IKLAN

Cari Blog Ini

Sabtu, Julai 29, 2006


Dan sayang, patutkah aku menulis pasal politik?

Kota yang Basah Aku Nampak Seksi

KL hujan. Pertama, Faisal pulang selepas pow sebatang rokok aku. Moon pulang lepas teledon cakap bahasa Sabah yang aku tak faham dalam telefon. Jam 7.05 pm. Hujan. Benar. Senja dan malam. Aku takut hantu.

Kampung aku (apartmen tempat aku tinggal) ada kenduri-kendara. Jam lapan aku terbangun dengar lagu nasyid bunyi kuat-kuat. Bunyi dia macam peluru mendesup ke celah-celah nako rumah aku, masuk dalam bilik, kuak selimut dan menari-nari depan gegendang telinga. Lebih kuat dari suara pak bilal (hairan, sejak tinggal di sini, jarang aku dengar muazin bang pagi-pagi). Kereta aku sangkut waktu nak keluar pagar. Emme beli bihu yang aku tak makan. Dia ingat aku makan. Dia harap begitu. Abah Emme baik. Dia balik kampung tanpa SMS aku.

Rumah aku dipenuhi dengan kotak kerana aku mahu pindah. Max yang cari Dato' Saleh kata ada rumah di Hill Park. Aku memang tak akan ambil rumah tu. Sewanya dekat RM 2000 sebulan.

Moon rambutnya yang diwarnakan berbelang-belang. Dia make up lagi sebelum balik. Beg dia bawa sama besar dengan badan dia yang gedabak.

Dan katanya semalam Tun Dr. Mahathir kena sembur di Kota Bharu. Aku tengok ada gambarkan dekat Malaysiakini dan Harakahdaily. Kasihan juga. Muka dia kerunyok macam adik-adik kita di Lubnan (eh, tentera Lubnan tak reti angkat senapang ke?).

Max semalam jalan-jalan kutip sewa. Dia selalu pakai baju putih lengan panjang, seluar hitam, kasut kulit. Pendek kata: Kemas.

Aku masih pakai topi Italia.

Waktu hujan aku jadi rindu. Waktu hujan imaginasi dan produktiviti aku meliar. Kota yang basah aku nampak seksi.

Jumaat, Julai 28, 2006

Puisi Tak Mampu Ubah Apa-apa

Katanya Mao Zedong pun menulis puisi.

Seorang ustaz muda berkata: "Nasyid bukan lagi dakwah. Berapa orang masuk Islam bila dengar nasyid." Ada benar katanya dan barangkali bagaimana dia mengkaitkan dakwah dan Islam itu ada kecelaruan. Bukankah mengajak kepada kebaikan itu dakwah yang sangat Islamik sifatnya.

Seorang tua ulat buku berkata: "Puisi tak mengubah apa-apa." Itu beberapa tahun lalu. Saya tidak percaya. Maka saya terus menulis sajak-sajak yang saya gemar dan orang gemar. Sehingga saya menyumbang untuk Mitos Sperma Amerika, barangkali tidak sampai sepuluh sajak pun yang saya tulis lagi. Itu kerana saya obses dengan cerpen. Saya fikir saya harus pilih satu dan memiliki kedua-duanya bukan hak saya. Sekarang saya hampir percaya kata orang tua itu.

Tetapi semalam di Devi's Corner, Jalan Telawi, katanya: "Aku nak tulis puisi. Sebab prosa aku makin mirip pada puisi. Baik aku tulis puisi."

Saya fikir dia akan membuktikan bahawa kenyataan dalam judul entri ini adalah salah. Sahutkah dia cabaran ini?

Saya fikir saya tujukan entri ini untuk Khalid Jaafar.

Ahad, Julai 23, 2006

Matahari di Dalam Tangan

Capek. Benar. Capek sekali. Semalam aku tidur dua jam. Aku melawan masa dan batasan. Dan manusia itu sentiasa ditewaskan, yang, membikin kita rasa kecil. Juga dalam tiap aksi kepada tuhan--sujud dan mengecil ke lantai. Kita, selalu membenarkan dan mengulang-ulang keabdian. Tetapi tentang kebesaran, human dignity itu kenapa orang tidak membesarkan. Justeru, membilang takbur.

