IKLAN

Cari Blog Ini

Jumaat, Februari 29, 2008

Change, we can believe in

Saya selalu berseloroh. Saya penyokong Republican. Pro-Bush.

Beberapa hari sebelum Yusmadi Yusoff pulang ke Balik Pulau. Saya ada lepak dengan peguam muda ini di Jalan Gasing.

Yusmadi nampaknya pengkagum Obama. Ketika dia bercerita tentang kebaikan hatu nurani Obama, saya rasa hati saya berbalik. Dan Obama Demokrat ya, bukan Republican, bukan Islam juga.

Yusmadi bertanding di Balik Pulau atas lambang Keadilan. Pemuda ini kami kenal secara personal. Dia baik dan sangat baik. Undilah dia.

Semasa menjengah ke laman rasmi harapan Amerika ini, petikan kata-kata retorik pemuda kulit hitam ini amat memukau saya.

I'm not asking you to believe. Not just in my ability to bring about real change in Washington... I'm asking you to believe in yours

Inilah Obama. Juga sesuai untuk pedoman pilihan raya kali ini.

Koneksi kebab

Foto http://www.kebabconnection.de/

Saya bukan peminat kebab. Tetapi khabarnya sebuah filem Jerman berjudul Kebab Connection arahan Anno Saul akan dimainkan di Asian Europe Institut (AEI), Universiti Malaya (UM). Anak murid Prof. Hazim itu sungguh-sungguh menyuruh datang awal. Saya kata padanya, "kita tak ada date kan?"

Dia jawab, "tidak." Kemudian ikon senyum. Melalui Yahoo Messenger!.

Kataku, "so tak payah sibuk-sibuk masalah aku awal atau lambat."

Tetapi dia baik dan barangkali secantik Panalope si pemintal kafan (dan cinta).

Hampir 8:30 saya tiba di AEI. Suasananya agak lengang. Oleh kerana tidak biasa dengan AEI saya tanyakan kepada seorang penuntut Inggeris. Katanya, "auditorium di atas. Mahu apa?"

"Tengok filem Jerman. Kebab Connection."

"Filem hanya setiap Rabu."

"Alamak. Aiyoo. Kao lat."

"Sudah tamat 24 jam yang lalu."

Thank you, bro. Saya dan teman blogger muda itu, kami merasa hampa. Jadi, ke kedai mamak di Jalan Telawi, borak kosong dan merapu. Ya, ia membahagiakan. Rasa Sup Kambing di situ seperti lebih enak daripada sajian filem-filem Jerman yang berat, 'tolol' dan membosankan.

Pembawa khabar itu, saya tidak mau tulis namanya dalam entri ini. Terima kasih daun keladi.

Banyak juga cerita-cerita menarik dari Fakrul kami dengar. Kisah-kisah cinta yang tragis. Inilah ilham filem yang sebenar.

Khamis, Februari 28, 2008

Cicak terakhir yang kosong, suram, penuh pengharapan


Selepas Xiu Xiu, inilah filem yang masuk dalam ranking kedua filem-filem yang paling saya minat. Children of Heaven ketiga dan keempat ya.

The Last Life in Universe adalah sebuah filem tentang keterasingan, absurd dan mencabar kebiasaan. Cerita bagaimana adik Yakuza si ulat buku bercinta dengan perempuan bitch yang pengotor dan liar. Ia juga tentang harapan seorang laki-laki yang dingin tentang keanekaragaan kehidupan. Bagaimana laki-laki yang membunuh diri itu mendapati tuhan menyelamatkannya.

Cinta mereka mulanya cuma disatukan oleh sebuah buku kanak-kanak berjudul The Last Lizard. Apabila semua cicak-cicak mati. Tinggallah seekor cicak terakhir, kosong, suram dan penuh kebosanan.

Rabu, Februari 27, 2008

Xiu Xiu, Lao Jin membidik terus ke kapalanya

Xiu Xiu (sebut sho-sho) adalah filem terbaik pernah saya tonton setakat ini. Entri ini saya fikir saya tujukan kepada Sophie, ratu segala ilmu pengetahuan yang barangkali secantik Penalope si pemintal kafan yang digila-gilakan orang itu. Apakah taste filem kamu selain Hollywood?

* * *

Baiklah, dengan mengabaikan Wikipedia, biar saya khabarkan tentang Xiu Xiu yang kekal dalam ingatan. Xiu Xiu dalam ingatan saya adalah tentang budak perempuan 15 tahun yang direbut tantara ke padang rumput luas di pedalaman Cina dalam period Revolusi Kebudayaan. Di situ dia bertemu Lao Jin yang ditugaskan menjaga anak gadis ini.

Pemuda dingin itu, ia tertib dalam dalam pekerjaannya sehinggakan ia menggali tanah seakan-akan kolam kecil untuk gadis mungil ini mandi bertelanjang. Ia cuma berkuda, belasan kilometer untuk seteguk air ketika gadis itu dahaga selepas menjual dirinya untuk sebiji epal merah. Begitulah mulianya Lao Jin dan terdesaknya Xiu Xiu.

Filem yang diharamkan di negara pengeluarnya itu (China) merakamkan 'kejahatan' kerajaan secara tidak langsung. Para birokrat membuli rakyat, tentara melakukan sesuka hati. Dan rakyat menjadi boneka politik dan seks.

Ia hanya sebuah cerita remeh, tentang nasib orang-orang kecil. Tetapi orang-orang kecil itu membuktikan penindasan terhadap mereka bukanlah semata-mata statistik, tetapi juga tragedi. Kerana itu, filem kecil ini menjadi besar.

Buat Xiu Xiu, di tengah padang luas itu bukanlah dunianya. Untuk kembali ia memberikan mahkotanya kepada orang-orang kerajaan yang datang dengan sebuah janji, sebiji epal untuk habuan seks mereka. Kemudian datang lagi epal yang lain dan yang lain sehinggalah Xiu Xiu dapati perutnya mulai membuncit. Tetapi semua kewanitaannya itu habis drengut.

Dalam putus asa, dia minta Lao Jin datang dengan senapang dan menembak kakinya. Harapnya dia punya alasan dibawa keluar daripada padang saujana luas ini, ke gedung-gedung rumah sakit di kota, melalui desa-desa yang dirindui. Maka, Lao Jin datang dengan sepucuk senapang patah.

"Tembaklah aku," katanya.

"Pejamkan matamu. Ia pasti sakit. Tapi selepas itu aku akan bawa kamu jauh daripada tempat sial ini. Kau akan bebas merdeka."

Dan Lao Jin menembak terus, tidak ke kaki, tetapi kepala.

Xiu Xiu pun terbang meninggalkan tanah hijau, langit biru maha luas. Penderitaannya telah tamat. Lao Jin menangis dan tinggal dia seorang membilang tentang cinta dan hati yang dingin.

Impian Nazrah tercapai

Sampaikan sajak menggunakan bahasa isyarat memikat juri program Al-Hidayah
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


(Berita Harian, 27 Februari 2008)


Inilah berita tentang bacaan sajak A. Samad Said "Suara dari Dinding Madrasah" oleh teman kami Nazrah Noor Rahmat. Beliau membacakan sajak itu serentak dalam bahasa Malaysia dan Bahasa Isyarat Malaysia (MySL) yang bagi kami amat sukar. Untuk itu dia menggondol hadiah pertama untuk pencarian Teman Muhasabah al-Hidayah di TV3. Harapan kami supaya ini tidak menjadi persembahan pertama dan terakhir beliau dalam bidang ini. Kita jumpa lagi, selamat menunaikan umrah. Maaf, masalah teknikal menyebabkan aksi beliau di TV3 tidak dapat dirakam untuk dimuatkan kembali di YouTube. - Jimadie



MENYAMPAIKAN sajak berjudul Suara Di Dinding Madrasah menggunakan dua kaedah secara lisan dan bahasa isyarat ternyata membawa tuah kepada Nazrah Noor Rahmat, 24, apabila muncul juara Teman Muhasabah Al Hidayah 2007/2008.

Teman Muhasabah Al Hidayah adalah satu pertandingan yang bertujuan untuk mencungkil bakat dalam bidang pengacaraan, selain mencari pelapis pengacara program Al Hidayah yang dikendalikan Raja Mazian Mohamed sejak tujuh tahun lalu.

Kemenangan itu melayakkan Nazrah, yang baru saja tamat pengajian dalam bidang pentadbiran dan perakaunan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sarawak, membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 7,000.

Selain itu, Nazrah turut menerima pakej umrah dan bakal bergandingan dengan Raja Mazian mengendalikan program Al Hidayah yang disiarkan setiap Jumaat di TV3.
Minat menjadi pengacara sememangnya sudah lama bersemi di hati gadis kelahiran Johor Bharu ini. Bagaimanapun menurut Nazrah, dia terpaksa mengenepikan seketika minat itu bagi menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Barangkali sudah rezekinya barangkali, sebaik tamat pengajian, dia terlihat tawaran Al Hidayah di kaca televisyen. Atas sokongan kuat ibunya yang bersungguh-sungguh memberi galakkan agar dia mencuba nasib, Nazrah memberanikan diri menghantar penyertaan. Dan ia berhasil dipilih sebagai juara mengalahkan lima finalis lain.

Idea menyampaikan sajak menggunakan bahasa isyarat timbul kerana minatnya dengan penggunaan kaedah itu sejak kecil lagi. Mungkin kerana kelainan yang ditonjolkan itu memikat hati tiga juri profesional hari itu iaitu ustazah Siti Nurbaya Mahamud, ustaz Zahazan Mohamed dan personaliti TV3, Zainal Ariffin Ismail.

Finalis dinilai menerusi dua segmen iaitu Minda Ilmu, di mana mereka perlu menjawab soalan yang diutarakan. Sementara dalam segmen Persembahan Kesenian Islam pula, peserta perlu menyerlahkan bakat melalui persembahan deklamasi sajak, nyanyian atau zikir munajat.

