IKLAN

Cari Blog Ini

Khamis, Ogos 30, 2007

Gila kerja atau kerja gila

GAPENA menganjurkan forum 50 jam tanpa henti sempena 50 tahun kemerdekaan. Utusan Malaysia hari ini melaporkan tentang pengiktirafan yang diterima dari Malaysian Book of Records. Program ini melibatkan banyak pihak seperti ahli akademik, penulis, aktivis sastera dan budaya dan ahli politik. Dan berita sedihnya, seorang pemforum meninggal dunia, kebetulan pada majlis tersebut. Orang kita nampaknya gila mencipta rekod. Kalau negara kita memakai gelar darul, saya cadangkan kita gunakan nama rasmi menggantikan Persekutuan Malaysia ini sebagai "Malaysia Darul Rekod". Malangnya rekod ini barangkali tidak juga boleh menaikkan tahap penulisan dan kualiti sastera di negara kita. Dan kalau kalmu berforum berdebat sungguh-sungguh pun tapi waktu itu jam empat pagi, sudah tentu kerja ini boleh iibaratkan, bak kata Karam Singh Walia, ibarat mencurah air ke daun keladi.

Ketika kami sibuk menyiapakan tugaan seminar, Rahim Razalli, naib pengerusi 2, juga pensyarah di MySL TC dan UPSI berjenaka, "ini bukan gila kerja, ini kerja gila," katanya.

Mungkin GAPENA patut juga mendengar seloroh ini daripada sesiapa. Barangkali Karam Sikh atau lain-lain.

Karam Sikh, saya rindu komen saudara. Kita boleh menjadi kawan.

Selasa, Ogos 28, 2007

'Badan Pelindung Harta Intelek Penulis tak perlu'

Oleh Nazmi Yaakub


KES pelanggaran hak cipta membabitkan dunia sastera serta karya kreatif negara ini yang mendapat perhatian media massa, rupa-rupanya belum cukup menjadi isyarat jelas untuk Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) menggerakkan pembentukan Badan Pelindung Harta Intelek Penulis.


Gapena mendakwa tidak mendengar kewujudan masalah pelanggaran hak cipta bertaraf ‘legal’ kebelakangan ini, sekali gus beranggapan lebih wajar untuk gabungan penulis yang sangat sibuk itu menumpukan tenaga kepada pelbagai projek lain.

[Baca lanjut dalam Berita Harian]


Nota: Kita semua patut membaca dan mengambil serius masalah ini. Jika GAPENA tidak dapat atau tidak mahu memperjuangkan nasib penulis lagi, mari kita perjuangkan supaya GAPENA menjadi lingkup dan tak ada lagi dalam sejarah Malaysia. Bagi saya, isu royalt, bayaran, dan hak cipta penulis adalah isu pertama perlu kita semua ambil serius, bukan sibuk menjadi Melayu sampai ke Cape Town. Itu semua kerja mengabeh boreh duit kerajaan (baca: duit rakyat yang bayar cukai).

Isnin, Ogos 27, 2007

Aiyoo, seminar la


Seminar MySL yang dirakam kamera Kwong Wah Yit Poh.

Kami selesai berseminar. Seramai 198 peserta mengikuti perhimpunan besar komuniti Pekak untuk sebuah tujuan, berbincang, bertemu dan beramah, berkongsi pengalaman dan atas sebuah hasrat dan harap untuk memartabatkan Bahasa Isyarat Malaysia (MySL) sebagai bahasa rasmi di Malaysia.

Memang, masih banyak yang perlu diperhalusi lagi, seminar ini adalah yang pertama seumpamanya berkaitan MySL yang pernah ada di Malaysia, boleh juga disebut dunia. Iaitu: Sebagai apa? Sama ada, seperti soal David McKee, orang pekak Amerika yang kini hidup dalam komuniti lain di New Zealand, keperluan menobatkan bahasa ini sebagai bahasa rasmi komuniti Pekak atau lebih daripada itu. Iaitu sebagai bahasa rasmi ketiga negara selepas bahasa Melayu dan Inggeris.

Walau pun seminar ini usai sudah. Namun, masih banyak yang perlu berlegar dan terus berlegar dalam kepala kita. Terdapat banyak strategi dikemukakan. McKee, orang Amerika pekak itu mengemukakan pengalaman New Zealand dengan amat menarik. Di negara kiwi itu, setelah 25 tahun berusaha, berjuang dan melobi akhirnya tahun lalu komuniti Pekak di sana memperoleh habuan mereka yang dikira amat lumayan: Akta OKU New Zealand dipernalkan dan New Zealand Sign Language (NZSL) diterima sebagai bahasa rasmi di New Zealand selepas bahasa Inggeris dan Maori.

