IKLAN

Cari Blog Ini

Khamis, Januari 31, 2008

Kelahiran dan Kematian

Kematian dan kelahiran. Kenapa manusia mesti sakit, menderita dan mampus? Inilah persoalan-persoalan yang bermain dalam kepala sang Buddha, seselum Buddha menjadi Buddha. Dan semalam kita saksikan dua kematian besar, Loloq, si penulis lirik dan Ishak Baharom, bekas mufti Selangor. Dan semalam juga merupakan ulang tahun happy birthday adik Sharlinie. Sentiasa ada kematian dan sentiasa ada kelahiran. Begitulah ala mengekalkan keseimbangannya. Hidup adalah kitaran. Dan sudah tentu sang Buddha yang tadi amat memahami persoalan ini.

Tentang Adi Putra yang 'tidak' genius 3


Dalam kesibukan itu saya berborak (dalam talian) dengan teman lama yang menggunakan nama samaran yang meloyakan "Perwaris Reformasi" (alamak, paut maut nampak!). Obsesi itu perkara lain tetapi tanda keghairahan yang tergambar pada pemilihan nama itu tidak biasa. Obsesi kadang-kadang menjadikan kita mabuk. Tetapi entri ini juga tidak berkaitan tentang teman kita yang baik hati itu. Ketika jalan-jalan di lamannya, saya lihat sebuah entri dengan judul "Adi Putra untuk Anwar Ibrahim." Saya baru saja 'mengeji' budak ini selang beberapa entri yang lalu. Saya pernah dengar Adi baca sajak di radio, kali ini dalam Youtube. Perwaris Reformasi muatkan kembali rakaman bacaan itu dalam entrinya yang tadi. Adik kecil ini membacakan sajak tentang Melayu dan Islam. Dalam sajaknya itu dia memberikan penghormatan kepada Anwar Ibrahim. Kemudian, ada sesuatu saya katakan kepada si rakan borak, Perwaris Reformasi. Dan itu tidak saya tulis kembali di sini. Adi Putra, semoga kau benar-benar pintar. Semoga. Dan semoga. Ketika itu aku akan percaya, walau pun barangkali sudah terlambat.

Klik sini untuk tonton. Klip ini dimuatkan oleh Malaysiakini.

Rabu, Januari 30, 2008

Semoga kau bertemu Tuhan

Oleh kerana kamu orang baik, orang yang sangat baik, aku doakan kesejahteraan dan kebaikan untukmu. Kami semua akan merindui celotehmu, yang di depan dan yang di belakang. Sekarang 3:53 dan aku telah sejam lewat. Terima kasih kepada Shah yang membawa berita. Selamat bertemu Tuhan, wajah dan sinar yang membahagiakan itu, yang, barangkali kau cari-cari selama ini. Dalam senang, dalam payah. Tiada lagi lagu dengan lirik-lirik yang merdu dan syahdu untuk terus didendang. Loloq, semoga Allah merahmati. Amin.

Foto Utusan.
--
Mohd Jimadie Shah Othman
Blog: http://jimadieshah.blogspot.com
E-mel: jimadieshah@gmail.com

Selasa, Januari 29, 2008

Cina, Melayu dan versi lain Caping atau Caping Vol. 7

Pertama, kata Zen, "Siapa yang berharap ia harus siap kecewa."

Kedua, saban hari, waktu sore menjadi kering. Saya dan cikgu di meja makan. Kamu berborak kosong. Saya katakan bapanya tok wan saya mati pun di kedai runcit. Keluarga sebelah ibu kami adalah keluarga berniaga. Pak Cik saya buka kedai runcit, kemudian jadi pemborong padi dan jual bata rumah. Sepupu-sepupu saya semua cekap matematik. Sebelum pandai bercakap, kami dah lebih dulu kenal sempoa. Sempoa tradisional Cina. Bijinya warna hitam. 'Tulangnya' dibuat daripada besi. Saya ingat lagi. Cikgu kata macam Cina. Kemudian dia berseloroh dan seloroh itu menarik. Begini bunyinya:

Cina, jangan kurang makan, biar kurang kawan.
Melayu, biar kurang beras, jangan kurang keras.

Kemudian, pertama lagi, buku Goenawan Mohamad edisi Inggeris Tentang Tuhan dan Hal-hal yang Tak Selesai (lihat gambar) akan dilancarkan di Kuala Lumpur. Saya fikir ramai yang mengenali orang tua Indon ini dengan Catatan Pinggir(Caping)-nya di dalam Tempo. Membacanya, langsung taksub. Saya juga. Saya penikmat Caping (dalam bahasa Indonesia ya, bukan Inggeris). Tetapi amaran Zen itu merungsingkan saya. Karena, laki-laki yang, "hujan. dusta. cinema. espresso hitam. a mild. rak buku. pramoedya. borges. memaki dan merayu. theatre of dream: old trafford. kuil. karangmalang-patehan pp" itu telah siap kecewa.

Dan siapa yang berharap, ia harus kecewa. Sial, ayat-ayat ini macam mantra yang meracau-racau dalam kepalaku. Saban hari, sore menjadi kering.

Zen menulis Goenawan dan Harapan yang Tak Selesai dalam blognya.

Gambar asal daripada http://bp2.blogger.com/_PA6ZZEZSCr4/Rz0QukFtdWI/AAAAAAAAAUo/QPZ5mWILCCg/s1600-h/PB090730.JPG

--
Mohd Jimadie Shah Othman
Blog: http://jimadieshah.blogspot.com
E-mel: jimadieshah@gmail.com

Isnin, Januari 28, 2008

Untuk mantan Sasterawan Negara

Gambar hiasan.

Minggu lalu RTM siarkan dokumentari tentang Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said. Dalam sebuah babak, orang tua berjanggut putih lebat itu mengeluh kerana buku-buku sastera 'berat' tidak laku. Sedangkan, kurang lebih katanya, "saya ini Sasterawan Negara."

Nah, di situlah jawapannya. Tuan itu sasterawan negara, mintalah penghormatan daripada negara. Tidak perlu minta daripada rakyat. Penghormatan rakyat adalah untuk sasterawan rakyat.

Teman-teman kami yang mengidamkan penobatan, silakan.

Entri ini pernah disiarkan pada Isnin, November 26, 2007 dalam blog ini. Disiarkan kembali. Mungkin boleh menjelaskan padangan saya tentang isu KOMSAS.

