IKLAN

Cari Blog Ini

Selasa, Disember 16, 2008

Allah semua manusia

Demi asma-Mu yang Esa, aku rela berkongsi Allahku. Allah semua manusia.

Jagoan Islam Liberal Indonesia, Ulil Abshar Abdalla menulis dua artikel yang barangkali dilihatnya eksotik di tanah air kita.

Pertama, tentang persoalaan pemilikan istilah "Allah"; dan kedua,"fatwa-fatwa yang menghebohkan"; termasuk tentang si wanita harus menetekkan teman sekantornya, menjadikan laki-laki itu anak susuan. Semoga dengan itu, mereka terlepas daripada hukum khalwat.

Fatwa di negara padang pasir itu, kedengaran lucu, juga sebenarnya berbicara tentang nasib yoga di Malaysia. Humor yang dikongsi bersama.

Saya faham, dek kerana terjemahan Alkitab yang diusahakan Munsyi Abdullah itu tidak menjadi kenyataan, maka kita sesungguhnya menjadi bagian daripada orang-orang yang kaget, lalu melatah.

Saya faham, kerana kita tak pernah menyentuh Alkitab dalam bahasa Pattani yang bertulis Jawi itu, maka kita melihat "Allah" orang-orang Kristian itu sesuatu yang sungguh-sungguh beda.

Saya tidak ingin mengulas panjang. Saya fikir, pandangan Ulil itu sedikit sebanyak boleh dikongsi bersama. Tetapi sesungguhnya, demi nama-Mu yang Esa, aku rela berkongsi Allahku.

2
Teman saya, seorang Hindu, suatu malam dia bermimpi. Anjing-anjing dan syaitan mengerumuninya. Tiba-tiba datang seorang hamba Allah, berserban, dalam pakaian putih, mukanya bernyala-nyala.

"Jangan risau," ajuk teman saya. "Saya selesaikan," tambahnya lagi.

Kemudian beliau membacakan sesuatu dan keadaan menjadi sejahtera.

Teman saya itu, katanya, hamba Allah itu menghadiahkannya suatu kalimat yang diingatinya sampai bila-bila. Bait yang bermula dengan aksara-aksara yang tak mampu kita fahami: Yaasin.

Orang tua itu mengajarinya Yaasin. Dalam mimpinya, si Hindu mulia itu membacanya.

Keesokan hari, di luar mimpi, datanglah seorang pengutip derma mencari dana untuk membina surau. Dan sesiapa yang menderma dihadiahkannya senaskah surah Yaasin.

Teman saya langsung membayar. Dia berkongsi banyak nama-nama Allah di dalamnya. Tetapi berdosakah di penjual yang rela berkongsi tuhannya? Berdosakah igauan-igauan yang berkongsi asma tuhan di dalam mimpi si Hindu?

Demi asma-Mu yang Esa, aku rela berkongsi Allahku. Allah semua manusia. - Jimadie Shah Othman

Isnin, Disember 15, 2008

א ב ג (Alef, Bet, Gimel)*

Minat saya, seperti majoriti penganut Agama Allah yang lain, tentulah kepada bangsa ini: Yahudi. Umat Islamlah, selain Nazi, yang paling serius membenci anak-anak cucu Ibrahim ini. Ironisnya, mereka tak ingin, walau sepatah pun coba memahami -- sahabat-sahabat kita, pemegang kitab-kitab nabi kita.

Iya, bagaimana kamu memusuhi sesuatu yang tidak kamu kenal? Oleh itu, kamu mencipta bayangan-bayangan dan tidak kamu sadari, kamu berperang dengan dirimu sendiri.

2
Teman saya mendakwa, negara jiran kita, Indonesia, yang terkenal dengan negara terbesar majoriti penduduknya beragama Islam sebenarnya mempunyai warga Yahudi Jerman. Dan ia hanya ketahui apabila Hitler menghantar dua anasirnya untuk membunuh mereka. Di Surabaya sendiri, terdapat sebuah Sinagog didirikan untuk kurang lebih 20 penganut Yahudi di situ.

Ya, bintang Indonesia, Ahmad Dhani juga dilaporkan mewarisi darah ini daripada ibunya. (Seperti Minang, darah Yahudi diwarisi daripada ibu, bukan bapa.)

3
Laman ini benar-benar seperti lubuk emas untuk penganut agama Allah yang melihat Islam sebagai kesinambungan kepada agama-agama Langit yang lain, sesudah Yahudi dan Kristian. Dan siapa sangka, bahasanya amat mirip dengan saudara terdekatnya, Arab.

Benar-benar membantu, minggu depan saya fikir sudah bisa menulis dan membaca dalam bahasa ini.


*Alef, Bet, Gimel, tiga huruf konsonan pertama daripada 22 abjad utama bahasa Ibrani. Ia seperti Alif, Ba, Ta. Membacanya dengan baris, seperti juga bahasa Arab.

Sabtu, Disember 06, 2008

daulat datuk shah rukh khan!

Foto Bernama

Minggu lalu, presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail, dalam ucapan dasarnya di kongres tahunan parti itu berkata, PKR bersedia mengembalikan kekebalan Raja-raja Melayu

Sebaris ungkapannya daripada kira-kira sejam ucapannya itu mencetuskan kontroversi dan perasaan belah bagi. Juga di antara ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Oleh itu, melihat sang isteri tidak tertepis paluan soalan pemberita, keesokan harinya, Datuk Seri lelaki memberikan nasi tambahnya.

Tetapi hari ini berbeda, menjelang dua hari lagi Aidil Adha, bintang hitam dari Timur ini mengungkapkan kata-kata ini:

"Terima kasih kepada kerajaan Melaka atas penghormatan ini. Saya bangga menerima anugerah ini dari sebuah negeri yang tidak faham bahasa saya."

Bintang Bollywood Shah Rukh Khan bangsa dan bersyukur. Tetapi saya, sepatah haram pun tidak berkongsi perasaan itu. Bagaimana kita memberikan darjah, kebesaran dan bintang-bintang kepada seorang yang tidak sepatah pun memahami bahasa kita.

Persoalannya, berbaloikah lamaran cinta kepayang kita itu?

Mabukkah kita membaca Sulalatus Salatin yang menyambung tali temali Raja-raja Melayu dengan Raja Kida Hindi yang menikahkan anaknya dengan Raja Suran? Selain pertitihan darah daripada putera legenda Timur dan Barat, Iskandar Zulkarnain.

Hari ini, buat pertama kali, patik berseru: Daulat Shah Rukh Khan! Daulat Datuk!

PAS dan kebudayaan satu jurusan

Malaysian Shuffle hardstyle... memetik NikShoong, dance is ok but the step like shit.

Saya tidak menari "Shuffle", saya tidak menikmati kamu; tetapi, saya menentang kehidupan dan kebudayaan dalam satu jurusan.

Pemuda PAS Pulau Pinang hari ini dilaporkan membantah penganjuran pertandingan tarian jalanan "IDance" di Pulau Pinang kerana didakwa tidak membawa manfaat kepada masyarakat.

Ketuanya, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin dipetik sebagai berkata, penganjuran itu bukan sahaja menghidupkan budaya jalanan melalui tarian "Shuffle" malahan boleh menambahkan masalah sosial di kalangan generasi muda.

Pergerakan itu juga dilaporkan mahu kerajaan negeri membatalkan acara berkenaan selaras dengan slogan pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng, "Amar Ma'ruf Nahi Mungkar".

Tidak, saya tidak mahu lagi berkata apa-apa kepada PAS cap (aliran) ini. Yang ingin saya katakan, kamu tidak memahami konteks. Dan agama bukan sekadar teks.

Oleh itu saya tidak hairan kalau kamu tewas lagi di Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil nanti. Nenek Maimun pun akan lebih popular daripada kamu.

Kedua, oh, jawapan ini mengejutkan saya: "The shuffle dance..was originally a Malaysian tribal dance, but recently teenagers have adapted it as a street dance."

(Shuffle yang asalnya tarian kaum di Malaysia, kini disesuaikan sebagai tarian jalanan.)

Dan, saya tidak menari shuffle, saya tidak menikmati kamu; tetapi, saya menentang kehidupan dan kebudayaan dalam satu jurusan. Oleh itu, saya dan kamu, kita menjadi dua.

Khamis, Disember 04, 2008

Panglima tanpa kotak-kotak

"Panglima Jawa" Ezam Mohd Noor keluar PKR bagi memfokuskan kepada usaha membanteras rasuah melalui NGO, Gerakan Anti Korupsi Rakyat Malaysia (Gerak).

Ezam sebelum itu mencetuskan fenomena di kalangan pemuda parti reformasi cap Anwar Ibrahim. Ada teman memberitahu saya (yang kemudian tiba-tiba mencemuhnya pula) berkata: "engkau tengoklah bagaimana orang politik menguruskan NGO".

Ezam kemudian meninggalkan parti mantan bosnya itu dan menjadi gurkha Umno. Dia dikeji dan dihina. Tetapi akhirnya, enam kotak-kotak pusaka beliau kekal misteri; namanya pelan-pelan hilang (di media dan karang-karangan).

Pagi ini, tentang panglima tanpa kotak, ramalan nujum politik kita semua tersasar: bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim tidak memilih PKR atau DAP atau PAS sebagai penerus karier politiknya.

Panglima tanpa kotak sebaliknya memberikan dirinya kepada anak-anak muda melalui Yayasan myFuture, sebuah yayasan bertujuan membantu generasi muda memahami kepentingan demokrasi, kedaulatan undang-undang, keburukan amalan rasuah dan pentingnya keharmonian kaum.

Jalan Ezam dan Zaid hampir seiring: Jalan panjang, berliku, buntu, terlalu banyak tanda tanya.

Seorang berkotak enam, seorang tiada.


(Maaf, entri ini meletakkan background yang sangat minimal)

Ahad, November 30, 2008

Yassin: Saya datang demi perjuangan

Di Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR kelmarin



Part awal bosan. Lepas Yassin menyanyi, cuba tengok Malaysiakini terjah ala Melodi.

Video ini ada kena mengena dengan berita ini (tentang si Mawi); dan responsnya di sini.

Untuk hasil paling memuaskan, tonton di sini.

Reporter: Jimadie Shah Othman
Camera: Shukri Mohamad

Ahad, November 23, 2008

Rajin-rajin mandi air daun-daun, kata Romlah

Rwd-Play-Fwd: Romlah. 

Jim tewas. Dia tidak mampu mengelak membicarakan blog ini (foto). 

Perempuan muda genit itu, ia bilang: "Untuk kulit cantik, rajin-rajin mandi air daun-daun. Iyalah, macam orang lepas bersalin tu...."

Hanya satu entri. Satu entri saja.

Sorry, aku belum membaca, membeli atau memiliki cerita-cerita untold itu.

Sekian. Untuk Romlah yang aku sayang. Tidurlah engkau bertelanjang.


Catatan dipetik daripada Romlahkini.com. 

Rabu, November 19, 2008

Mozart untuk gadis Cina muda

Terlepas Paris Cédric Klapisch, esok harapnya sempat mengejar One Day in Europe Hannes Stoehr . Siapa ingin ikut menonton? Jam lapan, Mid Valley Megamall.  

2
Terima kasih gadis Cina muda. Terima kasih engkau yang memberi perangsang dan kata-kata. Nikmatilah Mozart in China yang tidak kita kecapi berdua, bersama. Tidak juga secawan kopi atau gelak ketawa. Engkau menjelma bagai putih pasir; aku sesungguhnya kekal baja.

Engkau juga tidak pernah terburu mengejar cinta?

Misteri Pappu II (dan susu gebu)

Dan ia sesungguhnya tidak menggonggong, menggoyangkan ekor atau dirawati aku.

