IKLAN

Cari Blog Ini

Sabtu, April 29, 2006

Untuk Ye Sha yang Berani

Photobucket - Video and Image Hosting

Siapa yang menafikan bahawa Michelle Saram itu cantik ternyatalah bahawa orang itu buta. Barang siapa yang mampu mengatakan gadis Temasik ini tidak cantik ternyatalah orang itu gay, homeksual atau mati pucuk.

Sejak orang bercakap tentang drama-drama panjang pelakon-pelakon yang matanya sepet seperti Winter Sonata, aku tak pernah teringin nak tengok. Tetapi sejak aku menikah, aku menemukan satu set drama Taiwan Meteor Garden II. Ini bukan kali pertama, bukan yang terlalu asing. Aku pernah membaca komiknya dan aku dapati cerita itu membosankan macam cerita budak perempuan, macam Sailormoon.

Emme kata cerita ini best dan dia semalam balik kampung ada majlis Maulud Nabi di Taman Desa Harta Permai, Pontian. Maka tinggallah aku seorang di rumah, seperti biasa menyusun kesibukan-kesibukan.

Photobucket - Video and Image Hosting

Aku sangat lapar nasik dan aku tidak keluar untuk makan sehari lebih. Aku cuma makan coklat yang bapa mertua aku beli di Langkawi, keropok majlis perpisahan adik ipar aku di tempat kerja dan Maggie yang sentiasa ada di rumah. Aku cuma keluar membeli sekotak rokok. Aku sunyi sekali bila bini aku pergi. Aku rindu dia sangat.

Aku pun mulalah menulis. Aku menulis skrip drama dan artikel. Aku bermain games yang tak habis-habis. Maka aku terlalu bosan. Sejak semalam aku pun menghabiskan CD Meteor Garden II walaupun aku tak pernah tonton episodnya yang pertama.

Meteor Garden II adalah cerita yang bagus sekali. Banyak shot yang cantik dan menarik. Michelle memerankan watak Ye Sha dengan berkesan dan dia cantik sekali. Aku suka dia. Aku suka perempuan yang begitu. Aku suka tengok dia ketawa. Aku suka cara dia berpakaian dan aku lihat dia tidak kekok melukis. Tidak seperti berlakon dan dibuat-buat. Matanya menyala-nyala dan dia pandai merenung.

Ye Sha adalah Putri Budan yang ingin melancong ke seluruh dunia. Dia bosan dengan tatacara di istana, seperti Sindarta Gautama barangkali, memilih hidup seperti pengemis walau berasal dari keluarga bangsawan. Ye Sha belajar makna kesetiaan dan persahabatan.

Kemudian ia bertemu Dao Ming Si, anak kaya yang lupa ingatan. Jatuh cinta dan sering menafikan. Ia memimpin Ah Si ke Taiwan mencari semula ingatan tetapi Ah Si atau nama barunya Ah Xing memilih menghindarkan ingatan itu. Ia memilih Ye Sha dan menafikan San Chai, perempuan muda dengan semangat rumputan yang pernah dicintainya dengan sepenuh hati.

Puteri Budan itu akhirnya bertunang dengan anak keluarga Dao. Mereka masuk ke istana dingin dan ia bersahabat mesra dengan San Chai. Ia berkira-kira memulihkan ingatan Ah Si, kepala F4--samseng sekolah Ying De yang disegani. F4 jadi lagenda.

Ye Sha akhirnya memilih mencintai Ah Xingnya. Gadis rumputan San Chai balik ke kampung dan kehilangan dompet.Ah Xing telah tersedar tapi tetap dengan pendiriann bahawa perkara yang tidak penting, orang yang tidak penting walaupun dapat diingati akan tetap dilupakan kembali.

Ye Sha, ajalnya akan sampai. Tapi dalam saat singkat itu mereka bahagia. Pasangan yang paling cocok, keluarga Dao yang kaya dan Kerajaan Budan yang mulia. Masih ada tiga keping VCD tapi aku tidak mahu menontonnya lagi. Aku harap cerita itu tamat di sini. Aku tidak sampai hati membiarkan kesedihan untuk Ye Sha, gadis cantik, berbakat dan ketawanya bisa membuatkan laki-laki tewas. Aku ingin Ye Sha berbahagia. Tetapi bini aku sudah cerita bahawa akhirnya Dao Ming Si akan menikah dengan San Chan yang ia kenal sejak di kolej Ying De. Malangnya.

Aku tidak tahu, aku menonton Meteor Gaeden atau Ye Sha yang Berani.

Terlalu sukar untuk kamu faham 20 keping VCD itu dalam satu entri blog. Oleh itu biar saja kamu tahu bahawa Ye Sha itu canting.

Ada sebutir bintang di langit bernama Ye Sha yang Berani. Enak ditonton dengan sebiji air kelapa yang kemudian ditebuk menjadi mata dan mulut dan diletakkan lilin di dalamnya.

Ada sebutir bintang di langit bernama Ye Sha yang berani.

Jumaat, April 28, 2006

Sheikh Fuad dan Lain-lain Cerita



Seperti biasa saya ke pejabat awal setengah jam. Semalam seharian saya tak makan nasi. Saya keletihan dan banyak kerja perlu dibuat sebab manusia itu berjuang meneruskan kehidupan. Prinsip hidup saya mudah tapi barangkali tidak bagus dan tidak diterima oleh pemikiran kolektif masyarakat. Prinsip hidup itu hukumnya asal saja tidak mati, tidak mengapa. Apa yang lebih penting daripada nyawa dan akal (atau perasaan).

Orang selalu bercakap tentang pemikiran kolektif bangsa, tetapi, sejak Yock Lin ajak makan babi semeja dia dia, saya fikir, orang Malaysia (sekurang-kurangnya) lebih mementingkan perasaan kolektif mereka. Saya tidak fikir, orang Islam yang tidak makan babi berasal daripada pemikiran rasional mereka, tetapi rasa jijik mual yang selebihnya.



Ketika makan, saya terserempak dengan Sheikh Fuad yang mencadangkan saya buat kad kredit dengan Hong Leong Bank bawah pejabat saya. Fuad mempelawa saya makan bersama tetapi saya tidak memenuhi undangannya. Kerana nasi sendiri, sendirilah yang bayar.

Saya selalu berurusan dengan Fuad untuk masukkan duit di bank. Lelaki ini tinggal di Selayang dan tahu saya menikah. Suatu hari, ketika saya bawa duit yang agak banyak dan tidak selamat jika dipandang perompak, Fuad minta saya masukkan ikut mesin deposit tunai. Saya pelik, kenapa penjaga-penjaga kaunter suruh lagi masukkan duit yang banyak ikut mesin. Kalau saya kena rompak macam mana? Itu bukan duit saya, itu duit bos saya. Dan bos manalah reti masuk bank. Bagaimana saya boleh ganti dengan seumur hayat saya?

Selepas kegawatan 1997, bank-bank berkahwin dan diijabkabulkan kerajaan. Jadilah seperti hari ini, tinggal enam atau tujuh bank sahaja. Sesetengahnya mengundang kontroversi macam kes Bank of Commerce telan Bank Bumiputera jadi Bumiputera Commerce. Tapi itu cerita lain. Cerita kita, cerita rakyat kecil adalah macam mana nak masukkan duit atau keluarkan duit dengan selamat di bank.

Bagaimana kalau jam sebelas malam saya nak masukkan duit dan tempat itu gelap dan sunyi. Adakah bank boleh menjamin keselamatan saya?

Percantuman lazimnya melahirkan potensi. Seperti laki-laki dan perempuan yang menikah. Mereka melahirkan masa depan. Seorang anak adalah sebuah masa depan. Seorang anak adalah potensi-potensi.

Aduh, baby aku sudah berdenyut. Emme scan semalam di Klinik Kita.

"Nak pantang apa?" Emme tanya doktor.

Doktor kata, "sekarang nak makan apa pun bedallah. Nanti dah tiga bulan nak kena jaga betul-betul."

Gambar scan itu ada di rumah aku.

Rabu, April 26, 2006

Tun: Apa Kata Mereka?

Komen Orang Ramai Berkaitan Kembalinya Tun Ghafar Baba ke Rahmatullah

Aku Ghafar Baba pun aku tak tahu sejarah dia. Tetapi selepas dia mati baru aku tahu Tun Ghafar Baba masyhur orangnya. Betul atau tidak aku pun tak tahu. – Sobri, 23, Penghantar Surat



Mana Yan kenal Ghafar Baba, Baba dan Nyonya Yan kenallah. – Aziana, 23, Setiausaha

Dah komen dekat cucu dia dah. Tak payahlah. – Zara, 18, Kerani

Habis tu dia nak mati. Ajal dah sampai nak buat macam mana. Habis tu kita yang hidup teruskanlah perjuangan dia. – Moon, 23, Pegawai Tadbir

Eloklah dia tua dah. Nabi pun dekat 60 saja. Dia pun dah dapat extra life dah. – Zuhdi, 26, Pembekal Barang Pejabat

Go to Hell, tapi Selamatkan Fauziah Latiff



"Memang Jee sakit hati juga bila harga minyak naik... Kak Jee harap semua perkembangan tak menarik mengenai ekonomi kita akan cepat beransur pulih." - Penyanyi Fauziah Latiff.