Matahari di dalam tangan adalah simbol faham manusia dan tuhan.

Ketakutan-ketakutan. Dan kenapa tuhan disimbolkan daripada cahaya? Aku fikir ada jawapan kenapa si majusi menyembah matari. Aku benarnya. Tetapi si tolol yang beragama, barangkali tidak pernah terfikir bahawa tuhan itu cuma kita fahami daripada simbol. Tetapi ia bukan yang itu. Kerana itu ada tuhan yang beda antara tuhan yang sebenar dan tuhan yang dikenal manusia melalui tanda-tanda, yang, dicipta, dimakna dan dikonsepkan manusia.

Tuhan itu tanpa batasan seperti nomboran. Kita tidak. Cepat capek dan menyerah. Aku tidur, bung. Barangkali mimpi siang itu indah.

Sabtu, Julai 22, 2006

demo dan ini cerita budak arau


arau. benar. ini kampungku yang dirindui. masjid arau, bulan puasa ada tarawikh yang panjang. tapi cuma lapan rakaat. itu aku gemar. tanpa witir. kemudian langsung ke kedai kopi bawah jambatan dekat lebuh raya bersama teman-teman republikan. kenangan. masa yang seolah sangat panjang. tepu nostalgia dan ingatan. ingatan. tetapi apakah gempa terbesar di arau? dan apakah gempa yang lebih besar dari politik? tiada . sungguh.

politik di arau hanya satu kayu ukur: kamu umno atau pas. tidak ada selain itu. kamu umno kerana kamu sudah lama umno dan kamu percaya warta berita. kamu pas sebab kamu punya ibu bapa pas dan kamu rasa berdosa pangkah parti lain. orang kampung kami suka bersorak (pesta) dan kenduri-kendara. kamu keluarkan seribu dalil dan buku politik seintelek mana pun, kamu dapati buku itu cuma kertas. tak ada bezanya dengan tisu tandas. dan, cuma di sini, yang namanya arau. kamu suka berniaga dan suka raja. bila ditanya asal, kami selalu jawab "arau", bukan perlis, tanpa nafi.

dalam pilihan raya lepas, ada sensasi. harun din lawan syed razlan, orang kerabat. keadilan bertanding di pauh kalah teruk. dia lawyer muda. sebelumnya dalam pilihan raya kecil hashim jasin masuk parlimen. sepenggal cakap fasal harga padi dalam dewan. syed adalah keturunan dihormati di perlis. dan, lebih benar, tanpa arau, tidak, tidak pernah aku menulis. dan sekarang aku rindu bau jerami dan sawah padi. (tapi aku sudah takut ular air dalam lopak parit gila).

aku dapat gambar dari internet gambar orang demo di arau. masjia arau. depan istana. cantik tapi tidak pernah sekali aku pijak rumput. seni binanya ada ilham belanda. raya puasa aku tidak ke rumah terbuka raja sebab aku suka tidur di pagi raya lepas solat pagi raya. demo. itu pun tidak pernah aku bayangkan. arau sudah berubah. tetapi cinta tidak berubah. cinta bertambah-tambah.

entri ini tak ada huruf besar sebab tak ada huruf besar di arau. tuan, kami suka monarki. katalah feudal ke apa benda. dah cinta.

Rabu, Julai 19, 2006

Tentang Liberalisme yang 'Berdosa'

Aku ingin ke kelas pengajian liberal (lagi). Dua minggu lepas aku menulis tentang liberalisme untuk sebuah majalah agama bulanan. Di sini, ada sosok liberal yang lain. Liberal yang tidak selalu kita kenal. Semua orang fikir liberal itu hantu pontianak. Saya fikir tidak. Kalau pontianak itu dicucuk paku pada lehernya, ia akan menjelma menjadi perempuan manis. Biar aku kutip sedikit intro artikel aku tentang hantu pontianak yang berdosa itu.