Jumaat, Januari 25, 2008

Bunga-bunga tersedih-sedih


Seorang budak datang kepada bapanya dengan dua rangkap puisi. Setiap rangkap mengandungi tiga baris. Dia masih belum pandai menulis. Umurnya lima atau enam tahun. Kepada bapanya, dia bacakan enam baris bait-bait luar biasa.


Dia minta si bapa menuliskan untuknya. Seperti si buta Homer, dia melagukan puisi pertamanya berjudul “Bunga-bunga Tersedih-sedih”. Malangnya dua baris daripada sajak itu telah luput daripada ingatan saya. Saya mendengar sajak ini pertama (dan terakhir) kali pada 1994. Ketika itu saya baru 16 dan belum mengerti apa pun tentang sastera. Tetapi inilah sajak yang terus-terusan menjadi ilham dan kekaguman saya. Hingga sekarang, hari ini, saat ini, ia terus jadi motivasi dan dorongan kepada tenaga kreatif saya.


Si bocah aneh itu kini barangkali sudah dewasa dan menjadi sesuatu. Dia berdendang, suatu pagi itu:


Bunga-bunga tersedih-sedih

______________________

______________________?


Bunga-bunga tersedih-sedih

bintang-bintang jatuh berguguran

ke manakah kita akan pergi?


Saya tidak tahu nama budak itu tetapi saya kenal bapanya, si penyalin bait-bait itu. Namanya Syarif Sha'ari, seorang guru dan penggiat teater. Dia pernah menjadi guru saya. Guru hakiki, bukan maknawi. Sebelum ini saya tidak pernah pun kenal Syarif. Saya hanya mendampingi karya-karyanya selepas 2002 ketika aktif bersama kumpulan teater dan diskusi Republik Cinta di Perlis dan Public Sphere Theater bersama kawan-kawan semasa di Universiti Malaya dulu. Dalam Pekan Teater (kini Festival Teater), skrip Syarif dilihat amat unik dan sentiasa menarik perhatian. Saya pertama kali mengenalinya melalui “Dia yang Sepi” dan “Bukan Gila”. Dalam dunianya Syarif dikenal sebagai karyawan absurd. Justeru selalu dikelompokkan dengan Dinsman (versi lama).


Saya sebenarnya lebih kagum dengan anak Cikgu Syarif ketimbang Adi Putra Abdul Ghani. Adi Putra membuktikan bahawa otaknya amat mekanikal tetapi anak Syarif melihat sebaliknya. Beliau melihat dengan mata sejati anak kecil yang amat imaginatif dan liar.


Dan bukankah Pencerahan, titik besar kepada alam pemikiran manusia itu dijana oleh kreativiti, bukan teori? Begitu yang pernah saya dengar daripada orang tua bijaksana di Jalan Telawi suatu masa dulu.


Dua baris yang luput itu mengingatkan saya kepada sebaris daripada “Syair Perahu” Hamzah Fansuri yang agung itu. Apakah bait-bait itu? Ada sesiapa lagi pernah mendengarnya? - Jimadie Shah Othman

Gambar asal daripada http://www.nolights.de/photos/flower.jpg.



Khamis, Januari 24, 2008

Main-main dengan imaginasi 5

Kamu semua mengalah. Penguatkuasa itu menulis nama, nombor kad pengenalan dan 'kesalahan' di kertas saman. Dan kami menerimanya. Dan tiba-tiba keadaan menjadi begitu sunyi.

Kata Joana, "tak mengapa sayang, nanti cepat-cepatlah ambil duit loteri."

Aku angguk. Malam gelap itu, muka anak Cina itu tidak kelihatan. Tetapi bau jasmin di tubuhnya terasa begitu menusuk-nusuk ke dadaku membuatkan kami lemas bertambah lemas. Lemas dalam taman bunga-bungaan.

Aku rasa ingin pegang lagi lengan anak Cina itu tetapi dia asyik pula dengan telefon dan pesanan ringkasnya (SMS). Joana cubit perlahan tangan aku. "Tak baik, mukan muhrim," katanya.

Kami masuk ke dalam kereta dan kereta tidak bergerak, cuma bergoncang, bergoyang, bergoncang. Kamu pasang CD lagu rock dan buka volume besar-besar. Dan keindahannya hanya Tuhan saja yang tahu. Terasa seperti Beethoven dengan Simphony No. 7, dendang yang terlalu melankolia dan kemudian, muzik perlahan-lahan seperti tertawa. Alangkah ajaibnya.

Satu jam 20 minit kemudian, jendela kereta diketuk lagi. Kami menerima sebuah lagi khutbah tentang moral dan sekeping lagi "surat cinta" berharga RM 700.

Joana tiba-tiba sangat marah. Mukanya merah dan dia fikir dia akan adukan pada Kuan Yin, dewi cinta langit dan bumi. Biar dia sumpah kamu semua jadi mandul.

Selasa, Januari 22, 2008

Tentang Adi Putra yang 'tidak' genius 2

Saya fikir, hero dicipta, bukan dilahirkan. Kedua, orang Melayu perlukan 'hero' untuk melupuskan rasa kesal dan depress bawah sedar mereka yang dalam. Dan kadangkala hero-hero dikaitkan pula dengan yang pernah datang sebelumnya. Misalnya, kaitkan Adi dengan Zulkifli yang mahir dalam pengubahsuaian teknologi. Kerana itu Tun Sri Lanang dalam Sulalatus Salatin memulakan hikayat dengan menyambung-nyambung tali darah antara raja-raja Melayu dan Iskandar Zulkarnain.

Lihat juga bagaimana Kassim Ahmad 'mencipta' Jebat, daripada seorang laki-laki yang 'keji, hina, penderhaka dan kaum pemberontak' kepada pahlawan keadilan dan teladan persahabatan yang sejati. Padahal persepsi ini telah melekat sejak ratusan tahun dalam tempurung kepala orang Melayu.

2
Menjadi kalkulator, kamus atau alat perakam tidaklah menjamin seseorang itu diiktiraf sebagai genius. Gelaran itu terlalu mulia. Albert Einstein (lihat gambar) dianggap genius bukan sebab dia hafal kali-kali rumit atau dek kerana kebolehannya menyelesaikan masalah menggunakan pelbagai rumus kompleks. Dia bahkan menciptanya. Daripada tiada kepada ada.