"Sedang mendengar atau melihat anjing menggonggong, alamat ada seorang kawan, teman, sahabat, kenalan, yang berikhtiar membelokkan anda dalam kejahatan (sesuatu yang berakibat buruk untuk anda). 

"Dan bila anda melihat seekor anjing datang pada anda menggoyangkan ekornya, bertanda anda akan dapat menyelesaikan suatu urusan penting dengan segera.

"Dan Jika anda bermimpi merawat seekor anjing atau beberapa rezeki anda akan memuncak gemilang." - [Sumber tidak sahih] 

2
Akhir-akhir ini saya merasa amat letih. Siang bekerja. Malam membaca e-mel, menonton Nightline sekejap jam 12.30 malam, membaca berita (lagi) dan kadang-kadang menonton Martha. Banyak perkara yang saya buat dan tidak saya buat. 

Banyak perkara yang kita buat tetapi percuma dan sia-sia. Banyak pula yang terlepas menjadi kekesalan.

3
Semalam kali kedua aku mimpi Pappu. Pelik. Aku naik kereta dengan seorang wakil rakyat muda. Tiba-tiba aku lihat anjing dalam kereta dia, sebelah aku. Tetapi Pappu dan aku, seperti biasa, kami saling sayang menyayangi.


4
Aku dahaga. Dua minit lagi di dapur, aku buka peti sejuk. Aku teguk air kosong yang dimasukkan sejam lalu di tempat beku. Membeku seperti susu gebu.

Rabu, November 12, 2008

Potret diri



Kemaskini 13-10-08 Dalam sejarah moden bangsa kita, ada dua gambar perokok yang berjaya melekat dalam ingatan kita. Kedua-dua mereka sasterawan -Chairil Anwar dan Pramoedya Ananta Toer -- cuma seorang tua, seorang muda. Chairil kepalanya sedikit tunduk manakala Pramoedya sedikit mendongak. Gambar ini entahlah, macam asap motor pakai minyak 2T. Yang pastinya gambar ini tidak macho dan sudah barang tentu tidak berjaya memikat perempuan (untuk kesekian kalinya).

2
Oh, macam kamera kerajaan, ada yang melihatku dari jauh? Terima kasih atas karang-karangan itu.


Foto Nizam (dari kamera baru Gon) kurang sebulan lalu di Puchong.


Posted by Picasa

Isnin, November 10, 2008

Komrad kerbau

Sejak 52 tahun legasi Parti Rakyat Malaysia (PRM), November 2008 menjadi tahun yang sungguh mendebarkan. 

Kelamarin, presidennya, Hassan Abdul Karim berkata, PRM sedang menghadapi cabaran daripada bekas 'kekasih' (yang kini bersama PKR) di mahkamah.  

Satu permohonan semakan kehakiman supaya Pendaftar Pertubuhan membubarkan PRM dikemukakan.

Dalam masa yang sama, dibayangkan oleh ucapan dasar presiden, parti dengan lambang kepala lembu itu kelihatan kepingin benar menyertai Pakatan Rakyat. 

Namun, kemahuan itu pula nampaknya sungguh kemalu-maluan.

"Walaupun ketika ini PRM bukan anggota Pakatan, tetapi PRM  menyokong kebanyakan usaha-usaha pembaharuan atau reformasi yang dibawa Pakatan . 

"Pakatan jika berjaya menunaikan manifesto pilihan raya mereka; dan kerajaan-kerajaan Pakatan di lima buah negeri dapat mentadbir dengan baik; PRM dengan yakin menyatakan Pakatan adalah pilihan Rakyat yang baik berbanding BN," kata Hassan dalam kongres mereka di ibu kota semalam.

Selepas hidup kembali daripada persemadiannnya oleh Syed Husin Ali dan komradnya lima tahun lalu (untuk bertemu kekasih baru PKR – ketika itu Parti Keadilan Nasional), jalan apakah yang tinggal kepada mereka buat memintal semula cinta kasih itu?

Jalan apakah, wahai tuan?

Ahad, November 09, 2008

Entah apalah namanya

Entah apalah namanya. Mungkin buluh Cina atau buluh Jepun? Yang pastinya, buluh tiga batang itu aku beli di Bandar Puteri menjelang tahun baru Cina lalu. Sekarang ia hampir mampus.

Dan itu menimbulkan tanda tanya. Ia cukup air, cukup cahaya, tetapi apakah yang menyebabkan ia melayu? Entah, aku belum punya jawapannya.

2
Anjing dalam rumah tepi lif telah tiga bulan tidak berbunyi. Tetapi, satu malam, aku bermimpi, ia anjing dengan bulu-bulu lebat, menumpang tidur di kamarku. Aku peluk dan usap bulu-bulunya. Tanganku kasar kena sabun. Bulu-bulu coklat putihnya itu seperti permaidani. Ia buat kulit tangan aku tidak selesa.

Itu sebuah mimpi yang aneh.

Ketika aku masuk ke bilik, kencing dan basuh muka, aku lihat gugusan kabus menyelubungi cermin. Jam 4.30 pagi, aku dengar bunyi anjing. Pokok bulu bergoyang-goyang.

Mentari menyinar di lubang jamban.

Rabu, November 05, 2008

Misteri Pappu

Dengan tidak semena-mena Pappu pun datang. Anjing hitam itu sentiasa kelihatan cool. Cuma suatu hari ketika aku turun beli nasi, Pappu merenung tajam seorang kanak-kanak sekolah Tamil yang lalu. Pappu mula menyalak dan menunjukkan muka bengiskan.

Hari ini, isu Pappu telah menjadi buah mulut orang-orang di Bangsar Utama. Beberapa cadangan dikemukakan. Antaranya, (1) Carikan tuan penjaja untuknya; (2) Hantar ke pusat jagaan dan (3) hantar ke Tanah Besar China supaya boleh digoreng dan dimakan.

Pappu juga menakutkan aku tetapi pemergian Pappu pasti membuatkan kerinduan melanda diriku.

Zaman dulu-dulu, ada seorang laki-laki aneh, turun ke perigi dan mengisi sedikit air di dalam kasutnya dan memberinya sebagai minuman kepada seekor anjing yang kedahagaan. Dan sesungguhnya dia merasai harumnya bau kasturi di syurga.

Oh, Pappu semalam memasuki kamarku. Tidur disebelah dan menakutkan aku. Mujur cuma dalam mimpi.

Cis, apalah kita ini, mimpi pun Pappu -- seperti manusia juga -- hitam, liar dan terhina . Anjing-anjing.

Isnin, November 03, 2008

Maskara dan nikmat tetek

Kelmarin, jalan ke Maskara adalah jalan yang paling jauh. Saya hanya berdua dengan Khalid. Kawan-kawan lain, ya, ada temu janji hari minggu. Seperti yang sering kami guraukan -- makan-makan, senda-senda, sandiwara-sandiwara, (kemudian) hisap tetek (awek).

Khalid tidak, dia telah bertaubat. Aku pun tidak. Oh, kami sungguh orang suci.

Kira-kira jam sembilan, kami tiba di Rumah Pena di ibu kota. Dari luar, kereta dalam satu barisan umpama angkatan tentara.

Di perkarangan rumah buruk itu, ratusan manusia memenuhinya seolah-solah sebuah pesta. Ia mengingatkan kita kepada wayang pacak yang amat popular suatu ketika dahulu.

Pelbagai jenis manusia kelihatan daripada aktivis politik, penyajak, pelakon, pengarah filem dan teater sampai peminat 'lawak bodoh' Mamat Khalid.

Oh, ia buat saya pening kepala. Dan kami pun pulang menikmati segelas asam boi ais di Restoren Little Khalifah di Puchong.

Tiada kenikmatan lebih mengasikkan daripada itu. Mungkin hanya kemanisan hisap tetek yang boleh menanginginya.

Ha, ha, ha!

Maaf, saya berlebih-lebih lagi. Selamat hari Isnin.

Sabtu, November 01, 2008

Pembohongan

Saya jarang memblog. Kerana bila saya memblog, saya memblog dengan tidak ikhlas. Bukankah semua orang takut menghadapi kebenaran? Bukankah?

Oleh yang demikian, bila ingin berterus terang (atau berbohong), kita menulis fiksyen kan?

(Kenapa fiksyen bukan pembohongan walaupun ianya sering disebut rekaan, "tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia"?)

Rabu, Oktober 29, 2008

Necessary evil (yang gagal)

Beberapa sedutan daripada filem pendek Necessary evil (yang gagal) -- gagal kerana kualitinya tidak memuaskan hati kami.


Cadangan kulit CD (yang belum selesai).


Perpaduan, gerai air kelapa di Puchong.


Terkongkong.


Terasing.


Dan Ain, si perenung.

Posted by Picasa

Selasa, Oktober 28, 2008

Mencari Josephine di dalam Sivaji

Dan.

Sivaji bukan sahaja membunuh, bahkan menipu, merasuah, memeras, mengugut, mencederakan, menyeludup wang dan, dan, dan....

Di hujung cerita, dalam taburan wang, beliau menamatkan nyawa menteri yang menjahankam negara mereka sendiri, menjahamkan seluruh Tamil Nadu.

Rajinikhan, bintang terulung yang pernah dilahirkan India memilih pengakhiran sebegitu untuk buang tangannya -- sebuah kerja kreatif -- yang mencetuskan fenomena di mana-mana, Sivaji the Boss.

Pembunuhan ahli politik: Pengakhiran sebegini mungkin hampir sama dengan apa yang hero Utusan kita -- Datuk Chamil Wariya -- lakukan dalam Politik Baru YB J.

Dan Mungkinkan kita mencari YB Josephine dalam Sivaji the Boss?


RTM2 baru lepas menayangkan filem ini. Terima kasih kepada TV Malaysia yang menayangkan filem-filem berkualiti sempena sambutan Diwali ini -- hari di mana kebaikan mengalahkan kejahatan.

Dan.

Selasa, Oktober 07, 2008

Panah II


Semalam hari jadi Panah Arjuna. Siapa ingat Panah -- almarhum kesayangan kita itu?

Ulang suara: Banyak kali menyebut perkataan Belasungkawa menyebabkan perkataan ini tidak lagi bermakna. Baiklah Tuhan, saya kalah. Saya tidak mahu menyesali taqdir. Saya redha dan kembalikan segalanya untuk Tuan.

Alfatihah.

Baca juga: Panah

Selasa, September 23, 2008

Kisah diktator pendek

Siapa sangka Napoleon Bonaparte itu rupa-rupanya si pendek yang gelojoh dan egois. Ketika dia mengidamkan puteri Austria, dia memberikan alasan demi Perancis, demi Pencerahan. 

Namun, ketika gadis gebu itu dibawa di istanya, dia membawa masuk ke bilik tidur dan langsung menutup pintu dengan gelojoh.

Napoleon versi Nick Murphy (2007) ini adalah Napoleon yang 'hidup'. Menontonya tidak seperti membaca buku sejarah yang membosankan.

Dan Napoleon juga dirobah cinta. Apabila anak laki-lakinya hampir terbit daripada rahim Marie Louise , dan tatkala doktor mampir memberikan dua pilihan: "Anak atau isteri?"


Siapa menyangka si bodoh itu memilih isteri, bukan perwaris untuk empayar besar Pencerahanya yang mulai merebak seperti anai-anai, memakan dinding-dinding istana Kaisar di seluruh Eropah.

Menghargai kasih sayangnya itu, Tuhan menganugerahkan beliau kedua-duanya.

Dengan kekuatan batalion Marie Louise itu, dia hampir mengotakan janji "kebebasan,persamaan dan persaudaraan " itu.