Liberal seakan menggugat tradisi bangsa tetapi sebenarnya tidak pada tradisi keilmuan. Lewat kebelakangan ini semakin diperkatakan liberalisme atau pluralisme atau seumpamanya aliran-aliran pemikiran yang menghiasi wacana-wacana keilmuan.

Dalam konteks Malaysia, pandangan terhadap liberalisme sering disalah tanggap. Liberalisme dipercayai sebagai konsep Barat yang tidak cocok dalam lingkungan budaya dan masyarakat setempat. Liberalisme menjadi sebuah ideologi, pandangan falsafah dan nilai politik yang ‘berdosa’.

Kecaman mutakhir terhadap liberalisme bermula dengan melebarnya fahaman Islam Liberal, yang dilihat sebagai ‘pengacau’ kepada faham tradisional versi Sunni dalam agama. Kerana itu, hampir segala macam pergulatan dalam pemaknaan (dan pengalaman) agama tidak lepas dikaitkan dengan perkataan liberal, selain hedonisme dan penyelewangan dari kemurnian agama.

Kritikan mengkal dan rasa kurang selesa dengan perkataan “kebebasan” yang menjadi pokok kepada perbicaraan liberalisme, tanpa merujuk kepada sumber rujukan yang sahih dalam disiplin ini; sedangkan pokok perbicaraan seputar liberalisme itu luas (juga tua) sekali merangkumi kebebasan berfikir bagi individu, pembatasan kekuasaan, penegakan hukum, pertukaran gagasan yang bebas, ekonomi pasar yang mendukung usaha peribadi (private enterprise) yang relatif bebas, dan suatu sistem pemerintahan yang telus, yang di dalamnya hak-hak kaum minoriti dijamin.

Tetapi liberalisme yang ‘berdosa’ itu, sering bermula dengan hujahan mengkal berdasarkan ‘kata orang’—sebuah liberalisme yang tidak mengenal John Locke, J.S Mill dan Kant, apatah lagi pemikir-pemikir yang lebih kontemporari seperti Karl Popper dan Richard Rorty.

Sabtu, Julai 15, 2006

Epal Merah yang Lain Warnanya

Ada juga epal yang lain warnanya.

* * *

Bosanlah baca-baca. Jom tengok gambar.

Epal Hijau itu biasa.

Epal merah itu luar biasa; dan dah kena gigit pun.

Tapi anehnya, dari dua ketul epal merah itulah, lahirnya semua yang terkurung dalam frame ini.

Apakah yang Adam dan Hawa lakukan?


Foto Keliling (Bukan Keling) Brickfields

Pindah

Aku rasa bosan photoblogging dengan Blogger. Makanya aku pindah semula ke rumah lama di Fotopages--Foto Keliling (Bukan Keling) Brickfields di alamat http://jimadieshah.fotopages.com.

Mere Nam Mawi

U-Roy, MC yang cool.



Budak-budak tu ingat mereka cool. Macam Tupac Shakur. Mereka duduk-duduk buat bising dekat kedai mamak. Nak conteng dinding penakut nak mampus. Aku tidak tahu ada berapa dongeng dalam hip hop. Adakah grafiti, yang menjadi elemen asas aliran ini adalah menconteng dinding? Adakah grafiti sekadar percikan lucah dan ghairah di dinding? Sebab itu, budak-budak yang pakai baju dan seluar besar ini, usung papan selaju serata tempat, pakai topi senget ini sebenarnya berotak kontot. Hip hop yang pernah hadir sebagai gerakan budaya yang berwibawa akhirnya menjadi bahasa slanga dan fesyen generasi muda yang tidak ketahuan hala. Yo, kamu tidak cool. Kamu tidak ada semangat yang itu. Kerana itu kamu menjadi Mawi. Kamu adalah fenomena.

* * *

Biar aku kutip bahagian dari Gurindam Illium yang diterjemahkan Khalid. Aku suka benar.

Paduka Dewi, nyanyikanlah: kisah amok
Akilis putera Peleus, dan bala pedih yang
menimpa tentera Akia, ribuan nyawa,
nyawa-nyawa wira perkasa, terhumban ke
neraka, dan jasad mereka menjadi santapan
anjing dan burung, maka terlaksanalah
hasrat Zeus. Mulakan, paduka Dewi, pada kala
pecah pertengkaran antara
putera Atreus, pengeran semua manusia, dengan
Akilis yang gemilang bagai dewa.

