri tiba di Stesen Bas Pontian setelah dihantar Fakri [teman akrab Jimadie di Perlis, yang saya kenali lama dulu, saat mengunjungi anak-anak Teater Republik Cinta di rumah Jimadie di Arau] dengan Perodua Kenari isteri Jimadie.

Perjalanan kami ditunda ke jam 7 malam kerana kata si penjual tiket, penghawa dingin bas rosak. Walhal elok saja bas yang kami naik tu. Tak bergerak-gerak dari jam 5.30 petang tadi lagi. Tak nampak orang baiki pun, tak nampak bas lain datang pun. Rupanya dia tunggu orang ramai sikit untuk bertolak. Hemhhhh, taktik berniaga. Lain kali cakap la betul-betul, tak cukup orang nak jalan - tak payahlah tipu-tipu kata bas rosak.

Sambil menunggu perjalanan balik ke Kuala Lumpur jam 7 malam nanti, jam 6.13 petang sabtu itu [11 Mac 2006], saya kirimkan sms terakhir kepada akrab saya yang baru bernikah ini;

"Assalamualaikum, Die, moga kau bahagia dengan kekasih dunia akhiratmu, Emme. Ini saja yang dapat kuberikan untukmu - mengingati & menghadiri saat kau beraja sehari. Tak dapat lagilah kita 'ngembara bersama. Kawan, kudoakan kau berbahagia dengan redha Allah dunia & akhirat. Izinkan kuteruskan 'ngembara ini, sendiri-sendiri."


Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM,
Sungai 2, Minden.
7.31 malam - 14 Mac 2006, Selasa.
Bersamaan 14 Safar 1427 H.

G' Day 2

Telefon

Cerita pondok telefon, seperti dalam filem-filem Inggeris dan filem-filem thriller Jepun, kita selalu disogokkan dengan babak bercakap di pondok telefon. Seperti juga dalam The Matrix--telefon jadi kunci ke dunia Matrix.

Kalau tak salah aku, kami pulang dari Paddy's Market petang itu. Kami rancang balik ke hotel dan simpan barang-barang (yang dibeli)yang bikin bini aku gelap mata. Paddy's Market--anda boleh dapat enam batang pen bertulis Australia dengan hanya dua dollar. (Sebahagian besar duit kami habis di situ).

Pondok telefon itu dekat dengan pondok polis yang asalnya aku mahu ambil gambar di depannya (menarik, bangunan tersebut macam pejabat United Nations). Aku juga asalya nak ambil gambar sambil posing pegang gagang [telefon]. Tapi bila aku nak pegang gagang dia yang aku rasa tak pernah ada vendalisme tu, aku nampak ada dua butang--satu yang pernah aku lihat [di Malaysia] dan satu lagu yang tidak pernah aku lihat.

1) Telephone
2) SMS

Aku tak sangka ada telefon awam boleh SMS di negara kanggaru ini. Bayarannya 20 sen untuk setiap SMS. Aku taipkan "I Love U - Adie, Sydney", tekan send dan taipkan nombor telefon bini aku.

Sayang, ruang dia tak cukup aku nak bubuh nombor telefon bini aku sebab banyak sangat nombor dia bila masukkan kod negara sekali.

Aku rasa nak hisap Marlboro Light yang berharga hampir RM 18 duit Malaysia. Tapi aku tak hisap. Aku berjalan sepanjang Golburn Street. Berpimpinan tangan.

Selasa, Mac 21, 2006

G' Day

Aku tulis e-mel ini ketika di Lapangan Terbang Syedney. Aduh, alangkah menariknya. Aku suka sekali kota ini. Sydney hari ini tenang. Aku tidak tahu mengapa, jalan rayanya okey-okey saja. Tidak macet macam Kuala Lumpur. Juga kotor, tetapi tidak seteruk KL. Orangnya sama saja. Ada yang macam civilized dan ada, banyak juga (barangkali orang Asia) yang tidak. Aku baru lepas check ini. Menunggu masa untuk balik. Ada lagi 40 minit. Bagusnya. Di sini internet pun percuma.

