IKLAN

Cari Blog Ini

Selasa, April 29, 2008

Barang naik

Pagi itu jam sepuluh. Aku keluar beli Utusan Malaysia dan lima bungkus nasi lemak depan rumah. Dalam Utusan Malaysia ada sajak temanku Salman Sulaiman fasal A. Samad Said "si sasterawan rakyat".


Budak Kelantan atau Terengganu jual nasi lemak itu baca Metro Ahad. Aku agak. Surat khabar itu ada atas meja dia. Sambil tunggu giliran nasi dibungkus, aku belek-belek akhbar itu. Entahlah tajuk apa, tapi tentang seks.


Sebelum itu, waktu aku minta lima bungkus nasi, dia kata, "RM 1.20, bang."


Kalau tak salah aku, ini kali kedua aku beli di gerai ini, selalunya Ahad aku bangun lewat langsung makan tengah hari. Daripada gayanya aku rasa ada kenaikan harga. Aku pun tanya, "dah naik?"


"Seminggu dah, bang," kata dia. "Beras naik," kata dia lagi."


"Semua jenis beras?" tanya aku lagi.


Dia jawab, "mak pakai beras timbang. Dulu sepuluh kilo 19, sekarang naik tiga ringgit," kata dia.


"Banyak," tambah dia lagi.


Kemudian dia cerita banyak benda juga naik. Dulu cabai, "tapi kita tak naik harga (nasi)," katanya lagi.


"Timun, bawang dan lain-lain?" Tiba-tiba aku rajin tanya dan dia juga rajin menjawab.


"Oh, timun ikut cuaca," kata dia. ("Pula," kata aku dalam hati.)"Kalau hujan turun harga dia tinggi, kalau cuaca elok rendah."


Oh, ini aku belum faham. Nampaknya pengetahuan ekonomi aku tak cukup lagi. Tapi di akhir perbualan, dia tegaskan nasi lemak biasa saja naik harga, nasi lemak ayam sama juga RM 3.50. "Kalau semua naik nanti orang tak beli," katanya lagi. Dan, "kalau ni tempat saya Kelantan, Terengganu, kita pakai beras Siam, lagi senang," kata budak itu.


Dia baik, dan rajin. Saya beri dia not sepuluh. Dia tanya (dan bagi tahu), "semua enam ringgit, abang ada satu ringgit?"


Dia tak ada duit kecil. Saya kata, "tadi ada, tapi dah beli surat khabar."


Dia bagi saya lima ringgit dan kata, "nanti bila-bila ada abang berilah."


Persoalannya, bilakah saya akan beli nasi lemak lagi padanya? Ahad depan belum tentu saya bangun tidur awal.


Namun daripada perbualan tadi, dapat saya renung, harga barang makin meningkat dan rakyat makin susah.


Seorang teman kami pernah bergurau, soalnya, "semua barang naik harga, apa yang tak naik?"


Teman kami yang lain menjawab, "kalau semua barang naik, satu barang juga tak ada naik."


Kamu tahu apa barang itu? Cuba teka.


"Kote."


Semua kami ketawa. - Mohd Jimadie Shah Othman

Isnin, April 28, 2008

Forensik: Kiri

Entri ini ditulis minggu lalu.

Music Forum, seperti slogannya Music Forensic cuba membedah Kiri, kumpulan enam pria. Bagi anak-anak muda yang terbiasa dengan persoalan ideologi, tak kira Kiri atau Kanan, nama Kiri itu sendiri sudah menjadi magnet yang kuat. Tetapi nyata menghabiskan dua jam dengan kumpulan ini, Kiri bukanlah Kiri yang sebenar. Kiri cuma pada nama. Mereka tidak menganut mana-mana mazhab Komunis-Marxisme dan tidak ada elemen kekirian atau subversif yang kuat dan nyata dalam karya-karyanya.


Kiri dilahirkan melalui Rock Unite, diasuh menjadi pop. Mereka juga barangkali tidak pasti dengan jalur masing-masing. Kiri semacam mengidentitikan diri mereka sebagai hybrid, rojak, namun tetap dengan kiblat Rock. Persoalan hybrid itu nyata menarik perhatian penonton yang hadir. Hybrid dalam diskusi tersebut merujuk kepada arragement dan komposisi seperti Aniaya yang menggabungkan pelbagai elemen daripada punk rock kepada raggae.