"Go to hell." - Adnan Yaacob



Adnan Yaacob kata go to hell dekat surat khabar sebab kata dia beri kata dua pada Pak Lah tentang satu kes balak. Berita tersebut disiarkan dalam NST dan The Star. Dia kata sejak beberapa tahun jadi menteri besar, ini kali pertama dia kata macam tu. Sebab berita tu tak bertanggungjawab sangat. Dia kata dalam Dewan Rakyat. Orang kata dia tak bagus sebab seolah-olah ketepikan kempen budi bahasa yang diwarkan-warkan kerajaan terutamanya dalam RTM.

Pagi ni aku masuk pejabat dan kata go to hell dalam hati sebab orang yang mesyuarat di pejabat aku semalam tak kemas balik pejabat macam sedia kala. Tak hadhari langsung perangai dia.

Beberapa minggu lepas, barangkali sebulan lepas, aku sebut go to hell juga bila harga minyak naik. Barulah aku rasa rindu Dr. M. Tun tak pernah pun naikkan minyak sampai 30 sen.

Moon beli majalah Hai. Dia kata nak beli majalah lain tak cukup duit. Majalah tu dua ringgit saja. Aku curi baca. Nak beli malu. Aku baca sambil letak beg sebelah aku. Kalau orang datang, aku sorokkan cepat-cepat. Aku rasa poyo artis/ selebriti/ahli sukan lelaki ambil gambar tak pakai baju, nak tunjuk bulu dada. Poyo juga baca berita fasal Amisha pelakon Hindi beli baju dan seluar dalam dekat Harrods, pasar raya al-Fayed.

Tapi ada satu berita bagus dalam muka belakang-belakang. Tajuk dia "Jee ikat perut kerana minyak". Kesian Jee. Dia kata, "Memang Jee sakit hati juga bila harga minyak naik ini. Apatah lagi bila Jee selalu berulang alik dari Sungai Buloh ke Kuala Lumpur. Kalau dulu Jee tak kita waktu ulang alik. Kadang-kadang lima kali seminggu. Tapi sekarang kena merancanglah semula. Sekarang ni Jee akan turun ke KL paling banyak pun hanyalah, tiga kali seminggu.

Dulu Jee kalau nak berbelanja barangan kemas atau perabut untuk rumah biasanya tak adalah masalah sangat tapi sekarang ini kenalah lupakan buat sementara waktu. Yelah anak-anak pun anak-anak pun masih kecil kenalah utamakan mereka dulu. Kak Jee harap semua perkembangan tak menarik mengenai ekonomi kita ini akan cepat beransur pulih."

Kesian Jee. Orang yang turun demonstrasi nanti, janganlah gangang-gangang. Jangan go to hell-go to hell. Nak go to hell pun jangan lupa Jee ya. Pastikan keselamatan Jee dulu.

Aku cadangkan Jee jadi duta membantah kenaikan harga minyak. Apa macam? Awek-awek reformis rasa tergugat ke?

Selasa, April 25, 2006

Empat Perkata



1
Syy, ada satu rahsia: Sebenarnya dalam pengamalan Imam Syafie, seperti yang terakam dalam al-Umm, kitab besarnya, tak ada baca talqin untuk si mati. Semalam Tun meninggal. Ramai orang kerumun.

2
Semalam aku tidur lewat lagi. Seksa menulis skrip drama. Bila aku tulis, aku boleh nampak pentas, nampak make up pelakon, dengar bunyi muzik dan terbayang muka member aku Hamid main lagu atas pentas. Aku suka muzik live di pentas macam aku suka bungan betul, macam aku benci bungan plastik, macam aku benci lukisan yang dicetak di kilang.

3
NGO Cina Yock Lin kata dulu zaman hujung 60-an best. Dia boleh makan babi semeja dengan orang Islam. Orang Islam boleh makan daging semeja dengan orang Hindu. Sami Buddha boleh makan kuah dalam sup yang ada makanan berdarah. Dia akan buangkan daging dan hirup sup. Yock Lin anggap agama (baca: Islam) memutuskan hubungan manusia. Dia free thinker. Dia anggap orang Melayui-Islam mesti tolak ansur. Saya fikir sebenarnya kumpulan NGO yang kebanyakannya daripada golongan Cina mesti ebih dahulu keluar dari kepompong chauvanis. Tidak adil meletakkan cop ultra Melayu atas dahi kami kalau iklan minta kerja kompeni kami ada tulis: Chinese Only atau boleh bercakap Mandarin adalah suatu kelebihan. Fara tegur orang Cina tak mahu cakap Melayu. Dan tak reti.


**Orang kata tak elok pagi-pagi tengok gambar kubur.

Isnin, April 24, 2006

Tun

Image hosting by Photobucket

Tun Abdul Ghafar bin Baba (18 Februari 1925 - 23 April 2006) merupakan Timbalan Perdana Menteri di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Abdul Ghafar bin Baba mula memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 7 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993.

Beliau dilahirkan pada 18 Februari 1925 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1959 hingga tahun 1963.

Beliau merupakan antara kepimpinan UMNO yang telah berkhidmat di bawah 4 Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir.

Ghafar Baba pernah menjadi pengerusi MARA dari 1 September 1967 hingga 31 Otober 1971 dan merupakan pengasas Kolej MARA yang kini sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Pada 23 April 2006. Beliau meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 7:34 pagi kerana diserang sakit jantung. Beliau berusia 81 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya. Jenazah beliau dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.-Wikipedia

* * *

Biarlah aku mengulang klise ini: Setiap yang hidup pasti kan merasai mati. Belasungkawa kepada Tun Ghafar Baba daripada Jimadie Shah Othman. Semoga roh almarhum dicucurilah rahmat hendaknya. Aku tau aku akan rindu dia, sayang dia.

Tembak Kepala Kau

Cerpen

(Sumber: Jimadie Shah Othman 2006. "Tembak Kepala Kau!" dalam Akhbar Mahasiswa Bil. 28/ 2006. Selangor: Kajang Publisher.)




SAYA bergegas ke stesen Komuter Klang, takut ketinggalan tren ke Kuala Lumpur. Seterusnya, di Sentral, transit dengan LRT ke Terminal Putra (Gombak). Eva menunggu, depan stesen, dalam kereta, sambil mendengar lagu Melly Goeslow, soundtrack filem Tentang Dia.

Tren berhenti entah jam berapa. Saya melangkah masuk dengan kaki kanan tetapi bismillah tidak kubaca. Saya tidak berkesempatan duduk, cuma berdiri antara koc. Iya, petang ini macet macam sardin cap ayam dalam tin. Macet Jakarta. Esok ibu kota holiday dan semua “anak ayam” mahu berhibur di kelab. Barangkali.

Saya kelemasan. Ada sekumpulan budak muda kacak dalam pakaian kot dan kemeja menghisap rokok. Mereka rompak dan peras ugut perempuan muda Punk. Rambutnya tajam dan ia tidak memakan sampah. Budak perempuan itu, ia memaki-maki, “pukimak, Punk,” kata dia.

Saya kejar kumpulan itu, orang kata mereka digelar Men In Black. Mereka lari antara koc ke koc. Menemui jalan buntu di hujung tren, saya terdengar bunyi tembakan, “bang!”

Semua panik. Saya berlagak hero, “meniarap semua,” kata saya.

Semua meniarap dan tren mendesup macam hantu Afrit. Pemandu Komuter menembak kepala sendiri dengan pistol cicak yang ia beli di Padang Besar, Perlis. Penyamun angkat tangan. Beg galas budak punk itu mereka lempar ke dada saya.

Budak punk itu ketawa. “Itu bom sabun cap kapak Dr. Azahari ,” katanya.

“Ha?” Saya panik dan melompat keluar tren sesudah memecahkan cermin dengan kasut tumit tinggi seorang penumpang pondan.

Budak itu turut terjun betul-betul jatuh atas belakang saya. Saya kira satu dua tiga, saya tutup telinga dan rapatkan muka ke tanah.

“Kebabom,” kata perempuan punk nakal itu.

Dia ketawa dan rampas kembali beg dia.

“Terima kasih sebab selamatkan barang saya. Ini mahal tahu,” katanya lagi mengusap kepala saya.

“Binatang apa tu?”

“Kas-kas. Mak saya nak masak kari,” katanya, menghisap paip dan berlalu begitu saja.

Empat budak Men In Black acukan pistol pada saya.

“You are under arrest,” kata mereka, sambil mengeluar dan menunjukkan matriks.

“Morfin kes berat, mandatori gantung sampai mati. Lusa mesti tok kadi gantung kau.”

* * *

Waktu saya jumpa Eva, kepala dia tak ada. Saya cabut balik ke LRT Putra stesen Terminal Putra (Gombak). Cepat-cepat saya masuk dalam tren. Saya baca suratkhabar semalam fasal lapan tempat perhentian tube kena bom di London.

Tren meluncur melaju. Entah mengapa. Itu tidak saya fahami. Ia terkeluar landasan dan kami semua menjunam dengan corner dekat-dekat stesen Setiawangsa. Saya pejam mata, dengar bunyi riuh yang kasar, dengan cakaran kuku yang ngilu.


Saya rasa sejuk. Kami buka mata. Langit memutih dan seribu kali bunyi kepakan melantun ke telinga. Dada kami berdegup kencang. Kemudian sejuk. Kemudian nyaman. Kemudian ia perlahan.

