Soi Lek barangkali termenung seketika sesudah senggama itu; dan beliau tiba-tiba dapati dirinya diperhambakan dosa. Ia memenjarakannya dengan jerigi-jerigi atas nama moral. Hasil kepuasaan sesaat itu, dia selama-lamanya dibelenggu "dosa epal Adam dan Hawa". Seperti pewaris original sin dalam keyakinan Kristian. Dalam Bible disebut, mereka (Adam dan Hawa), telah terimalah akan mereka sepuluh kutukan di langit dan di bumi yang tidak terelakkan.
Adam dan pasangannya Hawa dihumban ke bumi dan merasakan panas, hujan, ribut dan kesusahan; jauh dari kesenangan syurgawi yang tadi. Itulah hukuman sebelum kembali ke negeri abadi. Dalam konteks ini, bekas wakil rakyat Labis ini juga telah menerima hukumannya. Dan sesungguhnya, di bumi, tidak sama seperti di Langit. Itulah pengajaran untuk semua kita renung, seperti sabda Isa dua ribu tahun lalu, tentang kisah cinta sejuta tahun sebelum itu.
Dalam satu bagian kepala saya yang sekular, saya fikir, dosa moral sendiri-sendiri, yang dilakukan secara paling sir (rahsia) adalah "urusan dalam kain" masing-masing. Keupayaannya mentadbir Kementerian Kesihatan tidaklah menggunakan ukuran dalam kain sebaliknya kepala otaklah termometernya.
Walau apa pun, Soi Lek adalah manusia yang bangkrap moral. Kita akan terus mengeji beliau sehingga ke akhir hayat. Dan kejian-kejian ini akan melupakan kita betapa tidak cekapnya amalan operasi Klinik Kesihatan Puchong Bt. 14 dan Poliklinik Komuniti Kelana Jaya serta rumah-rumah sakit kerajaan yang lain.
Ketika anda berak di hospital kerajaan dan anda dapati kamar kecilnya busuk, flush-nya tidak berfungsi dan tidak ada tisu tandas (sekadar menyebut beberapa contoh remeh), ketika itu kita akan sedar, kita sebenarnya terlupa membicarakan hal yang lebih besar lagi.
Choi Soi Lek saya fikir tidak akan kembali lagi. Selepas pilihan raya, namanya akan luput daripada kamus politik Malaysia. Tetapi akan selesaikan masalah kesihatan di Malaysia? Putaran ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia sesungguhnya tidak mempunyai keberanian untuk lebih peduli dan prihatin secara lebih rasional kepada isu-isu politik dalam negara. Tidak ada muflis moral yang lebih besar daripada ini. Beban ini lebih berat daripada original sin Adam dan Hawa.

0 komen:
Catat Ulasan