Khamis, Julai 13, 2006

Babysitter

Sam hantar anak dia pada babysitter. Babbysitter tu jaga dua lagi budak yang dah besar. Anak Sam tiga bulan. Kepala dia okey di luar tapi tak okey di dalam. Doktor kata berdarah. "Baby kamu boleh cacat, buta, pekak dan lain-lain," kata Doktor. Bini dia doktor tapi dia bukan doktor.

Malam itu anak dia muntah tak henti-henti. Doktor kata, benar, ada hentakan. Kalau kamu tak pukul, mungkin babysitter pukul atau budak-budak lain yang dah besar sikit pukul, atau ada hentakan yang tidak disengajakan dan tidak juga terperasan.

Sam mengalami masalah.

Isnin, Julai 10, 2006

Sama Ada

Sama ada aku baru hendak bertolak atau sudah pulang. Suhu panas. Merokok memeritkan kerongkongku. Orang Inggeris itu dalam pakaian merah. Berborak dengan seorang laki-laki Melayu pertengahan umur (Melayu itu ertinya tunduk, merendah diri macam paku pakis). Emme dan adik ipar dan birasku dalam KLIA. Suka betul penghawa dingin. "Dulu saya angel. Sekarang saya sedang sedang bercuti," kata lelaki Inggeris itu sambil menghisap rokok dan memegang sebuah beg hitam.

Berahi

Gambar Hiasan

Perlawanan semalam pagi tidak terlalu memberahikan. Permainan sebegitu tidak menarik bagi aku. Aksi yang membosankan dan penamat yang separuhnya di tangan takdir. Zidane menamatkan hayat bolanya dengan kad merah dan keluar dari padang penuh bergaya. Aku sokong Itali tapi jika menyokong lawan, bukanlah Perancis tapi hero kepala botak mereka, Zidane. Petang semalam aku terima SMS dari PK: Ayam tak berkokok esok pagi kerana dah disembelih oleh Itali. Hari ini aku buka Khalidjaafar.org, boleh tahan juga skil orang tua ni kutuk orang, aku fikir begitu.

Sabtu, Julai 08, 2006

Kenangan dan Tangan Kiri



Aku bertemu kenangan. Andaikan empat tahun lalu di sini. Bukan bola sepak, tetapi perempuan-perempuan cantik dan gedik, comel dan segar menari-nari di jalanan. Aku bertemu Ida.

Perempuan muda itu, ia tetap comel, masih gelap dan lebih tinggi beberapa inci daripada dulu. Ia belum menikah dan, giginya tidak tersusun, ia datang bersama tiga lagi teman. Seorangnya perempuan Siam rambut lurus seperti perempuan Rejoice. Benar, perempuan itu juga telah besar dan menjadi cantik. Tetapi Zuhdi yang bermulut celupar itu telah merosakkan rencanaku. Ia kata aku menikah dan punya empat anak.

* * *

Tetapi Ida menjadi pemalu.

Ismail yang kami panggil Cik Mail bertopi ingin ke CM. Cik Mail juga jadi pemalu. "Aku dua kali terlepas kenduri kawin kau," katanya. Dan, "Mana Chot dan Rahim?"

"Rahim di Moroko belajar sosiologi," kataku dan aku ceritakan aku kerja di Brickfields.

* * *

Aku puas makan. Mulanya aku memerap Zuhdi dan Sobri ke Masjid Negara untuk makan rojak Vena Veni Vinci; kemudian di Dataran (Merdeka) tengok persiapan penutup Citrawarna 2006; kemudian lagi jagung rebus; sebelumnya kebab Arab. Aneh, perut aku tak mahu kenyang-kenyang.

Aku menyusur Dataran dengan kenangan. Mataku meliar.

Aku bertemu kenangan. Empat tahun lalu aku di belakang bangunan mahkamah, aku buat prob, jaga lembing. Aku bergurau dengan perempuan penari. Aku perhati kecantikan mereka, aku bawa air untuk mereka minum. Aku bahagia.