“Sejak kecil lagi saya minat dengan penggunaan bahasa isyarat, tetapi saya tidak begitu mahir. Namun disebabkan terlalu minat, saya menggunakannya dalam persembahan saya dan berusaha mempelajarinya hampir dua minggu semata-mata untuk pertandingan ini.

“Tujuan saya adalah untuk menyampaikan mesej kepada semua, bahawa dakwah itu tidak terhad kepada orang yang sempurna seperti kita. Semua orang, tidak kira sempurna atau tidak boleh berdakwah. Tetapi saya tidak sangka, kelainan yang saya lakukan ini membawa tuah.

“Sebenarnya, kemenangan bukan sasaran saya dalam menyertai pertandingan ini. Menang adalah bonus untuk saya, bagi saya peserta lain pun hebat juga. Saya bersyukur kerana program ini menjanjikan kerjaya untuk saya, lebih-lebih lagi saya juga baru saja tamat pengajian dan kebetulan sedang mencari pekerjaan yang sesuai,” katanya.

Bagi seorang pendidik, Salmah Sheikh Hassan, 29, pengorbanannya meninggalkan keluarga dan kerjaya di Sabah ternyata tidak sia-sia apabila dia muncul tempat kedua dalam pertandingan itu. Salmah yang bertugas di Sekolah Menengah Perempuan Likas, Kota Kinabalu menyertai pertandingan ini bukan untuk mengejar glamor. Sebaliknya dia menganggap sebagai tuntutan fardu kifayah.

“Saya menyertai pertandingan ini kerana menganggap ia sebagai fardu kifayah sehingga terpaksa mengorbankan wang ringgit, suami dan anak semata-mata untuk menunaikan tuntutan itu. Saya berasa terpanggil menyertai pertandingan ini dengan tujuan untuk menyemarakkan lagi dakwah di Sabah yang masih belum kuat.

“Saya berharap, selepas ini peluang untuk saya menyampaikan dakwah akan terbuka lebih luas. Tapi saya tidak mengenepikan terus kerjaya saya sebagai guru,” katanya.
Sebagai pemenang tempat kedua, Salmah menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan pakej umrah.

Shadiya Abbas, 28, peminat setia program Al Hidayah pula muncul pemenang tempat ketiga. Juru hebah sambilan di radio IKIM yang memilih mendendangkan lagu nasyid membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan juga pakej umrah.

Selain mereka, tiga lagi finalis yang berjaya ke peringkat akhir ialah Ashikin Aini Abdullah, 24; Raja Norhasniza Raja Ibrahim, 25 dan Zaidah Ismail, 26. Seramai 40 calon dipilih ke saringan awal, bagaimanapun hanya 11 saja yang layak diketengahkan sebagai pengacara bersama untuk 11 siri Al Hidayah, tetapi enam peserta saja yang berjaya melangkah ke peringkat akhir.
Pecahan markah adalah seperti berikut, tugas kewartawanan (10 peratus), Moderator (25 peratus) Bicara Hidayah (15 peratus) dan Gaya Teman Muhasabah (10 peratus). Manakala 40 peratus lagi dinilai pada peringkat akhir.

Raja Maziah yang juga penerbit program ini berkata, sememangnya sudah lama Al Hidayah ingin mencari pengacara pelapis tetapi hanya setelah tujuh tahun barulah hasrat itu tercapai. Bagaimanapun, buat permulaan dia akan mengendalikan program berkenaan bersama Nazrah.
“Saya melihat program lain seperti Malaysia Hari Ini, Wanita Hari Ini dihoskan secara bersama. Jadi timbul idea untuk mencari seorang pelapis bagi mengacarakan program ini bersama saya. Bukan itu saja, tujuan kita adakan program ini juga sebenarnya untuk mencungkil lebih ramai bakat baru sebagai pendakwah,” katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Hip/20080227061909/Article/

Pesta demokrasi 5: Manifesto terbaik

Berikut adalah manifesto Barisan Nasional dan parti-parti alternatif untuk pertimbangan akal waras kita.


Parti Keadilan Rakyat (Keadilan): Harapan Baru untuk Malaysia

Parti Islam Semalaysia (Pas): Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih: Menuju Negara Berkebajikan (pdf)

Parti Tindakan Demokratik (DAP): Malaysia Boleh Lebih Baik Lagi

Barisan Nasional (BN): Selamat Aman Makmur (pdf)

Secara keseluruhan, manifesto parti-parti alternatif dikira lebih baik daripada Barisan Nasional. Tetapi cuma satu persoalannya? Bagaimanakah mereka ingin membangunkan negara tanpa mengambil kira aspek kebudayaan dan kesenian bangsanya. Cubalah selak perlahan-lahan kalau ada janji-janji tentang isu seni-budaya-sastera. Kalau jumpa sila beri tahu. Saya pun masih.


Dan yang boleh membuatkan saya mengundi salah satu daripada mereka adalah:
  1. Tekad menurunkan harga rokok.
  2. Turunkan harga petrol.
  3. Subsidi pemasangan NGV untuk kereta.
  4. Turunkan barangan keperluan harian.
  5. Hapuskan tol (sial, aku benci betol!).
  6. Hapuskan pinjaman PTPTN dan gantikan dengan biasiswa.
  7. Hapuskan undang-undang anti hak asasi manusia macam ISA, OSA, Auku dan lain-lain.
  8. Guna duit cukai rokok kami untuk tabung perubatan rakyat.
  9. Kurangkan pegawai kerajaan. Yang mana pemalas tu, sombong, tak sedar diri, birokrasi, rasuah, pecat saja. Lagi pun duit negara habis banyak bayar gaji depa yang kurang asam ni.
  10. Tambah pendidikan agama dan moral kepada rekrut baru polis supaya mereka jadi manusia yang lebih cemerlang, gemilang, terbilang.
  11. Limited goverment ya. Jangan masuk dalam kelambu orang.

Inilah antaranya supaya memberi idea untuk kamu berkempen. Kalau kamu mungkir, aku isytihar perang sabil dengan kamu habis-habisan. Amaran aku merbahaya, kamu patut takut, sebab nama aku rakyat.

Belajar bisa di mana saja

Kanak-kanak Papua yang liar, tapi dahagakan ilmu pengetahuan. Foto deniasmovie.com.


Filem ini mengingatkan saya kepada Road Home, filem China hebat lapan tahun lalu. Kedua-duanya karya tentang kegigihan orang-orang kecil pedalaman. Oleh kerana Road Home

ditonton lapan tahun lalu di GSC Mid Valley, kandungannya tidak dapat saya ingat dengan baik. Cuma babak-babak percintaan yang luar biasa unik dan sangat romantis masih bermain-main dalam memori saya.


Setelah 'membenci' filem-filem seni dan pelan-pelan jatuh cinta dengan Hollywood, 'cinta' saya berlaku curang lagi. Maafkan, kekasih-kekasihku. Filem Papua dengan judul Denias: Senandung di Atas Awan (Denias) ini berjaya mengikat saya s di depan kaca tv selama lebih seratus minit; 30 minit lagi menonton the making-nya. Ia sebuah kisah yang sederhana, mengikut penerbitnya Ari Sihasale. "Memandangkan ini filem pertama (Alenia Pictures & EC Entertainment) kami ingin menghasilkan sebuah filem yang boleh difahami semua orang hatta kanak-kanak," katanya lagi.


Denias merupakan adaptasi daripada kisah sebenar, tentang seorang anak kecil di pedalaman Papua yang berjalan empat hari merentas hutan, gunung dan sungai untuk bersekolah di sebuah pekan kecil. Di kampungnya, matematik, ilmu membaca dan menulis bukanlah perkara penting. Ini terungkap dalam diolog bapanya kepada Maleo (Maleo itu sebenarnya nama pasukan tentara), guru, sahabat dan mentor pendukung utama, "kamu bercakap tentang masa depan, tetapi kami mahukannya sekarang. Denias tidak boleh jadi pemalas. Dia mesti membantu aku bekerja. Sekarang, di sini! Bukan di masa depan. Aku perlukannya sekarang, sekarang!"


Di kampung halaman anak muda ini, tidak ada apa-apa pun melainkan sebuah desa yang amat daif. Keperluan asas juga tidak wujud. Dan apa yang dinamakan sekolah itu hanyalah sebuah pondok kecil dengan bendera merah-putih. Tiada seragam dan fasilitas apa pun. Tiada guru. Hanya seorang tantara yang gigih dan sedar. Dialah Maleo, guru, sahabat, sekali gus mentor.


Denias anak yang pintar sekali. "Walau pun kau bukan anak ketua suku dan miskin tetapi kamu akan bersekolah di pekan balik bukit yang punya fasilitas sempurna. Tentu ada pengecualian. Kamu pintar, Denias. Ingat ceritaku tentang Jack dan pokok kacangnya?"


Denias ingat. Budak laki-laki, penuh harapan, apabila pokok kacang itu tumbuh melepasi awan, Jack memanjatnya, tinggi dan tinggi lagi sehingga melepasi awan. Di situ dia belajar dan melihat dunia seluas-luasnya. Itulah motivasi ulung buat Denias.


Rumahnya terbakar, ibunya meninggal, sekolahnya dirobohkan gempa 5.9 pada skala Richter. Tiada apa lagi buat Denias melainkan pesan ibu dari syorga, "kamu harus terus sekolah."


Di kota balik gunung, dia menjadi gelendangan dan perjuangannya untuk bersekolah adalah perjuangan yang amat berliku. Di sana dia bertemu dengan guru muda yang baik dan jelita yang memperjuangkan pendidikan untuk anak-anak sepertinya. Di kota kecil itu Denias menghadapi pelbagai ragam dan rintangan yang membuatkan dia hampir putus asa.


Buah tangan sutradara John-De Rantau ini menghidangkan kita wajah alam yang luar biasa cantik (dan dara), budaya orang-orang miskin di Papua, semangat dan cita-cita. Menontonya menyuntik motivasi yang tinggi untuk kita supaya mencintai ilmu pengetahuan kerana belajar bisa di mana-mana, pada bila-bila.Kata Denias lagi, "tugas guru mengajar dan tugas murid adalah belajar."