Tiupan terompet. Demi Allah, ada makhluk putih bersayap, mukanya berkilau-kilau dalam cahaya, ia menuip terompet dengan nyaring sekali. Mata kami pelan-pelan kelam.

Kemudian kami celik kembali. Kami seolah-olah tidak tahu berkata-kata. Semua kami dalam pakaian putih. Sosok mereka tanpa warna. Mereka menjadi makhluk lut cahaya. sebahagiannya lut sinar.

“Siapa Tuhan kamu,” katanya.

Dan kami dapati mulut telah kejab berkunci.

* * *

Eva dihantui bayang-bayang saya. Hari Khamis kami bertemu. Tetapi mulut dan sentuhan dan segala-gala selain cinta telah kena Solex. Ia sangka saya setia menunggu di stensen Setiawangsa tiap khamis. Benar, di situ kami berjanji temu saban minggu. Perempuan ini telah genap setahun perkabungannya. Ia sering berpakaian hitam dan sering lupa berdoa.

Sang kekasih ini (ia sejati) sentiasa membayar 3 paund 4 penny, tanpa mengambil baki, untuk tiket tetapi hanya menunggu di stesen, kemudian turun, kemudian menghidupkan enjin kereta—tidak dengan LRT atau merapung seperti makhluk putih yang tadi. Matanya hitam bertambah hitam. Kanta lekap warta ametyst telah dia tanggalkan.


Waktu itu pertengahan Januari, Malaysia di hujung musim luruh—daun-daun mencoklat, sedikit dingin, matahari mengucup seolah puteri yang paling pemalu. Tema fesyen tahun ini putih. Bila nanti salju turun, seolah-olah mereka meresap dalam musim. Kerana segalanya putih, tiada yang kelihatan kecuali perempuan muda yang berkabung. Tetapi pertengahan Januari itu lain sedikit, ia melihat tiga pemuda Negro di tangga, asyik minum teh tarik; perempuan Punk menjual kas-kas di kaunter. Dan tentunya dalam pakaian hitam.

Ketika ia masuk ke kereta, ada sebutir peluru di tempat duduknya. Saya melihatnya memicit-micit telefon bimbit warna hijau. Mengambil gambar. Kemudian berkata, “helo CSI, laki saya dah balik tapi dia dah kena culik.”

* * *

Melly Goeslow menjerit di Hot.FM. Fara Fauzana putar piring hitam lagu Tentang Dia. Tentang dia ialah cerita tentang perempuan Punk yang yang maki MIB, “pukimak, Punk!” Cerita ini ialah rahsia yang tidak diketahui deejay muda Fara Fauzana.

Eva pulas volume radio dalam keretanya supaya meraung kuat. Kekasaran selalu melupakan dia kepada saya. Dan belum beberapa meter, entah dari mana, dia terlanggar budak perempuan yang tadi—rambut yang tercacak tambah cacak. Tatu di puting teteknya telah luruh. “Sial, saya repot sama Samy Vellu,” katanya.


“Maaf,” kata Eva perlahan, separuh kegentaran.

“Kau establishment, bapak kau kerja (di) Lembaga Peperiksaan, saya bunuh kau!” Ia langsung mengamuk lalu tendang pintu kereta Eva dengan kuat. Paip yang ia baling melekat di cermen kereta plat JHB 7337 itu.

Eva lari menghala LRT, seperti selalu bayar 3 pound 4 penny dan naik ke platform. Bila pintu LRT bunyi ding dong dua kali, ia masuk bergantung di tempat pemegang. Tetapi ia melihat orang-orang di sekelilingnya macam Agen Smith. Saya melihatnya seperti tikus dan telah saya katakan, akan mulut kami semuanya telahlah kena Solex.

“You are under arrest,” kata mereka, sambil mengeluar dan menunjukkan matriks.

“Morfin kes berat, mandatori gantung sampai mati. Lusa mesti tok kadi gantung kau.”

“Baguslah, saya menikah Mac ini di Pontian,” kata Eva.

* * *

“Allah Azzawajalla itu Tuhan saya.”

“Siapa nabi kamu,” makhluk aneh itu bertanya lagi dan di kerongkong saya ada sebuah kitab yang maha berat. Gelap. Seperti malam. Sempit, menghimpit. Dan seekor ular yang panjangnya seribu tahun perjalanan menjeling saya.

Mukanya menyala-nyala. Ia bertanya lagi. Lagi. Lagi. Dan di akhir ia berkata, “masuklah dengan rahmat-Nya.”

Saat itu, para teman (yang mengaku teman) semua berkata, “alangkah baiknya kalau aku tanah.” Dan saya merindui kekasihku. Ratu kepada semua bidadari, alkohol yang lebih memabukkan dari cairan anggur dari piala emas ini.”

Khamis itu kami bertemu lagi. Saya masuk ke hatinya. Ia masuk ke hati saya.

* * *

“Kalau kau mahu suami kau balik bayar setengah juta. Bila sampai KL Sentral, kau masukkan duit dekat mesin cash deposit di Maybank, masuk balik dalam tren dan turun di Setiawangka. Laki kau aku tinggal sekat corner sana. Jika tidak, aku masukkan kau dalam lokap. Aku boleh dakwa kau simpan peluru hidup dan merancang dan mencuba menggulingkan dan melancarkan serangan terhadap Yang Dipertuan Agong,” kata Agen Smith.

“Saya mengaku tidak bersalah,” kata Eva.

“Mengaku, aku ada saksi!” dia mengeratkan tujahan pistol cicak ke kepala Eva sambil menjeling budak Punk perempuan yang aku langgar tadi. Ia menjilat pipi saya. Mukanya seperti Ida Nerina dalam filem polis Yusof Haslam. Tindik di lidahnya menggelikan saya.

Bang! Si laknat itu menembak kepala kekasih saya. Semua penumpang meniarap dan cikgu besar datang tangkap empat anak murid nakalnya itu.

Eva melihat taman hijau, langit cemerlang (saya tidak pasti ia langit lazuardi atau kirmizi, sebenarnya tidak faham), semua orang suka, ketawa, minum Carlsberg dan Heineken. Ia melihat cahaya yang terang. Cahaya berlapis cahaya seperti termaktub dalam kitab (kepada) utusan akhir zaman, al-Quran: “An-Nur”, ayat 35.

LRT bergerak dan bertenti di stesen tiap dua minit tiga setengah. Di stesen ia ding dong dua kali. Tak ada perlanggaran di corner. Pintu terbuka, perempuan muda yang manja dan gedik itu tidak lagi berkerudung hitam atau hadir, sering dalam pakaian merah seperti sebelumnya. Ia putih sesungguhnya. Sesungguhnya.

Eva mencemuk, menjelir.

Saya kata, “sayang, sebelum kita mati, kita meracau.”

Waktu saya jumpa Eva, kepala kami tak ada. Khamis itu telah mengungsilah musim luruh yang panjang.

Ada perlanggaran di corner yang tak masuk TV3.

NGO Fesyen 1



Musum luruh datang.

Semalam, tiga hari keseluruhannya aku hadir sebuah program latihan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) [fasal] perempuan. Pesertanya lebih kurang 20 orang daripada kalangan kesatuan sekerja (trade union) dan NGO tertentu. Kebanyakannya NGO berkaitan perempuan--Cina yang mengaku terbuka, serius dan tidak cauvanis.

Kadang-kadang aku meragukan mereka. Mereka jelas tantang isu-isu hak asasi manusia, idea kesamarataan, demokrasi, human difnity, ketidakadilan dan korupsi. Mereka membanggakannya tetapi aku fikir NGO tiba-tiba menjadi popular, selain vokal, adalah kerana tiba-tiba menjadi fesyen.



Bayangkan musim luruh datang. Apakah baju yang akan kita pakai?

Yock Lin mengaku profesional. Suka pakai seluar jean putih corak reben di poket belakang. Ia free thinker dan aku katakan padanya, dia tidak layak jadi rakyat Malaysia sebab fahamannya bercanggah dengan perkara pertama dalam Rukun Negara: Kepercayaan kepada Tuhan.

Musim luruh akan datang. Daun mapel menguning dan rapuh. Angin mulai mendingin.

Jumaat, April 21, 2006

Botanic Garden



Sebatang pokok dan panorama menarik di Botanic Garden, Sydney.

Jurufoto: Jimadie Shah Ohman
Judul: Botanic Garden

Sumber: Mohd. Jimadie Shah's FotoPage: Koleksi Foto Jimadie & Emme

Surat kepada Sastera Islami



PERTAMA

"Sesungguhnya kami kisahkan kepadamu [Muhammad] sebaik-baik kisah." --Yusuf, 3.


Mengikut Ibn Kathir, [asbabun nuzul] ayat tersebut diturunkan berikutan refleksi kes kedatangan Umar kepada Muhammad dengan membawa al-Kitab (Taurat) dan Nabi memarahinya. Nabi menyebut "mereka (Ahli Kitab) mungkin menceritakan keberanan dan kamu menolaknya; mereka mungkin menceritakan kepalsuan dan kamu mempercayainya." Muhammad menambah lagi, 'jika Musa ada, beliau akan menurutiku."

Ini berdasarkan dua rekod oleh Ibn. Ahmad, riwayat Jabir bin Abdullah dan Abdullah bin Thabit dan sebuah rekod dari Ibn Jarir at-Tabadi, diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas yang meminta kepada Rasulullah menceritakan kisah-kisah kepada sahabat.