Ida yang dulu jadi penari sudah jadi jurulatih. Cik Mail kini berkhidmat di Pejabat Kebudayaan Selangor. Aku bertemu mereka semua ini di pentas yang kami sama-sama kongsi. Sebahagiannya untuk seni tari, dan sebahagiannya seni lakon.

Aku berteater dengan tangan kiri. Tangan kanan aku gunakan untuk menulis. Tetapi setelah empat tahun yang seperti dekat seperti jauh seperti dekat itu telah memotong sebelah tanganku--tangan yang ketiga.

Hasilnya sekarang, aku memenuhkan perut dengan tangan kanan dan tangan kiri pula aku menulis. Tak ada lagi tangan ketiga.

Drift Saja?

Filem



The Fast and The Furios sudah masuk fasa ketika. Kali ini dengan Tokyo Drift, ada seribu stunt menarik dalam kawasan parking, jalan raya dan menaiki bukit di pinggiran Tokyo. Kerana seorang betina, seorang budak muda menghancurkan kereta ibunya dalam perlumbaan di kawasan pembinaan Amerika. Ia dicekup polis dan ibunya datang.

"Ini bandar ketiga untuk kita dalam dua tahun ini," kata ibu pelik itu, menghisap rokok dalam balai.

"Kali ini ke mana kita akan berpindah?"

"Kita tak akan ke mana-mana?" Jawap si ibu.

Maka bermulalah episod drift-drift merbahaya. Akan pemuda itu, dihantar menuruti ayahnya di Tokyo, rumah kecil, dua syarat: (1) Kamu pergi sekolah dan kamu balik sekolah; (2) kamu dilarang menyentuh kereta.

Tokyo suatu bandar yang cukup pelik baginya. Ia berkenalan dengan laki-laki negro yang menjual perlbagai jenis barang-barang di sekolah. Tapi soal sang protagonis, "kamu ada kereta?" itu membawa kepada persahabatan yang erat. Mereka bermusuh dengan anak penakan Yakuza. "Apa Yakuza?" soalnya. "Mafia, mafia," kata negro.

Mereka menyelesaikan permusuhan dengan sebuah perlumbaan. Sean, laki-laki itu telah hancurkan Mona Lisa, kereta buatan tangan Han, rakan kongsi anak mafia. "Kamu pastikan tidak keluar dari bandar ini," kata Han.

Bermulalah persahabatan dan cinta dan episod-episod drift yang mengagumkan. Tiada aksi yang lebik memikat, membawa perasaan daripada pemanduan Sean dan teman wanitanya menaiki bukit, sebuah malam sunyi, kereta berpusu-pusu. Yang ada hanyalah drift yang berbunyi seperti salakan serigala dari hutan dalam.

Cerita ini berbeza. Bukan sekadar drift. Tidak layak membandingkan dua edisi The Fast and the Furios sebelumnya. Saya menikmati cerita ini: Sederhana dan mengagumkan.

* * *

Saya ke Rumah Pena (lagi) semalam. Mar, mana kamu dan ayah kamu? Ketika Zakir tepuk bahu aku, aku kata, "ingat ada Ahadiat Akashah."

Zakir senyum, sedikit gelak dan berkata-kata. Ia tidak update Mata Kaca.

Jumaat, Julai 07, 2006

Juara Piala Dunia

Pasukan yang mampu menjadi juara Piala Dunia 2006 adalah pasukan yang mampu mengetepikan saingan Republik Czech. Dan pasukan itu hanya satu: Itali.

Khamis, Julai 06, 2006

Superman Wanted*


Tempat kerja aku memerlukan beberapa orang Superman dengan segera. Superman yang diperlukan seperti berikut: (1) Dapat terbang selaju mungkin untuk menghantar surat dan lain-lain barang (despatch); (2) dapat meng-hensome-kan diri untuk mencuci pejabat supaya cantik dan bersih (cleaner dan (3) boleh jadi setiausaha. Lelaki mendapat kelebihan. Bukan nak pandang rendah kaum perempuan, tapi kerja ni kena pakai seluar dalam kat luar (maklumlah Superman).