"Aku mahukan pendamaian, tetapi mereka menolaknya," keluh si pendek ketika Austria, tanah tumpah darah isterinya turut menolak tawaran "pendamaian" – walaupun dia berulang kali mengulangi, "aku tidak memohon (pendamaian), tetapi aku memerintahkannya (berlaku)".

Di hujung hayat, perang mengambil apa sahaja yang pernah menjadi miliknya – isteri, anak laki-laki, empayar, bahkan orang gaji Inggeris -- – gadis manis yang tidak tercatat dalam biografinya -- di rumah kecil di pulau Saint Helena.

Sedikit demi sedikit, racun arsenik yang disapu di dinding rumahnya itu memakan hayatnya dengan angkuh dan segera.

Kala matahari gemilang di angkasa, Napoleon bertanya, "lebatkah hujan di luar?", seluruh dunia hiba dan mengerti, Napoleon akan pergi.

Isnin, September 22, 2008

Jodha, bukan Jalaluddin

Menarik kisahnya, sebuah kuil Hindu dalam bilik imam besar India, Jalaluddin Muhammad -- bergelar "Akbar", sama seperti penyifatan kaum muslimin kepada Tuhannya "Yang Maha Besar".

Filem ini tentunya tidak menyenangkan hati golongan yang anti pluralisme di negara kita. Pahlawan yang menyatupadukan India besar itu, selain sosok luar biasa kepahlawanannya diseret sebaik mungkin ke alam percintaan yang penuh buih-buih.

Pahlawan muda buta huruf itu, dia hanya mengenal pedang dan baju perang. Tetapi perkahwinan diplomasinya dengan Jodha mengubah semua itu, saat dia menerima lamaran si mertua dari kerajaan kecil.

Dan anehnya, gadis lemah itu, di dalam khemah, tatkala mereka berbicara – berdua, tiada saksi melainkan Tuhan dan malaikat – berani pula meminta.

"Dua syarat," katanya, dalam kerudung merah jarang.

"Pertama, aku mahu mengekalkan agamaku; dan kedua, sebuah kuil kecil dalam bilikku," katanya dengan muka pucat, separuh berani, separuh gentar.

Iya, mana mungkin, perempuan Hindu sebagai permaisuri imam besar kaum Muslimin di Timur, sebuah kuil dan patung-patung berhala dalam istana besar empayar Islam.

Namun, dalam istana si Akhbar, semuanya mungkin, seperti sikapnya terhadap banduan-banduan perang – tidak menjadi hamba, dan mereka yang tertewas dilepaskan penuh maruah.

Pengembaraan Jalaluddin mengejar cintanya dengan perempuan Hindu manis yang menghabiskan sebahagian masanya meratap kepada dewi seruling itu pastinya lebih mendebarkan daripada penaklukan demi penaklukan untuk menggelembungkan empayar.

Memburu cinta pastinya tidak lebih sukar daripada menangikis seribu perisai ganas di medan perang.

Jodha bukanlah sebuah filem Hindustan yang biasa. Dan juga bukan filem perang yang biasa.

Khamis, September 11, 2008

Hari jadi (embargo)

Tujuh tahun lalu, di depan kaca TV, bola mata kami tersembul. Dua menara World Trade Centre (WTC) gugur satu persatu seperti gugurnya hujan lebat musim tengkujuh. Dan malam itu, tepat jam 12 tengah malam, saya lupa menyambut hari jadi.

Namun, setelah tujuh tahun, siapa mungkin tidak mengingat 12 September yang datang sehari selepas peristiwa bersejarah dan traumatik itu.

Selamat hari jadi, Jimadie Shah. (Embargo dulu ya sampai tengah malam ini.)

Selasa, September 09, 2008

Kita ini malu-malu

Saya paling serius membaca novel dalam umur 13 dan 14 tahun. Kebanyakan novel-novel ringan di sekolah menengah saya di Arau saya hadapi dalam waktu rehat, meminjan dan bawa pulang sampai emak marah kerana makan nasi pun mengadap novel. 

Saya mengaku, saya pernah membaca Yo, It's Me tulisan Aznil Nawawi.

Kemudian hobi itu tidak lagi menjadi rutin dan ketagihan. Saya sebaliknya menjadi lebih selektif. Saya meninggalkannnya kerana tujuan saya membaca adalah untuk menamatkan saat-saat kebosanan saya di kampung kecil di Arau ketika itu. 

Namun, buku-buku yang pada mulannya memberi harapan itu telah mengkhianati saya. Ia bahkan mengeluarkan saya daripada satu kebosanan kepada kebosanan yang lain.

Itulah krisis yang saya hadapi. Selepas itu saya lebih suka membaca majalah dan buku-buku ilmiah sampai sekarang.

Tetapi setelah menamati Tan Sri A Samad Ismail Menulis, saya mula bermanja-manja dengan Kail Panjang Sejengkal, perjuangan bahasa anak muda, juga tulisan almarhum tokoh kewartawanan negara itu.

Saya susun tujuh lagi novel yang menunggu giliran di atas TV dan itu buat saya happy.

Selepas sahur dan solat Subuh, membaca kembali menjadi pengalaman yang amat menarik dan menerujakan.

Semoga Arwah Samad dicucuri rahmat.

Kita ini malu-malu, menunggu orang mati, baru mahu memuja-muji.

Isnin, September 08, 2008

Samad

Saya baru tamat membaca Tan Sri A Samad Ismail Menulis – bacaan yang lama, dalam tempoh dua zaman – zaman hidup, dan zaman barzakh tokoh kewartawanan negara itu.

Tulisan itu asalnya dikumpulkan daripada artikel-artikel pendek dalam Gila-Gila.

Beliau mengulas pelbagai isu politik dan masyarakat secara sangat bersahaja, berbaur fiksyen, kritis dan pedas selalunya.

Watak-watak manusia sebagai haiwan politik membuatkan kita ketawa sendiri. Beliau bercerita daripada bomoh hujan hinggalah suasana politik masa depan yang feminis secara futuristik. 

Ceritanya kadangkala melampau, penuh hiperbola dan tokok tambah, namun menarik sekali.

Membaca buku itu membuatkan kita rasa politik itu menarik, lucu dan penuh warna warni. Tidak seperti apa yang kamu baca di kaca TV dan majalah-majalah berpermit – kering dan membosankan.

Membacanya hingga ke muka penghabisan membuatkan saya malu dipanggil orang penulis cerpen. Dan saya fikir, ramai lagi yang patut berkongsi perasaan itu.

Jumaat, September 05, 2008

Untung yang kepenghabisan (dan sebotol Coke)

Saya beruntung, walaupun untung yang kepenghabisan.

Minggu lalu, menjelang merdeka dan langit bergulung dengan bunga api, saya pulang ke kampung.

Dalam perjalanan melalui Lebuhraya PLUS, saya berhenti makan nasi di Tapah. Di situ saya mendapat keuntungan walaupun untuk yang kepenghabisan.

Creative Enterprise sedang menjalankan jualan penghabisan stok untuk novel-novel lamanya -- kebanyakan karya tokoh kewartawanan negara, A Samad Ismail.

Dan buku-buku itu berharga RM2 sebuah. Bagaimanakah sebenar-benar kenangan dan air mata yang kita taburkan itu kalau karya-karyanya sama dengan harga sebotol coke?

Kata jurujual yang menolong saya mencari novel tulisan beliau yang diletak secara longgok, Samad atau lebih dikenali Pak Samad sedang sakit.

Saya angguk, saya sedar.

Kemudian, keesokan harinya, di Arau kampung halaman saya, seorang pegawai akhbar kepada seorang tokoh politik terkenal menelefon saya bertanyakan keadaan Samad. 

Sudah tentu saya tidak tahu. Saya di kampung, tidak akses internet, tidak melanggan news alert, dan wartawan bukan tuhan yang tahu semua perkara.

Saya pun terus membaca buku-buku Samad sehingga dia pun kembali pulang kepada bumi, ke rumah asal.

Di Tapah Jumaat lalu, saya turut membeli novel dua penulis besar. Seorang masih hidup dan seorang telah mati -- Azizi Abdullah, Pak Sako.

Alangkah ruginya menjadi penulis dan alangkah untungnya menjadi pembaca.

Saya hanya ambil soya, tidak Coke, dan teruskan perjalanan dengan hati girang untuk bertemu keluarga dan kawan-kawan.




Rabu, September 03, 2008

Alkisah gunting dan lipatan-lipatan

Oleh itu, saya tidak risau kalau seluruh sajak dan cerpen saya hilang begitu.

Saya hampir pasti, tulisan-tulisan saya terpinggir dan sangat sedikit itu hampir pasti tidak akan diperoleh daripada Pusat Dokumentasi Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sejak kali pertama lagi apabila mengunjungi Teratak Seni-nya saya tahu dia pengumpul yang tekun sekali. Dia bekerja dengan gunting dan lipatan-lipatan -- tidak hairan bila teman kami menjuluknya sebagai Pramoedya kecil.

Ketika dia menelefon saya tempoh hari, permintaanya itu aneh bunyinya kerana dia meminta apa yang tidak saya lagi miliki.

Begitulah alkisahnya gunting dan lipatan-lipatan kertas.

Oleh itu saya tidak runsing kerana kita tetap punya "bank sastera".

Rabu, Ogos 27, 2008

Hujan turun. Kata orang hujan rahmat, tetapi kalau sekarang ini saya ada tugasan mendesak dan segera, bolehkah ini dikira sebagai rahmat?

Selasa, Ogos 26, 2008

Kalau dia menang

Kalau dia menang, dia akan kata rakyat membuat pilihan yang bijak atau ini membuktikan kekuatan parti dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat; atau kedua-duanya sekali.

Kalau dia kalah, dia akan kata, Umno tipu atau SPR tipu atau kedua-duanya sekali.

Kata mantan bos saya, dalam parti ini dipenuhi dengan fail-fail sedih dan misteri.

Kisah-kisah sedih itu seperti kisah kena tipu, kisah depa jahat dan lain-lain. Kisah-kisah misteri pula saya tidak ingat lagi.

Tetapi menurut intrepetasi baru saya, tidak disangkal lagi bahawa impian 16 September masuk dalam fail jenis ini.

Tetapi, sesudah hari memberi alasan itu, apakah yang akan berlaku terhadap Malaysia?

Isnin, Ogos 25, 2008

I love u, Avril


Saya sebenarnya tak berapa gemar melayan budak-budak pop. Tetapi sejak kebelakangan ini, saya rasa kita tidak boleh pandang sebelah mata pada kekuatan gerakan pop secara globalnya. Kuasa pop akhirnya dapat merobah manusia, yang lebih susah dirobah daripada gunung Kinabalu.

Kenyataan beliau hari ini membuatkan tempurung kapala saya dipenuhi asap warna abu-abu. Dan saya pun berfikir menonton minah cun dan seksi ini di pentas menjelang Ogos memudar.

Di mata saya, Avril tetap paling cun. Bukan kerana tubuhnya, tetapi keseluruhan kamu, Avril. Ya, Avril yang cantik dan sungguh jelita.


Foto: Nampak macam Avril,yang nyatanya bukan Alak vokalis Carburetor Dung.

Khamis, Ogos 21, 2008

Tiga

Nama saya dalam kedudukan nombor tiga. Dalam bahasa Cina, tiga maknanya "bukit", maknanya letaknya di atas. Saya gembira. Peluang saya cerah.

Ya, itu tamsil politik paling 'agung' yang pernah aku dengar.

Isnin, Julai 28, 2008

Dan mampukah Liu Bei mengotakan harapan dan kata-kata

Hari ini adalah hari yang membahagiakan. Kami mulanya bercadang menikmati ikan bakar di Shah Alam sebagai santapan tengah hari. Namun, seperti angin, manusia berubah, dan berpisah.