Maknanya, ia bukan diiktiraf sebagai bahasa rasmi orang Pekak New Zealand tetapi bahasa rasmi negara, milik, warisan dan kebanggaan negara. Tetapi rendah diri McKeelah yang sebenarnya menjadikan mereka lebih besar, tidak seperti sesetengah daripada kita. Mereka bahagia dan gembira mengatakan bahawa NZSL tidak universal. Kedengaran seperti tidak canggih. Ia bersifat lokal, sempit, penggunaannya terhad hanya di negara tersebut.

Dan McKee juga tentu tidak lupa merumus, kerana itu ia unik. Ia adalah New Zealand. Dan saya pasti usaha tersebut terlalu payah. Ia bukan kerja McKee seorang, tapi bersama “orang-orang”. McKee pun saya lihat sudah bosan di Malaysia dan ia ingin kembali ke Singapura sebelum terbang semula lapan atau tujuh (entah, saya tidak lagi ingat) jam ke sekolah, Victoria Univercity of Wellington. McKee dan kami, semua kami telah merasa lelah dan penat.

Oleh itu, mohonlah beradu. Esok hari tidak ada morning press lagi. Kami, yang menerbitkan buletin mini dua hari tak tidur malam. Terima kasihlah kepada Nizam, Khalid dan Yin, dan Darmah dan Lina dan Mirzawati dan lain-lain lagi, termasuk nama yang telah kami potong dari senarai tim editorial kerana malas, suka beralasan macam orang Melayu dan yang kepalanya masih melayang-layang di angkasa raya. Terima kaseh. Semoga Allah menunjukkan jalan raya (saya fikir saya tidak salah mengeja). Amin.

Oh, ya, keluaran seterusnya morning press kami adalah pada tahun depan, pada hari, bulan, waktu dan masa yang sama. Sehingga itu, selamat tidur dan hingga berjumpa lagi. Jangan takut, buletin mini ini tidak digantung penerbitannya; kerana ia tidak pernah memohonnya. Ha, ha, ha! Encik polis (ke KDN?), maaf, jangan tanggap saya. Saya tak ada luit. Kao lat!



Sila layari Kwong Wah Yit Poh untuk berita lanjut seminat ini.

Layari juga Berita Harian semalam untuk membaca tulisan bos saya tentang orang pekak yang terpinggir sambut kemerdekaan.

Selasa, Ogos 21, 2007

Drama dan filem Melayu paling bodoh dalam sejarahnya

Pelakon yang menjayakan Raksasa.

Mengikut pengkritik, filem lagendaris P. Ramlee yang yang terbaik adalah Sumpah Semerah Padi (saya paling suka Nujum Pak Belalang). Manakala yang terburuk pula adalah Do Re Mi. P. Ramlee yang dianggap seniman teragung untuk bangsanya itu juga pernah menghasilkan filem yang disebut sebagai bodoh dan bangang. Selepas suramnya mutu filem-filem pasca-Jalan Ampas, kita tertanya-tanya, apakah filem/ drama yang paling bodoh daripada selonggok filem-filem/ drama-drama bodoh yang wujud?

Banyak sarjana terus mengkritik fenomena negatif ini tetapi tidak ramai yang secara terbuka menamakan seseorang atau filem tertentu. Salah seorang yang terkeluar daripada klise ini adalah Mansur Puteh. Hampir semua penyifatannya terhadap filem tempatan semasa membawa takrif “bodoh”. Maksud ini jelas kelihatan di bibirnya walau pun mungkin kadang-kadang dia cuba menapis dirinya sendiri.

Saya benci menonton filem/ drama tempatan. Saya 'tidak patriotik' daripada aspek ini. Tetapi kadang kala televisyen itu lebih bijak daripada kita. Dia pandai menyiarkan filem bodoh untuk kita tonton. Dia pandai memilih waktu dan menetapkan kita di sofa atau kerusi malas. Antaranya apa yang kita saksikan malam ini (Ahad).

Semua orang tahu bahawa seorang bos adalah bos selama lima hari—Isnin hingga Jumaat. Pada hari Sabtu dia adalah kawan paling baik. Pada hari inilah mereka menghabiskan masa dengan teman-teman sama ada melalui aktiviti sukan, rekreasi atau sidang kedai kopi. Tetapi pada Ahad, tidak ada kebahagian itu. Hari Ahad adalah neraka. Sebabnya, pada hari Ahad, mem yang paling berkuasa. Mem adalah bos untuk sepanjang hari. Hari itulah mereka belajar menjadi bapa yang kononnya paling penyayang dan baik hati. Malam minggu biasanya malam yang paling bosan hinggakan kita terpaksa membuka televisyen dan menonton apa pun yang ada.