Untuk jawatan nombor (1) dan (2), syarat asasnya mestilah boleh membaca dan menulis. Ada lesen motorsikal lagi baik. Kalau tak ada, bayar saman sendiri.


*Entri ini semata-mata iklan.

Selasa, Julai 04, 2006

Superman untuk Malaysia 2: : Lihatlah Wajahnya yang Pengasih dan Penyayang


Sudah berapa kali saya kata, kita perlukan Superman. Superman adalah lambang manusia ideal, kuat, jantan, jujur dan bersemangat. Seorang Superman mampu mengubah dunia ini agar lebih aman seperti di Syurga. Siapakah kanak-kanak lelaki yang tidak teruja dengan hero ini, lantas membesarkan imaginasinya berhari-hari, langsung hingga dewasa. Namakan (jika ada).

Sama adalah generasi yang zaman kanak dipenuhi dengan cerita Superhero yang tak pernah klise. Cerita samurai. Gaban. Hero Lima. Power Rangers. Masked Raider dan sejuta lagi kesatria agung; tetapi ini hanya imaginasi yang menghiburkan kita kerana kita sebenarnya dalam putus asa yang panjang. Hampa yang dalam.

Jika dahulu manusia, yang tidak mengenal tuhan pun, mencipta dewa-dewa dalam kepalanya bagai candu yang mententeramkan. Kemudian selepas 'mencipta' tuhan, mereka ciptakan anak-anaknya, keluarganya dan kemudian utusan-utusannnya. Bila manusia-manusia itu kembali kepada tuhan, mereka patungkan--ingin selalu ada. Kerana itu, tanpa segan, saya mengaku, tiada cerita yang lebih sedih dan mengharukan pada saya melainkan cerita superhero, bukan Kuch Kuch Hota Hai, bukan Sembilu 3. Saya tersedu menonton cerita superhero. Sungguh.

Superman. Lihatlah wajahnya yang pengasih dan penyayang.