Nasi pun sedap walau ada satu kedai Melayu saja di kota ini--Mutiara Cafe kepunyaan Hjh. Mebia. Wajahnya Melayu tipikal walau aku rasa dia tidak lagi berbahasa Melayu. Pekerjanya yang Cina, bertudung litup nampak menarik dan canrik sekali. Merah warnanya.

Semalam aku dan isteri ke sana (sebenarnya setiap hari pun) begitu gembira.

"Nasi," kataku.

"Boleh cakap Melayu?"

Dia kata dia Cina

* * *

Aku masuk kedai Siam dekat Chinatown. Emme tak pakai tudung ari ni (dan di sini). Ada tulis "SELAMAT DATANG" depan kedai tu. Bangganya aku.

Bila pintu ditolak, perempuan muda peramah tu kata, "sawadi kap."

"Kap sawadi," jawabku.

Kemudian bila dia tanya lagi aku dah tah faham.

"I thoght your Thai."

"I'm from Malaysia," kataku.

Ada seribu cerita di Sydney. Tentang bahasa (dan bangsa) saja sudah ratus-ratus.

Semalam orang bergaduh di Bondi Beach dan semalam orang berpakaian hijau, bertopi clown, mabukan dalam Cityrail, tertawa.

Rabu, Mac 08, 2006

Belasungkawa



Ada kredit untuk Saudara, Tuan Tanah, saya merujuk entri saudara "Noktah" bertarikh 3 Mac, saya juga lama ingin menggunakan perkataan ini: Belasungkawa--kepada hidup bujang yang penuh bahagia. Kami menikah Jumaat ini di Pontian. 18 ini kami terbang ke negara kanggaru. Australia namanya. Di hujung dekat pelabuhan kapal-kapal mewah dunia berlabuh. Dariling Harbor. Atas titi batu, melihat matari melemas di lautan, aduh, alangkah bahagianya!

Selamat tinggal hari-hari bujang yang panjang. Aku mengenang imaginasiku dulu yang sering pecah.

Pembaca-pembaca blog sekalian, mengambil kesempatan ini saya perkenalkan bakal isteri saya Emme, seperti gambar di atas. Gambar tersebut diambil tepat 1 Mei tatkala para demonstran membakar jalan raya. Benar, itu hari buruh yang menyala. Kami fi Fraser Hill, melancong dan melepaskan rimas kota. Membumbu kasih. Mengikat janji untuk hari menanti.

Jumaat ini adalah imaginasi kami pada hari itu.

Ahad, Mac 05, 2006

Sydney 5

Beliau, Motokar



Dia telah aku panggil beliau--telah mengumpullah akan ia lapan orang manusia. Kesemua mereka orang Melayu. Beberapa orang laki-laki dan beberapa orang wanita.

"Bini kita sembunyi dulu," bisik dia pada aku ketika orang lain asyik makan nasi lemak.

Beberapa orang perempuan. Seorang army mencatat minit dan seorang ustaz dan seorang Cina. Jam melewati tengah malam. Aku terbayang muka-muka jam yang ditampal di laman-laman blog belakangan ini.

Aku berpakaian putih, berseluar hitam seperti peguam. Seorang laki-laki umur pencen masuk dan berkata, "saya bukan orang politik dan tak ada cita-cita politik."

"Saya telah berkecimpung dalam dunia ini sejak enam tahun lagi. Saya berdiri atas bahu bapa, tarik bendera Tanah Melayu bila Tunku takbir merdeka tiga kali."

"Sahabat-sahabatku, kita bercakap tentang 300 juta ringgit. Satu dunia. 27 juta penduduk dan sebuah motokar," katanya lagi, kegelisahan tanpa rokok Marlboro yang menyala.

Jumaat, Mac 03, 2006

Sydney 4

Bini Kau atau Bini Aku



"Bini kau atau bini aku?"

Lepas jumpa bini kau, baru kau masuk. Sekarang ni biar bini aku jadi dulu," kata aku.

Aku pow lagi sebatang Marlboro dia.

"Tapi kita bukan suku sakat Anwar," katanya.

"Dan dia bukan kaya pun," kata aku.

b

Dia nak buat Parti Anwar Ibrahim sebab orang keliru tengok bendera Pas dengan bendera keADILan. Tambahan lagi bila cetak hitam putih. Kami nak letak muka Anwar jadi logo, jadi bendera.