Malam ini saya secara sipi-sipi menonton Raksasa, kisah budak perempuan jijik dan hodoh. Sebenarnya sangat hodoh. Macam Si Bongkok Tanjung Puteri, budak ini cenderung disisihkan masyarakat. Dia dinikahkan ketika usia muda dengan laki-laki tua yang mujurnya baik hati. Ibu irinya si gemuk perungus dan berhati busuk seperti tergambar dalam klise-klise biasa (watak) mak tiri (dalam filem) Melayu. “Raksasa” itu tabah. Dia memilih pendidikan sebagai masa depan. Oleh itu, dia meneruskan persekolahan menengahnya sehinggalah suatu hari tekaknya terasa loya. Bukan kerana perutnya kosong tetapi kini telah berisi sesuatu: Budak kecil.

Tetapi itu biasa. Sekali pandang, filem ini normal saja seperti wajah filem Malaysia sepuluh atau 20 tahun lalu. Cuma ada satu babak paling bangang (dan membangkan), “Raksasa” ini bawa anaknya hingga dalam bilik kelas. Siap ada dengan katil baby lagi. Ini bukan lagi bodoh yang biasa. Ini bodoh yang sangat luar biasa.

Filem memang boleh saja mengetepikan logika, jika mahu. Tetapi ia biasanya berlaku dengan sedar dan bergabung dalam sebuah komposisi logika cerita yang unik dan tersendiri (yang boleh berbeza daripada logika dalam realiti). Filem yang menyimpang daripada konvensi biasanya mempunyai daya kreativiti yang tinggi. Sifat intelektual itu boleh kita lihat dan rasai. Dalam filem Dari Jemapoh ke Manchestee misalnya pada babak-babak di akhirnya ada gambaran kereta terbang. Dan babak itu kena, kerana ia bukan saja menggambarkan peribadi (gila-gila) pembikinnya (ya, semua orang tahu) tetapi anarkisme, semangat kebebasan dan harapan yang jauh.

Dalam Raksasa, saya pasti penonton boleh menilai kebodohan drama bersiri ini, bukan semua, sekurang-kurangnya dalam babak hari ini sahaja.

Saya ada beberapa patah ayat yang sesuai kita gunakan untuk menngutukdan menghina pengarah filem ini (dan mungkin juga penulis skripnya): Kau tak payahlah buat drama. Kau memang tak ada bakat. Karya kau macam sampah. Dan kau balik belajar dululah. Tengok macam mana orang luar buat filem. Tiru cara mereka. Belajar, baca buku, berfikir, jangan malas!

Tadi drama, untuk filem paling bodoh dalam sejarahnya pula mungkin No Problem arahan Z. Lokman. Ya, Rabbi, hancur lebur. Tak payah komenlah. Anggap saya filem ini tak pernah ada dalam sejarah perfileman Malaysia kerana ia 40 tahun terkebelakang daripada standard semasa. Najis buncis!

Jumaat, Ogos 17, 2007

Kebebasan dan Kelainan


Oh, Siasah dah ada blog. Nampaknya bertambah satu lagi blog yang berkonsepkan berita. Seno Gumira pernah menulis pengantar untuk Renungan Korset, antologi sajak Keke, model dan pelakon Indonesia (rasanya tidak terkenal). Pengantar itu ringan, mempersona sekali gus bermakna. Kata Seno, dia berbangga, setiap kali ada orang Indonesia menulis puisi, kita (rakyat Indonesia) harus bersyukur. Itu maknanya kita belum mengalami kematian budaya. Hari ini saya ingin ubah suai kata-kata Seno itu. Setiap kali ada rakyat Malaysia ingin menulis tentang kebebasan, kita harus bersyukur. Itu tandanya Malaysia belum mengalami kematian kemanusiaan dan akal mereka sesungguhnya hidup.

Khamis, Ogos 16, 2007

Malam yang sungguh-sungguh dalam

Malam yang sungguh-sungguh dalam. Saya ingin menulis tentang malam ketika ketakutan, ketika kesunyian, ketika kegirangan dan ketenangan dalam secawan teh tarik atau Nescafe O, atau kesejukan, atau hiruk pikuk sumbang di kelab malam. Tetapi malangnya saya tidak dapat menitip sebaik Geonawan Mohamad. Ada esei Mas Gun tentang malam yang menyembunyikan potret sialan. Barangkali kita boleh menelitinya di Caping (http://caping.wordpress.com). Malam adalah saat penyair mencari ilham. Sejak tujuh tahun lalu, setiap malam tidak ada mimpi yang serupa, berulang-ulang, selain itu, malam menjadi tidak pernah iras. Maaf, sudah siang, saya tidak ingin menghabiskan tulisan.

Isnin, Ogos 13, 2007

Kiamat mungkin masih jauh, tapi neraka makin dekat

Banyak kempen kerajaan sebelum ini membuatkan saya endah tak endah. Iyalah, ia kan lebih kepada propoganda dan retorika, lebih-lebih lagi ketika pilihan raya mendekat. Tetapi ada sebuah kempen baru-baru ini membuatkan saya ingin turut serta, berpatisipasi: Tabiat Tak-Pa Bumi Binasa.