Selain itu, Denias sarat dengan subplot yang setiap satunya punya statmen dan emosi yang kuat meruntun jiwa saya. Jika ini yang dikatakan sederhana oleh penerbitnya Ari Sihasale, barang tentu dia telah menetapkan sebuah sandard yang amat tinggi untuk sebuah filem. Denias (yang sebenar) dan teman-temannya akhirnya berjaya dalam dunia masing-masing. Dia kini di Australia dan tidak dapat dijejak sehingga sekarang. Mereka menjadi somebody.


Dan inilah yang terbaik untuk Indonesia setakat ini. Ia merangkul anugerah besar di negara itu dalam pelbagai festival dan pengiktirafan. Dan kita tertunggu-tunggu pada karya-karya lain yang 'sederhana' daripada negara panji merah-putih itu. Seribu pulau memungkin lahirnya seribu kisah-kisah luar biasa untuk 200 juta rakyatnya.


Untuk kawan-kawan semua, sekarang, bacalah buku, jangan malas! Belajarlah daripada Denias. Jangan kata tak ada masa dan tak ada peluang kerana belajar itu, bisa di mana-mana, pada bila-bila.

Isnin, Februari 25, 2008

KLku Kembang Layarku 4 (DIKEMASKINI)


Barisan tenaga produksi dan artistik yang nampaknya enjoy dengan persembahan mereka. Mereka nampak jujur dan itu mengharukan saya.

Stefani, saya ada mengulas persembahan ini. Saya berikan 3.5 bintang dan harap boleh menonton lagi buah tangan anda selepas ini. Saya rasa saya pelan-pelan sedang jadi peminat Fauziah Nawi. Apa pun teater ini tak boleh lawan Perjalanan Bu Aminah la.

Posted by Picasa

KLku Kembang Layarku 3 (DIKEMASKINI)

Lanang (Rainan Jamil), lakonannya menjadi, tetapi emosi wataknya tidak variasi, tegang, marah-marah, menjerit dan sesekali ketawa.

Tiada lagi aksi ala randai yang sinonim dengan persembahan Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani).

Dua negerasi, Fauziah Nawi bersama cucu ketika menyampaikan ucapan penghargaan. Dia percaya, di Stefani, bakat, pendidikan dan dana mesti seiring.


Gaya manja pelakon-pelakon dalam sesi memperkenalkan anggota produksi.

Posted by Picasa


KLku Kembang Layarku 2 (DIKEMASKINI)

Pakaian si ibu bertudung litup menjengkelkan. Bajunya terlalu jarang sehingga nampak pusat.


Suasana yang menginsafkan, tetapi kurang meyakinkan, seolah-olah turning point digeakkan oleh tangan-tangan ghaib.


Kemalasan (dan 'kekejaman) pengarang boleh dilihat di sini. Memberi sebuah pengkahiran tanpa sebab musabab yang konkrit.




Aksi tutup panggung dengan tari ala silat. Pelik, ditutup, tetapi tidak dibuka.

Posted by Picasa

KLku Kembang Layarku (DIKEMASKINI)

Kami menonton KLku Kembang Layarku arahan Fauziah Nawi. Seperti biasa, foto-foto Khalid Abdul Walid Ahmad yang mula ada peningkatan.

Persembahan yang penuh dengan lagu-lagu, dimainkan secara live secara akustik.


Gambaran pemberontakan pekerja terhadap Tuan Besar.


Muhammad Arkib Sulaiman Sador (tengah) sebagai ketua penipu. Semuanya yang tiruan ada dijual kecuali satu: Kejujuran.


Dialog dalam separa sureal antara anak dan arwah kedua ibu bapa yang cintai.
Posted by Picasa

Sastera baru era Big Brother

Berikut adalah rebiu saya tentang blook K-Eight keluaran Sindiket Sol-Jah yang disiarkan dalam Mingguan Wasilah baru-baru ini:


Judul: K-Eight

Penulis : Sinaganaga,OP, Jigo, Vovin, Mat Jan, Tok Rimau, Samurai & Sharpi the Cat

Penerbit: Sindiket Sol-Jah, Kuala Lumpur

Halaman: 92 Halaman

MASALAH dunia kreatif Malaysia adalah kreativiti, persoalan perspektif atau sudut pandang dan keberanian pengarang. Produk sastera dan seni budaya kita dilihat keras, kejang, kering imaginasi, tidak berjejak di dunia nyata, antipasaran, sekali gus terawang-awang dalam dunianya sendiri. Karya-karya seni tidak lagi memberi impak ketara kepada lingkungannya sama ada dalam atmosfera politik, ekonomi, sosial, pendidikan, intelektualiti dan agama.

Baca lanjut.

Tentang KLku sampai KL Drift (dan Duyung)

Teater KLku Kembang Layarku (PRE-EDIT)

Asalnya mahu naik motosikal. Tetapi memandangkan kata Emme, (1) motosikal itu membahayakan, (2) “tak penat ke bawak motor jauh-jauh?” dan (3) “Nak hujan,” kata Arul, ketika tersempak di luar dCafe; saya batalkan perancangan itu.

Asalnya juga (sorry, jadi cerita asal-usul pula) mahu ke MTC @ Malaysian Tourisme Centre (yang dekat Saloma Bistro tu) untuk menonton Cerita di Zoo tetapi tadi pagi ketika membelek Berita Harian, macam ada magnet pada nama Fauziah Nawi yang mengarahkan sebuah teater berjudul KLku Kembang Layarku sempena Sambutan Hari Wilayah.

Kami (saya dan teman-teman) buat keputusan melencong ke sana. Selepas itu saya boleh rebiu dan dapat duit. Tambahan lagi masuk percuma. Berbaloi. Apa lagi kami mau dalam dunia ini, berhibur dan kemudian dibayar untuk itu. Memudahkan lagi kerja, dalam dunia teater, Fauziah Nawi itu sudah macam satu jenama tersendiri macam Reebok dan Proton Saga.

Bagi saya, teater ini menarik dilihat daripada aspek falsafah kebebasannya, tentang bagaimana berlaku pemurnian daripada melihat kebebasan yang mesti punya batasan kepada kebebasan yang hadir bersama tanggungjawap. Dua premis ini sebenarnya mempunyai jurang yanag amat beda.

Sebahagian daripada rebiu tersebut telah saya siapkan. Menarik (teater itu, bukan rebiunya). Kerendahan hati, keramahan dan kejujuran Fauziah Nawi mengharu dan menginsafkan saya. Walau pun banyak kritikan saya terhadap karya ini tetapi Fauziah Nawi tetap ada dalam kamus teater Malaysia, dalam kategorinya, dalam hati saya.

Untuk melengkapkan tulisan itu, saya fikir mahu merujuk Isaiah Berlin dalam Four Essay on Liberty tetapi malangnya buku itu hilang entah ke mana. Sambil-sambil itu terjumpa pula koleksi kartun Zunar Lagak Pak Mahat, adi karya Immanual Kant Apa itu Pencerahan (terjemahan Pauline Fan) dan Ide Quaterly o3, semi-jurnal terbitan majikan lama Open Dialogue Centre (ODC), yang, siri itu bertemakan kebebasan.

Mungkin ini bacaan saya sebelum tidur pagi ini. Hampir jam tiga. Tetapi tangan saya tiba-tiba menggeletar melihat epik Bugis yang terpanjang di dunia I La Galigo (kononnya lebih panjang daripada Mahabhrata) yang diperkenalkan Pak Khalid tahun lalu. Buku itu terlalu luar biasa bagi saya. Hampir setahun, buku tebal itu belum habis dikunyah. Memalukan. Oleh itu, makilah saya, hinalah saya. Saya rela menanggung dosa kerana menjadi bodoh.

* * *

Minggu ini adalah minggu yang membahagiakan. Saya menghabiskan blook You Want a Gum, Sol-Jah? oleh Sinaganaga, Pengalaman Bertuhan karya pengarang-pengarang muda penganut pelbagai agama yang menyajikan agama secara fenomenalogi dan ulang baca buku haram Islam dan Pluralisme. Barangkali pihak berkuasa patut menjelaskan bahagian mana yang haram itu? Hujah apa? Pandangan ulama mana? Mufti Perlis ka Mufti Perak? Asri ka Harussani?

Teman saya Suratno dalam sebuah tulisannya yang dipetik daripada laman web Islam Liberal Indonesia (http://www.islamlib.com/) cuma menjelaskan kepelbagaian makna pluralisme. Dan seperti kita semua maklum, Majelis Ulama Indonesia (MUI) juga menghukum pluralisme itu sebagai haram dalam Islam. Dan Suratno menyoal, kurang lebih (juga ditokok tambah), “saya tidak berniat membuat apa pun komen dan argumentasi terhadap pandangan itu, cuma, bapak memakai makna pluralisme yang mana satu ya?” Dan bagian Suratno bagi saya adalah yang paling tidak haram.

Oh ya, sebuah lagi K-Eight. Tapi itu sudah direbiu. Sila baca Mingguan Wasilah terkini. Empat bintang ya, tapi buat Cik Daun dan rakan-rakan (Sindiket) Sol-Jah, jangan salah faham pula, empat daripada lima belas, bukan daripada lima. Ha, ha, ha!

* * *

Saya ingin menonton tayangan promo KL Drift (entah apa tajuk penuhnya) dan Duyung. Dua tiketnya sudah ditempah daripada Cik Cici, awek UiTM gebu dan manja. Katanya, “nanti ambil di Seksyen 2, Shah Alam.”

Tetapi saya tidak membeli melaluinya, saya cuma memesan. Tak ada kerja aku nak pergi Seksyen 2 semata-mata nak ambil tiket yang cuma berharga RM 10 untuk dua filem.