Maksudnya ayat ini hadir membuktikan bahawa keindahan cerita-cerita dalam al-Quran itu tidak dapat ditandingi mana-mana kitab terdahulu sama ada Injil atau Taurat. "Kisah" yang dimaksudkan dalam ayat ialah kisah-kisah dalam al-Quran bukan mengangkat kisah Yusuf melebihi kisah-kisah lain dalam al-Quran.

Saya merujuk seorang Ustaz nahu berkenaan kata "qaqas" (cerita) dalam ayat tersebut. Kata tersebut membawa pengertian jamak. Maksudnya ia membawa pengertian secara umum, tidak tertumpu dan bertujuan memartabatkan sebuah surah (Yusuf) semata-mata. Jika teori yang puan ingin bangunkan berdasarkan premis asas ini bahawa Yusuf merupakan
kisah terbaik dalam al-Quran bermaknalah teori ini terbatal dan tidak releven. Walau bagaimana pun, menarik juga dibangunkan sastera berdasarkan surah Yusuf.

Atas ketidakyakinan [pada premis asas inilah] inilah beberapa pembaca dalam blog Puan membawakan kisah-kisah lain dalam al-Quran untuk perhatian puan seperti kisah Mariam dan Balqis.

Ini adalah hipotesis. Jika salah, harap betulkan. Mohon respon.


KEDUA
Beberapa Hari Sesudah itu

Maaf mengambil beberapa hari untuk menjawab e-mel ini. Sebenarnya saya sedang memikirkan jawapan yang sesuai sekali. Saya tidak berminat meragukan atau menidakkan atau memartabatkan pola fikir sesiapa. Saya menghormati mereka. Tetapi pada pandangan saya adalah menjadi tanggungjawab orang-orang pandai dan berpindidikan tinggi menyalurkan pandangan-pandangan mereka dengan harapan ada sisi-sisi
pandangan baru ditemukan dalam masyarakat.

Maaf, saya telah berhenti mengkritik Barat. Saya telah menemukan 'musuh' yang lebih hebat daripada Barat, iaitu kelemahan di dalam diri setiap yang mengaku Muslim sehingga berjaya ditipu pihak Barat.
Kelemahan itu bukanlah bersifat azali, tetapi barangkali ada halangan-halangan tertentu yang diciptakan tanpa sedar. Contohnya ketakutan dan ketidakberanian seperti dijelaskan Kant dalam esei terkenalnya tentang Pencerahan, What Is Enlightment.

Saya minta maaf kalau komen saya dalam blog tersebut tidak disenangi. Saya tidak jelas siapakah 'Barat' yang puat maksudkan dalam e-mel kepada saya tempoh hari. Tetapi sungguh saya rasa berdosa dan saya pohon maaf sekali lagi.

Saya lihat berlaku perkembangan yang negatif dalam penggalian yang puan lakukan di blog Sastera Islami iaitu idea yang dikemukakan tidak diperdebatkan habis-habisan oleh pembaca. Berlaku kecenderungan percaya mudah atau mengalihkan pokok perbincangan kepada soal-soal lain kerana berahi pada ilmu yang cepat klimaks. Bagi saya, ini adalah ciri-ciri budaya taqlid yang lama berkembang dalam budaya kita. Orang menyandarkan kebenaran pada penyampai, bukan pada hakikat kebenaran
itu. Siapalah percaya cakap penyapu sampah walaupun dia benar jika pandangannya bertentangan dengan pendapat Perdana Menteri? Maafkan, biar saya sampaikan, ada dialog ini dalam hati pembaca puan, "siapalah saya berbanding puan?"

Inilah yang berlaku hingga hampir tidak ada perdebatan serius berlaku dalam blog puan. Sebenarnya saya mendokong perdebatan. Saya percaya, perdebatan yang matang boleh menggerakkan intelektual seseorang. Dan saya percaya, walau apa pun, kebenaran tidak akan tewas. Tidak salah tewas kalau sudah berjuang habis-habisan.

Walaupun saya kurang setuju berdebat dapat melumpuhkan daya intelek anak bangsa dan tidak membawa kepada penemuan baru. Tidak perlu saya bawakan contoh di sini. Jika perdebatan tidak dialu-alukan biarlah ia dinafikan.

Harapan saya puan teruskanlah penggalian ini. Saya juga bercita-cita,jika ada kesempatan membaca kembali surah ini, cuba mengingatkan kembali sistem nahu dan balaghah bahasa Arab dan meihat tafsir-tafsir berwibawa tentang surah ini. Jika misi ini dapat diselesaikan, ini adalah sumbangan besar.

Saya fikir kajian ini adalah terpisah sama sekali dengan teori sastera Islam yang dikembangkan oleh Shahnon Ahmad dan dipolemikkan bersama Kassim Ahmad sedikit masa lalu. Adakah ini benar?

Selamat berusaha. Tuhan akan membalasnya. Dan Dia lebih tahu.

Khamis, April 20, 2006

Hikayat Bawang Besar dan Pengeran Muda 4



Bahagian keempat daripada Lapan Puluh Sembilan Bahagian

"Aku tidak pernah pnya tuan, setan," kata pegeran muda sambil mengembangkan dadanya.

"Baiklah kita bertaruh dengan satu lambungan syiling," perempuan muda itu ketawa.

"Kamu suka main. Baiklah, kita main. Tidakkah kamu tahu bahawa sultan tidakkan pernah kan tewas dalam sejarahnya. Permainan itu permainan budak-budak. Seribu kali lebih mudah dari laga ayam," kata sang pengeran.

"Baiklah, aku setuju," kata Bawang Besar. Suara-suara salakan anjing pelan-pelan mundur. "Jika aku memang kau akan menjadi hambaku selagi mana ada kedaulatan dalam negeri ini dan jika kamu menang wahai orang muda angkuh, aku mahu tengkorak sultan yang mati dijulang orang. Aku mahu kepala ayahmu yang wajahnya seperti wajahmu.

Siapakah yang akan memenangi lambungan itu?

Dan ketika syiling dilambung, dentinganya di lantai tidak kedengaran. Ada ribut meluru, ada bunyi memekakan telinga seperti irama kompang. Seperti sangkala. Adalah bunyi kaki-kaki kuda yang perkasa dan luar biasa.

Dari jendela yang berkuak-kuak dituip angin, antara kabus-kabus yang gebu, muncullah seorang panglima. Ia berada dalam pandangan siluet.

Moon Menangis



Hari ni Moon menangis gaduh dengan boy. Bila dia nak guna komputer, dia halau aku. Oleh kerana dia bergaduh dan menangis, hari ni dia jadi bos aku. Aku pula jadi staf dia. Tapi gaduh-gaduh pun, makan lalu juga. Maintain perut seksi dia.

Matematik



Matematik selalunya didefinisikan sebagai pembelajaran/kajian mengenai corak struktur, perubahan dan ruang, atau dengan kata lain, kajian mengenai nombor dan gambarajah. Matematik juga ialah penyiasatan aksiomatik yang menerangkan struktur abstrak menggunakan logik dan simbol matematik. Matematik dilihat sebagai lanjutan mudah kepada bahasa perbualan dan penulisan, dengan kosa kata dan tatabahasa yang sangat jelas, untuk menghurai dan mendalami hubungan fizikal dan konsep.


Walaupun matematik tidak dikira sebagai sains tulen, struktur tertentu yang dikaji oleh ahli matematik selalunya berasal daripada sains tulen, terutama sekali daripada fizik. Walau bagaiamanapun, kajian tersebut dibuat kerana matematik sendiri, misalnya struktur kajian mungkin boleh digunakan untuk menyatukan beberapa subbidang, atau digunakan sebagai alat untuk mengira. Akhir sekali, banyak ahli matematik mengkaji matematik atas sebab nilai estetika, iaitu melihat matematik sebagai salah satu cabang seni. - Wikipedia

* * *

Kenapa? Akhir-akhir ini ada satu perkataan menghantui hidupku: Matematik.

Kerana kebosanan, aku merewang-rewang seputar net. Aku singgah di Surat Untuk Takdir dan menemukan perkataan ini: Matematik.

Dalam kereta minggu lalu Emme kata dia suka Matematik lepas aku kata aku Matematik. Di universiti perempuan ini adalah pelajar Melayu yang paling tinggi markahnya dalam pelajaran Matematik. Aku minta dia ajar. Memang sebelum ini aku memandang rendah padanya. Aku tidak pernah sangka dia aku satu kebolehan yang buat aku sangat gembira.

Bagaimanakah aku harus percaya kalau koleksi bukunya tiada satu pun buku Matematik? Dari kecil aku juga sangat obses dengan Matematik. Barangkali kerana itu aku gemar bermain catur yagn kami panggil chess. Tetapi Emme tidaklah pula pandai bermain chess. Dia apa pun tak reti main.

(Syy, jangan bagi tau dia, ada satu rahsia: Emme tak pernah jumpa buku falsafah Matematik!)

Siapakah yang dapat mengajariku Matematik?

Perubahan



1999



2000



2001



2002

2006? Siapakah yang dapat memberi jawapan?

Selasa, April 18, 2006

Kartun Aja



Jo-Anne Stagg, T1 Gippsland.
http://www.gippsland.monash.edu.au/non-cms/indones/bimasakti/bimasakti6/kartunringan.htm

Italian Job Made In Brickfields



8:24 pagi. Seorang perempuan Cina menolak bayi dalam keretanya depan Hong Leong Bank. Dia lepaskan, biarkan kereta sorong itu menggelongsor sendiri. Seorang laki-laki Melayu menyambutnya. Dia menyorong meninggalkan bayi itu sendirian depan kedai 24 jam 7-Eleven. Bayi itu tidak menangis.