Ini bagi saya sebuah slogan yang sangat cathchy, tak macam kempen (anti-rokok) Tak Nak tidak lama dulu. Saya sedar dan naif, rupa-rupanya bumi kita memang makin panas. Sungguh. Setiap kali saya balik rumah untuk berehat, saya tidak dapat menikmati pembaringan yang enak dan empuk. Memang, saya merasakan panas yang luar biasa sehingga saat hendak tidur malam pun.

Beberapa minggu lepas saya buka tingkap rumah saya (risikonya bukan pencuri, tetapi bunyi bising dari lebuh raya LDP), angin sejuk pelan-pelan masuk membuatkan saya nyaman. Mungkin inilah yang dinamakan angin sepoi-sepoi bahasa. Tetapi hari ini, sekarang ini, jika saya membuka tingkap, angin pun sama seperti wab dari periuk nasi yang panas.

Di kalangan orang 'beragama', ada yang menyatakan bala. Ada yang mengatakan ujian. Itu tandanya kiamat sudah dekat. Kita semua harus bertaubat. Namun, tiada siapa yang tahu bilakah kiamat akan tiba. Cuma kita diberitahi, di saat itu matahari akan terbit di sebelah Barat dan taubat pun telah terlambat.

Sekarang cuba kita renung, matahari itu bukan di Barat. Ia macam ada di tepi tingkap bilik tidur kita. Manusia yang celaka ini telah merosakkan bumi damai ciptaan Allah Azzawajalla ini. Manusia telah mencipta neraka di dunia. Lama-kelamaan orang jahat tidak lagi perlu menunggu mati untuk masuk neraka kerana neraka telah pun tiba sebelum saat kematian mereka.

Mungkin juga inilah yang para malaikat jangkakan dulu sehingga membuatkan mereka merasa keanehan dan menyoal, kepada Tuhan, “kenapakah Kamu mahu menciptakan manusia yang akan melakukan kerosakan di bumi-Mu?”

Maka jawab Allah, “Aku tahu apa yang tidak kamu tahu.”

Mungkin kita patut berdoa dan berfikir, sebenarnya apakah yang Allah tahu itu? Mungkin itulah jawapan dan penyelesaian kepada masalah kita zaman ini.

Oh, saya sebenarnya mamalia yang sangat tipikal, berdarah panas. Cuma tubuh saya selalu panas. Selalu saja. Oleh itu fenomena sekarang terlalu menyiksa saya. Siapa lagi yang senasib ya?

Jumaat, Ogos 10, 2007

Negara-kuku (Ulang: Kuku)



NEGARAKUKU
By Namewee

(Diterjemahkan oleh Jimadie Shah Othman daripada Bahasa Inggeris yang dihasilkan secara literal oleh Nicole Foo berdasarkan teks asal daalam Bahasa Cina.)

Kredit intro:
Lagu tema Tahun Melawat Malaysia 2007
Aku Suka Negaraku
Negaraku

(Ulang) Check it out, yo, yo, yo.

Ulang (Negaraku, Negarakuku)

Aku suka negaraku, hanya bila kamu punya Negara, kamu punya rumah
Hanya dengan rumah, maka ada aku, berdiri di sini bersamamu
Bernyanyi lantang, jangan takut
Walau pun aku mengganggu tiap masa
Laguku umpama durian
Teguh dan berduri, hanya
Melihat kamu berani atau tidak mengopeknya, untuk melihat kebenaran di dalamnya
Ia boleh jadi busuk, boleh jadi terlalu berbau
Bergantung kepada lubang hidung kamu.


Nota: Hanya sebahagian kecil sahaja lirik Negarakuku yang dimuatkan dalam blog ini. Selebihnya nanti bacalah dalam Republik Kata edisi yang akan datang. Teks sumber diperoleh daripada http://mahaguru58.blogspot.com. Terjemahan ini dibuat hanya untuk membolehkan pembaca yang tidak gemar membaca dalam Bahasa Inggeris dan Cina boleh mengetahui apakah sebenarnya yang diperkatakan oleh budak Cina Muar yang menuntut di Taiwan itu. Perenggan-perenggan berikutnya dia rap-kan tentang polis yang rasuah, perangai penjawat di sektor kerajaan dan sijil yang boleh dihumban ke longkang. Pautan-pautan berkaiatan saya dapati daripada pbalekalogis. Terima kaseh. Kao kat!

Selasa, Ogos 07, 2007

Merenung kejahatan dari dalam diri

Pagi tadi sebuah pagi yang hampir sempurna. Saya mengunci dua jam loceng dan jam handphone pukul enam. Saya bangun awal, mandi, bersiap dan tampil dalam pakaian hitam. Ya, hitam yang elegan—gaya, mutu dan keunggulan. Inilah tidur yang paling puas. Saya tidak sihat badan semalam. Ada perubahan kimia dalam tubuh akibat perubahan jenama rokok. Ia membuatkan saya pening, loya-loya dan macam morning sickness. Ya, benar, macam perempuan menganduang. Semalam saya tidur awal kerana rancangan televisyen agak mengecewakan. Saya ingin 'nonton Smallville dan Bleach tapi semua itu tak ada. Ada rancangan bodoh baru di TV3, Bang Bang Boom!