Mujurlah sekarang aku sudah punya saudara di KL ini. Aku SMS Shahrin, adik aku
yang duduk di Seksyen 7, sekarang menuntut sarjana di Shah Alam dalam bidang fine arts. Kata dia, ada kawan dia jual. Jadi selesailah masalah aku. Bukan ‘ulat’ kan?

Tak ada siapa-siapa nak offer diri menonton bersama aku? Lelaki pun boleh. Tidak, saya bukan gay. Tiket kau bayar sendiri, balik kau yang drive, aku nak relax di sebelah, hisap rokok dan dengar Radio 24 atau Klasik FM. Atau Summer Wine nyanyian semula The Corrs dan Bono. Jangan lebih-lebih, kamu bukan perempuan. So, buat cara menumpang ya!

Ha, ha, ha, tidak, aku bukan orang jenis itu! Aku ingin berbaik-baik dengan kamu semua. Dengan semua orang.

* * *

Iman Arhab. Apalah kamu semua, makna dia pengganas pun kamu sokong. Aku bukan Barisan Nasional atau Umno untuk kamu sokong secara membabi buta.

* * *

Saya ingin ucap selamat. Malam ini saya kurang betul. Mabuk oren dan soya bean. Kawan-kawan semua, andaikan saya mati malam ini, doakanlah kebaikan buat saya di negeri abadi. Amin.

Selamat hari Sabtu.

Hasil foto-foto Khalid sekitar persembahan teater KLku Kembang Layarku di Panggung Bandaraya yang menunjukkan kemajuan boleh dilihat di album web Picasa (bukan Flickr) saya. Entri ini ditulis Ahad awal pagi.

Khamis, Februari 21, 2008

Pesta demokrasi 4: Dialog cucu dan atok

Posted by Picasa

Operasi rahsia

Operasi ini diadakan pada 15 hari bulan lepas. Lokasinya dekat pokok buluh tepi pagar di Rumah Pena. Gambar ni aku ambil sebagai bahan bukti. Lima belas hari bulan adalah hari Jumaat. Matahari betul-betul atas kepada masa itu. Waktu tu jemaah dan mula pelan-pelan beransur daripada (gerai makan) Bucu, dekat DBP. Tetapi kami masih berlegar-legar sekeliling kawasan sambil cari cangkul. Cina tak ada jual. India tak ada jual dan mamat Indon buat jalan pun entah ke mana? Susah betul cari cangkul di KL ini macam nak cari akhbar Mingguan Wasilah. Kalau tak salah aku, masa gambar ini diambil, telah masuk ke lubang yang kedua, yang sebenarnya tak pakai pun. Lubang keempatlah yang lulus. Oleh sebab cangkul tumpul dan sebenarnya lama tidak menyangkul sejak jadi orang KL ni, lepas semuanya selesai kami hisap rokok. Aku Winston Light. Dia Dunhill. Ada kawan-kawan panggil rokok Lombong. Pelik, baru cangkul tak sampai sekaki, waktu hisap rokok, kami nampak tangan dan jari lain macam menggeletar. Begitulah operasi Jumaat lalu tanpa kuasa dan amalan mistik. Kamu kenal siapa mamat ini? Kononnya dia seorang blogger yang sangat terkenal. Kunun.

2
Sebelum itu ada call Zakir, aku tanya dia, "ada cangkul."

Dia gelak.

Dia tanya, "nak buat apa?"

Aku kata, "tanam sajak."

Dia gelak.

Lepas itu aku terima SMS bertalu-talu ucapan tahniah. Rasa best juga. Rasa macam dalam dunia ni tak ada orang jahat.
Posted by Picasa

Rabu, Februari 20, 2008

Pesta demokrasi 3: Ilmu bendera

Sebulan (atau dua) lalu, sore, jalan pelan-pelan macet, saya masing merayap seputar Puchong Perdana, tempat saya boleh membeli Mingguan Wasilah, Siasah dan Harakah. Tempat makan malam masakan Melayu. Tempat beristirehat di masjid tepi lombong yang daripada jauh kelihatan merapung di permukaan air seperti masjid terapung di Terengganu.


Kompang pilihan raya belum dicanang. Tetapi saatnya cakap-cakap pilihan raya telah melebar, telah masuk sampai ke kelambu pengantin. Barisan bendera pun mulai timbul macam (biskut) Chipsmore. Macam Chipsmore kerana dia boleh sekejap ada, sekejap tak ada. Hari ini ada, hari ini pacak, esok tak ada, kena cabut bandaran.


Saya fikir, jalanan adalah milik semua orang. Kalau iklan sabun boleh direntang di jalan-jalan, kenapa lambang politik tidak? Tidak masuk akal. Tetapi mengingatkan bidalan Suratno membuatkan saya insaf, kurang lebih, "jangan buang tenaga melayan. Kata proverb, anjing gonggong, kafilah lalu juga. Well, kalau kita ini kafilah, you know what i mean lah."


Namun kafilah mesti ada peta dan ilmu di jalanan. Pengalaman bercampur dengan orang-orang reformasi mengajar saya tentang ilmu bendera. Antaranya, kalau mahu gantung bendera, mesti tinggi, betul-betul tinggi. Kalau di pokok, mesti di pucuk, bukan cabang atas kepala. Alasannya, tak ada orang boleh kacau atau cabut. Kita tak ada tv atau radio. Hanya bendera cara promosi kita.


Kedua, bendera mesti dimuliakan. Bendera adalah lambang perjuangan. Bapa saya Pas. Dia ajar saya fasal benda ini. Sejak darjah enam, bapa dah bawa saya dengar ceramah. Kata dia, dulu kalau nabi berperang, dalam pasukannya ada penjaga bendera. Bendera itu tentulah macam bendera Arab Saudi. Ada tulis dua kalimah syahadah. Seorang sahabat, katanya lagi, kena potong tangan kanan. Jadi dia pegang bendera dengan tangan kiri. Kena potong tangan kiri, dia kepit dengan dua lengan. Kena penggal dua lengan, gigit dengan mulut. Apabila kepala kena potong, bendera tidak akan jatuh, teman yang lain akan mengambil alih. Begitulah mulianya bendera. Entahlah israiliyat atau tidak. Tidak pasti.


Memuliakan bendera adalah dengan meletakkannya pada tempatnya, dengan cara dan kaedah dan tata tertipnya. Mesti digantung di tempat tinggi. Kalau diletak mesti melintang, bukan memanjang. Kalau melintang itu penghinaan. Apatah lagi terbalik.


Cuma kepada budak-budak reformasi, saya mengingatkan, kalau buat pertandingan bowling atau futsal atau lain-lain, pantang bagi aku bendera buat penutup meja. Lepas itu susun piala banyak-banyak di atas. Kalaulah kamu faham makna bendera.


Dan apabila bendera dacing dicap pada baja urea dan campuran untuk tanaman padi, tak pula aku kata apa-apa. Sebab aku tak suka dacing. Aku tak akan pangkah. Kawan-kawan, aku dah isytihar pegangan politik aku. Aku rasa cool. Macam best. Kamu semua blogger-blogger dan penulis, ada telor tak? Cari makan ya pak? Ha, ha!


Kita semua tak ada duit tak apa, jangan tak ada maruah. Nilai maruah bukan sekupang.



Foto: Gambar hiasan daripada http://z.about.com/d/atheism/1/7/X/0/3/Our-Flag-e.jpg.
--
Mohd Jimadie Shah Othman
Blog: http://jimadieshah.blogspot.com
E-mel: jimadieshah@gmail.com

Khamis, Februari 14, 2008

Iman

Iman Arhab.

Adakah ini nama yang sedap bagi seorang laki-laki?

Iman Arhab.

--
Mohd Jimadie Shah Othman
Blog: http://jimadieshah.blogspot.com
E-mel: jimadieshah@gmail.com

Selamat hari Valentine Tuan Mufti

Hari ini adalah hari yang memenatkan bagi saya. Begitulah yang terjadi setiap kali melangsaikan beberapa jam di Kuala Lumpur dan di jalan-jalannya yang macet. Banyak yang berubah dan banyak yang tidak berubah. Ingat kata teman Neo, laki-laki Negro botak berbadan besar dan Matrix Revolution?

Tetapi hari ini juga aneh, saya menerima sepucuk mesej kertas daripada seorang juru blog/blogger (ya, saya ingin menggunakan istilah Melayu ini, perkataan penulis blog tidak sedap) memohon maaf kepada saya, jika, katanya, dalam karya-karya terbaru dia saya akan terasa. Apakah karya-karya itu? Apakah yang membuatkan dia memohon maaf? Saya tidak tahu tetapi memandang serius mesej itu. Saya menghormati dan menghargainya. Barangkali dia mengkritik saya, barangkali idea saya, barangkali menjadi model untuk karektor-karektor negatif dalam ceritanya. Kita semua tidak maklum tentang itu. Namun, terguris bukanlah cara saya. Dunia ini cuma dunia saya bermain-main. Saya terhibur dengan dunia ini. Saya bahagia dan seronok merayap dalamnya. Tidak ada kena mengena dengan orang lain. Sesiapa pun. Saya cuma ingin menullis apa yang saya ingin (bukan apa yang orang mau baca) dan syok sendiri. Tidak kurang, tidak lebih. Kalau ada orang yang menikmatinya, itu bonus. JIka tidak, tidak mengapa.

Tetapi percayalah, blogger ini saya anggap teman. Dia baik dan berwajah jernih. Saya ingin habis membaca karya-karyanya. Dan inilah pandangan saya. Selagi kita menulis di media, biar apa pun namanya, kita tidak layak kecewa atau kecil hati macam orang bercinta. Jika tidak mahu atau sanggup untuk semua ini, sila tulis sajak dan lekat di dinding bilik tidur rumah kau. Urusan kita semua sekarang sudah menjadi urusan awam. Kita sedang berada di dalam ruang ini.

Dan sebenarnya kritikan lebih bermakna daripada pujian-pujian palsu dan kata-kata manis. Terima kasih untuk teman itu, lu cool.