3
Tendensi berlebih-lebih memuji tidak akan membawa kita ke mana-mana. Budak ini kononnya genius dalam pelbagai aspek. Maka gelaran yang lebih tepat untuknya adalah
polymath atau Renaisance Man. Dan genius yang tergolong dalam kelompok ini adalah nama-nama seperti Al-Farabi, Abū Alī ibn Sīnā, Leonardo da Vinci, Ibn Rushd, Nicolaus Copernicus, Isaac Newton, Gottfried Leibniz dan Johann Wolfgang von Goethe. Bolehkah anak kecil itu masuk dalam senarai ini?

4
Kita menyalahkan kerajaan dan sistem pendidikannya. Tetapi bagaimana kalau adik genius kita itu sebetulnya hasil daripada pelbagai projeksi pintar kerajaan tanpa sedar. Kerajaan bukan sekadar mempunyai Jabatan Pelajaran. Kerajaan juga mempunyai TV, akhbar, Puteri Umno, cikgu Kemas dan seribu anasir lagi. Saya fikir, suatu hari nanti, kalau 'projek Adi Putra' ini berjaya, kerajaan akan anugerahkan pingat untuknya kemudian mendabik dada dan berkata, "Adi Putra adalah bukti kehebatan sistem pendidikan kita."

Atau pun dia akan digunakan kapitalisme penerbitan sebagai penulis dan penjual buku yang baik. Dia akan menulis tentang cara-cara menjadi genius. Namanya akan menjadi cap dan jenama macam Fazilah Kamsah, masuk Forum Perdana, belajar buat lawak dan jadi terkenal. Kemudian Adi Putra akan masuk Umno dan bertanding di kawasan yang susah untuk kerajaan menang. Kemudian dia menjadi kambing hitam dan hilang daripada sejarah. Seperti tidak pernah ada.

Inilah imaginasi buas dan ramalan saya yang klise.

5
Untuk "kem Adi Putra", satu saja: Buktikan.

Berapakah tahap IQ Adi Putra? Sudahkan dia ambil ujian Mensa?

Sudah buat permohonan ambil SPM? Apa keputusannya?

Saya fikir ujian SPM adalah fair play untuk kita semua. Semua anak Malaysia ambil SPM. Jadi boleh kita bandingkan. Dan tidak semua anak Malaysia masuk Unisel.


6
Dan ini amaran: Nak puji Adi Putra silakan tapi tolong jangan kata Mawi! Tak elok tu. Terima kasih semua. Anda semua genius. Anda semua Renaisance Man.

Adi Putra sebenarnya anak yang baik. Saya juga ingin bertemu dengannya. Maaf atas kekasaran bahasa. Mungkin anda baru membaca blog ini dan tak perasan bahawa saya sebenarnya orang yang suka melebih-lebih. Maklumlah kereta Kanchil. - Jimadie Shah Othman

Gambar Ehsan Wikipedia.

Entri berkaitan
Tentang Adi Putra yang 'tidak' genius

Isnin, Januari 21, 2008

Kerajaan sebagai "kejahatan yang diperlukan"

Dipetik daripada Siasah lalu, siri 0080. Versi ini dipanjangkan daripada entri terdahulu dalam blog ini AVP2: Teknologi lawan majoriti. Ini adalah teks asal tanpa suntingan.


Judul: Alien Vs. Predator 2

Pengarah: Colin Strause dan Greg Strause

Pelakon: Steven Pasquale, Reiko Aylesworth, John Ortiz dan lain-lain

--------------------------------------------------------------

FILEM ini menarik untuk ditonton. Bukan sekadar efek canggih daripada pelbagai segi, tetapi juga kreativiti pengarah menjalinkan imaginasi dengan tidak mengabaikan versi-versi terdahulu wajib diberi pujian. Tambahan lagi, filem ini hadir ketika bahang pilihan raya begitu terasa. Alien Vs. Predator 2 (AVP2) begitu serasi dan kena dengan konteks ini.

AVP2 kali ini selagi lagi membawa saga sengit antara makhluk dengan teknologi perang tinggi dan Alien, binatang buas dan ganas yang mempunyai keupayaan membiak yang luas biasa pantasnya. Pertembungan ini bukan sekadar pertembungan dua ekor lembu atau ayam di medan laga. Pertembungan dua ‘puak asing’ ini boleh dilihat daripada kaca mata politik sebagai pertembungan antara kuasa teknologi (diwakili Predator) dan suara majoriti (Alien). Masing-masing dengan kelebihannya yang tersendiri. Inilah mesej utama yang boleh kita pelajari sepanjang 86 minit menonton filem yang menutup tirai perfileman tahun lalu.

Ketika rilis kali pertama sempena hari Natal di Amerika Syarikat (AS), rata-rata pengkritik memberikan rebiu yang negatif terhadapnya. Namun, filem arahan Colin dan Greg Strause ini membuktikan kehebatannya yang sebenar dengan kutipan USD 10 juta pada hari pertama tayangannya sahaja.

AVP2 dimulakan dengan flash back pertembungan terdahulu Predator dan Alien. Predator veteran Wolf (Ian Whyte) daripada planet Predator menerima isyarat kecemasan daripada pasukan junior (Scar) yang ditewaskan Alien. Seperti digambarkan dalam sekual terdahulu, bagi puak Predator, bumi ada tempat latihan khas yang ideal untuk bakal-bakal prajurit mereka. Selang beberapa tempoh, beberapa remaja Predator terpilih akan dihantar untuk latihan khas di bumi.

Sebelumnya, ratu Alien dihantar terlebih dahulu sebagai induk yang membiakkan makhluk aneh dan jijik ini. Apabila makhluk ini berjaya dikawal, misi dikira selesai dan mereka akan kembali ke planet asal sebelum kembali generasi baru beberapa tahun lagi untuk menjalani ujian dan latihan yang sama. Tradisi ini dimulakan sejak tamadun Maya lagi. Ketika itu, ratu Alien ditempatkan di Ziggurat, rumah ibadat Maya.

Wolf menggalas misi khas membalas dendam dan damages controll ini. Dia menggalas senjata, menyarung topeng dan berlepas dengan kapal angkasanya. Sebaik saja tiba di bumi, pada mulanya, keadaan dapat dikawal dengan sempurna menggunakan segala peralatan canggih hasil daripada teknologi perang dunianya. Namun di pertengahan cerita, suasana berubah, Alien yang begitu banyak dan membiak terlalu cepat menukarkan Colorado daripada sebuah wilayah tenang kepada neraka yang penuh huru-hara dan kelang-kabut.