Seawal jam lapan, langit cerah, sungguh, ia sebuah hari, sesudah subuh amat yang gemilang. Saya naik lif dan turun dari tingkat 16 rumah saya. Lif yang penuh dengan orang nak pergi kerja mencerahkan hati dan memberikan saya motivasi: Untuk lebih rajin bekerja, kumpul duit, melabur dan jadi kaya-raya. Saya berkobar-kobar untuk menikmati rutin—belajar menyintai apa yang kita kerjakan.

Ketika saya pergi, Adam merenung dan tersenyum kepada saya. Ia sudah tumbuh gigi, pandai bergurau dan menggigit.

Depan tol LDP, jalan raya macet. Dari Dataran KLH yang sempit tetapi lapang, di situlah saya berjalan. Untuk ke tempat kerja saya tidak perlu menghidupkan enjin kereta atau beratur di perhentian bas atau LRT atau Komuter. Saya cuma perlu turun lif daripada rumah, berjalan 100 km dan naik lif ke tingkat 3A (maksudnya empat) bangunan sebelah. Alangkah gembiranya saya dan alangkah cemburunya mereka. Ya, mereka yang terpaksa mendengar bebelan penyampai radio Era tentang kesesakan jalan raya.

Oh, lupa cerita, saya dapat naskhah theSun saya hari ini. Akhbar itu tertulis free di sebelah kepala akhbarnya. Ia membuktikan, free bukan sekadar bermaksud percuma. Ia boleh juga bermaksud bebas.

Melihat LDP yang macet juga menggembirakan saya. Saya gembira melihat kecemburuan mereka pada saya yang hanya memerlukan sepuluh minit ke pejabat. Mereka cemburukan melihat saya yang tidak lagi perlu bersesak-sesak di jalan dan turun seawal jam enam pagi semata-mata untuk sampai ke pejabat pada jam lapan. Saya gembira melihat mereka berada dalam kesusahan tetapi kita menikmati kesenangan. Jika mereka berada di tempat saya, perkara yang sama akan berlaku. Dalam renungan saya itu, saya sebenarnya merenung kejahatan dari dalam diri sendiri. Itulah musuh paling utama dalam setiap hidup manusia.

Kerana itulah Liar Games ada? Kerana itulah ibu Akiyama-San membunuh diri untuk membolehkan anaknya tamat menuntut dengan wang insuran kematiannya.

Apakah Liar Games?

Isnin, Ogos 06, 2007

Politik telah bankrup dan seni adalah masa depan

Aku suka sekali 'nonton Martha, kisah mak cik Inggeris tua ajar masak-masak dan buat benda-benda lain berkaitan rumah tangga. Martha aku lihat sangat profesional dengan pekerjaannya. Dia punya konfiden diri yang tinggi. Menonton Martha memberi aku lebih kepuasan daripada menonton Maskara (Majlis Baca Naskhah dan Kawan-kawan yang Kita Suka anjuran Sindiket Sol-jah) di Rumah Pena.

Ini kali pertama ke Maskara. Ketika bertegur dengan Drirwan dari e-Sastera, katanya, dia juga begitu. Tetapi malam ini dia membaca dengan agak bagus. Barangkali lebih bagus daripada kawan-kawan blogger muda yang umurnya rata-rata sama dengan umur anak perempuannya. Menonton Maskara mengingatkan aku kepada kenangan Apuke (Acara Baca Puisi Keliling) Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) dengan sokongan dan dokongan budak-budak Pencerahan, pelukis Dikala Jingga, kumpulan muzik Siul Murba (lagu Bukit Bintang mereka enak didengar) beberapa orang seniman veteran yang cool dan kadang-kanak ada pemuzik dan penikmat seni dari UBU ikut serta.

Majlis di MCOBA dan Balai Seni Lukis Negara (BSLN) itu paling memuaskan. Aku suka benar. Ia berwajah gigs tetapi bukan. Politik tetapi juga bukan. Syarahan pun bukan. Kami masih ingat lagi slogan rasmi Apuke yang direkacipta budak-budak muda itu: Politik telah muflis. Seni adalah masa depan. Dan khabarnya, dalam masa terdekat ini, setelah beberapa tahun, Apuke akan terbit kembali. Entah dari mana.

Maskara bermula dengan tanggapan keindahan lama. Tidak juga lekang dari pengucapan-pengucapan, kadangkala gaya sempoi dulu-dulu, seperti generasi sebelum kita. Lorong (fizikal) ke Maskara dipenuhi pelita. Macam hari raya kata Julian, teman kami yang berambut merah itu. Ketika kami sampai, gitar masih di-tune. Dan ia bermula tidak begitu lama. Bermula dengan sangat menarik: Gazet Tunku (Abdul Rahman) sebelum melaungkan merdeka tiga kali. Ia menarik dan meremangkan bulu roma.