Emme meneruskan perancangan asal ke pesta buku di bangunan PKNS Shah Alam; tetapi saya memilih panggung wayang GSC di IOI Mall, Puchong.

Saya tiba lebih kurang jam 3. Red Cliff menjadi pilihan. Ya, lagi-lagi cerita perang. Sambil menunggu untuk ke panggung nombor dua, saya singgah di kopitiam, sebelah kedai buku Popular.

Nasi ayam Hainan kedai kopi Cina itu sungguh menambat selera. Di Popular, sebaliknya, tiada buku yang sempat menggoda.

Di dalam panggung, nasib kembali menyebelahi saya. Tenpat duduk dalam barisan H itu, aduh, alangkah selesa dan strategiknya.

Inilah kerinduan saya selama ini: Makanan yang enak, tengok wayang, manjakan diri dengan apa yang kita suka. Apa lagi kenikmatan selain ini?

Apa lagi, saudara?

2
Suatu ketika, seorang tua bijaksana menegur.

Ketika itu saya di pejabat Anwar Ibrahim, pada saat pergoalakan dalam PKR Selangor bergelora, Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim (ber) 'perang dingin' dengan bekas pegawai kanannya yang menghadapi dakwaan salah guna kuasa, Mohd Yahya Mat Sahri.

Orang tua bijaksana itu, ia menegur, “tunggu apa?”

“Zhuge Liang Selangor,” kata saya.

“Bukan Zhuge Liang, (tetapi) Liu Bei,” katanya.

Petang tadi, selepas menonton Red Cliff (bahagian pertama), saya faham maksud orang tua itu.

Si bangsawan miskin, Liu Bei dengan beberapa pahlawan gagah dan si pintar Zhuge Liang menanamkan hasrat yang luar biasa menyembelih 800,000 bala tentera kerajaan Chao Chao.

Ribuan armada daripada lautan, kata Guan Yu -- untuk itu, harus mengambil lebih seratus tahun untuk membakarnya – dan mampukah Liu Bei mengotakan harapan dan kata-kata.

Kita pun tertunggu-tunggu bagian yang berikutnya. -- Jimadie

Isnin, Julai 14, 2008

Jumadi


Nama saya Jimadie Shah Othman. Saya kurus. Pada awal ogos lalu, buat pertama kali saya ke Masjlis Baca Naskhah Sindiket Soljah dan Kawan-kawan yang Kita Suka (Maskara) di Rumah Pena, Kuala Lumpur. Selepas program itu, saya ada mencatat dalam blog ini, antaranya tentang persembahan seorang pemuda yang memakai baju T Union Jack. Berikut adalah tulisan saya itu:

Oh ya, cerita mamat yang pakai baju Union Jack fasal seks itu tidak best. Tidak memberahikan dan tidak cukup imaginasi untuk membuat kami stim. Macam budak-budak, nak cakap fasal seks tapi tak berani sebut pantat, puki, burit dan butuh. Jika dia membaca Mona Gersang dia akan tahu langit itu tinggi atau pun rendah. -- "Politik telah bankrup dan seni adalah masa depan", Ogos 06, 2007

Dua minggu lalu, saya sekali lagi ke Maskra dan saya membeli sebuah fiksyen berjudul Menara Gedembai tulisan Penulis Ini Tidak Mahu Dikenali, keluaran terbaru Sindiket Sol-Jah. Berikut adalah beberapa petikan dalam buku itu:

Tapi malam itu juga, ada seorang budak memakai kemeja T union jack, membaca cerita 'erotik' yang sangat 'tengik', ia semacam sebuah karya yang ditulis oleh Huzz untuk Mastika. (Hlm 89, para 3, baris 5,6)

Mat Jizat dah lunak dalam hati, habislah budak union jack bodoh tu, bercerita bukan-bukan tentang perempuan pergi gim disimpan lelaki kaya tua yang kuat seks. Tetapi di depannya, ada seorang budak ni bernama Jumadi melalak tak tentu fasal tentang budak yang bercerita tu. Jumadi tu asyik mengungkit pada kawan sebelahnya, "tak cukup burit, tak cukup burit. Tak best. Budak ini kalau baca Mona Gersang, baru dia tahu langit tinggi rendah!" (Hlm 89, para 4)

Lalu dia pilih saja Jumadi sebab dia lagi bising dari budak union jack (budak tu nampak sasa walaupun lembik dan nerd), lalu menangkap Jumadi (budak ini kurus kelengkeng, senang), masuk dalam vannya, lalu bila Jumadi bangun, dia tersedar yang mulut dan badannya terikat. Mst Jizat menghayunkan pisau rambonya dalam punggung Jumadi lalu bertempik, "Ni ha burit kau!", sambil menikam bertubi-tubi. (Hlm 90, para 2)

Apa pandangan anda?


P/s: Buku itu masih saya baca dan belum memberi sikap terhadapnya.

Selasa, Julai 08, 2008

Malaysiakini muncul laman berita No 1

Jul 8, 08 6:21pm

Malaysiakini muncul sebagai laman berita paling popular di negara ini, demikian menurut perkhidmatan ranking portal internet, Alexa.com.

Ini merupakan kali pertama laman berita bebas Malaysiakini memintas The Star online dalam kedudukan ranking tersebut. [Baca lanjut dalam Malaysiakini]

Rabu, Jun 25, 2008

Berhala II

Baiklah, sudahlah sikit-sikit fasal cerita accident dan politikal yang membosankan macam isu Yahya Sahri dan Pemuda PAS Selangor bantah Ella dan Mas Idayu. Saya ingin menyambung cerita yang ingin saya karang dan telah pun diceritakan kepada Somad. Tentang mimpi anak seorang pematung.

Begini seterusnya cerita saya kepada Somad:

Malam itu, sebuah malam yang sunyi--terlalu sunyi hingga membolehkan anak mata berputar ligat, si anak bermimpi. Dalam mimpinya dia telah pergi ke kota Ibrahim sebelum nabi Allah itu dibakar gerombolan manusia.

Ketika itu Namrud sedang mengadakan perayaan. Ibrahim masuk ke rumah ibadat, mencapai kapak dan memusnahkan seluruh hasil tukang kayu. Tetapi Ibrahim tidak mengapak berhala yang tubuhnya paling besar, bukan takut, bukan saja-saja.

Kisah ini dibawa orang-orang alim sampai kepada kita. Dan kita beriman kepada nabi ulul azmi itu.

Ibrahim pun, kemudiannya, tanpa memerihatikan anak kecil itu menyelit kapak itu kepada berhala yang tidak menjadi mangsa dan dia berlalu dengan puas hati.

Sekembalinya Namrud daripada perayaan di kota, baginda pun murka dan dipanggilnya Ibrahim masuk mengadap. Beliau, raja angkuh itu membacakan pertuduhan-pertuduhan.

Tetapi Ibrahim secara sinis menjawab: "Tanyalah pada berhala yang paling besar itu, Bukanlah dia yang memegang kapak?"

Tuan, itu tidak berlaku dalam mimpi anak kecil. Dia tidak tahu apa kesudahan cerita itu tetapi sang anak telah mencuri kapak itu dan ketika Ibrahim memandangnya, dia pun tersedar.

Di sisinya, atas katil, dalam selimut, dalam genggamannya, sebilah kapak dengan besi hitam dan sebuah ketukan bertalu-talu ke pintu kamar tidurnya.

MyVi hitam

Semalam aku eccident. Aku tercampak daripada motosikal. Kemudian rasa pening dan sakit seluruh badan. Aku tanya saksi kemalangan, "dia lari ke?" Aku nampak sebuah kereta warna hitam meluru laju dari situ.

Aku masih tidak boleh berdiri, cermin mata aku pecah. Motosikal masih tersadai di jalan. Aku nampak ada plastik-plastik keras yang pecah di jalanan. Aku buka helmet dan tanyanya pada orang sekeliling: "Boleh sesiapa bawa saya ke hospital?"

Itulah ayat kedua yang terpancut daripada mulutku.

Seorang kakak daripada MyVi hitam menumpangkan saya ke hospital, menguruskan rawatan untuk saya sehinggalah saya ambil x-tray. Kemudian dia pulang. Dialah yang melanggarku.

Malam itu kami buat laporan polis di Balai Polis Jalan Bandar, dia kena saman RM300 dan akibatnya aduh, sakitnya badan aku! Motosikal pun masih tersadai di situ.

Mujurlah tiada apa yang patah.

Jumaat, Jun 13, 2008

Berhala

Saya ingin karang cerita. Sebelum karang saya cerita pada Somad. Beginilah ceritanya:

Ada seorang pengukir. Suatu hari dia mengukir patung, kamu panggil dia ukiran, kamu panggil dia berhala, kamu panggil dia dosa, kamu boleh panggil apa saja.

Tetapi patung yang diukirnya pada hari itu amat luar biasa. Bukan kerana sosoknya tetepai penentangan terhadapnya. Orang kampung memulaukannya. "Kamu pelaku dosa," kata mereka.

Anaknya, seorang bocah luar biasa datang kepada bapanya. Dia anak yang sungguh mulia dan baik pekerta. Tetapi pada hari itu anaknya adalah anak yang tidak pernah dikenalnya lagi.

"Bapa, kamu mematungkan dosa," katanya.

"Tidak, aku patungkan penghormatanku," jawab bapa.

"Bapa, kamu patungkan berhala," katanya.

"Tidak, ini tanda zaman yang mesti kamu kenang," jawab bapa.

Bapanya telah mematungkan seorang sosok seorang mufti.

Si bapa tertanya-tanya, apakah yang membuatkan kamu semua menentangku. Dan dia tidak mempunyai jawapannya.

Bersambung Siri 2: Mimpi anak

Ahad, Jun 01, 2008

Bahkan berselingkuh lagi denganmu sampai bila-bila

Saya lepas membenci dua orang. Hari ini saya sedang membenci yang ketiga.

Yang pertama, orang politik yang tidak pandai berbahasa Melayu. Malangnya, kamu tahu apa bangsanya? Melayu.Kenapa, kerana selain mamakai songkok, untuk menunjukkan kemelayuannya, dia mesti berbahasa Melayu. Dan kamu tahu apa jadinya? Menyusahkan wartawan menulis berita.

Kedua, saya benci terima e-mel yang terlalu personal dan menggunakan bahasa Inggeris campur Melayu--campur-campur sampai pening kepala mahu baca. Inggeris dengan Melauyu berselang-seli macam tikar anyam, kadang-kadang masuk lagi bahasa bahasan dan Cina Hundu. Pening aku baca dan aku tidak selalu habiskannya.

Ketiga, aku benci wanita yang kehilangan hormat pada prianya. Aku benci anak yang kehilangan hormat pada orang tuanya. Kebencianku sampai tak ingin lagi aku mimpi kamu, doa kamu, bahkan berselingkuh lagi denganmu sampai bila-bila.

Selasa, Mei 27, 2008

BENGKEL PENULISAN (BERSIRI)

Anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) 
 
- Tiada yuran penyertaan 
- Makan dan penginapan disediakan 
- Bimbingan oleh penulis-penulis berpengalaman dan terkemuka Malaysia dan luar negara 
- Peluang latihan di luar negara 
- Peluang pekerjaan/meraih pendapatan dari hasil penulisan
 

SIRI 1  :

Tarikh: 30 Mei -3 Jun 2008

Tempat: Rumah Penulis, Bukit Sentosa, Rawang Selangor.  

* Pengangkutan disediakan dari Bangsar ke Lokasi Program. 
 