Dan hari ini, di sini, Bangsar tidak banyak berubah. Tanahnya, orang-orangnya, muka langit.

Kepada adik manis yang menerima buku free daripada saya tadi, terima kasih, anda menjadikan saya berbangga menjadi penulis dan juru blog. Oh, begini rasanya ada peminat! Aku tidak tahu sebab aku tidak pernah popular.

Selamat hari Valentine kawan-kawan. Ada fatwa baru daripada mufti Perak tak?



--
Mohd Jimadie Shah Othman
Blog: http://jimadieshah.blogspot.com
E-mel: jimadieshah@gmail.com

Pesta demokrasi 2: Kenyataan akhbar Anwar sempena pembubaran Parlimen

Berikut adalah kenyataan akhbar daripada Pejabat Anwar Ibrahim tentang pembubaran Parlimen semalam. Kenyataan ini diterima melalui e-mel.

13 Februari 2008

Pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Abdullah Badawi hari ini tidak mengejutkan, memandangkan bahawa kajian menunjukkan bahawa sokongan rakyat teramat rendah. Rakyat semakin dibebankan oleh kenaikkan harga, jenayah dan rasuah yang berleluasa, serta hubungan etnik yang semakin merosot. Semakin Barisan Nasional berlengah membubarkan Parlimen, semakin banyak kerusi akan tumbang.

Pilihanraya ini diisytiharkan lebih daripada setahun awal, semasa perayaan Tahun Baru Cina masih berterusan, dan sebulan sebelum saya dibenarkan bertanding. Menafikan hak saya untuk bertanding hanya mendedahkan bahawa prestasi pimpinan Barisan Nasional telah cukup parah sehingga mereka tidak sanggup mengambil sebarang risiko dalam pilihanraya akan datang ini.
Penipuan dan kesalahan dalam sistem pilihanraya masih lagi jelas berlaku walaupun beberapa langkah telah dan akan dilakukan untuk memastikan pilihanraya bersih daripada pengundi hantu serta memantau kesalahan perjalanan pilihanraya termasuk mengelakkan undi Pos dimanupulasikan. Media arus perdana tetap dikongkong oleh kerajaan dan digunakan sebagai satu alat untuk menyebarkan propaganda dan penipuan terhadap pihak pembangkang. Badan berkanun diarahkan untuk menghalang dan menganggu kempen parti pembangkang dan juga pertubuhan sosial.

KeADILan siap sedia untuk mengatasi segala rintangan, termasuk halangan akses ke media dan gangguan yang berterusan pada setiap acara umum. Calon-calon kami telah bertungkus lumus untuk mendedahkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional dan menyampaikan matlamat kami yang bersandarkan harapan baru untuk Malaysia.

Kami sudah lama bersiap-sedia menghadapi pilihanraya ini. Bersama dengan rakan-rakan pembangkang yang lain, kami bersedia untuk memulihkan prestasi Malaysia yang kian merosot dan membela hak dan nasib semua rakyat Malaysia.

ANWAR IBRAHIM

Rabu, Februari 13, 2008

Pesta demokrasi

Selamat datang "Kerajaan Sementara" dan untuk yang bakal baru. Bermulalah perang dan pesta demokrasi.

Tuan-tuan nak undi siapa?

--
Mohd Jimadie Shah Othman
Blog: http://jimadieshah.blogspot.com
E-mel: jimadieshah@gmail.com

Selasa, Februari 12, 2008

Senandung Rosesatellite

Rosesatellite sekali lagi menambahkan kepanasan diskusi tentang Api Putra Abd. Ghani. Panjang tulisannya dan barangkali boleh memanaskan lagi entri itu. Meletup-letup macam mercun Gong Xi Fa Chai. Tetapi pantunya amat menarik. Tetapi dalam bahasa Inggeris. Pakcik-pakcik "polis bahasa" tolong jangan marah ya! Sekadar suka-suka. Dan pantun,zaman sekarang, bukan milik Melayu satu orang. (Klik sini untuk maklumat lanjut). Begini bunyinya senandung Rosesatellite itu. (Jangan me-natasya hudson-kan, ya!)

Roses are red,
sky is blue;
once you go to satellite,
you know that I really love you.


Pantu ini, saya gemar sekali.

Rosesatellite, dia seorang perempuan. Sedap namanya.

Cerita panjangnya boleh diikuti di sini.
--
Mohd Jimadie Shah Othman
Blog: http://jimadieshah.blogspot.com
E-mel: jimadieshah@gmail.com

Mengangkat sejarah kecermelangan bangsa

Mulai esok sampai 17 hari bulan ini, Istana Budaya mengadakan Konsert Warisan Budi yang akan "mengangkat sejarah kecermelangan bangsa". Dahsyat bunyinya. Bagaimana persembahan dan lagu-lagu nyanyian artis-artis pop kita hendak melakukan semua ini. Untuk mendapatkan jawapan kepada soalan itu, Insya-Allah saya akan hadir menyaksikannya. Walau pun bukan konsert rock, yang paling penting, ia percuma dan sound sistemnya bagus. Jumpa di sana.



Ini petikan ayat-ayat boombastik itu, daripada laman rasmi Istana Budaya:



Barisan Budi Malaysia merupakan sebuah persembahan yang memaparkan latarbelakang kecemerlangan negara Malaysia dan rasa terima kasih rakyat terhadap kemajuan yang telah dicapai. Bermula dengan ketenangan desa petani dan seterusnya peristiwa yang menyentap kedamaian negara semasa zaman perang. Setelah mencapai kemerdekaan, pemimpin negara telah berjaya mengatur langkah untuk membangunkan negara melalui pelbagai perancangan yang telah diadakan dan yang sedang berlangsung. Menggunakan pelbagai medium dari semua bangsa dan etnik rakyat Malaysia, para artis ternama tanahair akan bergabung dalam satu barisan persembahan yang akan mengangkat sejarah kecemerlangan bangsa Malaysia.



Sorry, tajuk entri gua kali ini poyo bunyinya.



--
Mohd Jimadie Shah Othman
Blog: http://jimadieshah.blogspot.com
E-mel: jimadieshah@gmail.com

Salah faham

Teman kami ingin menjemput ke sebuah konsert. Dan dia menyoal, "tempat kau, depa tu normal?"


"Mereka normal. Nak jadi jurubahasa isyarat mana boleh pekak," kata aku.


Dan dia, seperti semua orang selalu sebut orang pekak dengan perkataan bisu. Sedangkan bisu itu is a cause of deafness. Sebutan yang betul adalah pekak. Dan jangan guna perkataan normal untuk membezakan orang biasa dan orang pekak. Sensitif. Istilah itu seoalah-olah membawa makna golongan ini tidak normal. Macam alien atau Predator. Gunakan istilah bukan pekak.


Untuk Shah.


Dan katanya konsert itu bermula esok selama seminggu. Di Istana Budaya. Menarik juga. - Jimadie Shah Othman

Isnin, Februari 11, 2008

Peram (dan Pram[oedya])

Pramoedya dalam bentuk karikatur, dipetik daripada http://www.jeffooi.com/PakPram_InDaily_060501.jpg

Aku juga tidak tahu, apa masalah aku dengan Bung Pram (Pramoedya Ananta Toer). Aku tidak pernah dapat menghabiskan apa pun tulisan-tulisannnya. Bung Pram yang aku kenal adalah Bung Pram daripada ulasan dan komen-komen penulis-penulis lain, lantas mempercaya. Seperti selesanya aku dengan kata-kata A Teeaw bahawa Pram bukannya apa-apa kecuali jika dia mempertahankan kualitinya dalam Bumi Manusia, maka dia harus dipertimbangkan secara serius untuk Hadiah Nobel.


Nama Pram muncul kembali dalam kamus aku semalam dan beberapa minggu terakhir ini setelah puas kami mencela penulis lagendaris ini kerana aksinya dalam Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra). Khabarnya bung Pram telah menjadi bahan lucu dalam perbicaraan di negara seribu pulau, Indonesia.


Semalam adalah perjalanan yang jauh. Aku keluar shopping, makan kenduri, jumpa teman-teman lama (dan kenalan-kenalan baru) dan hadir majlis baca naskhah. Ia hari yang memenatkan namun juga membahagiakan.


Di Bangsar, masih timbul persoalan, kenapa buku MR al-Mustaqeem, Islam dan Pluralisme diharamkan setelah dua tahun beredar dan dibincangkan dalam negara. Alasannya satu: menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Barangkali seperti juga agama, penyimpangan dan kesesatan juga sebuah proses. Jangan tanya aku, tanya kerajaan!


2

Di Maskara 6, aku ambil buku percuma. Pertama, iya, Bumi Manusia, aku tidak pernah memilikinya. Kedua, Pengantar Ilmu Makna. Ketika itu ingatanku kepada Pram kembali. Sosok peribadi Pram barangkali seperti 'samseng'. Ego, pemarah, idealis. Antara aku dan Pram agak aneh. Aku juga tidak tahu mengapa. Aku tau kualiti tulisan-tulisannya luar biasa kualitinya, segar, hidup, menarik.


Ketika membacanya, di mana-mana muka pun sama saja. Tetapi barangkali Pram bukan untukku. Bagai sumpahan, aku tidak dapat melangsaikannya. Paling kuat beberapa muka sahaja. Secara kimianya, barangkali tidak boleh. Barangkali Pram berbintang Pisces, aku Virgo, justeru ia menjadi mustahil. Inilah sumpahan ramalan bintang buatku.


Aku boleh habiskan novel Shahnon Ahmad yang isinya asyik berulang-ulang daripada mula sampai habis atau skrip Lantai T. Pinkie yang banyak arahan pentasnya yang begitu ketat, seketat baju perempuan kabaret, Pinkie. Tetapi iya, tidak untuk almarhum Bung Pram. Tidak tahu mengapa. - Jimadie Shah Othman



Entri in sebenarnya ditulis lapan hari lalu.