Minggu ini persepsi aku terhadap Tunku berubah. Aku mula mengkagumi beliau dalam percaturan politik(dan ego)-nya. Tunku menekankan dua perkataan sebagai inti kemerdekaan: Kebebasan dan keadilan. Tetapi sepanjang hampir dua jam itu tidak ada pernyataan kebebasan dan keadilan yang kuat. Bendera Malaysia sendiri digantung senget dan sekadar menjadi back drop yang disepit dengan penyepit kain (penyidai). Saya tidak mendengar pernyataan anak muda yang itu. Saya menunggunya hingga habis dan pulang dengan perasaan biasa. Rasa kurang puas. Belum sempat klimaks dan orgasme seni.

Tetapi mereka ini berani, rajin dan tidak pemalu. Jadi, sila buat lagi.

Oh ya, cerita mamat yang pakai baju Union Jack fasal seks itu tidak best. Tidak memberahikan dan tidak cukup imaginasi untuk membuat kami stim. Macam budak-budak, nak cakap fasal seks tapi tak berani sebut pantat, puki, burit dan butuh. Jika dia membaca Mona Gersang dia akan tahu langit itu tinggi atau pun rendah.

Jam menunjukkan angka satu. Aku tidak ingat pukul berapa Martha akan muncul. Jadi, tunggu saja sambil menulis cerita yang aku suka. Tulis sendiri, baca sendiri dan syok sendiri. Tidak ada nikmat lebih besar daripada itu. Kamu juga sama. Aku tahu.

Khamis, Ogos 02, 2007

Babad penulis upahan di bulan merdeka

Khalid (Jaafar) suka sekali membabadkan “perdekar Jawa” yang keluar parti dan bermasalah dengan “pemegang Diari Merah” dalam blognya akhir-akhir ini. Itu cerita politik. Bulan ini dalam sastera pula akan ada babad yang sangat panjang, bertele dan berjela-jela. Ia adalah tentang babad penulis-penulis upahan tentang kemerdekaan yang bunyinya seperti khutbah Jumaat yang berjudul “Makanlah Buah-buahan Tempatan”.

Percayalah saya. Lihatlah sajak-sajak dan cerpen dalam ruangan sastera akhbar utama Ahad nanti. Banyak penulis yang mengkritik pengagihan nikmat kemerdekaan yang tidak sekata di kedai kopi. Tetapi pelik bin ajaib, di atas kertas bahasanya dirasakan terlalu lain. (Entri ini boleh dibaca bersama entri terrdahulu tentang gabungan ayat-ayat pelik dalam sajak-sajak merdeka di akhbar perdana.) Penulis seperti ini sangat profesional. Mereka dapat menciptakan dikotomi yang jelas.

Mereka boleh mengasingkan diri menjadi dua atau tiga atau berpuluh-puluh sosok penulis. Macam manga terkenal Jepun, Naruto yang menjelma menjadi ramai ketika berlawan. Dalam bahasa lain, geng “pendekar merdeka” ni dikenali sebagai ghost writer. Mereka menulis untuk nafsu orang lain. Mereka tidak jujur dan tidak mementingkan moral kerana dalam dunia itu pun rupanya ada boleh bikin kita high macam ganja. Cuma namanya lain. Pertama, nama. Kedua, ringgit.

Sedap juga nama itu: Ghost writer. Bunyi macam Mask Rider, Tokyo Rider dan yang terbaru Ghost Rider. Harap entri ini tidak bernada khutbah. Wahai penulis sekalian, tulislah dengan jujur, kerana tulisan yang dibuat-buat itu tidak sedap. Kadang-kadang boleh buat kita loya dan nak muntah.

Rabu, Ogos 01, 2007

MAZA juga akhirnya

Suatu ketika, dulu-dulu, waktu itu teman saya di Indonesia. Jumaat yang panas. Saya tidak solat Jumaat hari itu. Saya 'uzur'. Saya ber-SMS dengan dia. Tentu saja SMS itu tentang perkara-perkara yang dia suka. Kalau tak salah saya, pasal semiotika dan A-Teeaw kalau tak silap saya. Maaf, tidak dapat mengingat dengan baik. Sudah lama. Kini dia pun dah balik Malaysia. Dia di masjid katanya, waktu itu imam membaca khutbah. Pada masa itulah dia ber-SMS dengan saya. Janggal juga bunyinya.

Saya mungkin tanyakan padanya tentang manusia yang sesat tetapi sesatnya itu dalam nawaitu hendak mencari kebenaran menggunakan akalnya. Kemudian dia membalas, SMS itu selalu mengingatkan saya, “ orang kritis tidak sesat dan orang sesat tidak kritis. Dalam pencariannya, ia boleh singgah di mana-mana. Tetapi dia tidak sesat.” Itulah pedoman terbaik untuk saya setakat ini.