Campur tangan manusia melalui Pengawal Kebangsaan (National Guard) dan Tentera AS (US Army) mengalami jalan buntu; bahkan memburukkan lagi keadaan.

Dalam suasana huru-hara inilah, watak-watak yang mencipta subplot seperti Sheriff Eddie Morales (John Ertiz), penghantar pizza Ricky Howard (John Lewis) dan kekasihnya Jessy, Dallas Howard, tentera AS Kelly O'Brien dan anaknya Molly dipertemukan. Semua mereka pastinya menggambarkan keragaman personaliti yang mewarnai perkembangan jalan cerita filem ini. Colorado bertukar menjadi medan perang sepenuhnya. Pertempuran Predator dan Alien di reaktor nuklear mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan yang amat besar.

Ketika itu, tidak ada hukum dan undang-undang. Adegan ketika Sheriff Morales membantu orang awam mencuri senjata api, kereta kebal dan helikopter dilihat amat sakarstik.Yang tinggal ketika itu hanya sikap, pembohongan dan manipulasi kuasa serta permainan media. Dan semuanya dalam dilema antara memilih menjadi berani atau bacul, nyawa manusia atau imej kerajaan, kebenaran (laporan) atau manipulasi?

Kumpulan Morales, Ricky, Jesse, Dallas dan Kelly O'Brien menyaksikan mimpi ngeri. Mereka masing-masing mencari jalan keluar dengan cara masing-masing. Sheriff meletakkan 'imannya' kepada kerajaan yang kononnya akan menghantar bantuan dengan, syarat mereka harus habis-habisan berkubu di tengah kota; manakala yang lain memilih terbang dengan helikopter dan keluar daripada bandar 'celaka' itu.

Dan pada saat yang paling getir, Morales menelefon Colonel Stevens.

'Dimanakah bantuan itu?”

Dengan muka yang kelihatan menyimpan rasa kesal, pegawai tentera itu memberi jawapan, “lagi sepuluh batu.”

Di monitor, dia melihat pesawat perang bergerak laju melintasi Hutan Gunison menghampiri Colorado. Dan Morales terus bertahan hingga ke saat akhir. Di reaktor nuklear tadi, Wolf telah menanggalkan topeng, senjata berupa seperti belati, pisau lempar; pistol plasmanya telah lerai daripada bahu dan darah hijau menitis daripada tubuhnya. Dia telah sedia menyerang benteng terakhir Alien itu yang dikenali sebagai Predalian. Dua makhluk ini bertempur habis-habisan.

“Tuan, di manakah bantuan itu?”

Morales dan kumpulannya berkali-kali mengulang-ulang soalan yang sama, bagai ratip dan zikir yang penuh pengharapan. Pada saat itu, bunyi pesawat di udara seperti guruh. Tidak ada helikopter, Sebaliknya sebuah peluru putih menuju ke arah mereka. Kelihatan wajah-wajah yang terlalu hampa. Morales dan pasukannya mendapati ketika itu undi yang mereka buang kepada Presiden AS dan kesetian yang diberikan adalah seperti cinta yang dikhianati dan tidak pernah terbalas.

Seluruh Colorado hancur bak Nagasaki dan Hiroshima. Ketika itu kerajaan dilihat punya wajah yang jauh lebih hodoh daripada Predator mahu pun Alien. Mungkin inilah yang diperikan oleh bahasa filsafat politik sebagai necessary evil (kejahatan yang perlu). Kita perlukan kerajaan walau pun kita tahu bahawa maksud lain kepada perkataan itu hanya satu: Kejahatan.

Kumpulan anak muda yang mencuri senapang, kereta kebal dan helikopter yang memilih mufaraqah dengan kerajaan ini menyaksikan semuanya. Oleh itu, mereka tinggal sebagai benih-benih Colorado yang pupus dan lenyap. Mereka menyaksikan kemusnahan yang maha dahsyat dan bersedia membangunkan kembali Colorado yang baru. Mereka berani mencuba sehinggakan pistol plasma milik Predator yang tercicir itu digunakan sebaiknya. Mereka turut membunuh puluhan Alien dengannya. Anak-anak muda ini, dalam AVP2 adalah lambang kepada semangat, cita-cita, harapan dan masa depan generasi baru.

Filem ini terlalu baik daripada pelbagai aspek, kecuali subplot yang kadang-kadang dirasakan sekadar untuk memanjangkan cerita dan mencukupkan syarat menjadi sebuah filem dengan format masa tayangan di pawagam. Pengarah Strause bersaudara ternyata bijak menutup kelemahan set dengan aksi-aksi pertempuran dalam keadaan gelap, tanpa cahaya dan dalam ruang sempit yang tertutup.

Selain itu, AVP2 terasa begitu dekat dengan atmosfera politik kita di mana berlaku manipulasi kuasa pemerintah dan pertembungan kerajaan yang mengawal segala teknologi komunikasi (media cetak; juga elektronik secara tidak langsung), jentera dan anasir-anasir pemerintah dengan kaum daif (rakyat) yang tidak punya apa-apa kecuali suara majoriti. Jika mereka tidak belajar daripada AVP2, rakyat akan tinggal seperti Sheriff Morales yang begitu setia dan yakin kepada suara kerajaan tetapi di akhirnya tiada lain melainkan dibalas dengan dusta, pembohongan dan kepalsuan. 'Keimanan' yang mereka berikan dengan sepenuh hati itu ternyata sia-sia. Akhirnya “gajah sama gajah bergaduh, perlanduk mati di tengah-tengah.”

Menonton filem ini harus merangsang daya intelek kita merenung dan menilai kembali “keimanan Sheriff Morales” yang kita genggam erat selama ini. Pengorbanan itu biarlah berbaloi dan jangan aksi politik ini menukarkan kita menjadi “kambing hitam”.

Filem ini sangat bagus, tontonlah dengan “kepala dingin”. Oleh itu, apa lagi nilai yang dapat diberikan selain lima bintang? Terbaik sepanjang 2007 dalam kategorinya. - Jimadie Shah Othman

Jumaat, Januari 18, 2008

Tentang Adi Putra yang 'tidak' genius


"Ferrari kalau disuruh jalan pelan macam Kanchil, tentu rosak enjinnya," kurang lebih kata budak kecil yang masih kencing bercabang itu. Kiasan ini barangkali mempamerkan ciri-ciri intelektual dalam diri budak 'genius' ini. Tetapi dalam perspektif yang lain berbaur egoisme dan keangkuhan. Adi Putra Abdul Ghani (gambar kiri) telah berhenti sekolah. Pelajaran di sekolah membosankannya kerana antara dia dan murid lain atau juga gururu matematiknya, kemampuannya telah pergi lebih jauh umpama langit dan bumi. Ketika murid lain masih merangkak menghafal kali-kali, Adi Putra telah pun mampu menyelesaikan masalah kalkulus.