Khamis, Februari 07, 2008

Sial, kenapa? (KEMASKINI)

Sial, kenapa buku (kelolaan) Khairul Anam Che Mentri dan Al-Mustaqeem Mahmood Radhi diharamkam? Kawan aku Suratno juga menulis di dalamnya. Suratno, bagi tau Alpha, banned ya, bukan burned! Apa lagi sesudah ini?
Baca lanjut dalam blog Fathi, Patah Baik.

2
Suratno pun memberi respon. Katanya:

Jim, spt aku tulis diblog lain, daripada kehabisan energi menghadapi kelompok2 yang suka "obral" fatwa2 haram, mending kau ikuti apa kata pepatah (proverb) saying that: ANJING menggonggong, KAFILAH tetap berlalu. Jika kita adalah KAFILAH-nya, maka mereka adalah....(you know what I mean lah!)

Entri ini disiarkan kali pertama pada 1 Februari lalu.

Rabu, Februari 06, 2008

Poskad kesepuloh untok kamu


* * *

Kami bergaduh yang amat sangat seolah-olah matahari terus tertelan ke perut lautan. Kepada perempuan muda itu saya kirimkan sepuloh hari permintaan maaf di atas sekeping poskad. Pada hari kesepuloh, ketika sang puteri melihatnya, di tangannya hanyalah sekeping poskad yang diam, putih, kosong, sunyi dan bisu. Engkau tulislah apa yang kau mau, tak ada kena mengena dengan aku. "Perempuan, pergi mampuslah!" seperti kata teman lama saya Rauf ketika putus cinta. Teman yang amat lama. Cerita yang amat lama. Dan engkau pun tahu tentang siapakah engkau. Tidak perlu lagi kata-kata dan makna.

Pengharaman buku: MEGC minta penjelasan

Berikut adalah siaran akhbar oleh MEGC berikutan pengharaman buku Islam dan Pluralisme dan lain-lain.

Middle-Eastern Graduates Centre Sdn Bhd
5A-4, Block F1, Jalan PJU 1/42A, Dataran Prima, 47301 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
tel +603 7803 2545 fax +603 7803 2543 email megcentre@gmail.com

Siaran Akhbar
5 Februari 2008


Middle-Eastern Graduates Centre (MEGC) berasa sangat terkejut dan sungguh kesal dengan tindakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) mengharamkan buku “Islam dan Pluralisme” terbitan MEGC, bersama 10 buku lain, seperti dilaporkan di media pada 29 Januari dan 30 Januari 2008.

Selain kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak KKDN berhubung pengharaman tersebut sangat kabur dan sewenang-wenangnya, kami juga melihat pengharaman ini sebagai suatu langkah yang bercanggahan dengan semangat keilmuan dan kemajuan seperti diharap-harapkan oleh idea-idea asas Islam Hadhari yang diterajui oleh YAB Dato’ Seri Perdana Menteri.

KKDN tidak memaklumkan perkara ini kepada pihak kami dan tidak juga menyertakan sebarang justifikasi atau bukti kukuh bagi menyokong tindakan mereka.

Buku “Islam dan Pluralisme” diterbitkan, bertujuan antaranya, sebagai satu perbahasan untuk mengulas fatwa Majelis Ulama Indonesia (MUI) yang mengharamkan pluralisme, liberalisme, dan sekularisme. Selepas fatwa ini, beberapa pihak di Malaysian telah menyusun beberapa rencana—menerusi perbincangan dan penulisan—bagi menyokong fatwa tersebut.

Pada waktu itu, tiada suatu usaha pernah diambil untuk memberikan penjelasan atau penerangan yang berimbang berhubung fahaman-fahaman tersebut di negara ini. MEGC menerbitkan “Islam dan Pluralisme” sebagai satu tawaran bagi melanjutkan perbahasan ilmiah tentang perkara tersebut.

Menyedari bahawa pluralisme bukanlah sesuatu yang terlalu asing dalam tradisi keilmuan Islam, kami mengutip dan menterjemahkan beberapa tulisan yang cuba menjelas realiti kejamakan (plurality) dan pluralisme keagamaan dalam teks-teks agama (Al-Quran dan hadis), sejarah, tradisi, dan idea-idea yang terkandung di dalam karya para sarjana agung Muslim, khususnya daripada aliran sufisme.

Kami juga berasa keliru dengan kenyataan pegawai KKDN Che Din Yusoh yang dipetik sebagai berkata, bahawa “Sekiranya penerbitan itu dibiarkan, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam dan seterusnya boleh memudaratkan ketenteraman awam.”

Pada hakikatnya, penerbitan buku “Islam dan Pluralisme” itu dibuat sebagai salah satu usaha dan sumbangan kami ke arah mengembangkan masyarakat beragama yang lebih berlapang dada serta hidup dengan lebih harmoni di tengah kepelbagaian bangsa, agama, dan budaya seperti di Malaysia.

Justeru itu, kami berasa hairan dengan tindakan pengharaman buku ini kerana langkah ini tidak membantu usaha-usaha membentuk sebuah keluarga besar bangsa Malaysia yang saling memahami, berfikiran terbuka dan dipertalikan oleh semangat kemanusiaan.

MEGC akan menghantar surat kepada pihak KKDN secepat mungkin untuk meminta penjelasan, alasan terperinci, dan justifikasi bagi pengharaman tersebut. MEGC juga mengharapkan KKDN menimbangkan semula pengharaman ini dan menarik balik larangan ini.


Al-Mustaqeem Mahmod Radhi
Pengarah Eksekutif


Maklumat asas buku “Islam dan Pluralisme”

Tajuk: Islam & Pluralisme
Penyunting: Al-Mustaqeem Mahmod Radhi & Khairul Anam Che Menteri
Tahun diterbitkan: 2006
Penerbit: Middle-Eastern Graduates Centre Sdn Bhd (MEGC)
Tebal: 120 muka surat
Jenis buku: Terjemahan/susunan artikel-artikel daripada enam ahli akademik dan pemikir

Isi kandungan buku:

Pendahuluan – “Bercakap tentang Pluraliti: Aku Manusia vs Aku Muslim”
Oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi

Bab 1 – Pluralitas Makna Pluralisme (Agama)
Oleh Suratno, pensyarah Jabatan Falsafah & Agama, Universitas Paramadina, Jakarta, Indonesia

Bab 2 – Iman dan Kemajmukan Masyarakat Intra-Umat Islam
Oleh Nurcholish Madjid (allahyarham), pemikir Islam yang terkenal di Indonesia

Bab 3 – Islam dan Pluralisme
Oleh Asghar Ali Engineer, penulis terkenal berasal dari India

Bab 4 – Macam-macam Jalan ke Syurga
Oleh Reza Shah-Kazemi, sarjana dalam bidang Perbandingan Agama dan bekas konsultan di Institut Kajian Dasar (IKD), Kuala Lumpur

Bab 5 – Kristian di Masjid Nabawi: Renungan ke dalam Sunnah
Oleh Reza Shah-Kazemi

Bab 6 – Pluralisme Keagamaan dan Islam
Oleh John Hick, profesor emeritus dalam bidang falsafah agama

Bab 7 – Etika Global
Oleh Hans Kung, presiden Global Ethics Foundation dan juga penggerak utama bidang dialog antara tamadun (inter-civilizational dialogue) di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

Tentang penerbit: Middle-Eastern Graduates Centre (MEGC) adalah sebuah pusat kajian dan penerbitan bagi mempromosi isu-isu kebebasan dan masyarakat sivil, berlandaskan tradisi keagamaan dan pemikiran moden. Prinsip-prinsip utama yang menjadi perhatian MEGC ialah kebebasan individu, keterbukaan, persaingan dan kemandirian. MEGC didukung oleh peminat dan pengkaji sejarah, budaya, pemikiran dan isu-isu rantau Timur Tengah.

Tentang pengasas: Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, lulusan bidang syariah di Universiti Mu’tah, Jordan, seorang penterjemah buku, editor majalah dan wartawan/penulis isu-isu Islam, falsafah dan seni budaya.

Selasa, Februari 05, 2008

Cerpen: Konteks, Udara dengan bau ibuku dan interupsi-interupsi lain

Oleh Mohd Jimadie Shah Othman

Tulisan ini dimuatkan kembali daripada tabloid
Mingguan Wasilah keluaran terkini, 3-9 Februari 2008.

Ada kotak tiga segi yang tidak kelihatan antara kita. Terus kepada subjek: Saya benci orang tua; dan ini cerita si racau-racau. Kotak-kotak memisahkan kita.


Berkali-kali Wan kata dia mahu menikah, dengan orang Pontian – tempat Konfrontasi 1963 sabung-menyabung. Bakal bapa mertuanya pernah keciritan dengan pendaratan tentera merah putih – jadi 'tikus', meresap ke permukaan selimut. Bapa mertuanya kata, Konfrontasi celaka. Indonesia Raya satu projek khas hegemoni komunis di Asia. Bapa mertuanya kata begitu. (Soekarno kata Malaysia satu projek Bristish anti komunis.)


Bapanya benar si bacul. Dia tidak berbuat apa-apa selain memaki-maki komunis. Dengan anak 'tikus' itulah Wan jatuh cinta. Saya turun dekat LRT Bangsar, katakan pada Wan, "menikah muda bagus, jadi tua (waktu) muda tidak bagus."


Hanya itu rasa bimbang saya.


Wan dan kawan-kawan sekerja teruskan perjalanan ke Perlis. Saya tunggu teman penulis dari Pantai Dalam, naik motosikal terus ke Bukit Persekutuan, masuk dalam 'kotak'.


Kedua, teks.


Ketiga, konteks.


Keempat, konteks.


Pertama, cinta.


* * *


Bekalan makanan terputus dan kita akan kelaparan. Semua kita. Di dalam bilik, saya menjadi 'tikus'. Kota Bangsar ini (malamnya ) jadi bisu. Saya bayangkan 'hantu-hantu' Singapura memberkas, dan kita sungguh disiksa sampai mati.