Saya sangat suka membaca kitab-kitab suci pelbagai agama. Saya punya koleksi dua versi Alkitab, dalam bahas Inggeris dan Indonesia. Saya juga kadang-kadang membaca buku Buddha. Kulitnya warna oren. Tetapi apabila saya berada dalam keadaan yang sangat serabut, saya suka membaca al-Quran. Suka sekali. Bertahun-tahun, sejak kecil saya membacanya tetapi sangat sedikit yang membaca sanbil cuba memahami dan menghayatinya.

Dalam bilik menulis di rumah yang tidak kemas, saya mendengar bacaan al-Quran dalam format MP3. Saya tertarik dengan kisah hud Nabi Sulaiman, ankabut (labah-labah) ketika hijrah nabi,dan kisah bahtera Noh, tentang binatang dan tumbuh-tumbuhan yang berpasang-pasang dalam kapal. Saya bayangkan, tentu ada burung belatuk. Burung ini adalah lambang kerajinan. Bayangkan kayu yang keras boleh dia lubangkan hanya dengan paruh yang dipatuk berterusan ratusan kali. Tetapi bukan dia yang ditiru Noh, tetapi dialah yang mempelajari daripada ketekunan dan kecekalan seorang Noh. Bertahun-tahun berdakwah tetapi hati umatnya lebih hitam daripada dakwat Cina, lebih keras daripada kayu jati.

Saya dapati keindahan dalam al-Quran itu amat menarik dan menyentuh perasaan saya. Terlalu. Maka saya menulis cerita hud, ankabut dan belatuk yang terinspirasi daripada kitab agung ini. Saya jadikannnya cerpen. Saya cuba lihat daripada sisi-sisi yang lain. Ada berapa banyak binatang yang disebut Allah? Saya fikir banyak sekali. Lepas itu mungkin giliran anjing tujuh pemuda yang menghuni gua (ashabul kahfi).

Saya dianggap jarang menulis 'cerpen assalamualaikum'. Tapi kali ini saya berminat. Memikirkan binantang-binatang dalam al-Quranmenjadikan saya mengingati Allah. Kalau ada rezki, saya akan terbitkan dalam bentuk buku berjudul Kenapa Kamu Melupakan Allah. Tapi ini cuma angan-angan biasa Mat Jenin yang merisaukan ramalan horoskop (llihat entri lalu). Harapnya jadi dan moga-moga Allah menunjukkan jalan. Amin.

Kedua, soalnya lagi siapakah paling sesuai menulis pengantar untuk buku ini? Banyak orang fikir ustaz rambut dan janggut merah Muhmmad Usman El-Muhammady. Cuma saya rasa seperti ada semacam yang tak kena. Tak kaw, tak angguk-angguk. Saya fikir MAZA (Dr. Mohamad Asri Zainal Abidin), ustaz muda itu juga yang paling sesuai. MAZA adalah mutfi kerajaan Perlis dan seluruh jajahan takluknya. Saya sebenarya suka dia lebih daripada mufti yang lama, Mat Jaya, walaupun Mat Jaya tu bapa kawan saya, Fathul Bari, juga ustaz muda yang belajar di Madinah. Madinah. Maklumlah orang Perlis, wahabi.

Dan satu lagi, di mana Tasnim? Antara penulis muda yang tidak dikenali tetapi sangat bagus. Saya tahu rumahnya di Arau. Jangan bagi tahu orang: Belakang stesen kereta api.