Keluarga Adi Putra memilih Sekolah Islam Antarabangsa Gombak.

Menteri pelajaran Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, kepada pilihan bapa budak genius itu, ia akur. Tetapi dalam penegasan kementerian itu sebelum ni, Adi Putra cuma genius matematik.

Saya tidak ingin mengkritik sistem pendidikan kita. Itu adalah soal yang lain. Pada hemat saya, statmen Adi Putra itu sendiri menunjukkan kemerosotan intelektual pada dirinya. Adi Putra dan keluarganya telah tenggelam dalam glamor dan keghairahan yang mereka sendiri ciptakan.

Matematik hanya satu daripada cabang falsafah yang mesti dikuasai ketimbang, misalnya, musik, logik dan lain-lain. Dan matematik bukan sekadar kali-kali yang merumitkan di atas kertas. Matematik adalah ilmu dalam lingkungan. Ia hidup dan berinteraksi dengan kehidupan manusia secara real dan kompleks.

Kerana itu, bagi saya, Adi Putra bukan genius. Ia cuma gifted. Jika ia mau dihormati, ia perlulah mempelajari ilmu-ilmu agamanya, moral, adap sopan, bahasa, sastera, sejarah, geografi, Sains, musik dan lain-lain. Kenyataannya tidak ada cendekia yang selalu mendabik dada dan bersuara, "Saya Ferrari dan anda Kanchil."

Mereka itu orang-orang yang diam dan selalu merendah diri.

Saya pasti, jika pun Adi Putra dibenarkan mengambil PMR atau SPM, dia akan gagal. Dia cuma akan cemerlang dalam subjek Matematik. Tawaran Unisel juga adalah tawaran yang sangat berhelah. Ia akan menjadi seorang lagi Sufiah, korban glamor dan keghairahan.


Sumber asal foto: http://pgoh13.free.fr/adi201205.jpg

Rabu, Januari 16, 2008

Yang, Bang

Haziq, anak buah kami dalam fasa peniruan. Mula-mula dia tiru mak ayah dia solat. Tetapi baru-baru ini, peniruannya pelik sikit. Tiba-tiba dia panggil adik ipar aku yang, panggil bini aku bang. Dengan Adam, saudara sebayanya juga berabang-sayang. Haziq keliru dengan panggilan itu. Pagi tadi, sebelum berangkat ke tempat kerja, aku kata pada dia, "bye yang." Aku lihat mukanya keliru makin keliru.

Isnin, Januari 14, 2008

Ultra

Ini cuma gambar, mahu baca entri terbaru, sila skrol ke bawah.

Suatu hari ketika kebosanan, saya cuba melihat benda-benda di sekeliling saya daripada pelbagai sudut, seperti yang saya suka melakukannya melalui tulisan.



Kalau nak tonton secara konvensional, sila klik pada gambar di bawah.

140107

Fikh Pekak

Sempena 10 tahun penubuhan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), sebuah seminar berkaitan bahasa isyarat dianjurkan. Saya sempat berbual dengan Ustazah Salimah, pensyarah agama daripad Kolej Islam Sultan Zainal Abidin (KUSZA); nama barunya saya kurang pasti). Banyak perkara yang kami bualkan sehingga saya melencong langsung kepada kajiannya tentang penguasaan agama di kalangan orang pekak.


Perbualan itu tidaklah begitu ilmiah dan 'berguna' pada fikiran saya. Kesimpulan kepada setiap isu, kami cuma mengeluh kepada beberapa gejala negatif berhubung isu ini dalam masyarakat dan sekali sekali menuding jari kepada orang lain.


Agak panjang kami bicarakan tentang masalah agama di kalangan orang pekak. Ini semacam sudah menjadi lumrah dan modal saya untuk memancing perbualan kepada mereka yang 'berorientasi' agama. Perkara ini sudah selalu saya timbulkan dan berjaya memecahkan suasana kelu dalam diolog.


“Ustazah, adakah terdapat buku/kitab fikh pekak pernah ditulis?”


Katanya. “tiada”.


“Dalam bahasa Arab ada. Tapi fasal orang kurang upaya. Tidak menjurus langsung kepada permasalahan pekak,” katanya kurang lebih.


Jadi, bagaimana orang pekak mengamalkan agama mereka. Adakah Islam sekadar menjadi kepercayaan hati yang sangat simple? Banyak agamawan yang berbual kencang tentang kesyumulan Islam tetapi tidak sedar bahawa terdapat puluhan ribu orang pekak di Malaysia dan jutaan lagi di dunia dan anehnya mereka tidak tahu untuk mengamalkan agama mereka itu. Apakah sebenarnya yang sedang berlaku di negara yang dalam beragama sangat mementingkan fekah melebihi aspek lain dalam Islam yang tak kurang pentingnya termasuk akidah dan falfasah?


Saya harap ustazah muda itu memberikan jawapan yang memuaskan hati saya tetapi nampaknya tidak. Buat masa ini hujah yang paling thiqah hanya saya temui daripada sumber ini: Google!


Mungkin buat masa ini juga, agamawan kita harus kembali kepada realiti. Menjadi pewaris nabi harus meloloskan diri daripada ilusi graf dan statistik. Dan itulah yang terjadi di menara-menara gading, mereka telah 'naik ke syurga' dengan melupakan bumi ini.