Itu semua saya bayangkan, saya igaukan. Saya percaya perang akan meletus bila-bila saja. Singapura melanggar Johor sampai Wilayah. Negeri-ngeri Melayu Utara diramas Siam. Sabah, Sarawak, Labuan diganyang oportunis Indonesia. Kita daging-daging haiwan dalam pinggan, dirakusi segenap penjuru. Saya sungguh tidak patriotik. Saya tidak ada. Eksistensi saya adalah pseudo. Saya berkubu dalam selimut sendiri.


Sejak awal saya percaya, saya berhipotesis, Dr. Azahari dari Johor itu tak henti-henti mahu memusnahkan Indonesia dengan bom sabun cap Kapaknya. Dia fundamentalis agama, antisekular, percaya Islam mazhab perang. Sebab itu Indonesia membenci kita. Nasib baik Susilo menang jadi Presiden menggantikan Mega. Jika tidak barangkali Kuala Lumpur jadi beras tembukut. Dendam konfrontrasi Soekarno 1963 mengalir dalam tubuh perempuan pertama parti kepala seladang itu.


Seluruh dunia bergulat. Bumi jadi neraka sfera. Perang dunia. Dunia perang. Perang, apa makna saya? Perang, saya manusia bukan Bush, bukan Sharon, bukan Saddam, bukan Soekarno, bukan Mao, bukan Che. Saya membenci dan melaknat malaikat maut. Saya tak ingin terlibat permainan 'dewa-dewa'. Saya hanya mahu meneruskan konvensi seorang penganggur bekas mahasiswa, berkubu lagi dalam selimut, seperti biasa dan selalu. Hanya itu kemahuan saya. Tidak kebuluran dan ketakutan ini. Tidak perang-perang atau bunuh-bunuh.


Sungguh, saya melalui 21 hari yang perit. Di semenanjung, Singapura hanya mengambil tujuh hari memusnahkan segala prasarana asas. Hanya dengan sebiji bom ke Paka, seluruhnya kita bergelap-gelita. Kemudian empangan-empangan diletupkan. Kuala Lumpur macam kota tinggal.


Hari ketiga, timbul desas-desus mengatakan KLCC akan jadi WTC kedua tepat jam 12 waktu tempatan. Kemudian serangan udara bertali arus sampai hari kelapan. Askar Kota Singa yang kini sampai ke Muar akan menjarah pantas ke ibu kota dan seboleh mungkin menangkap orang-orang di Putrajaya.


Tetapi saya tidak mungkin lari. Ini kota saya. Ini selimut saya. Ini udara saya. Mana mungkin. Udara ini ada bau ibuku.


Saya bertahan sampai hari ke-21, tetap di rumah, juga di dalam selimut yang itu-itu juga.


Hari ke-22, tanpa apa-apa, selain ringgit dan kad pengenalan, saya menyusur sejauh mungkin dari kota ini, mengelak menuju pusat bandar Kuala Lumpur. Saya berkira-kira ke Melaka. Seboleh mungkin mengelak bertembung 'anjing-anjing' Singapura dan menyusup (secara) haram pelan-pelan ke Acheh. Barangkali gonjang-ganjing juga nantinya dengan Tentera Nasional Inonesia (TNI) bersama Gerakan Acheh Merdeka (GAM). Saya orang tidak merdeka.


Seharian saya berjalan dengan mata tepat ke jalan, ke tanah. Saya melihat jam, hampir 13:00 Berhenti sebelah lebuh raya, saya mengesat peluh, minum air dan merokok. Merokok menghilangkan rasa bacul saya.


Saya terasa ingin melihat ke belakang, hanya melalui cermin kereta. Tetapi hati kecil saya kecil kata tidak. Tepat 12 saya tewas. Saya berpaling. KLCC tidak lagi kelihatan dan peluru-peluru bergulat seperti kuku malaikat. Saya ambil beberapa momen, tarik nafas dalam-dalam. Benar, udara ini ada bau ibuku. Kami tidak berhubung. Dia mengungsi. Dan udara ini ada bau ibuku.


* * *


Ketiga, konteks. Keempat, pilihan. Seterusnya ego.


Wan percaya cintanya kepada laki-laki genit pontian adalah benar. Saya tidak. Bahkan saya meragukan keabsahan persahabatan kami. Lebih awal dari itu, kesedaran diri. Lebih awal lagi, eksistensi kita sebagai jisim, dalam (ruang) jisim-jisim lain yang sering saya sangkakan tiada beban (teks) ingatan.


Tetapi Wan dalam kotak yang lain. Dia memandang dan merasai nikmat yang lain. Yang mustahil dan tahyul bagi saya. Tapi bukankah pandangan, pendirian dan pilihan itu suatu premis yang sangat peribadi?


Sejak dunia bergoncang lagi, keamanan tinggal slogan, saya tidak pernah bertemu dengan Wan. Setahu saya dia telah menikah dan kini jadi perempuan buntal (mengandung) yang tua dan hodoh. Dia masih jadi misi di Klinik Kesihatan Kaki bukit, Padang Besar, Perlis. Saya pula masih di Bangsar, menganggur, merempat dan lupa berdoa.


Di tepi lebuh raya, menuju ke Melaka inilah saya bertemu suaminya. (Pada mulanya saya fikir dia perisik Singapura kerana datang dengan tiba-tiba dan memuntahkan pertanyaan bertalu-talu.)


Di atas bot, ketika kami diseludupkan ke Acheh baru saya sedar dunia ini benar-benar bulat, mujarad, absurd, berperca-perca dari teks yang sangat fleksibel, anjal, cair. Dan saya tidak menjadi saya. Begitu juga laki Wan. Kehidupan saya sudah tidak bermakna tanpa bau ibu saya. Dan tanpa Wan, suaminya tinggal sebuah susuk hampa—kosong, tidak beerti dan terkutuk.


Selepas loceng dari gereja dibunyikan, para biarawati menyanyikan Helelujah, Jinggle Bell dijadikan nada dering telefon bimbit, tepat jam 02:42, enjin bot kami berhenti berbunyi. Rosak dan tidak dapat dibaiki. Di atas kepala pesawat perang sabung menyabung seperti Ababil yang dikirim tuhan, membawa batu-batu kecil dari neraka dan dihunjam ke dagu Abrahah yang gila (perang).


Saya dan suami Wan tidur. Setelah terganggu dengan dengkurnya, saya terjaga. Tidak ada jam. Tidak ada masa. Cuma laut. Laut. Laut. Matahari muncul dan terbenam di ufuk hujung yang sedikit melengkung. Kemudian pagi 26 Disember itu, dinginnya sedikit lain. Bayunya seolah menangis.


Saya bau ibu saya dalam udara ini. Saya bau tanah merah yang menimbus jenazahnya. Saya bau rumput-rumput segar, yang kering, yang masam, dan yang kering. Suami Wan, lelaki tolol yang asyik menyebut-nyebut kebimbangannya kepada bini muda tidur. Pemandu bot tidur. Terus tidur.


Laki-laki muda itu, ia diam di sisi saya. tanganya memegang sebungkus Maggie kari berharga RM 7.50.00. Ekonomi jadi bangkai yang dikelilingi dubuk-dubuk kapitalis. Perdana Menteri masuk ke lubang tikus dan mukanya tidak seperti Saddam.


Di kayu tempat duduk, ia menulis perkataan-perkataan yang menjadi puisi misteri:


Wan

Wan

Wan

Wan

Wan

Wan

Wan


Setelah bertahun-tahun saya membaca, menulis, melepaskan imaginasi, tidak pernah jantung saya bergoncang dengan tujuh baris perkataan sebegini.


Ombak melambung dahsyat dan (plastik) Maggie melayang-layang seperti watikah perang dari kumpulan yang digelar "anjing" kerana kelemahan, kebaculan dan ketewasan. Suami Wan, lehernya tidak jenjang tetapi ia lebam. Pemandu bot yang tadi pelupuknya rapat, di tangannya garfu plastik warna kuning. Ia meniarap seperti orang berbahagia (tapi ia sebenarnya celaka).


Di sisinya, sup yang masih lagi panas. Dan mee yang sedikit kembang. Saya melihatnya wajahnya seperti peta Singapura. Lantas saya buka seluar, tarik zip dan kencing ke hidung.


Dan kami tidak lagi menjadi manusia sehinggalah kepala kami diketuk dengan buntut senapang yang keras.


Bila kami buka mata, kami telah menjadi anjing kerana pernah memilih menjadi tikus. lipas-lipas mengerumuni kami. Tiada siang dan malam, matahari atau bintang-bintang. Tiada bau ibuku melainkan perfum kekasih yang jernih.


Dari jerigi, mereka bahkan melihat penjara dalam kepala kami. Orang mati. Serangkap puisi.


Jerigi tidak dikunci. Kami mampu lari tetapi tidak dari penjara yang tidak kelihatan ini.




Solidaritas

Walimatul Urus Attokz & Faizah


Ya, solidaritas. Sebenarnya "solidariti", dalam bahasa Melayu. Iya.

2
Saya ke rumah seorang teman. Dia penulis dan blogger. Tetapi bagi saya, saya lebih dulu kenal dia sebagai penulis, bukan blogger. Iya, sebuah perjalanan yang sukar dan meninggalkan kesan. Hujan, datang lewat, salah rumah kenduri, payah parkir dan macam-macam masalah lagi.

Kata teman ini, saya ceritakan kembali (dia tidak sebut perkataan off the record, so bukan salah saya kan), dalam borak-borak kosong, respon kepada soalan saya sebelumnya, "tak ramai penulis yang datang."

"Blogger?"

"Blogger ramai."

Itu realiti. Saya kata di kalangan penulis kreatif macam kita, masalah utama kita adalah solidaritas. Semua orang ada kaitan dengan kita dan semua orang tak ada kaitan dengan kita. Baca K-Eight untuk faham lebih lanjut.