IKLAN

Terdapat ralat dalam alat ini

Label

Personal (47) Filem (42) Politik (32) Budaya (21) Sastera (21) Kreatif (16) Agama (15) Blogzine republik KATA (14) Artikel (11) Buku (11) Jalan Telawi (11) Meor Yusof Aziddin (11) Pekak (11) Pendidikan (9) Pencerahan (8) Sejarah (8) Cinta (7) Kewartawanan (7) Lagu (7) Sajak (7) Bahasa (6) Belasungkawa (6) Jimadie Shah Othman (6) Media (6) Teater (6) Blog Foto (5) Deaf Cultures (5) Fiksyen (5) MySL (5) Subversif (5) Anwar Ibrahim (4) Foto (4) Islam (4) Komuniti Pekak (4) Lao Zi (4) Maskara (4) Puisi (4) Tao (4) society (4) Adi Putra (3) Bahasa Isyarat (3) Carutan (3) Cerpen (3) Folk (3) Kemanusiaan (3) Metafizik (3) Rumah Pena (3) A Samad Ismail (2) Ahmad Kamal Abu Bakar (2) Aidil Fitri (2) Amin Iskandar (2) Anugerah Khatulistiwa (2) BN Perikatan (2) Catatan Pinggir (2) Daiyan Trisha (2) Demo (2) Drama (2) Etika (2) Gambar (2) Hamsad Rangkuti (2) Ili Farhana (2) Islam dan Pluralisme (2) Jepun (2) Karam Sikh (2) Komedi (2) Maskara 7 (2) Mikon (2) Mingguan Wasilah (2) Novel (2) PRU 12 (2) Pantun (2) Pas (2) Pramoedya Ananta Toer (2) Sastera Underground (2) Seni Multimedia (2) Seni Persembahan (2) Soceity (2) Sosial (2) Tanggapan (2) Tidak dikategorikan (2) Travelog (2) Utusan Malaysia (2) Yahudi (2) lagu raya (2) pop (2) sam ahmad (2) 'Mantan' Sasterawan Negara (1) 10 x 10: 100 Minutes to Change the World (1) 127 Hours (1) 1957: Hati Malaya (1) 1998 (1) 300 (1) 9 Naga (1) A. Samad Said (1) AEI (1) Ahadiat Akashah (1) Al-Hidayah (1) Allah (1) Amerika Syarikat (1) Amiena Rev (1) Ana Raffali (1) Antara-Agama (1) Apuke (1) Aron Ralston (1) Ashutosh Gowarika (1) Astro (1) BERSIH (1) Balik Pulau (1) Berhala (1) Berita Harian (1) Bibir Dalam Pispot (1) Black 14 (1) Blog (1) Bumi Manusia (1) Bunyi (1) Chairil Anwar (1) Chamil Wariya (1) China (1) Cowboys and Aliens (1) DAP (1) Danny Boyle (1) Datuk (1) Democrat (1) Demonstrasi (1) Denias (1) Dominic Sena (1) Ezam Mohd Noor (1) Fikh Wanita (1) Free Burma (1) Fun (1) GAPENA (1) Gangguan Teksual (1) Gerak (1) Goenawan Mohamad (1) HINDRAF (1) Harry Potter (1) Hassan Abdul Karim (1) Hindi (1) Hollowood (1) Hollywood (1) Ibrani (1) Interview (1) Istana (1) James Franco (1) Jodha (1) KTBM (1) Kakiscript Playwright Competition (1) Karya (1) Katholik (1) Keadilan (1) Kebab Connection (1) Kebebasan Kreatif (1) Komputer (1) Komrad (1) Korea (1) Kristian (1) Kung Fu Dunk (1) La Nuit des Caligraphes (1) Makanan (1) Malaysian Book of Records (1) Mamat Khalid (1) Man Laksa (1) Manga (1) Manifesto (1) Mary Magdalena (1) Mat Sentul (1) Melaka (1) Merdeka (1) Muzik (1) Napoleon (1) Naskhah (1) Negaraku (1) Negarakuku (1) Nick Murphy (1) Nicolas Cage (1) Nopen (1) Novel bersiri (1) Obama (1) P. Ramlee (1) PKN (1) PKR (1) PRM (1) Pakatan (1) Pantoum (1) Papua (1) Pemanasan global (1) Pena (1) Pendidikan Khas (1) Penulis (1) Pilihan Raya (1) Politik Baru YB J (1) Potret (1) Prima (1) Progresive Folk (1) Promosi (1) Psikologi (1) Puchong (1) Pulau Pinang (1) Pushna (1) Rajinikhan (1) Rasuah (1) Razak Moheidin (1) Reformasi (1) Republican (1) Revolusi Kebudayaan (1) Ria (1) Rise of the Planet of the Apes (1) Rock (1) Ron Howard (1) Rudi Soedjarwo (1) Sarawak (1) Sasterawan Negara (1) Satira (1) Season of the Witch (1) Semusim di Neraka (1) Shah Rukh Khan (1) Shamsiah Mohd No (1) Sharif Shaa'ri (1) Shuffle (1) Siasah (1) Sivaji the Boss (1) Soekarno (1) Sosialis (1) SoundCloud (1) Subbudaya (1) Sucker Punch (1) Sukan (1) Syed Husin Ali (1) TV Realiti (1) Taiwan (1) Teman Muhasabah (1) The Da Vinvi Code (1) The Last Life in Universe (1) The Warlords (1) Turki (1) Umno (1) Umno PKR (1) Video (1) Wayang Pacak (1) Woman On Top (1) Xiu Xiu (1) Yeshoshafat Harkabi (1) Yusmadi Yusoff (1) Zack Snyder (1) Zaid Ibrahim (1) adiwira (1) arahkiri (1) berani bercinta (1) dendang buat ibu (1) duta solaris (1) entri yang pernah ditarik balik (1) gig (1) ingin jadi manusia (1) instrumental (1) iseekmusic (1) kotak hitam 5.0 (1) malay mail (1) moi last von (1) puisi jadi senjata (1) ramadan (1) satuarah (1) single (1) zulfikar samsuri (1)