"Anwar nak masuk keADILan biarlah. Aku nak buat Parti Anwar Ibrahim bukan ada kena mengena dengan dia."

Berbual dengan laki-laki ini memabukkan aku.

Sayang, sudahlah tengok jambatan hitam tu. Jom kita kita balik tidur dekat campur mengawan di hotel.

Aku berdoa agar bini aku mendengar suara batinku ini.

Laki-laki itu telah sewakan bilik untuk kami untuk malam itu di Travelodge. Esok senang kami nak jalan kaki pergi Oxford Steet.

"Bila aku boleh balik Malaysia."

Ia diam. Ia cuma menghisap rokok.

Bini--maksudnya perempuan yang ada apel--warna hijau. Kena gigit.

Sydney 4

Parti Anwar Ibrahim



Kami bertemu di Travelodge Syedney. Malam. Kedai-kedai telah tutup. Ia seperti yang aku lihat dari pamflet-pamflet perlancongan. Kami baik. Aku bimbang. Sebab: Lepas kami baik, kami akan bergaduh.

Musim luruh sebenarnya. Aku dalam pakaian lusuh. Bini aku masih nak jalan-jalan di Opera House. Harga tiket ratus-ratus. Kami tidak berani masuk. Aku lebih suka Harbor Bridge. Gambar-gambar yang diambil di situ nampak seksi dan romantis.

Aku bawa gambar-gambar kami dengan laki-laki gila itu tadi pagi di Harbor Bridge. Laki-laki itu akan bagi aku lapan ratus ribu. Masalahnya macam mana nak bawa masuk duit ini ke Malaysia.

Kami minum kopi. Dia berlanja. Esok aku akan pulang ke tanah air. Duit sudah habis.

"Kau balik dan tubuhkan parti," katanya.

"Parti apa?" tanya aku.

"Parti masa depan. Semua orang boleh undi. Aku jadi bos," katanya lagi sungguh-sungguh. "Aku duduk sini. Bila semua okey, kau roger, aku balik dan kita tumbangkan Barisan Nasional," ia terus menyambung sampai aku tidak sempat mencelah menyoal.

"Kita perlukan leader, bos," kata aku. "Dan, aku takut bini aku marah."

"Bini kau jadi bos," ia menyambung separuh serius.

Kami ketawa. Bini aku suka betul senja di tebi pelabuhan--kapal-kapal mewah berlabuh seperti bahtera Noh. Tersangkut di bukit judi.

Ia pelawa aku sebatang rokok. Rokok yang aku beli di KLIA sudah habis dan aku tak mampu membayar untuk itu di sini. Lagi pun, kotaknya mengerikan. Ada gambar paru-paru hangus terbakar.

Dia buat asap huruf "o", merenung ke syiling dan menyoal lagi, "Kita amik alih keADILan nak? Parti yang asasnya macam ni ada harapan."

"Tapi, apa kata..."

"Parti Anwar Ibrahim...."

Aku pandang muka dia. Dia pandang muka aku.

Rabu, Mac 01, 2006

Sydney 3

I'm not in a business of miracle



Laki-laki itu hendak menakluk negara dengan wang 1.8 juta US Dollar. Tapi benar, dalam poketnya ada beberapa keping not Singapura sepuluh ribu setiap satu. Warna kuning. Kami tengok antara percaya atau tidak.

Benar. Ada tulis: Ten Thousand Singapore Dollar.

Bini dia kena culik dengan polis. Sebenarnya kena tangkap. Suatu hari di Jalan Kebun, Klang, ada demonstrasi reformasi 100 ribu orang di jalanan. Polis dalam pakaian biasa telah pegang dan tumbuk debik dibuk dekat muka dia. Bini dia datang bawa bata dan hempat di muka polis tu sampai hancur. Dia ditangkap dan sampai sekarang tak tahu apa cerita.

Bini dia hilang dan dia kata CSI itu cerita bohong. Cerita bini dia lagi real, boleh buat filem. Dia nak tumbangkan kerajaan Malaysia kata dia. (Maksud dia tak nak bagi lagi BN menang pilihan raya yang akan datang).

"Habis, kau nak buat apa?" tanya aku.