Bagi yang berminat, sila hantar maklumat ringkas tentang diri, contoh penulisan (apa saja genre) dan sekeping foto sebelum 29 Mei 2008 kepada: 
 
Farhan Affandi 
Email: farhan.affandi@gmail.com 
Telefon: 012-433 3011

Isnin, Mei 26, 2008

Saya bisu


Tidak seperti selalu, tadi petang hujan, kelam seperti lobang hitam di angkasa.

Selepas siapkan cerita tentang royalti minyak Terengganu, aku turun ambil gambar dari amoi setengah comel.

"Hello," kataku.

Dia jawab, "hai."

Waktu depan pintu, nampak Shan senang minum depan (restoren) Maidin. Lebih tepat: Meja bulat paling dekat dengan tempat masak.

Shan kelihatan mengajakku minum.

Aku ada kerja. Tetapi itu tidak boleh aku beritahu dia.

Aku ingin menjerit, tapi tidak senonoh.

Aku ingin pergi dan beritahu dia, "ada kerja." Tapi aku malas.

Jadi aku tunjuk arah atas, ke pejabatku di tingkat dua.

Kalau gunakan bahasa isyarat tentung senang. Hanya tekapkan empat jari ke dada, kemudian genggam tangan dan hentakkan sesama sendiri.

Maksudnya: Aku ada kerja.

Tanpa bahasa isyarat, di kelilingi mereka yang tidak tahu menahu berbahasa ini, aku rasa betapa sukarnya berkomunikasi. Bagaimana pula dengan mereka yang langsung tidak boleh mendengar dan berkata-kata. Sampaikan seribu kasihan buat mereka.

Siapa tahu isyarat nama saya?

Khamis, Mei 22, 2008

Kaseh, ketika tetes belum tiba

Tadi semalam, ketika tetes belum tiba, seorang laki-laki hitam, kesat dan kotor ke meja kami. Dan mengenalnya dengan istilah "pengemis".


"Encik, boleh minta seringgit," katanya.


Itu tidak kami beri. Kalau kamu ingin minta sedekah, maaf, saya bukan orang yang cocok. Laki-laki itu kalau berkesempatan, kami berikannya sebatang rokok, dan dia tidak mahu kretek. Kali ini, ia cuma mahu sebunggkus teh tarik.


Wan minta Salim bungkuskan. Wan suruh dia duduk dulu tapi dia memilih untuk berdiri. Mungkin dia rasa segan dengan keadaan dirinya.


Aku beri dia sebatang rokok dan cucuhkan untuknya. Mungkin dia rasa bahagia. Atau barangkali mungkin juga tidak.


Dan sebungkus teh tarik, sebatang rokok tidak akan membuatkan kita tiba-tiba jatuh miskin. Kalau Allah kehendaki, kamu tidak akan diberikan, walau sebutir nasi dan sebatang rokok pun. Oleh itu, berbuat baiklah kamu sesama manusia, tidak kira siapa pun dia. Siapa pun dia.


Dan kami melakukan itu bukan untuk kamu, pengemis! Kami bahkan mendapat ketenangan hakiki. Menunaikan permintaan kecilmu membuatkan nubari kami puas. Kasih mengasihi sesama hamba manusia.


Tadi sore, tetes dan mendung berarak tiba.

Selasa, Mei 20, 2008

Kebaikan

Dua minggu lalu motosikal saya pancit di hujung Lebuh raya Pantai Baru (NPE). Kebetulan sepuluh meter saja ada sebuah bengkel motosikal Melayu. Jam hampir 10:30 pagi dan masih ada tiga orang menunggu giliran. Semua pancit. Aneh, saya fikir di lebuh raya persekutuan saja banyak paku.

Saya tidak turun menyeret motor tetapi terus bawa pelan-pelan. Saya hisap rokok dan saya dapati itu tidak boleh jadi. Maka saya bilang dia, pekedai itu, Jumaat siang itu, hampir waktu solat, saya singgah ke sini dulu. Pejabat saya cuma dekat Bangsar Utama. "Teksi banyak?" soal saya.

"Sini senang (banyak teksi)," katanya, "tapi bayar dulu RM 12," katanya lagi.

(Saya tahu dia penipu, memang saya sudah lama tidak menunggang motosikal, tapi saya tahu, tiub murah cuma RM 4 kalau dibeli di kedai alat ganti. Dalam hati, saya fikir, tentu dia yang tabur paku di jalan, bangsat, penipu!)

Tetapi hampir habis sebatang rokok, tiada juga teksi lalu-lalang dan saya tidak biasa masuk kerja lambat.

Melihat gelagat saya itu, seorang pemuda yang hampir siap menukar tiup bermurah hati menumpangkan saya.

Dia baik. Dia jaga dekat Hospital Assunta dan menginap di Pantai Indah, dekat komuter Pantai Dalam.

Saya berfikir hendak membelanjanya kopi tetapi itu belum saya lakukan.

Di tempat yang sama, ketika lebuh raya dan tol belum ada, saat bengkel itu belum wujud, kala saya menjadi tetangga di situ lapan tahun lalu, kejadian yang sama berlaku. Beberapa orang budak skin head membantu saya.

Saya fikir, di Pantai, yang membawa konotasi negatif, ia tidak akan menjadi negatif kalau ada wajah-wajah suci sebegitu.

Jumaat, Mei 16, 2008

24

Saya ngeri memikirkan hari-hari tanpa 24 jam yang cukup tapi saya lebih ngeri memikirkan hari-hari bila jam dan detik menjadi sangat panjang.

Sudah lama tidak saya lihat jarum jam dinding saya yang tergantung lima kaki ke lantai memanjang sampai ke karpet. Sudah lama tidak saya lihat bulatan jam mengembang sekali lipat.

Tapi malam ini begitu beda, seperti beberapa tahun lalu tatkala jam dan detik pelan-pelan kontot dan tenggelam, sebesar hama, sebesar kuman, kemudian hilang dan tak lagi kelihatan.

Saya mendengar Think of Me Andrew Llyod Webber yang mencengkam dada. Kampung Baru dan umat di atasnya yang merayap selalu merayap. Buah pikir yang seperti SMS cinta yang melayang dan meresap ke permukaan udara. Dan bumi yang tidak bulat, tetapi sfera.

Kembali kepada asal. Bagaimana perubahan harus ditangani?

Isnin, Mei 05, 2008

Kuasa kata (DIKEMASKINI)

Nik Nazmi membacakan ucapan perasmian.


Pemenang dan jur i mengambil gambar.


Pemenang dan jur i mengambil gambar.


Bulan ini saya punya dua buku baru.



Pertama, 10 x 10: 100 Minutes to Change the World terbitan Kakiseni Sdn Bhd, Petaling Jaya. Buku ini kompilasi skrip pendek pemenang pertandingan Kakiscript Playwright Competition. 10 skrip pendek setiap satu sepuluh minit dipilih. Salah satunya skrip saya "Politikus Profesional", sebuah satira politik.


Buku ini dilancarkan di Pasar Seni minggu lalu sempena Festival Buku Alternatif Kuala Lumpur. YB Nik Nazmi Nik Ahmad, penulis dan wakil rakyat melancarkan buku ini. Di bawah merupakan petikan ucapan perlancaran beliau. Gambar-gambar sempena perlancaran juga dicuplik daripada laman flickr politikus muda ini.

We are here today to celebrate the power of words - words by Malaysians about Malaysia. This may not seem like much. After all, despite an ancient and multi-faceted cultural heritage, we have become, in recent years, a nation that puts more stock in the height of our buildings and the span of our bridges than in our artistic and cultural life, a nation of unyielding concrete and steel rather than a nation of supple imagination… [Read more]



Kedua, Gangguan Teksual terbitan Sindiket Sol-Jah, Kuala Lumpur. Blook (buku blog) yang diselenggarakan Tok Rimau ini menghimpunkan entri terpilih 20 penulis blog terpilih. Saya menulis entri tentang Lao Zi, pendita besar Cina. Entri-entri itu pernah dimuatkan dalam blog ini.

Jemput membaca kalau ada kesudian.

Selasa, April 29, 2008

Barang naik

Pagi itu jam sepuluh. Aku keluar beli Utusan Malaysia dan lima bungkus nasi lemak depan rumah. Dalam Utusan Malaysia ada sajak temanku Salman Sulaiman fasal A. Samad Said "si sasterawan rakyat".


Budak Kelantan atau Terengganu jual nasi lemak itu baca Metro Ahad. Aku agak. Surat khabar itu ada atas meja dia. Sambil tunggu giliran nasi dibungkus, aku belek-belek akhbar itu. Entahlah tajuk apa, tapi tentang seks.


Sebelum itu, waktu aku minta lima bungkus nasi, dia kata, "RM 1.20, bang."


Kalau tak salah aku, ini kali kedua aku beli di gerai ini, selalunya Ahad aku bangun lewat langsung makan tengah hari. Daripada gayanya aku rasa ada kenaikan harga. Aku pun tanya, "dah naik?"


"Seminggu dah, bang," kata dia. "Beras naik," kata dia lagi."


"Semua jenis beras?" tanya aku lagi.


Dia jawab, "mak pakai beras timbang. Dulu sepuluh kilo 19, sekarang naik tiga ringgit," kata dia.


"Banyak," tambah dia lagi.


Kemudian dia cerita banyak benda juga naik. Dulu cabai, "tapi kita tak naik harga (nasi)," katanya lagi.


"Timun, bawang dan lain-lain?" Tiba-tiba aku rajin tanya dan dia juga rajin menjawab.


"Oh, timun ikut cuaca," kata dia. ("Pula," kata aku dalam hati.)"Kalau hujan turun harga dia tinggi, kalau cuaca elok rendah."


Oh, ini aku belum faham. Nampaknya pengetahuan ekonomi aku tak cukup lagi. Tapi di akhir perbualan, dia tegaskan nasi lemak biasa saja naik harga, nasi lemak ayam sama juga RM 3.50. "Kalau semua naik nanti orang tak beli," katanya lagi. Dan, "kalau ni tempat saya Kelantan, Terengganu, kita pakai beras Siam, lagi senang," kata budak itu.


Dia baik, dan rajin. Saya beri dia not sepuluh. Dia tanya (dan bagi tahu), "semua enam ringgit, abang ada satu ringgit?"


Dia tak ada duit kecil. Saya kata, "tadi ada, tapi dah beli surat khabar."


Dia bagi saya lima ringgit dan kata, "nanti bila-bila ada abang berilah."


Persoalannya, bilakah saya akan beli nasi lemak lagi padanya? Ahad depan belum tentu saya bangun tidur awal.


Namun daripada perbualan tadi, dapat saya renung, harga barang makin meningkat dan rakyat makin susah.


Seorang teman kami pernah bergurau, soalnya, "semua barang naik harga, apa yang tak naik?"


Teman kami yang lain menjawab, "kalau semua barang naik, satu barang juga tak ada naik."


Kamu tahu apa barang itu? Cuba teka.


"Kote."


Semua kami ketawa. - Mohd Jimadie Shah Othman

Isnin, April 28, 2008

Forensik: Kiri

Entri ini ditulis minggu lalu.

Music Forum, seperti slogannya Music Forensic cuba membedah Kiri, kumpulan enam pria. Bagi anak-anak muda yang terbiasa dengan persoalan ideologi, tak kira Kiri atau Kanan, nama Kiri itu sendiri sudah menjadi magnet yang kuat. Tetapi nyata menghabiskan dua jam dengan kumpulan ini, Kiri bukanlah Kiri yang sebenar. Kiri cuma pada nama. Mereka tidak menganut mana-mana mazhab Komunis-Marxisme dan tidak ada elemen kekirian atau subversif yang kuat dan nyata dalam karya-karyanya.