Dalam masa lima minit, perempuan Cina umur 30-an tadi membuka dua lapis pagar besi yang mempunyai lima atau enam mangga jenis Solex, tidak termasuk kunci biasa. Itu berlaku tepat 8:29 pagi.

Jumaat, April 14, 2006

Lembaga

Pengantar Raja Ahmad Alaudin dalam Utopia Trauma (Rahmat Harun 2006, Kuala Lumpur: suarasuara menyebut: ..cara pengucapannya kelihatan seperti upaya untuk keluar daripada kepompong pengucapan kreatif yang kini seolah-olah dilembagakan (institutionalised). Pengucapannya membawa kita keluar daripada pengucapan arus perdana, malah mungkin ada yang menyifatkan puisinya sebagai suara-suara underground anak muda ataupun suara-suara pinggiran."

Saya melihat lembaga-lembaga yang beliau katakan itu di mana-mana. Sebagai sebuah pengucapan kreatif saya tidak faham bagaimana puisi boleh jadi sejinak itu. Ibaratkan majalah-majalah macam kotak-kotak perbagai saiz dan bentuk, puisi akan menjadi air untuk disesuaikan dengan bentuknya. Maknanya puisi tidak bersifat autonomi dalam kerangkanya sendiri. Lesen puitis tidak dieksploitasi dan kerana itu beberapa tahun lalu ketika saya bertemu pertama kali seorang cerdik pandai falsafah, beliau berkata, "berhentilah menulis puisi. Puisi tidak menyumbang apa-apa kepada bangsa. Lebih baik menulis artikel."

Tetapi manusia itu tidak membunuh semangat saya. Saya jadikannnya cabaran dan saya menghormatinya sampai kini. Tetapi sial, kadang-kadang perkataan itu masuk ke dalam bilik tidur saya tatkala malam-malam sunyi.



Kalau tiada keberanian kreatif melakukan dombrakan pada stuktur, pengucapan, bahasa dan gaya tidak akan ada pemberontakan keluar kepada lingkungan yang lebih pesar. Memetik Mas Goen lagi, "kreativitas itu dalam sejarahnya menolak belenggu."

Seorang kolumnis terkenal berkata, "puisi yang aku baca di akhbar adalah cantuman beberapa kerat perkataan-perkataan pelik."

Tidakkah saudara rasa ada yang tak kena dengan sajak-sajak kita yang tersiar di media-media? Atau saudara tidak pernah sedari pun? Kerana itu saya muak dengan kata-kata puisi untuk kemanusiaan. Siapakah yang jujur dengan serius dan siapakah yang berlakon. Tuhan akan membongkar hati mereka.

Apakah benar pernah berlaku pemberontakan estetika?

Kali ini kalau saya menulis atau berkata sesuatu yang dianggap kontroversi, dan saya dengan keimanan saya juga, saya tidak akan minta maaf, saya akan cabar mereka mubahalah--bahawa kita datang ke sebuah padang. Kamu dengan saudara dan anak binimu dan mereka yang bersama-sama denganmu dan begitulah juga aku. Kita bawa mashaf al-Quran, kita bersumpah dengan nama Allah Azzawajalla bahawa kita di pihak yang benar dan salah satu di angkata kita adalah pendusta yang akan dilaknat dan dimasukkan ke dalam neraka selama-lamanya. Apakah kamu berani? Adakah keyakinan kamu cukup teguh?

Ini bukan perang sabil.

Rabu, April 12, 2006

Siapa Sayang Nabi, Angkat Tangan

Semalam ialah Maulud Hari.

Siapakah yang sayangkan Muhammad? Angkat tangan!

Saya sayang. Nabi adalah orang yang menjadi jantung kehidupan saya. Nabi telah masuk menjadi semangat saya. Tuhan mengutuskan kita al-Quran yang merupakan kata-katanya. Oleh kerana fiman-Nya itu sangat mulia, Tuhan mengutuskannnya melalui seorang yang mulia. Kata-katanya itu telah terbit semula dari mulut manusia yang mulia. Muhammad namanya, yang tertulis dalam Perjanjian Lama Barnabas ketika Adam dan Hawa dihumban ke dunia dari Taman Edan, mereka melihat kata-kata yang bercahaya di gerbang langit, "Bahawa tiada Tuhan disembah melainkan Allah dan Muhammad itu utusan Allah."

Bila Nabi dihina siapakah yang membela dengan selayaknya? Dalam kes Jylland-Posten, ribuan, barangkali jutaan manusia menunjukkan rasa tidak puas hati dengan pelbagai cara di serata dunia. Tetapi cukup kuatkah kasih sayang kita itu?

Nabi bukan Nabi formal seperti patung Isa dalam gereja. Bahkan baginda juga Nabi informal. Muhammad dipuji bukan dalam semata dalam selawat ketika solat. Muhammad harus dijadikan teladan agung dalam tiap detik. Muhammad harus ada dalam tiab tubuh dan zat manusia. Ayah aku Wahabi (tapi dia tak mengaku dia Wahabi).

Sewaktu kecil, beliau selalu bercerita kisah para anbiya seperti bapa saudaraku bercerita kisah-kisah rakyat Awang Selamat. Bila dia bercerita tentang Muhammad aku tahu dia sayang Muhammad. Dia kata, orang pertama yang buat 'Maulud Nabi' ialah Abu Jahal. Bapa saudaranya ini telah menyembelihkan seratus ekor unta untuk dikendurikan dan diraikan seorang putra besar Arab. Dia menyayanginya dengan sepenuh hati sehinggalah peristiwa Israk Mikraj.

"Percayakan kalian jika aku katakan bahawa dari dua bukit besar ini akan datang satu angkatan besar bala tentera yang akan memusnahkan kamu?"

Semua mereka percaya. Maka Muhammad pun berkata, "Semalam aku telah dibawa Tuhan dari sini ke Masjid al-Aqsa dan diangkat ke Langit kemudian diturunkan semula dan pulang ke mari dalam masa satu malam. Adakah kamu percaya?"

"Kamu berdusta," Abu Lahab memulakan cercaan sedangkan di awal tadi beliau percaya. Kerana itu Tuhan melaknatnya bersama isterinya yang menjadi kayu api neraka. Bermulalah penentangan. Wujudlah seorang Bilal. Siapakah yang mampu menahawan batu berat di dada dan dipaksa menafikan Allah kalau bukan Bilal Bin Rabah. Saudara, kasih sayang itulah yang aku tuntut, daripada kalian dan daripada diriku sendiri. Kasih sayang yang datang dengan tangisan.

Dan Bilal terus berkata, "Ahad. Ahad...."

Tuhan yang Esa. Tuhan yang Esa... Dia tidak menyebut Muhammad, Muhammad...

Siapakah yang ingin menuruti Nabi bertapa dia gua Hira', berfikir dan mengkaji tentang Tuhan? Memetik pertanyaan Ahmad Wahib, "Adakah Tuhan itu merupakan daerah terlarang bagi pemikiran?

Siapa sayang Nabi, Angkat Tangan.

Isnin, April 10, 2006

Hikayat Bawang Besar dan Pengeran Muda 3

Bahagian Ketiga dari Lapan Puluh Sembilan Bahagian



Aduh! Dan matanya kelam.

Sayugia setelah beberapa lama Sang Pengeran pun berasa kebaslah seluruh badanya tiadalah boleh bergerak-gerak akan tangannya dan tubuhnya mahupun kelopak matanya. Tetapi pengeran telah berbau sesuatu hang harum dan suara yang merdu sekali. Suara air dan perempuan menyanyi.

"Ini inderaloka yang mana?" pengeran tertanya-tanya dalam hatinya.

"Inderaloka yang mana satu yang tuan mahu?"

Tiba-tiba sebisik suara masuk ke telinganya, seolah-olah dapat membaca hati sang pengeran. Bukanlah ia suara malaikat. Bukanlah ia suara perindu atau bunian. Ia benar suara manusia.

Setelah digagahi, ia mula merasa perutnya berbisa dek tikaman keris diraja dengan seribu tulah di hujung matanya. Pengeran membuka mata.

Udara berkabus. Tiada susuk manusia kelihatan. Sebuah pintu. Beberapa ekor serigala terbit dari situ. Maka betapa gering baginda terjadi.



"Akulah raja muda negeri ini. Akulah langit akulah bumi. Laknat, pergi kau dari sini," jerit pengeran.

"Tuan, di sini bukan Antah Berantah. Di sini tiada tuan."

Suara perempuan yang merdu itu kedengaran lagi.

"Syaitan lakbatullah, siapa kamu? Tunjukkan mukamu. Aku kusepuh dengan keris diraja lapan keturunan itu."

Pengeran mula memegang erat keris yang masih di sisinya. Masih basah dengan darahnya.

"Aku tuan di sini juga dan di mana-mana pun. Kalau di sini benar juga tiada tuan, apa yang ada di sini? Bilang," jerkah sang pengeran.

"Di sini hanya ada siasah. Ada politik. Ada demokrasi. Tiada yang lain," kata suara itu. "Nama hamba Bawang Besar, hambalah tuan tempat perbaringanmu."