"Aku tak buat parti politik dan menang pilihan raya," kata dia.

"Kau konfiden ke?" Aku tanya lagi.

"Dulu memang la tak, tapi sekarang aku dah ada banyak juta. Kalau kau nak tau, 1.8 juta ni buat make up saja tau. Aku perlukan 200 hingga 300 juta sebenarnya, i'm not in a busisess of miracle. I'm in a business of reality" katanya lagi.

"Sebab tu Hj. Hadi dan Anwar Ibrahim tak boleh menang, depa tak ada duit," kata laki-laki yang kami anggap gila itu.

Bini aku asyik tanya, suruh aku cerita pasal politik lepas jumpa laki-laki tu. (Entah sejak bila dewi kecantikan ni minat politik?).

Aku ajak bini aku masuk Parti Anwar Ibrahim.

"Sayang, nanti tak dapat projek," bini aku cemik muka dan pergi beli hotdog yang entah halal entah tidak dekat satu corner dekat Sydney Opera House itu.

Kami nak pergi tengik wayang kongkek pula.

Sydney 2

Angkasawan



Aku adalah angkasawan yang terapung-rapung di angkasa raya. Lima ratus tahun dahulu aku telah musnah. Aku jadi debu--gelap dan tidak kelihatan. Aku hinggap di jari-jemari alien yang berkaki tiga macam kaki ayam.

Banyak orang fikir makhluk asing itu warnyanya hijau seperti toyol. Sebenarnya apa yang aku lihat ia sebenarnya kelabu dan mempunyai kulit keras (yang tampak berkedut) seperti cengkerang. Di dalamnya adalah orang yang terlanjang--seperti juga kita. Ia punya tubuh--warnya seperti warna manusia. Ia punya kemaluan sama ada jantan atau betina, zakar atau faraj. Aku adalah angkasan yang dimusnahkah haba. Aku telah terbakar jadi debu ketika geseran di udara terlalu laju.

Aku terbakar ketika matahari menarik kami ke permukaannya. Apinya menjulang seperti rambut wanita yang paling seksi, liar, lapar dan selalu kepingin seks.

Masa menjadi tidak bermakna. Aku menjadi debu-debu yang tinggal beku, sunyi dan tiada keghairahan.

Tuhan membenarkan aku melayang-layang di angkasa raya yang maha besar. Puluhan juta tahun yang dingin itu aku mengembara ke segenap pelosok, melihat rahsia-rahsia alam, belajar memahaminya dan kemudian Tuhan mencampakkan aku kembali di sini. Bumi yang ini. Sama seperti bumi tempat aku tinggal dulu. Tapi aku tahu ini lain. Ini ialah bumi yang lain

Musim dingin. Tepat 1 Mac dan aku telah menikah beberapa hari lalu dan kini aku di Sydney--kota besar di negeri kanggaru ini. Alangkah asingnya dunia ini. Aku melihat manusia semuanya tidak bermakna. Semuanya fana. Tidak beerti dan boleh beerti.

Sebenarnya asas sistem dalam hidup ini semuanya bulat. Bumi ini bulat (sebenarnya leper--bila kita sampai di hujungnya kita akan jatuh). Angkasa raya ini pun bulat. Setiap semesta bulat. Bila kita terbang mengikuti satu titik panjang yang lurus, kita akan kembali ke tempat itu juga. Seterusnya kita dapati kita tidak pernah bergerak ke mana-mana pun.Bagaimanakah Tuhan hendak menceritakan sesuatu yang tidak kamu fahami melainkan dia memberikanmu cerita-cerita seperti dari dongeng dan israiliyat? Kerana kamu tidak ingin meneroka dan terus percaya pada akal singkatmu.

Aku telah melalui puluhan juta tahun yang melonglaikan itu. Aku menembusi petala-petala langit. Aku melihat dunia dan neraka. Malaikat dan syaitan. Manusia dan alien. Manusia dan alien itu sama. Di dunia alien, manusia adalah alien.Puluhan juta tahun lalu aku telah mengucap dan sekembalinya aku daripada pengalaman yang panjang itu, aku mendengar suaraku sendiri--seperti yang pernah aku katakan. Suara itu bergerak melebihi kelajuanku. Kalaulah kamu boleh faham kamu akan mengakui kebesaran Tuhan dan kamu akan berkata, "aku beriman dengan Tuhan Musa dan Sulaiman dan Ibrahim dan Ishaq dan Yaakub dan Isa dan Adam dan Muhammad S.A.W."