Kiri dilahirkan melalui Rock Unite, diasuh menjadi pop. Mereka juga barangkali tidak pasti dengan jalur masing-masing. Kiri semacam mengidentitikan diri mereka sebagai hybrid, rojak, namun tetap dengan kiblat Rock. Persoalan hybrid itu nyata menarik perhatian penonton yang hadir. Hybrid dalam diskusi tersebut merujuk kepada arragement dan komposisi seperti Aniaya yang menggabungkan pelbagai elemen daripada punk rock kepada raggae.


Sekali dengar mengingatkan kita kepada System of a Down. Tetapi kiri tidak sampai tahap itu. Kiri semacam terdesak berkompromi dengan pasaran (istilah yang digunakan adalah balance, bukan compromise). Lagu 20 % misalnya berkisah tentang korupsi tetapi belum apa-apa, anak-anak muda ini telah menapis diri mereka sendiri. 'Ketakutan' yang diasuh itu menyebabkan timbulnya igauan "jika saya terus dengan lirik ini, saya tidak akan berada di Malaysia".


Dari sudut sound saya tidak mendengar sesuatu yang fresh daripada kumpulan ini. Terus terang Kiri tidak mencuri minat saya. Tiada yang memikat. Cuma sekadar boleh. Pemuzik tanpa attitude dan karektor tidak boleh melakukan itu. Mendengar Kiri membuatkan saya rasa tidak berada di Malaysia. Tidak berbicara dengan lingkungan, mood dan jiwa tanah ini.


Album mereka RU13 terbit hujung tahun lalu. Laman MySpace mereka boleh dilayari di myspace.com/kiriband.

Jumaat, April 18, 2008

Selamat tinggal MySL TC

Ketika anda membaca entri ini, saya mungkin tidak lagi berada di Pusat Latihan MySL (MySL TC). Saya bukan lagi milik MySL TC. Seperti kekasih lama, kami berpisah sudah, dalam tangis dan air mata. Sungguh, terasa sebak ketika memuatkan barang-barang personal di meja dan laci. Sebahagian daripada kamu saya tinggalkan sapaan terakhir, sebahagiannya tidak. Saya tidak mampu. Anda semua terlalu ramai dan saya menghabiskan masa dalam keadaan menyedihkan bukanlah minat dan kemampuan saya. Seperti pendekar kerajaan dan jelitawan pisau belita dalam filem China The House of Flying Daggers, "saya adalah angin. Saya datang. Saya pergi. Tiba-tiba. Saya adalah angin."

Begitulah saya ingin pergi.

Seperti kelaziman, saya ingin hulur sepuluh jari pohon maaf atas segala salah dan silap selama berkhidmat di sini. Kawan-kawan semua terlalu baik untuk saya. Justeru, saya fikir tidak perlu memberi sebarang maaf kerana tuan-tuan tidak pernah berbuat salah kepada saya. Kalau ada termakan, terminum harap halalkan dunia dan akhirat.

Saya akan memasuki fasa baru Isnin ini. Sebahagian besar masa dan hidup saya akan kembali habis di Bangsar. Tempat yang saya tinggalkan beberapa tahun lalu.

Dan seluruh kaki saya akan masuk dalam dunia kewartawanan. Sebuah karier yang amat mencabar dan pernah menjadi cita-cita. Selamat datang dunia baru. Selamat tinggal dunia lama.

Saya adalah angin. Saya datang. Saya pergi. Tiba-tiba. Saya adalah angin. Begitulah saya ingin pergi.

Terima kasih.

Entri ini saya tujukan kepada seluruh warga dan pelatih MySL TC dan seluruh staf Persekutuan Orang Pekak Malaysia.

Rabu, April 16, 2008

Tangan Midas

Aku kena tag dan tag bagi aku adalah permainan bodoh. Tetapi permainan bodoh itu buat kita happy dan suka.

1) Apa superpower idaman anda?

Saya mahu tangan Midas.

2) Kenapa atau untuk apa superpower itu yang anda pilih?


Raja Midas, dalam sejarahnya, benda yang disentuhnya akan bertukar menjadi emas. Dengan tangan Midas, saya boleh jadi kaya raya, jadi saudadar emas.

3) Kelemahan superpower anda.

Oleh kerana semua benda yang disentuh akan menjadi emas, Raja Midas pun mati kebuluran sebab manusia tak boleh hidup dengan makan emas.

4) Nama anda sebagai hero

Saya cuma mahu superpower, tak mahu jadi superhero. Jadi, tak ada nama hero.

5) Motto anda sebagai superhero?

Soalan ini tidak berkaitan.

LIST OUT THE TOP 5 PRESENTS YOU WISH FOR

Saya tidak mahu apa-apa. Terima kasih. Tapi kalau mahu bagi juga, bagilah saya RM 10,000 sekarang. In cash ya.

LIST OUT THE REASONS FOR YOUR CHOICES

Tidak ada kena mengena dengan kamu. Urusan peribadi.


THE PERSON WHO TAGG-ED YOU IS

Cik Diela

IMPRESSIONS OF HIM and HER

Baik

MOST MEMORABLE THINGS HE/SHE HAS DONE FOR YOU

Berbaik sangka

MOST LOVED INVENTION
Hawa

WHAT DO YOU DESPISE THE MOST

Sebarkan tag ini kepada 10 rakan yang lain. Kalau tak mampu, 5 pun ok!

1. Anwar Ibrahim. He, he, dia takkan berani sahut cabaran ni punya!
2. Sophie.
3, Mardhiah, dia mesti banyak jawapan.
4. Tuan Tanah
5. Gobind Sikh

Ha, ha! Puas hati dengan jawapan ini.


La Nuit des Caligraphes

"Hidupku berakhir pada 26 April 1986: umurku delapan puluh tiga. Istanbul sedang merayakan Pesta Kembang Tulip di Emirgan…. Kematian tak membuatku takut. Ajal hanya kejam terhadap mereka yang takut kepadanya." - Yasmine Ghata 2004. La Nuit des Caligraphes.

Pembukaan sebuah novel yang amat menarik. Guru besar esais Indonesia memperkenalkannya.

Isnin, April 14, 2008

Empat belas

Siapa lupa 14 April 1999, yang, saban tahun kita kenang sebagai BLACK 14?

Dan malam ini di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, siapakah yang berani hadir? Dan siapakah yang tidak peduli?

Lima puluh

Tentang 50 Tahun Politik Orang Melayu karya Razali Endun


Saya bukan peminat Pak Habib atau Subky Latiff. Karya-karya jenis ini saya kira sangat simplistik, prejudis dan bersifat spekulatif. Tetapi tidak dinafikan, tulisan jenis ini amat popular.


Kali pertama membelek 50 Tahun Politik Orang Melayu (selepas ini disebut 50 Tahun saja), buah tangan terbaru penulis prolifik Razali Endun memberikan tanggapan bahawa tulisan-tulisan dalamnya masuk dalam kategori tadi. Sesudah habis menekuni 178 muka buku terbitan Badan Penulis dan Karyawan Kreatif (PIKIR) ini, saya fikir tanggapan saya tidak salah. Saya setuju, membaca 50 Tahun seolah-olah membaca artikel bersiri di majalah politik ringan.


Untuk orang seperti saya, buku ini tidak menarik tetapi sangat baik ebagai bacaan awal politik Malaysia. 50 tahun menggunakan ayat dan gaya bahasa yang mudah. Membacanya seolah membaca buku teks bagian politik moden Malaysia. Ia bermula dengan kedatangan Parameswara membuka Melaka sampai protes besar Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf). Ia tidak sempat menunggu tamatnya Pilihan Raya Umum ke-12, jika tidak sudah tentu buku ini menjadi lebih tebal dan kompleks.


Sebagai bacaan awal, buku ini harus kita baca dengan lapang dada. Oleh kerana sejarah ditulis oleh pihak yang berkuasa, sejarah negara kita seolah-olah sebahagian besarnya bermula dengan ptotes terhadap Malayan Union oleh UMNO; serta 'berjayanya' formula Perikatan sesudah kemerdekaan.


Sejarah tidak dilihat dengan terbuka dan kritis. Razali cuba memberikan alternatif terhadap tafsiran itu. Razali yang kita kenal adalah penulis prolifik yang cenderung ke arah bukan mainstream. Sesiapa yang pernah membaca Dua Era, tulisan pertama beliau sesudah 'hibernasi' penulisan beliau yang panjang pasti sedar hakikat ini.


Dengan terus terang beliau mengaku, kembali menulis kerana pergolakan 1998 akibat pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada kerusi Timbalan Perdana Menteri (TPM). Politik sentiasa menjadi obsesi penulis ini. Malah hampir semua karya-karya beliau, terutamanya nonfiksyen sangat sarat dengan nada politik dan kritik sosialnya. Razali nyata bukan dua bagian daripada teks dan dunia realiti, sebuah kejujuran.


50 Tahun mengajak umat Melayu merenung kembali nasib bangsa dalam catur besar politik negara. Apabila mengulas politik orang Melayu, tidak lepas tidak, persoalan MIC dan MCA mesti turut disebut. Bagi Razali, orang Melayu ketinggalan dalam banyak bidang dan tidak punya pressure group seperti bangsa-bangsa lain. Hindraf misalnya menjadi mekanisme check and balance kepada MIC. Begitu juga DAP dan MCA, walau pun DAP pada dasarnya adalah terbuka untuk pelbagai kaum.


Paling menarik dalam buku ini adalah tentang kisah 'kesetian' Cina MCA sesudah pengharaman Umno 20 tahun lalu. Mengikut Razali, apabila sebuah parti dominan dalam kerajaan diharamkan, maka ia tidak punya sebarang kuasa atau hak politik. Maksudnya, dalam period itu, MCA merupakan parti terbesar dan terkuat dalam BNl. Secara praktikalnya, MCA oleh memimpin BN, seterusnya melantik Perdana Menteri yang baru daripada kalangan orang Cina. Namun, Razali juga tidak memberi jawapan kepada persoalan yang beliau timbulkan ini. Beliau menggantungkan kepada pembaca.


Selain itu, 50 Tahun adalah sejarah biasa yang tidak kita baca daripada buku teks sejarah di sekolah. Selamat membaca. Tidak sia-sia. Hadiah Razali sempena usia emas 50 tahun Malaysia. - Mohd Jimadie Shah Othman



Share life's special moments with Photo Gallery. Windows Live Photo Gallery

Sabtu, April 12, 2008

Opera China hilang kepala (kabilah)

Tentang filem The Warlords

Kehebatan panggung China adalah pada penceritaannya yang kaya dengan nilai falsafah politik. Layar Hollywood pula pada plot dan momen-momen memikat dan menakjubkan. Jika sebuah filem dapat menyatupadukan dua elemen ini maka konflik antara komersialisme dan nilai, kulit dan substance akan selesai.

The Warlords, sebuah buah tangan yang tidak berapa lama daripada layar China cuba menyatupadukan kedua-dua elemen ini, tetapi gagal. Hasilnya, ia menjadi sebuah filem yang tidak berkualiti lagi membosankan.

The Warlords berkisah tentang kekuasaan dan pertentangan sesama sendiri antara ketua-ketua kabilah di China lama. Kisah tentang sebuah zaman kemiskinan dan orang kebanyakan terpaksa menyertai kepala kabilah untuk mendapatkan makanan, perlindungan dan tanah.

Filem ini dipenuhi dengan babak aksi-aksi perlawanan dan kepahlawanan yang mencemaskan. Diadun teliti menjadikan ciri heroic protagonis terserlah. Tetapi selain itu, ceritanya perlahan, bertele-tele, suram dan kelam, sekelam visual dan tata cahanya. Maka, dengan sedaya upaya saya berjuang supaya mata tidak terpejam. Itu disiplin yang saya paksakan setiap kali menonton. Tetapi akhirnya saya tewas. Filem ini tidak mampu saya habiskan dan tidak juga akan saya ulang tonton kembali, sekurang-kurangnya buat masa terdekat ini.