Sekali dengar mengingatkan kita kepada System of a Down. Tetapi kiri tidak sampai tahap itu. Kiri semacam terdesak berkompromi dengan pasaran (istilah yang digunakan adalah balance, bukan compromise). Lagu 20 % misalnya berkisah tentang korupsi tetapi belum apa-apa, anak-anak muda ini telah menapis diri mereka sendiri. 'Ketakutan' yang diasuh itu menyebabkan timbulnya igauan "jika saya terus dengan lirik ini, saya tidak akan berada di Malaysia".


Dari sudut sound saya tidak mendengar sesuatu yang fresh daripada kumpulan ini. Terus terang Kiri tidak mencuri minat saya. Tiada yang memikat. Cuma sekadar boleh. Pemuzik tanpa attitude dan karektor tidak boleh melakukan itu. Mendengar Kiri membuatkan saya rasa tidak berada di Malaysia. Tidak berbicara dengan lingkungan, mood dan jiwa tanah ini.


Album mereka RU13 terbit hujung tahun lalu. Laman MySpace mereka boleh dilayari di myspace.com/kiriband.

Jumaat, April 18, 2008

Selamat tinggal MySL TC

Ketika anda membaca entri ini, saya mungkin tidak lagi berada di Pusat Latihan MySL (MySL TC). Saya bukan lagi milik MySL TC. Seperti kekasih lama, kami berpisah sudah, dalam tangis dan air mata. Sungguh, terasa sebak ketika memuatkan barang-barang personal di meja dan laci. Sebahagian daripada kamu saya tinggalkan sapaan terakhir, sebahagiannya tidak. Saya tidak mampu. Anda semua terlalu ramai dan saya menghabiskan masa dalam keadaan menyedihkan bukanlah minat dan kemampuan saya. Seperti pendekar kerajaan dan jelitawan pisau belita dalam filem China The House of Flying Daggers, "saya adalah angin. Saya datang. Saya pergi. Tiba-tiba. Saya adalah angin."

Begitulah saya ingin pergi.

Seperti kelaziman, saya ingin hulur sepuluh jari pohon maaf atas segala salah dan silap selama berkhidmat di sini. Kawan-kawan semua terlalu baik untuk saya. Justeru, saya fikir tidak perlu memberi sebarang maaf kerana tuan-tuan tidak pernah berbuat salah kepada saya. Kalau ada termakan, terminum harap halalkan dunia dan akhirat.

Saya akan memasuki fasa baru Isnin ini. Sebahagian besar masa dan hidup saya akan kembali habis di Bangsar. Tempat yang saya tinggalkan beberapa tahun lalu.

Dan seluruh kaki saya akan masuk dalam dunia kewartawanan. Sebuah karier yang amat mencabar dan pernah menjadi cita-cita. Selamat datang dunia baru. Selamat tinggal dunia lama.

Saya adalah angin. Saya datang. Saya pergi. Tiba-tiba. Saya adalah angin. Begitulah saya ingin pergi.

Terima kasih.

Entri ini saya tujukan kepada seluruh warga dan pelatih MySL TC dan seluruh staf Persekutuan Orang Pekak Malaysia.

Rabu, April 16, 2008

Tangan Midas

Aku kena tag dan tag bagi aku adalah permainan bodoh. Tetapi permainan bodoh itu buat kita happy dan suka.

1) Apa superpower idaman anda?

Saya mahu tangan Midas.

2) Kenapa atau untuk apa superpower itu yang anda pilih?


Raja Midas, dalam sejarahnya, benda yang disentuhnya akan bertukar menjadi emas. Dengan tangan Midas, saya boleh jadi kaya raya, jadi saudadar emas.

3) Kelemahan superpower anda.

Oleh kerana semua benda yang disentuh akan menjadi emas, Raja Midas pun mati kebuluran sebab manusia tak boleh hidup dengan makan emas.