Sabtu, Januari 12, 2008

Microsoft Linux Neo 2018 Pre-Release

Open source bukan lagi projek. Ia telah menjadi semacam gerakan. Orang memberikan sokongan kepada gerakan ini kerana sifatnya yang terbuka dan selalunya juga percuma. Istilah "free" dan "free" merujuk kepada kebebasan (freedom), bukan kos. Mengikut golongan ini, teknologi adalah milik bersama dan mereka tentunya berang dengan Microsoft yang menjadi raksasa drakonian dalam industri ini. Micsosoft menganut segala-galanya sehinggakan Bill Gates menjadi orang paling kaya di dunia. Microsoft telah menjadi raja monopoli dan pengguna terpaksa membayar harga yang sangat mahal. Microsoft adalah lambang wajah jelik Kapitalisme. Serangan paling besar mereka adalah melalui sistem operasi (OS) Windows yang menawan seluruh dunia dalam masa yang amat singkat. Kemudian Linus Torvalds memberikan alternatif kepada dunia pengkomputeran dengan Linux-nya. Dan dia mengetepikan sifat tamak dan mengedarkannya percuma. Torvalds menjadi idola kerana itu. Tetapi muncul pula OS berasaskan Linux yang boleh membuatkan pengusahanya kaya-raya seperti RedHat mengekor jejak Gates yang tadi mereka keji. Saya membayangkan sepuluh tahun lagi, barangkali Microsoft akan memiliki Linux melalui kuasa wang dan undang-undang dan kita akan memasuki dunia komputer tanpa pilihan. Apa pandangan anda? - Jimadie Shah Othman




Posted by Picasa

Jumaat, Januari 11, 2008

Puisi-puisi Kurus

Puisi-puisi kurus
yang mengambang dari karung dan kempompong
aku menghuni malam Twist dan Tango
aku tidak ingin pernah mengerti
pada ungkapan
mahu atau enggan.

Jimadie Shah Othman
Ogos 2007

P/s: Selamat menciplak.


Rabu, Januari 09, 2008

Darul Sunnah

Perlis yang saya kenal lebih 20 tahun sebagai negeri Indera Kayangan telah mendapat gelar baru, Darul Sunnah. Saya fikir, ini adalah perubahan paling besar Kerajaan Perlis sejak kami merdeka daripada 'penguasaan' Kedah seratus tahun lalu. Pada pandangan Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim, gelar ini barangkali boleh membawa negeri "sekangkang kera" ini keluar daripada belenggu kemiskinan yang berterusan.


Sungguh, kritikan "Tiga Sekawan" Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid dan Ketua Umno Bahagian Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin ada benarnya. Seperti dilaporkan surat khabar 'haram' Suara Keadilan, tentang kemiskinan, tentang kilang sarung tangan Shorubber di Jejawi yang selama ini menunjukkan komitmen tinggi menyediakan peluang pekerjaan untuk ribuan anak Perlis akan bercerai talak tiga dengan negeri mempelam Harum Manis ini. Kilang milik syarikat Jepun ini khabarnya akan berpindah ke Vietnam. Benar atau tidak, jangan tanya saya, inikan khabar angin.


Namun, yang nyata, banyak pekerja daripada negara itu mulai diimport ke sini menyebabkan kerungsingan lokal terhadap masalah jenayah dan sosial.


Dengan tamatnya operasi kilang ini, ribuan buruh pastinya kehilangan punca pendapatan. Tetapi tiga bulan sesudah itu, mereka akan berevolusi untuk terus hidup dalam lingkungan ekonominya. Kesannya, negeri ini akan ketandusan anak muda dan akan pelan-pelan merubah kepada sebuah tempat yang amat mengerikan—sebuah wilayah yang dipenuhi dengan orang-orang tua.


Sekarang fenomena ini makin lumrah. Setiap kali pulang ke kampung, kalau bukan waktu cuti hari raya, saya langsung kesunyian dan kesepian. Tidak ada teman dan kawan-kawan. Semuanya telah berhijrah ke Sungai Petani, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk bekerja di kilang-kilang.


Inilah Darul Sunnah yang saya kenal, sebuah negeri yang ketandusan anak muda. Saya juga. Saya telah menjadi orang lain. Saya telah meninggalkan kampung halaman sejak sepuluh tahun lalu. Jika pada waktu itu, ketika berumur 17 tahun, saya pejam mata dan tidur selama sepuluh tahun, hari ini apabila terbangun, saya tidak akan sedar dan perasan apa sebenarnya yang terjadi. Negeri ini sebenarnya tidak pernah berubah. Perlis sepuluh tahun lalu dan hari ini adalah Perlis yang sama juga.


Tetapi sepanjang sepuluh tahun ini saya juga tidak nampak usaha yang bersungguh-sungguh Tiga Sekawan itu menegur Menteri Besar yang dikatakan 'bermasalah' itu. Teguran terbaik yang pernah saya dengar adalah daripada Pas, bukan Umno.


Sepulu tahun bukan sekadar angka. Sepuluh tahun ini pastinya boleh menjadi kaca mata untuk kita menilai kedua-dua pihak.


Tiba-tiba begitu mudah kita menemui jawapannya: Kedua-duanya tak boleh pakai. Hampeh. - Jimadie Shah Othman



Isnin, Januari 07, 2008

Masjid

Berapa buah masjid dibina ketika Muhammmad hidup, dan berjuang? Setahu saya cuma dua, barangkali satu. Masjidil Haram telah pun sedia ada ratusan tahun sebelum 12 Rabi'ul Awal Tahun Gajah). Pun begitu, Muhammad membuktikan, ajarannya telah pun hidup lebih daripada seribu tahun sesudah itu.

Hingga saat ini, terdapat jutaan masjid di dunia dan Tuhan disembah di mana-mana. Membina masjid bukan sebahagian daripada Rukun Iman yang enam atau Rukun Islam yang lima; mahu pun Rukun negara. Masjid bukan persoalan pokok dalam mana-mana bahagian pun daripada agama ini sama ada akhidah, syariah atau akhlak yang menjadi tunjang kepada ajaran Islam. Masjid cuma lambang (syiar) kesan daripada keberadaan agama Islam di dunia ini. Soalnya, kenapa masjid dibina, hinggakan antaranya bernilai jutaan juta ringgit? Bukankah ini sebuah pembaziran dan amalan syaitan? Seribu empat ratus tahun lalu, apa yang kita kenal sebagai masjid hanyalah jalinan daun dan pelepah tamar.

Ajukan soalan ini kepada Timbalan Perdana Menteri kita Najib Tun Razak. Beliau barangkali punya jawapan.


Baru-baru, orang nombor dua negara itu menyuarakan kerunsingannya terhadap prestasi kerajaan Kelantan dalam kes pembinaan masjid. Mengikut beliau, sejak Pas memerintah negeri Serambi Mekah itu, tidak ada sebuah masjid baru pun dibina. Dalam ucapan pemimpin Islam bermazhab Hadhari itu, beliau membayangkan sekiranya BN menawan semula Kelantan, masjid akan jadi seperti cendawan selepas hujan dan tumbuh di mana-mana.