Apa sudah jadi dengan panggung opera China? Filem sesudahnya Three Kingdom yang aku tonton pada hari pertama tayangannya juga macam tahi ayam. Jauh api dari panggang, ibarat langit dan bumi dengan kisah tiga negara yang kita dengar dan belajar dari sejarah. Apa sudah jadi dengan opera China?

Di manakah dia dulu yang aku cinta dengan sepenuh jiwa? Dimanakah dikau, sayang? - Mohd Jimadie Shah Othman

Khamis, April 10, 2008

Pesta Buku (Teks)

Ha, ha, ha! Semua penulis dan blogger sedang ghairah berkisah tentang buku apa yang mereka beli dan siapa yang mereka jumpa di Pesta Buku (Teks) dekat PWTC. Ha, ha, ha! Tahun ini aku tidak ke sana. Aku terbayangkan mamat-mamat dan minah-minah Lingua Phone yang suka menyekat orang lalu lalang dan 'paksa' orang beli kits belajar bahasa dia. Aku juga terbayangkan lambakan buku-buku kerja sekolah dan nota-nota sekolah yang mengalahkan buku-buku lain. Aku terbayangkan buku-buku agama terbitan Jahabersa dan yang seangkatan dengannya. Oleh kerana bayangan semua itu, aku tidak pergi. Walau terlajak ke kawasan itu, walau macam mana macet pun, aku lebih rela dengar Radio Era dan hisap rokok. Sekali sekala aku melalak seorang diri. Tidak, aku belum tergoda.

Kenapa Amiene Rev Menulis Nopen?

[Dari blog Duke Amiena Rev (http://dukeamienerev.blogspot.com)]

(Entri ini saya muatkan kembali di sini dengan membuang sebagian kecil para yang bersifat personal dan saya rasakan tidak penting. - Jimadie)

SOALAN
: Nampaknya berita saudara menulis nopen secara tiba-tiba mengejutkan beberapa pihak hingga ada yang menganggap anda telah berjaya mendapat satu lagi penerbit. Adakah tanggapan ini benar?

AMIENE REV: Tidak benar. Saya belum bercadang untuk mencari penerbit yang baru selepas mengenali dua penerbit sedia ada, walaupun saya juga cuba mendekati beberapa penerbit lain untuk melihat pendirian mereka mengenai hakcipta, keprihatinan mereka dan interaksi mereka. Setakat ini, saya akan berurusan dengan dua penerbit yang saya rasakan terbaik di Malaysia, secara peribadi. Dua penerbit terbaik di Malaysia (secara peribadi) ini ialah PTS Publication dan KarnaDya. Terbaik secara peribadi di sini bermaksud mereka bersedia menerbitkan genre-genre yang saya cadangkan (genre fiksyen remaja, misteri, thriller, perang dan fantasi) selain mereka sangat mengambil berat soal-soal kebajikan penulis seperti hakcipta, saraan hidup, moral, motivasi dan mampu menjawab setiap persoalan yang dikemukakan penulis. Dalam erti kata lain, mereka juga mudah dihubungi dan tidak membiarkan kita dalam tanda tanya.

Sekiranya ada penulis-penulis yang berminat menghantar karya, jangan pening-pening lagi, hantarlah karya ke penerbit buku dan novel karnadya.com.my atau www.pts.com.my (atau boleh menimba ilmu menerusi www.universitipts.com). Sama ada penulisan ilmiah, fakta atau fiksyen, remaja, dewasa atau kanak-kanak, semuanya mempunyai peluang untuk diterbitkan.

KarnaDya dan PTS juga mempunyai perancangan masa depan yang baik untuk buku-buku anda seperti peluang untuk buku anda dipasarkan ke luar negara, peluang untuk dijadikan drama televisyen atau filem, peluang kebajikan dan penjagaan royalti, peluang mengikuti bengkel-bengkel penulisan dan sebagainya. Hakcipta anda terjamin.


SOALAN: Satu soalan yang sering berlegar-legar di kepala peminat anda, adakah anda akan mencari penerbit yang lain?

AMIENE REV: Peminat? Manalah orang macam saya ni ada peminat. Perkataan mencari itu kurang sesuai dan seharusnya digantikan dengan menambah urusan. Saya akan membuat urusan dengan penerbitan yang lain sekiranya saya rasakan perlu dari segi meningkatkan peluang novel-novel saya diterbitkan dengan lebih cepat atas faktor royalti. Jika ada mungkin untuk tujuan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.


SOALAN: Maksud saudara, sekiranya kerja-kerja menerbitkan buku saudara didapati agak lambat dengan satu-satu penerbit, maka saudara akan menambah bilangan penerbit yang akan berurusan dengan saudara?

AMIENE REV: Ya, begitulah. Kita kena fikirkan faktor di sekeliling kita juga. Selain hubungan dengan penerbit, hubungan dengan keluarga juga perlu dijaga. Saya berharap agar dapat menyambung pengajian dengan kadar yang lebih cepat agar dapat pulang kembali ke Malaysia untuk menjaga kedua-dua orang tua saya atau membawa mereka tinggal bersama-sama saya di luar negara. Siapa lagi yang hendak menjaga mereka jika bukan anak mereka sendiri.


SOALAN: Oh, begitu rupanya. Adakah saudara tidak risau yang mungkin ada penerbit yang tidak suka dengan cara 'kahwin' ramai penerbit ini?

AMIENE REV: Penerbit tidak ada hak untuk menyekat penulis dari segi memilih penerbit. Itu tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Setakat ini saya telah pun berterus terang dengan penerbit-penerbit sedia ada dan saya mendapat maklum balas positif daripada mereka. Buku-buku saya akan ditulis mengikut kehendak penerbit. Jika Penerbit A tidak menerima cara penulisan yang demikian, maka saya akan mengusulkan kepada Penerbit B dan begitulah seterusnya. Dalam konteks ini, terdapat dua faktor utama kenapa saya menambah urusan dengan penerbit baru. Faktor pertama, faktor masa yang diperlukan untuk penerbit menerbit dan mengedar satu-satu buku. Faktor kedua, faktor masa menunggu pembayaran royalti. Sebenarnya kedua-dua faktor berkait. Lebih banyak buku terbit, Insya-Allah, moga-moga dimurahkan rezeki untuk mendapat lebih banyak royalti dalam satu-satu masa.


SOALAN: Kenapa saudara menulis nopen dan apakah maksud nopen dari sudut pandangan saudara?

AMIENE REV: Sebenarnya saya masih cuba memahami maksud nopen. Sama ada ia bermaksud novel-cerpen atau novel pendek. Kedua-duanya lebih kurang sama. Saya juga sedang mengkaji ciri-ciri nopen seperti format penulisan nopen dan sebagainya. Saya difahamkan genre nopen dianggap kurang popular maka susah untuk mendapatkan rujukan berkaitan dengan cara penulisan nopen. Berdasarkan pemerhatian terhadap nopen-nopen sedia ada, saya mempunyai dua pandangan. Menerusi pandangan pertama, saya berpendapat bahawa nopen ini memiliki bilangan bab yang kecil, dan setiap bab boleh berdiri sendiri seperti sebuah cerpen. Setiap bab memiliki cerita.

Saya memetik tulisan Saudara Mohd Jimadie Shah Othman di dalam blognya yang mengenai nopen seperti berikut: "

"Beberapa pengkitik sastera menamakan genre yang kurang popular ini sebagai nopen, gabungan daripada perkataan "novel" dan "cerpen". Genre ini dikatakan dirintis oleh Sasterawan Negara S. Othman Kelantan dengan novelnya Noghogo Astana dan penulis terkenal Anwar Ridwan dengan novelnya Naratif Ogonshoto yang membolot Hadiah Sastera Perdana.


Genre seperti ini lazimnya bermula dengan sebuah idea asas yang mendokong sebuah statemen. Kemudian, daripada idea asas itulah watak-watak dicipta dan dikembangkan untuk mendokong idea pengarang. Cerita seperti ini lazimnya sangat idealis dan ideologis. Nopen boleh dilihat sebagai sebuah keseluruhan; dalam masa yang sama berjuzuk-juzuk, boleh berdiri sendiri, tiada fokus cerita dan penuh dengan sub-plot."


(sumber petikan: jimadieshah.multiply.com - 24 Februari 2008)

(Jimadie's Site di Multiply tidak lagi beroperasi. Tulisan saya tersebut boleh dibaca di http://jimadieshah3.blogspot.com dalam entri Sastera Baru Era Big Brother. - Jimadie)

Berdasarkan kajian ini, maka saya menghasilkan tiga nopen yang berjudul Kisah Orang Lapar, Makan Daun dan Bubur Kertas. Saya masih mempelajari konsep penulisan nopen dan sedang berusaha mendapatkan jawapan daripada orang-orang berpengalaman dalam genre ini.


Saya berpendapat, selain menulis cerpen, nopen yang lebih dekat dengan penulisan novel merupakan satu cara untuk menguji kebolehan saya dalam bidang penulisan, sama ada pendekatan yang digunakan boleh menarik perhatian pembaca atau pun tidak. Ada kemungkinan besar, nopen ini akan diberikan secara percuma kepada beberapa orang yang saya kenal untuk memberikan maklum balas mengenai karya-karya tersebut.


SOALAN: Apakah perkara pertama yang menyebabkan anda menulis nopen? Adakah kerana mendapat dorongan daripada sesiapa? Penulis terkenal misalnya.

AMIENE REV: Kalau secara langsung, tidak ada. Namun, tidak dinafikan terdapat banyak perkara atau faktor yang mendorong saya menulis nopen. Pertama, saya melihat buku koleksi nopen Biarlah Ku Sendiri (KarnaDya), nopen Satu Penantian (KarnaDya), novel mini Pudarnya Cinta Cleopatra (Habiburrahman El Shirazy - AR) dan novel-cerpen K-Eight (Sindiket Soljah).

Saya juga terdorong untuk menulis nopen kerana tertarik dengan personaliti Novelis Popular dan Remaja - Aina Emir, Novelis Islami - Habiburrahman El Shirazy, Tokoh Blogger Sinaganaga dan Tokoh Blogger Tok Rimau. Mereka inilah yang sentiasa saya ingat semasa idea untuk menulis nopen itu datang. Tafsiran saya terhadap format penulisan nopen juga terbina selepas meneliti cara penulisan nopen yang mereka gunakan.

Faktor lain yang mendorong saya menulis nopen, ialah faktor masa. Saya mendapat nopen yang ditafsirkan sebagai novel mini memiliki 4-5 bab sahaja. Saya sebelum ini pernah menyiapkan 4 bab dalam masa 6 hari untuk sebuah novel berat. Maka saya berpendapat, nopen merupakan permulaan terbaik sebelum saya menuju ke genre yang lebih serius.


SOALAN: Adakah anda memiliki idea-idea untuk penulisan novel?

AMIENE REV: Ya, sudah ada. Sudah berpuluh-puluh idea dan cuma belasan idea sahaja yang telah dimaklumkan kepada dua penerbit yang disebutkan. Dua atau tiga tahun lalu saya ada mengirimkan beberapa sampel bab novel perang kepada orang terpenting PTS, dan sampel tersebut mendapat maklum balas positif. Saya masih ingat komen yang diberikan: "Inilah corak penulisan yang sedang kita cari!" Komen tersebut telah memberi semangat baru kepada saya. untuk menceburi bidang penulisan novel perang pada masa akan datang. Sebenarnya sampel tersebut adalah salah satu daripada sekuel untuk novel-novel perang yang akan dikirimkan pada kemudian hari. Lebih menarik, saya juga akan melukis sendiri ilustrasi-ilustrasi dalaman untuk novel-novel saya. Alhamdulillah, kerana saya telah diberikan Tuhan bakat dalam bidang lukisan maka dapatlah saya bercerita dalam dua bentuk kecerdasan iaitu spatial dan verbal. Saya juga memiliki beratus-ratus episod untuk karya berbentuk komik/novel ilustrasi dengan beratus-ratus watak yang dicipta sejak saya masih di sekolah rendah. Namun saya berpendapat untuk menghasilkan penulisan terlebih dahulu.