Hyde Park



Pemandangan di Hyde Park berlatarbelakangkan sebuah gereja yang lebih besar dari Masjid Negara. Di sebelahnya Grammar School dan Hospital Sydney. Di depannya sikit, ada Botanic Garden, tempat aku jalan menuju Opera House.

Nota
Jurugambar: Emme
Model: Jimadie (He, he, he!)

Hantu-hantu Pelabuhan Jutland

Fragmen Cerpen



Aku menyebut Jyllnd sebagai Jutland--ialah pelabuhan aneh sebanding hari itu di Kirribili. Aku tidak berani pulang ke hotel di Jalan Winworth. Hantu-hantu yang merah dan yang hijau kelihatan di mana-mana, berdesing seperti wisel atau siren diikuti suara-suara seperti kuda yang kalang kabutan. Aku melihat hantu-hantu di lampu-lampu trafik sekitar kota aneh Sydney. Maafkan, akulah yang obses dengan lukisan-lukisan celupar yang masuk ke kamar editorial di semenanjung Jutland itu.

Mac itu di Sydney, bulan maduku tidak menjadi. Ia hujung musim panas yang basah. Carlsbeg yang kupegang mencair di tangan dengan titis hujan yang mesra. William tidak mempedulikan kami yang basah seperti biasa masuk ke lif dan menekan nombor tujuh. Bila aku minum, air setan yang ada kod bar nombor 72 itu rasa payau. Isteriku nampak aku buang, berdenting dalam sinki.

"Sayang, be polite. You civilise atau tidak civilise? katanya. Ia masih acuh tak acuh dengan make-up-nya.


Nota
Nak baca habis, tunggulah nanti kalau keluar di mana-mana. Selepas berkahwin aku rasa masa menulis aku pendek sangat. Cerpen ini aku siapkan separuh hari semalam. Jika di waktu bujang, aku boleh menulis lebih banyak. Hari ahad biasanya, aku akan menulis sejak bangun mula bangun tidur, tidak mandi atau gosok gigi, lepas lunch, menulis saja sampai tengah malam--tersiksa dan berbahagian. Fokusnya tajam. Aku bisa masuk ke alam yang kubayangkan itu sampai mengganggu tidurku. Sabtu lalu aku lepak dengan Haris dekat Gombak. Haris tanya, "banyak menulis?" Aku jawab, "tidak, bini kacau," kataku. Haris dan Emme ketawa. Sebenarnya aku kurang puas hati dengan cerpen ini.

Jumaat, April 07, 2006

Hikayat Bawang Besar dan Pengeran Muda 2

Bahagian Kedua dari Lapan Puluh Sembilan Bahagian



Segala puji bagi Tuhan yang menciptakan angkasa, yang menerbitkan matahari mengikut kehendaknya, yang menyatukan hati-hati manusia. Maka hamba Allah ini memohon maaf dengan segala kerendahan budi dan hati bahawa hamba yang hina ini telah tersalah menulis judul untuk hikayat ini. Maka untuk edisi ini telah hamba betulkan kembali seperti yang hakikinya terjadi, seperti diceritakan pada hamba oleh orang-orang yang terdahulu daripada hamba.

Maka berbaliklah kita kepada hikayat ini, pengeran muda pun mencelah ayahandanya dengan suara yang seperti berbisik. Seluruh istana pun bungkam tanpa kata, tanpa gerak.

"Siapakah yang mencelah itu? Tidakkah kami maklum bahawa Duli Yang Maha Mulia Tuanku adalah langit adalah bumi adalah angkasa raya adalah peneraju tahta sejak ratusan tahun lalu?

"Nyatakan. Siapa? Demi Tuhan Rabbbul Jalil, akan kupancung kepala dia."

Pengeran muda pun berkata, "apakah memanda sedar apa yang memanda katakan itu?"

"Sudahlah anakandaku. Sudahlah mamak bendahara, pergilah orang kaya dengan titah beta atau batu jemala orang kaya menjadi taruhan kelak."

"Ayahanda, anakanda bantah. Kata-kata adalah pedang. Kalau dihunus mesti basah warna merah."

Maka Sultan Abdus Salam pun memerintahkan sidang khas dengan kadi dan mufti membicarakan kes ini. Kerana sumpah telah dibuat dengan nama Tuhan langit dan bumi.

"Demi Tuhan Rabbul Jalil, akan kupancung kepala dia."

Pengeran muda mengulang-ulang perkatan itu dan ketawa terkikih-kikih. "Beranikah mamak bendahara memancung kepalaku yang wajahku seperti wajah sultanmu?"

"Apakah yang pengeran katakan. Patik sekelumit pun tidak paham."

"Akulah yang berkata itu, wahai mamak. Aku tau kamu tua dan pelupa tetapi hati busukmu tidak dapat kuampunkan. Ayahanda, pancunglah orang ini dan kita salib tubuhnya di menara batu."

"Siapakah yang mendengar kata-katamu wahai anak muda," bendahara memperlahankan katanya.

"Patik."
"Patik."
"Patik."

Maka hukuman pun dijatuhkan dan kadi dan mufti telah menuliskan hukum mengikut keadilan dan kebenaran.

Maka tujuh purnama sesudah itu, sedang mereka belum menggempur musuh di lereng bukit, pemberontakan pun berlaku. Negara kami telah menjadi seperti busut. Busuk dan ada timbunan mayat-mayat dikerumini anjing dan dubuk.

Sultam Andus Salam mati direjam lembing ketika bersemayam di tahta. Pengeran muda dengan kedaulatan yang hilang lari seperti anjing. Berbulan-bulam. Tiadalah siang. Tiadalah malam. Segalanya sama bagi sang pengeran.

Maka sampailah ia ke sebuah hutan yang dalam. Mahkotanya telah tiada. Pakaiannya compang-camping seperti seorang pengemis. Maka dia pun menghunuskan kerisnya. Pengeran menangis seperti seorang perempuan.

"Jika tidak kerana nafsuku yang tamakkan kuasa, mengadakan konspirasi menjatuhkan bendahara yang jujur dan mulia itu kerana kelak aku berkuasa dia akan mengajariku dan menghalang aku menjadi syaitan padahal semua pembesar dan orang-orang kaya dan nujum al-tukang sihir firaun telah kusogokkan supaya mengada-ngadakan cerita tentang negeri di lereng bukit dan kekuasaannya itu membuatkan bendahara jatuh berahi dan hilanng pertimbangan. Kemudian aku menyampuk ketika dia bercakap dengan sultan sedang dia tidak tahu bahawa aku sengaja menyembunyikan bibirku dari penglihatannya sedang akulah hukum dan akulah kuasa dan akulah undang-undang. Aku bukan rakyat biasa. Aku adalah pengeran yang akan mewarisi tanah almarhum orang tuaku. Maafkanlah aku mamak bendahari yang mendidikku tentang politik sehinggalah aku membunuhmu. Nyawamu akan kutebus dengan nyawaku juga."

Pengeran muda pun menikam perutnya. Tetapi oleh kerana betapa sakitnya ia, baginda pun mencabut kembali keris itu. Telah berdarahlah bajunya dan merahlah keris diraja. Pengeran muda melihat langit makin kelam sambil matanya tidak terpejam.

Hikayat Bawang Besar dan Raja Muda

Bahagian Pertama daripada Lapan Puluh Sembilan Bahagian



Ada sebuah cerita yang tak pernah dihikayatkan. Terdapat seorang gadis kampung bernama Bawang Besar. Ibunya bernama Bunga Cengkih. Bapanya bernama Kayu Manis. Kakaknya bernama Cabai Melaka dan adiknya yang masih bayi bernama Garam Kunyit.

Bawang Besar adalah seorang perempuan gemuk dan mempunyai kulit yang kemerah-merahan. Bapanya adalah JKKK yang bermulut manis. Kakaknya Ketua Wanita sebuah parti politik. Dan adiknya masih bersekolah di tadika Kemas. Dan semua aktiviti itu berlaku di sebuah kampung yang tersembunyi. Kampung yang terletak di lereng bukit dengan dengan hutan berpuaka negeri Antah Berantah. Kampung itu dikatakan sebuah kampung paling canggih pernah wujud pada masa itu.

Untuk pengetahuan semua, peristiwa ini berlaku 100 tahun selepas kewafatan nabi Allah Sulaiman A.S. Di zaman itu, tiada manusia lagi yang kenal makna politik, apatah lagi tadika Kemas. Maka kampung itu adalah kampung yang paling permai. Cerita tentang kampung ini telah menjadi buah mulut dan tersebar melalu perkhabaran yang tak pasti sehinggalah seorang raja di alam Melayu bernama Sultan Malik Abdus Salam al-Mukmin al-Iman al- Islam Shah memerintahkan penulis-penulis istana menyiasat dan mengarang cerita ini lalu dilakonkan kembali oleh para badut istana.

Makan setelah penyiasatan dibuat. Rombongan yang diketuai oleh ahli nujum negara Abdul Hassan dengan gelarannya al-tukang sihir firaun pun menyampaikan laporan yang ditulis di daun-daun lontar dengan darahnya sendiri.

Terbakarlah segala kapal-kapal. Hanguslah segala tandu-tandu pembesar dan orang-orang kaya. Luka-lukalah seluruh ahli rombongan dek digempur pahlawan dari tanah terasing yang berpuasaka itu kerana disangkanya musuh yang digelar anasir-anasir asing seperti Black Metal.