IKLAN

Terdapat ralat dalam alat ini

Label

Personal (47) Filem (42) Politik (32) Budaya (21) Sastera (21) Kreatif (16) Agama (15) Blogzine republik KATA (14) Artikel (11) Buku (11) Jalan Telawi (11) Meor Yusof Aziddin (11) Pekak (11) Pendidikan (9) Pencerahan (8) Sejarah (8) Cinta (7) Kewartawanan (7) Lagu (7) Sajak (7) Bahasa (6) Belasungkawa (6) Jimadie Shah Othman (6) Media (6) Teater (6) Blog Foto (5) Deaf Cultures (5) Fiksyen (5) MySL (5) Subversif (5) Anwar Ibrahim (4) Foto (4) Islam (4) Komuniti Pekak (4) Lao Zi (4) Maskara (4) Puisi (4) Tao (4) society (4) Adi Putra (3) Bahasa Isyarat (3) Carutan (3) Cerpen (3) Folk (3) Kemanusiaan (3) Metafizik (3) Rumah Pena (3) A Samad Ismail (2) Ahmad Kamal Abu Bakar (2) Aidil Fitri (2) Amin Iskandar (2) Anugerah Khatulistiwa (2) BN Perikatan (2) Catatan Pinggir (2) Daiyan Trisha (2) Demo (2) Drama (2) Etika (2) Gambar (2) Hamsad Rangkuti (2) Ili Farhana (2) Islam dan Pluralisme (2) Jepun (2) Karam Sikh (2) Komedi (2) Maskara 7 (2) Mikon (2) Mingguan Wasilah (2) Novel (2) PRU 12 (2) Pantun (2) Pas (2) Pramoedya Ananta Toer (2) Sastera Underground (2) Seni Multimedia (2) Seni Persembahan (2) Soceity (2) Sosial (2) Tanggapan (2) Tidak dikategorikan (2) Travelog (2) Utusan Malaysia (2) Yahudi (2) lagu raya (2) pop (2) sam ahmad (2) 'Mantan' Sasterawan Negara (1) 10 x 10: 100 Minutes to Change the World (1) 127 Hours (1) 1957: Hati Malaya (1) 1998 (1) 300 (1) 9 Naga (1) A. Samad Said (1) AEI (1) Ahadiat Akashah (1) Al-Hidayah (1) Allah (1) Amerika Syarikat (1) Amiena Rev (1) Ana Raffali (1) Antara-Agama (1) Apuke (1) Aron Ralston (1) Ashutosh Gowarika (1) Astro (1) BERSIH (1) Balik Pulau (1) Berhala (1) Berita Harian (1) Bibir Dalam Pispot (1) Black 14 (1) Blog (1) Bumi Manusia (1) Bunyi (1) Chairil Anwar (1) Chamil Wariya (1) China (1) Cowboys and Aliens (1) DAP (1) Danny Boyle (1) Datuk (1) Democrat (1) Demonstrasi (1) Denias (1) Dominic Sena (1) Ezam Mohd Noor (1) Fikh Wanita (1) Free Burma (1) Fun (1) GAPENA (1) Gangguan Teksual (1) Gerak (1) Goenawan Mohamad (1) HINDRAF (1) Harry Potter (1) Hassan Abdul Karim (1) Hindi (1) Hollowood (1) Hollywood (1) Ibrani (1) Interview (1) Istana (1) James Franco (1) Jodha (1) KTBM (1) Kakiscript Playwright Competition (1) Karya (1) Katholik (1) Keadilan (1) Kebab Connection (1) Kebebasan Kreatif (1) Komputer (1) Komrad (1) Korea (1) Kristian (1) Kung Fu Dunk (1) La Nuit des Caligraphes (1) Makanan (1) Malaysian Book of Records (1) Mamat Khalid (1) Man Laksa (1) Manga (1) Manifesto (1) Mary Magdalena (1) Mat Sentul (1) Melaka (1) Merdeka (1) Muzik (1) Napoleon (1) Naskhah (1) Negaraku (1) Negarakuku (1) Nick Murphy (1) Nicolas Cage (1) Nopen (1) Novel bersiri (1) Obama (1) P. Ramlee (1) PKN (1) PKR (1) PRM (1) Pakatan (1) Pantoum (1) Papua (1) Pemanasan global (1) Pena (1) Pendidikan Khas (1) Penulis (1) Pilihan Raya (1) Politik Baru YB J (1) Potret (1) Prima (1) Progresive Folk (1) Promosi (1) Psikologi (1) Puchong (1) Pulau Pinang (1) Pushna (1) Rajinikhan (1) Rasuah (1) Razak Moheidin (1) Reformasi (1) Republican (1) Revolusi Kebudayaan (1) Ria (1) Rise of the Planet of the Apes (1) Rock (1) Ron Howard (1) Rudi Soedjarwo (1) Sarawak (1) Sasterawan Negara (1) Satira (1) Season of the Witch (1) Semusim di Neraka (1) Shah Rukh Khan (1) Shamsiah Mohd No (1) Sharif Shaa'ri (1) Shuffle (1) Siasah (1) Sivaji the Boss (1) Soekarno (1) Sosialis (1) SoundCloud (1) Subbudaya (1) Sucker Punch (1) Sukan (1) Syed Husin Ali (1) TV Realiti (1) Taiwan (1) Teman Muhasabah (1) The Da Vinvi Code (1) The Last Life in Universe (1) The Warlords (1) Turki (1) Umno (1) Umno PKR (1) Video (1) Wayang Pacak (1) Woman On Top (1) Xiu Xiu (1) Yeshoshafat Harkabi (1) Yusmadi Yusoff (1) Zack Snyder (1) Zaid Ibrahim (1) adiwira (1) arahkiri (1) berani bercinta (1) dendang buat ibu (1) duta solaris (1) entri yang pernah ditarik balik (1) gig (1) ingin jadi manusia (1) instrumental (1) iseekmusic (1) kotak hitam 5.0 (1) malay mail (1) moi last von (1) puisi jadi senjata (1) ramadan (1) satuarah (1) single (1) zulfikar samsuri (1)