SOALAN: Terdapat segelintir peminat yang mengirimkan e-mel atau mesej (menerusi web komuniti tertentu) yang mengatakan anda tidak suka membaca novel cinta, kerana anda suka membaca novel yang berunsurkan intelektual sahaja. Adakah ini benar?

AMIENE REV: Karutlah. Saya suka membaca novel yang berunsur intelektual. Itu benar. Saya juga pernah jatuh hati dengan novel cinta. Novel Ayat-ayat Cinta merupakan novel cinta Islami yang pernah menggoda saya untuk membeli nopen Pudarnya Cinta Cleopatra. Saya juga berasa kelakar apabila menerima maklum balas daripada seorang pembaca yang mengatakan dia tidak terfikir yang saya akan meminati dan membaca Novel Ayat-ayat Cinta.


SOALAN: Adakah anda juga berminat untuk menghasilkan novel cinta atau nopen cinta?

AMIENE REV: Ada. Sudah ada, tetapi bukan novel cinta semata-mata. Saya faham ramai orang suka membaca kisah-kisah cinta kerana mereka hendak mencari panduan terbaik untuk diaplikasikan ke alam percintaan mereka. Namun, saya juga ada merancang dua sekuel untuk satu kisah cinta yang agung. Sudah semestinya ini bukan karya yang berdasarkan perasaan atau emosi semata-mata tetapi melibatkan faktor intelektual. Nantikan kemunculan Romantis Selatan 1 - Surat Untuk Takdir dan Romantis Selatan 2 di pasaran pada masa akan datang. Novel ini ditulis untuk memenuhi kehendak seorang sahabat.


SOALAN: Apakah pencapaian terbaik anda dalam bidang penulisan?

AMIENE REV: Tidak ada yang begitu menarik selain karya-karya saya pernah mendapat tempat di dalam majalah dan novel. Cuma kenangan yang paling manis ialah apabila hasil tulisan saya menghiasi bilik-bilik darjah semasa di zaman sekolah, kata-kata ucapan saya diulang-ulang oleh guru-guru semasa mereka mengajar di dalam kelas, dan apabila buku-buku latihan karangan saya dijaja ke kelas-kelas tingkatan senior (PMR dan SPM, sedangkan saya ketika itu baru di tingkatan satu/dua) oleh guru Bahasa Melayu, dan guru itu meminta pelajar-pelajar senior yang hendak menghadapi peperiksaan PMR dan SPM supaya mencontohi karangan saya. Itu sahaja. Namun, saya sentiasa rasakan yang setiap penulisan saya itu masih banyak kekurangannya, apatah lagi selepas lama meninggalkan dunia penulisan.


SOALAN: Ada orang mengatakan anda ialah J.R.R Tolkien Malaysia, apa reaksi anda?

AMIENE REV: (Ketawa bersopan) Ada sebabnya kenapa saya pernah dipanggil sedemikian. Nantikan kemunculan karya-karya agung saya di pasaran. Karya-karya inilah yang dahulunya menyebabkan saya mahu menulis novel dalam Bahasa Inggeris kerana karya-karya ini pernah dinilai oleh orang-orang tertentu sebagai berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa. Atas nasihat seorang pensyarah, saya belum boleh mendedahkan karya-karya agung ini yang hanya tersimpan di dalam kepala saya. Manuskrip asal telah dimusnahkan. Karya-karya ini dicipta semasa saya berusia 13-17 tahun. Ini membuktikan orang Malaysia juga boleh menghasilkan karya-karya agung pada usia yang sangat muda sebagaimana orang-orang Barat. Sebab itu, saya amat menitikberatkan soal pemilihan penerbit. Cuma penerbit yang berpotensi dan terbaik sahaja yang akan dipilih.


SOALAN: Adakah KarnaDya dan PTS merupakan dua penerbit yang saudara maksudkan?

AMIENE REV: Ya, tetapi saya sebenarnya masih bimbang sekiranya karya-karya saya tidak menepati kriteria penerbitan mereka. Sebelum ini saya pernah bertanya kepada beberapa orang novelis, adakah mereka pernah merasa bimbang yang karya mereka akan ditolak. Ada novelis yang memberitahu saya, itu perkara normal. Setiap penulis pun memiliki kebimbangan ini, takut-takut karya mereka tidak memenuhi kehendak penerbit dan ditolak. Oleh itu, saya tidak boleh bersenang-lenang. Saya masih perlu banyak belajar dan menimba ilmu dalam bidang penulisan dan penerbitan agar boleh menghasilkan novel yang laris di pasaran dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada pembaca, tentunya dari aspek intelektual, rohani dan emosi.


SOALAN: Apakah pendirian anda mengenai penulisan fiksyen?

AMIENE REV: Saya berpendapat, penulisan fiksyen, tidak kira novel, cerpen atau nopen, semuanya mempunyai peranan yang sama dari sudut pendidikan, iaitu kita menulis sebagai penyampai ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pembaca. Maka setiap karya penulisan yang ditulis haruslah memainkan peranan dalam membentuk tamadun bangsa yang lebih baik dan membangun. Penulisan novel adalah satu bentuk pendidikan insan.


IKLAN

Terdapat ralat dalam alat ini

Label

Personal (47) Filem (42) Politik (32) Budaya (21) Sastera (21) Kreatif (16) Agama (15) Blogzine republik KATA (14) Artikel (11) Buku (11) Jalan Telawi (11) Meor Yusof Aziddin (11) Pekak (11) Pendidikan (9) Pencerahan (8) Sejarah (8) Cinta (7) Kewartawanan (7) Lagu (7) Sajak (7) Bahasa (6) Belasungkawa (6) Jimadie Shah Othman (6) Media (6) Teater (6) Blog Foto (5) Deaf Cultures (5) Fiksyen (5) MySL (5) Subversif (5) Anwar Ibrahim (4) Foto (4) Islam (4) Komuniti Pekak (4) Lao Zi (4) Maskara (4) Puisi (4) Tao (4) society (4) Adi Putra (3) Bahasa Isyarat (3) Carutan (3) Cerpen (3) Folk (3) Kemanusiaan (3) Metafizik (3) Rumah Pena (3) A Samad Ismail (2) Ahmad Kamal Abu Bakar (2) Aidil Fitri (2) Amin Iskandar (2) Anugerah Khatulistiwa (2) BN Perikatan (2) Catatan Pinggir (2) Daiyan Trisha (2) Demo (2) Drama (2) Etika (2) Gambar (2) Hamsad Rangkuti (2) Ili Farhana (2) Islam dan Pluralisme (2) Jepun (2) Karam Sikh (2) Komedi (2) Maskara 7 (2) Mikon (2) Mingguan Wasilah (2) Novel (2) PRU 12 (2) Pantun (2) Pas (2) Pramoedya Ananta Toer (2) Sastera Underground (2) Seni Multimedia (2) Seni Persembahan (2) Soceity (2) Sosial (2) Tanggapan (2) Tidak dikategorikan (2) Travelog (2) Utusan Malaysia (2) Yahudi (2) lagu raya (2) pop (2) sam ahmad (2) 'Mantan' Sasterawan Negara (1) 10 x 10: 100 Minutes to Change the World (1) 127 Hours (1) 1957: Hati Malaya (1) 1998 (1) 300 (1) 9 Naga (1) A. Samad Said (1) AEI (1) Ahadiat Akashah (1) Al-Hidayah (1) Allah (1) Amerika Syarikat (1) Amiena Rev (1) Ana Raffali (1) Antara-Agama (1) Apuke (1) Aron Ralston (1) Ashutosh Gowarika (1) Astro (1) BERSIH (1) Balik Pulau (1) Berhala (1) Berita Harian (1) Bibir Dalam Pispot (1) Black 14 (1) Blog (1) Bumi Manusia (1) Bunyi (1) Chairil Anwar (1) Chamil Wariya (1) China (1) Cowboys and Aliens (1) DAP (1) Danny Boyle (1) Datuk (1) Democrat (1) Demonstrasi (1) Denias (1) Dominic Sena (1) Ezam Mohd Noor (1) Fikh Wanita (1) Free Burma (1) Fun (1) GAPENA (1) Gangguan Teksual (1) Gerak (1) Goenawan Mohamad (1) HINDRAF (1) Harry Potter (1) Hassan Abdul Karim (1) Hindi (1) Hollowood (1) Hollywood (1) Ibrani (1) Interview (1) Istana (1) James Franco (1) Jodha (1) KTBM (1) Kakiscript Playwright Competition (1) Karya (1) Katholik (1) Keadilan (1) Kebab Connection (1) Kebebasan Kreatif (1) Komputer (1) Komrad (1) Korea (1) Kristian (1) Kung Fu Dunk (1) La Nuit des Caligraphes (1) Makanan (1) Malaysian Book of Records (1) Mamat Khalid (1) Man Laksa (1) Manga (1) Manifesto (1) Mary Magdalena (1) Mat Sentul (1) Melaka (1) Merdeka (1) Muzik (1) Napoleon (1) Naskhah (1) Negaraku (1) Negarakuku (1) Nick Murphy (1) Nicolas Cage (1) Nopen (1) Novel bersiri (1) Obama (1) P. Ramlee (1) PKN (1) PKR (1) PRM (1) Pakatan (1) Pantoum (1) Papua (1) Pemanasan global (1) Pena (1) Pendidikan Khas (1) Penulis (1) Pilihan Raya (1) Politik Baru YB J (1) Potret (1) Prima (1) Progresive Folk (1) Promosi (1) Psikologi (1) Puchong (1) Pulau Pinang (1) Pushna (1) Rajinikhan (1) Rasuah (1) Razak Moheidin (1) Reformasi (1) Republican (1) Revolusi Kebudayaan (1) Ria (1) Rise of the Planet of the Apes (1) Rock (1) Ron Howard (1) Rudi Soedjarwo (1) Sarawak (1) Sasterawan Negara (1) Satira (1) Season of the Witch (1) Semusim di Neraka (1) Shah Rukh Khan (1) Shamsiah Mohd No (1) Sharif Shaa'ri (1) Shuffle (1) Siasah (1) Sivaji the Boss (1) Soekarno (1) Sosialis (1) SoundCloud (1) Subbudaya (1) Sucker Punch (1) Sukan (1) Syed Husin Ali (1) TV Realiti (1) Taiwan (1) Teman Muhasabah (1) The Da Vinvi Code (1) The Last Life in Universe (1) The Warlords (1) Turki (1) Umno (1) Umno PKR (1) Video (1) Wayang Pacak (1) Woman On Top (1) Xiu Xiu (1) Yeshoshafat Harkabi (1) Yusmadi Yusoff (1) Zack Snyder (1) Zaid Ibrahim (1) adiwira (1) arahkiri (1) berani bercinta (1) dendang buat ibu (1) duta solaris (1) entri yang pernah ditarik balik (1) gig (1) ingin jadi manusia (1) instrumental (1) iseekmusic (1) kotak hitam 5.0 (1) malay mail (1) moi last von (1) puisi jadi senjata (1) ramadan (1) satuarah (1) single (1) zulfikar samsuri (1)