Maka Sultan teramatlah murka dan bersiap-siap dengan kuda putih, dikerahkan segala hulubalang rahsi, dicucikan kandang-kandang pesalah dan penjara dan dilepaskan segala pencuri, penyamun, perogol dan perompok demi untuk memenuhkannya kembali dengan tubuh-tubuh bangsa dari kota terasing itu. Biarpun hidup. Biarpun mampus. Biarpun hanya kepala. Biarpun anggota.

"Bendahara," titah Sultan Malik Abdus Salam al-Mukmin al-Islam al-Iman dengan lantang. Baginda menghunuskan kerinsnya yang berhulu emas, merahlah mukanya, menggelembunglah dadanya. "Lenyapkan bangsa ini dari peta."

"Ayahanda," raja muda seakan mahu bersuara.

Bunuh



Rumah aku di kampung banyak lipas. Sampai pejam mata pun aku nampak garisan-garisan lipas.


Saya bukan orang yang baik. Saya pernah berfikir membunuh diri. Tetapi saya penakut. Kena cucuk dengan doktor pun saya tak pandang. Kerana itu saya batalkan niat tidak murni itu. Ketika itu saya ingin membunuh diri kerana bosan campur sunyi tak ada awek. Saya mengingat puisi Chairil Anwar, "Bukan nasibku membagi nasib / nasib adalah kesunyian masing-masing."

Dan aku membaca terjemahan puisi-puisi berahi penyair Sanskrit: "Kasihan penyair itu. Ia fikir bulan itu wajah kekasihnya."

Kerana sunyi aku selalu terperasankan benda-benda kecil dan membaca buat mengubat sunyi yang jahat itu. Adikku suka komik. Aku membaca komik-komik Hong Kong dan tanah air yang dibikin secara indie. Adikku suka muzik. Aku membaca majalah-majalah tentang muzik. Dan kami sama-sama suka lukisan. Cuma aku yang tangan keras. Maka aku selalu memerhatikan ia melukis. Kadangkala aku juga melukis tetapi itu tidak pernah kutunjukkan pada sesiapa. Aku melukis atau menconteng aku tidak pasti. Tapi aku benar suka warna.

Aku hidup dalam keluarga kecil dan tidak terbiasa dengan keluarga besar. Aku hanya punya seorang adik yang beza umurnya enam tahun dengan aku. Tiada lagi saudara lain. Ayah dan ibuku. Keluarga kami sangat tenang. Rumah kami agak besar di kampung dan laman depannya kosong. Kesunyian dan kebosanan itu tidak mengapa-apakan aku.

Lingkungannku talah mengkayakan imaginasiku, khayalanku. Aku tidak pernah bosan berkhayal dan melepaskan pertanyaan dan keraguan. Ketika menganggur, setiap hari aku menulis dan pergi ke perpustakaan di Arau atau Kangar.

Teman sekolah menengah aku yang gila selalu datang rumah dan tidak mahu pulang. Bila aku ke library dia akan ikut. Tapi itu dia tidak pernah tahan lama. Aku bahagian sunyi lagi. Aku seperti orang lain. Seperti tidak normal. Seringkala di library itu hanya aku dan beberapa orang saja budak-budak yang sudah tamat sekolah. Orang kampung kami fikir, library untuk budak sekolah saja.

Di jalan aku naik motor pelan-pelan dan hujan selalu turun di petangnya. Aku selalu basah bila sampai di rumah.

Kalau aku menulis sepanjang itu, nyatalalah aku sedang boring tahap gila.

Aku boring politik, bunyi SMS, bunyi telefon, tengok muka manusia. Aku nak bantal, nak tidur. Nak tengok VCD. Nak baca majalah. Dengar radio. Menaip apa yang kusuka. Berkhayal. Nak maki politikus. Nak baca suratkhabar. Nak merokok dekat beranda rumah. Nak makan candlelight dinner dengan bini. Nak tengok wayang. Nak jogging di Tasik Perdana.

Dan lain-lain.

Khamis, April 06, 2006

Politik



Politik adalah kek. Politikus pemotong kek. Pengikut adalah orang yang berkerumunna makan kek.


Apalah yang orang politik fikirkan? Barangkali tanda ini: RM atau lebih besar ini: $. Aku tidak tahu. Tetapi aku bosan politikus yang tak fikir ini: Rakyat dan kuasa (sebagai amanah)--bukan harta bapak dia atau gelang mas mak dia. Aku tau orang politik selalu masuk meeting malam-malam. Sediakan dokumen puluhan muka. Suka orang ambil gambar dengan dia. Suka orang cium tangan dia. Suka orang jilat dia. Suka boleh buat apa yang nafsu dia minta. Suka diberi penghargaan setinggi raja. Tetapi yang aku tahu: Mereka manusia. Kerana itu, aku menetapkan bahawa aku tidak akan menghormati mereka melebihi orang tuaku, melebihi darjat manusia.

Kalau aku rajin aku sambung. Aku tak suka orang tengok aku tulis. Politik.

Rabu, April 05, 2006

Assabiyah



Berkatalah panglima perang, "kerana kau hitam dan aku putih, kepalamu akan kukerat."


Saya belajar: Assabiyah itu bahawa kamu menolong bangsamu walaupun atas dasar kezaliman.

Saya sedih. Setiap hati datang kerja, saya dapati pekerja-pekerja Melayu lambat datang kerja dan bos-bos Melayu seperti terlalu Kanan.

Isteri saya dan adik ipar saya (yang tinggal serumah) punya dua majikan berbeza. Kami jarang bertemu. Saya bekerja di Brickfields dan Emme di Seksyen 16, PJ. Kami naik sebuah kereta. Untuk dua-dua masuk kerja tepat pada masanya, kami terpaksa keluar kebiasaannya jam tujuh atau 7.30 pagi. Sewaktu-waktu begitu, adik ipar kami kebiasaannya masih tidur.

Ketika saya mengajukan soalan, pohon penerangan (ini misteri bagi saya), "tidak mengapa," katanya. Semua orang pun lewat.

Jurutera muda ini tidak berasa bersalah. Dan memang pun bukan salahnya.

Isteri saya bekerja dengan Cina. Saya bekerja dengan Melayu yang lebih tegas daripada Cina.

* * *

Ketika handphone saya terjatuh, Emme pegang poket saya dan menyebut, "rokok?"

Dia kata perempuan mengandung tak boleh bau rokok. Sayang, I merokok dengan duit sendiri. Aku telah beri nafkah semampunya pada kau.

Hari ini kami makan makanan Korea sempena Minggu Setiausaha.

Selasa, April 04, 2006

Yang Formal Tidak akan Disembunyikan

Apakah yang formal dan apakah yang tidak formal?

1. Berkahwin: Ada yang formal dan ada yang tidak formal.
2. Beragama: Ada yang tidak formal dan ada yang tidak formal.
3. Berpolitik: Ada yang formal dan ada yang tidak formal.
4. Puisi: Ada yang formal dan ada yang tidak formal.
5. Menipu: Ada yang formal dan ada yang tidak formal.
6. Menapis: Ada.
7. Berbohong: Ada.
8. Berbacul: Ada.
9. Menapis diri sendiri untuk menulis apa yang sebenarnya aku mahu tulis--ada kekangan yang formal dan tak formal--itu sedang aku lakukan.

* * *

Aku lewat ke Buku Puisi dari Bukunota (link terakhir dalam blog ini) dan meninggalkan sebuah pesan: Banyak puisi. Izinkan aku link blog ini.

Kemudian blogmaster membalas, "jimadie: formalnya ko."

Yang formal tidak akan disembunyikan, saudara.

* * *

Aku bosan tajuk pendek. Untuk entri ni aku pakai tajuk panjang pula. Jo ada datang. Dan Nasir. Dan pergi. Isteriku sampai 20 minit lagi di KL Sentral. Kami mau beli barang di pasar raya Giant. Malam ini aku mau layan V for Vendetta. Aku nak pakai topeng dan letupkan isteri aku. He--

G' Day 3: +

+


Aku ingin benar ke Oxford Street. Ada sebuah bus ke Darling Harbour melalui Oxford Street. Tapi kami ingin, kalau boleh, langsung ke Circular Quay, stesen keretapi terdekat dengan Opera House langsung transit ke Museum dan jalan kaki 15 minit ke Travelodge Winworth. (Winworth ialah nama jalan). Dekat pusat bandar banyak sekali papan tanda Anzac Museum.

Perjalanan tadi menakutkan. Macam dalam filem Fight Club. Orang bergaduh dekat-dekat Bonci Beach. Emme tak berani turun bila sampai. Di situ banyak peniaga seperti wajah Abo--orang asli Australia.

Bondi Beach, burung-burung putih, udara sejuk, pantai indah. Sayangnya, melewati 9 malam. Kami langsung ke King Cross--malam Sabtu, anak-anak muda dalam pakaian hijau, bertopi clown, minum Heineken, ketawa, mabukan dalam tren--tidak berapa cantik.

Bini aku takut Aids. Di sana, dia terbaca dalam majalah, ada orang sebar-sebarkan virus pembunuh itu pakai jarum yang ditabur di merata-rata tempat.

Malam di Darling Harbour, malam terakhir, kami berjalan di tengah malam, tidak berapa sunyi, berhenti dan mengambil gambar. Kami mengenang tarikh itu.