Sydney*

Cerita yang Tidak Pernah akan Tamat



Sydney. Aku sukar mengeja perkataan ini. Aku fikir asalnya perkataan ini dari nama pemuda Arab yang keturunannya bergaduh dengan orang putih tepi laut pantai di Brisbane baru-baru ini. Muka dia tak macam Ben Laden. Muka dia macam Prince Naseem yang main tinju pakai seluar tompok-tompok macam rimau bintang. Penumbuk dia kuat. Dia mesti dapat poin banyak kalau main games di tingkat tujuh kompleks membeli belah Sogo. (Aku suka main tembak-tembak piring dengan senapang).

Sydney. Kalau dia budak laki-laki Arab, kepala dia mesti berjambul macam bangunan opera tempat tu. Budak itu nama dia Syed. Syed pergi ke Sydney berbulan madu ketika negara akan pecah dengan api. Api pecah dengan sekam. Sekam pecah dengan dendam. Ada batu-batu seperti yang dilontar dari burung-burung Ababil bergantung terkontang-kontang dalam kepalanya.

b

Budak itu bercakap tentang politik yang tidak difahami orang. Ia bercakap tentang 1.8 juta untuk menang pilihan raya. Kami fikir dia gila dan akan merosakkan bulan madu kami.

Dia kata dia juga sedang berbulan madu tetapi isterinya telah diculik orang.

"Siapa?" tanya isteri saya. Mukanya separuh bulat.

"Repot polislah," kata isteri saya memandai-mandai.

"Polis. Polis culik isteri aku," ringkas jawabnya.

Dia laki-laki elegan. Tidak terpesong dengan trend pakaian anak muda. Dia old style. Kata saya kepada isteri, menilai laki-laki kelam-kabut itu. Syedney ada orang gila.

Kami jumpa dia dalam wayang waktu tengok tayangan semula apresiasi filem Interview. Mahal nak mampus harga dia kalau convert duit Malaysia.


*Siri fiksyen bersiri.