Tak macam dalam dunia kewartawanan. Masalah kau-kau, aku-aku lebih serius. Sebab itu selalunya apabila masalah menimpa, yang menuntut solidaritas, biasanya mangsa akan tinggal keseorangan. Lihatlah kasus apa pun. Pak Samad dengan isu Komsas (sebelumnya royalti), masalah pengharaman buku, masalah penapisan dan lain-lain.

Sebab itu janganlah jadi penulis. Memalukan. Kalau bukan persaudaraan dan solidaritas, apa lagi yang tinggal untuk kita dan orang-orang seperti kita.

Kepada Attokz dan Faizzah (betul ya?), selamat menikah dan berbahagialah.

Sebelum balik, saya dan teman-teman bergambar dengan raja dan permaisuri ini. Kami katakan padanya and they live happily ever after. Klise. Cukup klise.

Saya sebenarnya tidak suka bergambar. Tetapi saya tau pengantin suka. Kata saya kepada Khalid. Yang lain diam. Nizam tidur. Kenyang.

Gambar ini boleh dilihat di sini atau klik pada gambar di atas.

Perempuan pakai Maskara (lagi)

Maskara 6


Sabtu lalu kami ke Rumah Pena. Kenapa kami ke Rumah Pena? Lepak-lepak dan melepaskan kebosanan. Tidak lebih daripada itu. Tidak minum arak atau Barbacha (entah macam mana ejaan dia). Seperti biasa, kalau ada kroni yang membuat persembahan, Nizam akan memegang kamera video, Khalid dengan plain photo-nya dan saya akan bertepuk tangan. Kemudian, gambar-gambar itu kami masukkan dalam Picasa dan YouTube. Sorry ya, Flickr tak main. Entah kenapa, aku benci sangat Flickr. Seperti biasa Khalid mengekalkan kualiti foto-fotonya yang hampeh dan tidak berkualiti. Foto-foto ini boleh dilihat di sini. Boleh juga klik pada gambar di atas.

Penonton boleh dilihat bertambah dan masing-masing nampak enjoy. Hujan renyai, tanah basah. Tentang Maskara kali ini saya tidak mahu komen. Cuma, benderanya nampak macam bendera Jepun. (Pulak!)

Panah

Panah Arjuna (lihat gambar) dan saya bukan kenalan rapat walau pun dia penulis dan mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) seperti saya. Dia dua tahun senior daripada saya. Tetapi MPR tidak menemukan kami, melainkan melalui internet dan blog. Agak aneh, berbual dengan Panah seperti berbual dengan teman lama. Dia mesra, baik, disiplin menulis dan kadang kala humor juga. Minggu lalu saya sempat YM dengan dia. Katanya dia sibuk. Sedang menekuni novel katanya. Seingat saya dia ada kata sakit kepala. Panah masih muda, belum menikah dan penuh dengan energi. Oleh itu, saya tidak sangka dia mati awal, mati mudah. Kata Dahri, AJ SMS dia bagi tau bahawa minggu ni malaikat tangkap borang. Benar, ada benarnya. Dan bukankah orang baik mati awal? Dan tinggallah orang-orang jahat seperti kita yang seperti Firaun berbuat kerosakan di muka bumi ini.

2
Minggu lalu saya membaca kembali Hadis 40 (tetapi saya fikir jumlahnya bukan 40, ada 42 sebenarnya) tentang peristiwa akhir zaman. Khabarnya pada akhir zaman ilmu akan diangkat ke langit. Bagaimana? Dengan mematikan ulama' dan ilmuan-ilmuan. Oleh itu, saya fikir, kematian Panah bukan sekadar kematian fizikal, tetapi juga ilmu pengetahuan. Perjalanannya telah sampai ke hujung. Hampir dengan judul blognya, "Blog Perjalanan Panaharjuna".


3
Banyak kali menyebut perkataan Belasungkawa menyebabkan perkataan ini tidak lagi bermakna. Baiklah Tuhan, saya kalah. Saya tidak mahu menyesali taqdir. Saya redha dan kembalikan segalanya untuk Tuan.

Gambar koleksi arwah daripada blognya.

IKLAN

Terdapat ralat dalam alat ini

Label

Personal (47) Filem (42) Politik (32) Budaya (21) Sastera (21) Kreatif (16) Agama (15) Blogzine republik KATA (14) Artikel (11) Buku (11) Jalan Telawi (11) Meor Yusof Aziddin (11) Pekak (11) Pendidikan (9) Pencerahan (8) Sejarah (8) Cinta (7) Kewartawanan (7) Lagu (7) Sajak (7) Bahasa (6) Belasungkawa (6) Jimadie Shah Othman (6) Media (6) Teater (6) Blog Foto (5) Deaf Cultures (5) Fiksyen (5) MySL (5) Subversif (5) Anwar Ibrahim (4) Foto (4) Islam (4) Komuniti Pekak (4) Lao Zi (4) Maskara (4) Puisi (4) Tao (4) society (4) Adi Putra (3) Bahasa Isyarat (3) Carutan (3) Cerpen (3) Folk (3) Kemanusiaan (3) Metafizik (3) Rumah Pena (3) A Samad Ismail (2) Ahmad Kamal Abu Bakar (2) Aidil Fitri (2) Amin Iskandar (2) Anugerah Khatulistiwa (2) BN Perikatan (2) Catatan Pinggir (2) Daiyan Trisha (2) Demo (2) Drama (2) Etika (2) Gambar (2) Hamsad Rangkuti (2) Ili Farhana (2) Islam dan Pluralisme (2) Jepun (2) Karam Sikh (2) Komedi (2) Maskara 7 (2) Mikon (2) Mingguan Wasilah (2) Novel (2) PRU 12 (2) Pantun (2) Pas (2) Pramoedya Ananta Toer (2) Sastera Underground (2) Seni Multimedia (2) Seni Persembahan (2) Soceity (2) Sosial (2) Tanggapan (2) Tidak dikategorikan (2) Travelog (2) Utusan Malaysia (2) Yahudi (2) lagu raya (2) pop (2) sam ahmad (2) 'Mantan' Sasterawan Negara (1) 10 x 10: 100 Minutes to Change the World (1) 127 Hours (1) 1957: Hati Malaya (1) 1998 (1) 300 (1) 9 Naga (1) A. Samad Said (1) AEI (1) Ahadiat Akashah (1) Al-Hidayah (1) Allah (1) Amerika Syarikat (1) Amiena Rev (1) Ana Raffali (1) Antara-Agama (1) Apuke (1) Aron Ralston (1) Ashutosh Gowarika (1) Astro (1) BERSIH (1) Balik Pulau (1) Berhala (1) Berita Harian (1) Bibir Dalam Pispot (1) Black 14 (1) Blog (1) Bumi Manusia (1) Bunyi (1) Chairil Anwar (1) Chamil Wariya (1) China (1) Cowboys and Aliens (1) DAP (1) Danny Boyle (1) Datuk (1) Democrat (1) Demonstrasi (1) Denias (1) Dominic Sena (1) Ezam Mohd Noor (1) Fikh Wanita (1) Free Burma (1) Fun (1) GAPENA (1) Gangguan Teksual (1) Gerak (1) Goenawan Mohamad (1) HINDRAF (1) Harry Potter (1) Hassan Abdul Karim (1) Hindi (1) Hollowood (1) Hollywood (1) Ibrani (1) Interview (1) Istana (1) James Franco (1) Jodha (1) KTBM (1) Kakiscript Playwright Competition (1) Karya (1) Katholik (1) Keadilan (1) Kebab Connection (1) Kebebasan Kreatif (1) Komputer (1) Komrad (1) Korea (1) Kristian (1) Kung Fu Dunk (1) La Nuit des Caligraphes (1) Makanan (1) Malaysian Book of Records (1) Mamat Khalid (1) Man Laksa (1) Manga (1) Manifesto (1) Mary Magdalena (1) Mat Sentul (1) Melaka (1) Merdeka (1) Muzik (1) Napoleon (1) Naskhah (1) Negaraku (1) Negarakuku (1) Nick Murphy (1) Nicolas Cage (1) Nopen (1) Novel bersiri (1) Obama (1) P. Ramlee (1) PKN (1) PKR (1) PRM (1) Pakatan (1) Pantoum (1) Papua (1) Pemanasan global (1) Pena (1) Pendidikan Khas (1) Penulis (1) Pilihan Raya (1) Politik Baru YB J (1) Potret (1) Prima (1) Progresive Folk (1) Promosi (1) Psikologi (1) Puchong (1) Pulau Pinang (1) Pushna (1) Rajinikhan (1) Rasuah (1) Razak Moheidin (1) Reformasi (1) Republican (1) Revolusi Kebudayaan (1) Ria (1) Rise of the Planet of the Apes (1) Rock (1) Ron Howard (1) Rudi Soedjarwo (1) Sarawak (1) Sasterawan Negara (1) Satira (1) Season of the Witch (1) Semusim di Neraka (1) Shah Rukh Khan (1) Shamsiah Mohd No (1) Sharif Shaa'ri (1) Shuffle (1) Siasah (1) Sivaji the Boss (1) Soekarno (1) Sosialis (1) SoundCloud (1) Subbudaya (1) Sucker Punch (1) Sukan (1) Syed Husin Ali (1) TV Realiti (1) Taiwan (1) Teman Muhasabah (1) The Da Vinvi Code (1) The Last Life in Universe (1) The Warlords (1) Turki (1) Umno (1) Umno PKR (1) Video (1) Wayang Pacak (1) Woman On Top (1) Xiu Xiu (1) Yeshoshafat Harkabi (1) Yusmadi Yusoff (1) Zack Snyder (1) Zaid Ibrahim (1) adiwira (1) arahkiri (1) berani bercinta (1) dendang buat ibu (1) duta solaris (1) entri yang pernah ditarik balik (1) gig (1) ingin jadi manusia (1) instrumental (1) iseekmusic (1) kotak hitam 5.0 (1) malay mail (1) moi last von (1) puisi jadi senjata (1) ramadan (1) satuarah (1) single (1) zulfikar samsuri (1)