Berita Minggu
hari ini melaporkan, Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat bertindak defensif dengan mendakwa, kurang lebih, "kami tak bina masjid sebab tak dapat peruntukan Kerajaan Pusat."

Dalam satu sudut, kedua-dua kenyataan ini nampak bijaksana tetapi sebenarnya keliru lagi mengelirukan. Bagi saya, masjid di Malaysia ini sudah lebih daripada yang sepatutnya sehinggakan, kecuali ketika solat Jumaat, 90 peratus masjid di setiap pelosok negara kita tidak akan lebih daripada dua saf. Orang Islam tidak lagi pergi ke masjid. Masjid telah jadi tempat yang 'membosankan'. Suatu masa dulu, masjid atau juga dipanggil rumah Allah bukan sekadar tempat ibadah khusus solat, ia juga sebenarnya medan ilmu dan bisnes. Tetapi sekarang?

Soal yang lebih mendasar adalah bagaimana dengan sejuta orang yang tidak solat? Bagaimana dengan sejuta orang yang solat dengan tidak betul? Juga sejuta orang yang tidak tahu solat?

Bukankah di padang bola pun kita boleh bersolat? Dengan tidak memacakkan papan tanda bertulis M-A-S-J-I-D, orang tetap tahu bahawa inilah masjid yang hakiki.

Hingga saat ini, saya sangat merunsingkan manipulasi dan iseng-mereng dunia politik tanah air. Agama juga akan menjadi kucar-kacir kerananya. - Jimadie Shah Othman



Jumaat, Januari 04, 2008

Soi Lek

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga barangkali dalam dilema yang dalam. Hukum, aturan dan tradisi atas nama moral adalah faktor penting dalam jatuh-bangun ahli politik di Malaysia. Tetapi yang patut kita puji dan beri tepuk tangan adalah keberanian beliau menghadapi masa dan kesilapan lalu. 'Keberanian' ini bagi saya adalah sebuah kebebasan untuk menjawab dan mengetepikan aturan "masa depan adalah pengabdian kepada masa lalu".

Soi Lek barangkali termenung seketika sesudah senggama itu; dan beliau tiba-tiba dapati dirinya diperhambakan dosa. Ia memenjarakannya dengan jerigi-jerigi atas nama moral. Hasil kepuasaan sesaat itu, dia selama-lamanya dibelenggu "dosa epal Adam dan Hawa". Seperti pewaris original sin dalam keyakinan Kristian. Dalam Bible disebut, mereka (Adam dan Hawa), telah terimalah akan mereka sepuluh kutukan di langit dan di bumi yang tidak terelakkan.

Adam dan pasangannya Hawa dihumban ke bumi dan merasakan panas, hujan, ribut dan kesusahan; jauh dari kesenangan syurgawi yang tadi. Itulah hukuman sebelum kembali ke negeri abadi. Dalam konteks ini, bekas wakil rakyat Labis ini juga telah menerima hukumannya. Dan sesungguhnya, di bumi, tidak sama seperti di Langit. Itulah pengajaran untuk semua kita renung, seperti sabda Isa dua ribu tahun lalu, tentang kisah cinta sejuta tahun sebelum itu.


Dalam satu bagian kepala saya yang sekular, saya fikir, dosa moral sendiri-sendiri, yang dilakukan secara paling sir (rahsia) adalah "urusan dalam kain" masing-masing. Keupayaannya mentadbir Kementerian Kesihatan tidaklah menggunakan ukuran dalam kain sebaliknya kepala otaklah termometernya.

Walau apa pun, Soi Lek adalah manusia yang bangkrap moral. Kita akan terus mengeji beliau sehingga ke akhir hayat. Dan kejian-kejian ini akan melupakan kita betapa tidak cekapnya amalan operasi Klinik Kesihatan Puchong Bt. 14 dan Poliklinik Komuniti Kelana Jaya serta rumah-rumah sakit kerajaan yang lain.

Ketika anda berak di hospital kerajaan dan anda dapati kamar kecilnya busuk, flush-nya tidak berfungsi dan tidak ada tisu tandas (sekadar menyebut beberapa contoh remeh), ketika itu kita akan sedar, kita sebenarnya terlupa membicarakan hal yang lebih besar lagi.

Choi Soi Lek saya fikir tidak akan kembali lagi. Selepas pilihan raya, namanya akan luput daripada kamus politik Malaysia. Tetapi akan selesaikan masalah kesihatan di Malaysia? Putaran ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia sesungguhnya tidak mempunyai keberanian untuk lebih peduli dan prihatin secara lebih rasional kepada isu-isu politik dalam negara. Tidak ada muflis moral yang lebih besar daripada ini. Beban ini lebih berat daripada original sin Adam dan Hawa.

Khamis, Januari 03, 2008

AVP2: TEKNOLOGI LAWAN MAJORITI

Abaikan segala efek canggih dan subplot cacamarba, Aliens Versus Pradator (AVP2) adalah sebuah filem yang amat bagus jika dilihat daripada aspek konteks dan makna. Filem ini menyajikan kita sebuah keadaan chaos luar biasa akibat pertembungan Pradator yang menguasai teknologi perang yang amat canggih dan Alien yang punya kadar metabolisme dan pembiakan yang sangat pantas.


Dalam konteks politik, saya fikir pertembungan dua makhluk luar biasa ini bolehlah dilihat sebagai pertembungan antara kuasa teknologi dan majoriti. Pertembungan itu menukarkan sebuah kota menjadi neraka sepenuhnya. Pradator yang turun daripada 'langit' memulakan pemburuannya, membunuh Alien dan tidak langsung meninggalkan jejak untuk manusia. Manakala Alien pula yang membiar begitu cepat dalam tubuh-tubuh manusia menukarkan suasana menjadi anarkis dan tidak terkawal.

Kerajaan menghantar tentera mempertahankan dan berkubu sebelum bantuan tiba. Dan bantuan yang ditunggu-tunggu itu sebenarnya adalah sebuah letupan. Ia melenyapkan sebuah bandar. Sama dahsyat dengan tragedi Nagasaki dan Hiroshima. Begitulah penamatnya AVP2. Baik untuk kita renung makna-makna lain di sebalik kecanggihan efek audio visual dan kesan khas.