IKLAN

Terdapat ralat dalam alat ini

Label

Personal (47) Filem (42) Politik (32) Budaya (21) Sastera (21) Kreatif (16) Agama (15) Blogzine republik KATA (14) Artikel (11) Buku (11) Jalan Telawi (11) Meor Yusof Aziddin (11) Pekak (11) Pendidikan (9) Pencerahan (8) Sejarah (8) Cinta (7) Kewartawanan (7) Lagu (7) Sajak (7) Bahasa (6) Belasungkawa (6) Jimadie Shah Othman (6) Media (6) Teater (6) Blog Foto (5) Deaf Cultures (5) Fiksyen (5) MySL (5) Subversif (5) Anwar Ibrahim (4) Foto (4) Islam (4) Komuniti Pekak (4) Lao Zi (4) Maskara (4) Puisi (4) Tao (4) society (4) Adi Putra (3) Bahasa Isyarat (3) Carutan (3) Cerpen (3) Folk (3) Kemanusiaan (3) Metafizik (3) Rumah Pena (3) A Samad Ismail (2) Ahmad Kamal Abu Bakar (2) Aidil Fitri (2) Amin Iskandar (2) Anugerah Khatulistiwa (2) BN Perikatan (2) Catatan Pinggir (2) Daiyan Trisha (2) Demo (2) Drama (2) Etika (2) Gambar (2) Hamsad Rangkuti (2) Ili Farhana (2) Islam dan Pluralisme (2) Jepun (2) Karam Sikh (2) Komedi (2) Maskara 7 (2) Mikon (2) Mingguan Wasilah (2) Novel (2) PRU 12 (2) Pantun (2) Pas (2) Pramoedya Ananta Toer (2) Sastera Underground (2) Seni Multimedia (2) Seni Persembahan (2) Soceity (2) Sosial (2) Tanggapan (2) Tidak dikategorikan (2) Travelog (2) Utusan Malaysia (2) Yahudi (2) lagu raya (2) pop (2) sam ahmad (2) 'Mantan' Sasterawan Negara (1) 10 x 10: 100 Minutes to Change the World (1) 127 Hours (1) 1957: Hati Malaya (1) 1998 (1) 300 (1) 9 Naga (1) A. Samad Said (1) AEI (1) Ahadiat Akashah (1) Al-Hidayah (1) Allah (1) Amerika Syarikat (1) Amiena Rev (1) Ana Raffali (1) Antara-Agama (1) Apuke (1) Aron Ralston (1) Ashutosh Gowarika (1) Astro (1) BERSIH (1) Balik Pulau (1) Berhala (1) Berita Harian (1) Bibir Dalam Pispot (1) Black 14 (1) Blog (1) Bumi Manusia (1) Bunyi (1) Chairil Anwar (1) Chamil Wariya (1) China (1) Cowboys and Aliens (1) DAP (1) Danny Boyle (1) Datuk (1) Democrat (1) Demonstrasi (1) Denias (1) Dominic Sena (1) Ezam Mohd Noor (1) Fikh Wanita (1) Free Burma (1) Fun (1) GAPENA (1) Gangguan Teksual (1) Gerak (1) Goenawan Mohamad (1) HINDRAF (1) Harry Potter (1) Hassan Abdul Karim (1) Hindi (1) Hollowood (1) Hollywood (1) Ibrani (1) Interview (1) Istana (1) James Franco (1) Jodha (1) KTBM (1) Kakiscript Playwright Competition (1) Karya (1) Katholik (1) Keadilan (1) Kebab Connection (1) Kebebasan Kreatif (1) Komputer (1) Komrad (1) Korea (1) Kristian (1) Kung Fu Dunk (1) La Nuit des Caligraphes (1) Makanan (1) Malaysian Book of Records (1) Mamat Khalid (1) Man Laksa (1) Manga (1) Manifesto (1) Mary Magdalena (1) Mat Sentul (1) Melaka (1) Merdeka (1) Muzik (1) Napoleon (1) Naskhah (1) Negaraku (1) Negarakuku (1) Nick Murphy (1) Nicolas Cage (1) Nopen (1) Novel bersiri (1) Obama (1) P. Ramlee (1) PKN (1) PKR (1) PRM (1) Pakatan (1) Pantoum (1) Papua (1) Pemanasan global (1) Pena (1) Pendidikan Khas (1) Penulis (1) Pilihan Raya (1) Politik Baru YB J (1) Potret (1) Prima (1) Progresive Folk (1) Promosi (1) Psikologi (1) Puchong (1) Pulau Pinang (1) Pushna (1) Rajinikhan (1) Rasuah (1) Razak Moheidin (1) Reformasi (1) Republican (1) Revolusi Kebudayaan (1) Ria (1) Rise of the Planet of the Apes (1) Rock (1) Ron Howard (1) Rudi Soedjarwo (1) Sarawak (1) Sasterawan Negara (1) Satira (1) Season of the Witch (1) Semusim di Neraka (1) Shah Rukh Khan (1) Shamsiah Mohd No (1) Sharif Shaa'ri (1) Shuffle (1) Siasah (1) Sivaji the Boss (1) Soekarno (1) Sosialis (1) SoundCloud (1) Subbudaya (1) Sucker Punch (1) Sukan (1) Syed Husin Ali (1) TV Realiti (1) Taiwan (1) Teman Muhasabah (1) The Da Vinvi Code (1) The Last Life in Universe (1) The Warlords (1) Turki (1) Umno (1) Umno PKR (1) Video (1) Wayang Pacak (1) Woman On Top (1) Xiu Xiu (1) Yeshoshafat Harkabi (1) Yusmadi Yusoff (1) Zack Snyder (1) Zaid Ibrahim (1) adiwira (1) arahkiri (1) berani bercinta (1) dendang buat ibu (1) duta solaris (1) entri yang pernah ditarik balik (1) gig (1) ingin jadi manusia (1) instrumental (1) iseekmusic (1) kotak hitam 5.0 (1) malay mail (1) moi last von (1) puisi jadi senjata (1) ramadan (1) satuarah (1) single (1) zulfikar samsuri (1)