Semalam, dalam kereta, Emme tunjukkan aku sebatang benda macam berus gigi, tapi tak ada berus. Berjenama Clear Blue.

Dia tunjukkan sebuah tanda yang terpapar, "+". Bacanya: Positif.

Aku ketawa kuat-kuat dalam kereta. Aku pegang perut kekasih dunia dan akhiratku.

Aku ingin menulis lagi sajak tentang Luqman.

Isnin, April 03, 2006

Luqman 4



Aku di kala transisi. Transisi maksudnya bergerak terus bergerak. Aku belajar jadi orang lain.

Aku orang suka bikin imaginasi. Sejak kecil aku besarkan, aku lepaskan imaginasiku seliar serigala, sebuas harimau [dalam logo] Proton seperti yang terpampang di pusat pameran Habourside, bawah tanah--kereta-kereta tak laku. Maka igauan menjadi sangat bermakna untukku.

Aku suka menghadirkan imaginasiku dekat dengan kenyataan. Maksudnya, seluruh cerita-cerita pendek yang kutulis adalah imaginasiku tentang realiti yang berlaku di sekelilingku. Dejavu, barangkali ada juga (yang membuatkan ku rasa ego dan berbeza secara mistikal).

Selepas berkahwin, aku kering masa menulis. Kerana melayani perubahan. Semua orang mesti berubah atau terpaksa berubah, menjadi akur, menjadi tabah kerana perubahan adalah tuntuthan hidup (bukan mati yang abadi) walau tak semua orang suka perubahan. Perubahan memakan korban malah menyakitnya.

Igauanya tentang Maisarah, gadis Acheh yang dirogol dua kali aparat zaman Daerah Operasi Militer (DOM) tohor dan tidak lagi padat. Juga kerap dan kejabnya Cat, perempuan jahat dan Tania gadis molek dari Pekan Baru, Indonesia telah mandom. Tahun-tahun belakangan ini aku digoda cicak dan lipas dek lamanya berhadapan dengan makhluk ini di kampung halamanku, semasa menganggur, berdosa dan lupa berdoa.

1 Mei tahun lalu aku ke Bukit Fraser memanaskan cinta kali pertama dengan kekasih (kini isteri). Aku igaukan matanya jadi ungu seperti mata Mona Lisa (matanya barangkali biru atau kelabu). Dan tersebutlah sebuah dongeng, barang siapa yang dapat melihat mata mona yang ungu, dia memperoleh kuasa telus mata. Dia dapat melihat alam ghaib, masa depan, masa lalu, dan imejan songsang, pelik-pelik.

Itu semua sebenar imaginasi. Itu yang jarang orang dapat bezakan tentang blog ini dan aku. Tanpa persepsi, khutbah dan saranan. Hanya sekeping gambar, silap cuci, silap adun-adun warna--dan sengaja disilapkan.

Bila tiada imaginasi, aku tidak menjadi tenang, aku menjadi terlalu resah. Maka aku khayalkan bagaimana seorang ayah menasihati anaknya yang kecil. Abahnya Luqman al-Hakim--abah terbaik di dunia.

Abahnya terlewat bangun Subuh, berdoa untuk seorang anak Luqman. Rumi namanya. Ibunya telah tiga hari lambat datang bulan. Abahnya berdoa diberikan seorang budak pintar dan lain nakalnya. Ibunya juga.

Abahnya, telah ia lepaskan imaginasi [lagi].

IKLAN

Terdapat ralat dalam alat ini

Label

Personal (47) Filem (42) Politik (32) Budaya (21) Sastera (21) Kreatif (16) Agama (15) Blogzine republik KATA (14) Artikel (11) Buku (11) Jalan Telawi (11) Meor Yusof Aziddin (11) Pekak (11) Pendidikan (9) Pencerahan (8) Sejarah (8) Cinta (7) Kewartawanan (7) Lagu (7) Sajak (7) Bahasa (6) Belasungkawa (6) Jimadie Shah Othman (6) Media (6) Teater (6) Blog Foto (5) Deaf Cultures (5) Fiksyen (5) MySL (5) Subversif (5) Anwar Ibrahim (4) Foto (4) Islam (4) Komuniti Pekak (4) Lao Zi (4) Maskara (4) Puisi (4) Tao (4) society (4) Adi Putra (3) Bahasa Isyarat (3) Carutan (3) Cerpen (3) Folk (3) Kemanusiaan (3) Metafizik (3) Rumah Pena (3) A Samad Ismail (2) Ahmad Kamal Abu Bakar (2) Aidil Fitri (2) Amin Iskandar (2) Anugerah Khatulistiwa (2) BN Perikatan (2) Catatan Pinggir (2) Daiyan Trisha (2) Demo (2) Drama (2) Etika (2) Gambar (2) Hamsad Rangkuti (2) Ili Farhana (2) Islam dan Pluralisme (2) Jepun (2) Karam Sikh (2) Komedi (2) Maskara 7 (2) Mikon (2) Mingguan Wasilah (2) Novel (2) PRU 12 (2) Pantun (2) Pas (2) Pramoedya Ananta Toer (2) Sastera Underground (2) Seni Multimedia (2) Seni Persembahan (2) Soceity (2) Sosial (2) Tanggapan (2) Tidak dikategorikan (2) Travelog (2) Utusan Malaysia (2) Yahudi (2) lagu raya (2) pop (2) sam ahmad (2) 'Mantan' Sasterawan Negara (1) 10 x 10: 100 Minutes to Change the World (1) 127 Hours (1) 1957: Hati Malaya (1) 1998 (1) 300 (1) 9 Naga (1) A. Samad Said (1) AEI (1) Ahadiat Akashah (1) Al-Hidayah (1) Allah (1) Amerika Syarikat (1) Amiena Rev (1) Ana Raffali (1) Antara-Agama (1) Apuke (1) Aron Ralston (1) Ashutosh Gowarika (1) Astro (1) BERSIH (1) Balik Pulau (1) Berhala (1) Berita Harian (1) Bibir Dalam Pispot (1) Black 14 (1) Blog (1) Bumi Manusia (1) Bunyi (1) Chairil Anwar (1) Chamil Wariya (1) China (1) Cowboys and Aliens (1) DAP (1) Danny Boyle (1) Datuk (1) Democrat (1) Demonstrasi (1) Denias (1) Dominic Sena (1) Ezam Mohd Noor (1) Fikh Wanita (1) Free Burma (1) Fun (1) GAPENA (1) Gangguan Teksual (1) Gerak (1) Goenawan Mohamad (1) HINDRAF (1) Harry Potter (1) Hassan Abdul Karim (1) Hindi (1) Hollowood (1) Hollywood (1) Ibrani (1) Interview (1) Istana (1) James Franco (1) Jodha (1) KTBM (1) Kakiscript Playwright Competition (1) Karya (1) Katholik (1) Keadilan (1) Kebab Connection (1) Kebebasan Kreatif (1) Komputer (1) Komrad (1) Korea (1) Kristian (1) Kung Fu Dunk (1) La Nuit des Caligraphes (1) Makanan (1) Malaysian Book of Records (1) Mamat Khalid (1) Man Laksa (1) Manga (1) Manifesto (1) Mary Magdalena (1) Mat Sentul (1) Melaka (1) Merdeka (1) Muzik (1) Napoleon (1) Naskhah (1) Negaraku (1) Negarakuku (1) Nick Murphy (1) Nicolas Cage (1) Nopen (1) Novel bersiri (1) Obama (1) P. Ramlee (1) PKN (1) PKR (1) PRM (1) Pakatan (1) Pantoum (1) Papua (1) Pemanasan global (1) Pena (1) Pendidikan Khas (1) Penulis (1) Pilihan Raya (1) Politik Baru YB J (1) Potret (1) Prima (1) Progresive Folk (1) Promosi (1) Psikologi (1) Puchong (1) Pulau Pinang (1) Pushna (1) Rajinikhan (1) Rasuah (1) Razak Moheidin (1) Reformasi (1) Republican (1) Revolusi Kebudayaan (1) Ria (1) Rise of the Planet of the Apes (1) Rock (1) Ron Howard (1) Rudi Soedjarwo (1) Sarawak (1) Sasterawan Negara (1) Satira (1) Season of the Witch (1) Semusim di Neraka (1) Shah Rukh Khan (1) Shamsiah Mohd No (1) Sharif Shaa'ri (1) Shuffle (1) Siasah (1) Sivaji the Boss (1) Soekarno (1) Sosialis (1) SoundCloud (1) Subbudaya (1) Sucker Punch (1) Sukan (1) Syed Husin Ali (1) TV Realiti (1) Taiwan (1) Teman Muhasabah (1) The Da Vinvi Code (1) The Last Life in Universe (1) The Warlords (1) Turki (1) Umno (1) Umno PKR (1) Video (1) Wayang Pacak (1) Woman On Top (1) Xiu Xiu (1) Yeshoshafat Harkabi (1) Yusmadi Yusoff (1) Zack Snyder (1) Zaid Ibrahim (1) adiwira (1) arahkiri (1) berani bercinta (1) dendang buat ibu (1) duta solaris (1) entri yang pernah ditarik balik (1) gig (1) ingin jadi manusia (1) instrumental (1) iseekmusic (1) kotak hitam 5.0 (1) malay mail (1) moi last von (1) puisi jadi senjata (1) ramadan (1) satuarah (1) single (1) zulfikar samsuri (1)