AVP2 mengajar kita bahawa, ada tiga tonggak utama dalam atmosfera politik: Ekploitasi politik, potensi majoriti dan kerajaan pelaku kejahatan dalam negara.

Rabu, Januari 02, 2008

Depan

Masa depan adalah pengabdian kepada masa lalu.

2
Alien VS Pradator patut kami tonton.

IKLAN

Terdapat ralat dalam alat ini

Label

Personal (47) Filem (42) Politik (32) Budaya (21) Sastera (21) Kreatif (16) Agama (15) Blogzine republik KATA (14) Artikel (11) Buku (11) Jalan Telawi (11) Meor Yusof Aziddin (11) Pekak (11) Pendidikan (9) Pencerahan (8) Sejarah (8) Cinta (7) Kewartawanan (7) Lagu (7) Sajak (7) Bahasa (6) Belasungkawa (6) Jimadie Shah Othman (6) Media (6) Teater (6) Blog Foto (5) Deaf Cultures (5) Fiksyen (5) MySL (5) Subversif (5) Anwar Ibrahim (4) Foto (4) Islam (4) Komuniti Pekak (4) Lao Zi (4) Maskara (4) Puisi (4) Tao (4) society (4) Adi Putra (3) Bahasa Isyarat (3) Carutan (3) Cerpen (3) Folk (3) Kemanusiaan (3) Metafizik (3) Rumah Pena (3) A Samad Ismail (2) Ahmad Kamal Abu Bakar (2) Aidil Fitri (2) Amin Iskandar (2) Anugerah Khatulistiwa (2) BN Perikatan (2) Catatan Pinggir (2) Daiyan Trisha (2) Demo (2) Drama (2) Etika (2) Gambar (2) Hamsad Rangkuti (2) Ili Farhana (2) Islam dan Pluralisme (2) Jepun (2) Karam Sikh (2) Komedi (2) Maskara 7 (2) Mikon (2) Mingguan Wasilah (2) Novel (2) PRU 12 (2) Pantun (2) Pas (2) Pramoedya Ananta Toer (2) Sastera Underground (2) Seni Multimedia (2) Seni Persembahan (2) Soceity (2) Sosial (2) Tanggapan (2) Tidak dikategorikan (2) Travelog (2) Utusan Malaysia (2) Yahudi (2) lagu raya (2) pop (2) sam ahmad (2) 'Mantan' Sasterawan Negara (1) 10 x 10: 100 Minutes to Change the World (1) 127 Hours (1) 1957: Hati Malaya (1) 1998 (1) 300 (1) 9 Naga (1) A. Samad Said (1) AEI (1) Ahadiat Akashah (1) Al-Hidayah (1) Allah (1) Amerika Syarikat (1) Amiena Rev (1) Ana Raffali (1) Antara-Agama (1) Apuke (1) Aron Ralston (1) Ashutosh Gowarika (1) Astro (1) BERSIH (1) Balik Pulau (1) Berhala (1) Berita Harian (1) Bibir Dalam Pispot (1) Black 14 (1) Blog (1) Bumi Manusia (1) Bunyi (1) Chairil Anwar (1) Chamil Wariya (1) China (1) Cowboys and Aliens (1) DAP (1) Danny Boyle (1) Datuk (1) Democrat (1) Demonstrasi (1) Denias (1) Dominic Sena (1) Ezam Mohd Noor (1) Fikh Wanita (1) Free Burma (1) Fun (1) GAPENA (1) Gangguan Teksual (1) Gerak (1) Goenawan Mohamad (1) HINDRAF (1) Harry Potter (1) Hassan Abdul Karim (1) Hindi (1) Hollowood (1) Hollywood (1) Ibrani (1) Interview (1) Istana (1) James Franco (1) Jodha (1) KTBM (1) Kakiscript Playwright Competition (1) Karya (1) Katholik (1) Keadilan (1) Kebab Connection (1) Kebebasan Kreatif (1) Komputer (1) Komrad (1) Korea (1) Kristian (1) Kung Fu Dunk (1) La Nuit des Caligraphes (1) Makanan (1) Malaysian Book of Records (1) Mamat Khalid (1) Man Laksa (1) Manga (1) Manifesto (1) Mary Magdalena (1) Mat Sentul (1) Melaka (1) Merdeka (1) Muzik (1) Napoleon (1) Naskhah (1) Negaraku (1) Negarakuku (1) Nick Murphy (1) Nicolas Cage (1) Nopen (1) Novel bersiri (1) Obama (1) P. Ramlee (1) PKN (1) PKR (1) PRM (1) Pakatan (1) Pantoum (1) Papua (1) Pemanasan global (1) Pena (1) Pendidikan Khas (1) Penulis (1) Pilihan Raya (1) Politik Baru YB J (1) Potret (1) Prima (1) Progresive Folk (1) Promosi (1) Psikologi (1) Puchong (1) Pulau Pinang (1) Pushna (1) Rajinikhan (1) Rasuah (1) Razak Moheidin (1) Reformasi (1) Republican (1) Revolusi Kebudayaan (1) Ria (1) Rise of the Planet of the Apes (1) Rock (1) Ron Howard (1) Rudi Soedjarwo (1) Sarawak (1) Sasterawan Negara (1) Satira (1) Season of the Witch (1) Semusim di Neraka (1) Shah Rukh Khan (1) Shamsiah Mohd No (1) Sharif Shaa'ri (1) Shuffle (1) Siasah (1) Sivaji the Boss (1) Soekarno (1) Sosialis (1) SoundCloud (1) Subbudaya (1) Sucker Punch (1) Sukan (1) Syed Husin Ali (1) TV Realiti (1) Taiwan (1) Teman Muhasabah (1) The Da Vinvi Code (1) The Last Life in Universe (1) The Warlords (1) Turki (1) Umno (1) Umno PKR (1) Video (1) Wayang Pacak (1) Woman On Top (1) Xiu Xiu (1) Yeshoshafat Harkabi (1) Yusmadi Yusoff (1) Zack Snyder (1) Zaid Ibrahim (1) adiwira (1) arahkiri (1) berani bercinta (1) dendang buat ibu (1) duta solaris (1) entri yang pernah ditarik balik (1) gig (1) ingin jadi manusia (1) instrumental (1) iseekmusic (1) kotak hitam 5.0 (1) malay mail (1) moi last von (1) puisi jadi senjata (1) ramadan (1) satuarah (1) single (1) zulfikar samsuri (1)