4) Nama anda sebagai hero

Saya cuma mahu superpower, tak mahu jadi superhero. Jadi, tak ada nama hero.

5) Motto anda sebagai superhero?

Soalan ini tidak berkaitan.

LIST OUT THE TOP 5 PRESENTS YOU WISH FOR

Saya tidak mahu apa-apa. Terima kasih. Tapi kalau mahu bagi juga, bagilah saya RM 10,000 sekarang. In cash ya.

LIST OUT THE REASONS FOR YOUR CHOICES

Tidak ada kena mengena dengan kamu. Urusan peribadi.


THE PERSON WHO TAGG-ED YOU IS

Cik Diela

IMPRESSIONS OF HIM and HER

Baik

MOST MEMORABLE THINGS HE/SHE HAS DONE FOR YOU

Berbaik sangka

MOST LOVED INVENTION
Hawa

WHAT DO YOU DESPISE THE MOST

Sebarkan tag ini kepada 10 rakan yang lain. Kalau tak mampu, 5 pun ok!

1. Anwar Ibrahim. He, he, dia takkan berani sahut cabaran ni punya!
2. Sophie.
3, Mardhiah, dia mesti banyak jawapan.
4. Tuan Tanah
5. Gobind Sikh

Ha, ha! Puas hati dengan jawapan ini.


La Nuit des Caligraphes

"Hidupku berakhir pada 26 April 1986: umurku delapan puluh tiga. Istanbul sedang merayakan Pesta Kembang Tulip di Emirgan…. Kematian tak membuatku takut. Ajal hanya kejam terhadap mereka yang takut kepadanya." - Yasmine Ghata 2004. La Nuit des Caligraphes.

Pembukaan sebuah novel yang amat menarik. Guru besar esais Indonesia memperkenalkannya.

Isnin, April 14, 2008

Empat belas

Siapa lupa 14 April 1999, yang, saban tahun kita kenang sebagai BLACK 14?

Dan malam ini di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, siapakah yang berani hadir? Dan siapakah yang tidak peduli?

Lima puluh

Tentang 50 Tahun Politik Orang Melayu karya Razali Endun


Saya bukan peminat Pak Habib atau Subky Latiff. Karya-karya jenis ini saya kira sangat simplistik, prejudis dan bersifat spekulatif. Tetapi tidak dinafikan, tulisan jenis ini amat popular.


Kali pertama membelek 50 Tahun Politik Orang Melayu (selepas ini disebut 50 Tahun saja), buah tangan terbaru penulis prolifik Razali Endun memberikan tanggapan bahawa tulisan-tulisan dalamnya masuk dalam kategori tadi. Sesudah habis menekuni 178 muka buku terbitan Badan Penulis dan Karyawan Kreatif (PIKIR) ini, saya fikir tanggapan saya tidak salah. Saya setuju, membaca 50 Tahun seolah-olah membaca artikel bersiri di majalah politik ringan.


Untuk orang seperti saya, buku ini tidak menarik tetapi sangat baik ebagai bacaan awal politik Malaysia. 50 tahun menggunakan ayat dan gaya bahasa yang mudah. Membacanya seolah membaca buku teks bagian politik moden Malaysia. Ia bermula dengan kedatangan Parameswara membuka Melaka sampai protes besar Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf). Ia tidak sempat menunggu tamatnya Pilihan Raya Umum ke-12, jika tidak sudah tentu buku ini menjadi lebih tebal dan kompleks.


Sebagai bacaan awal, buku ini harus kita baca dengan lapang dada. Oleh kerana sejarah ditulis oleh pihak yang berkuasa, sejarah negara kita seolah-olah sebahagian besarnya bermula dengan ptotes terhadap Malayan Union oleh UMNO; serta 'berjayanya' formula Perikatan sesudah kemerdekaan.


Sejarah tidak dilihat dengan terbuka dan kritis. Razali cuba memberikan alternatif terhadap tafsiran itu. Razali yang kita kenal adalah penulis prolifik yang cenderung ke arah bukan mainstream. Sesiapa yang pernah membaca Dua Era, tulisan pertama beliau sesudah 'hibernasi' penulisan beliau yang panjang pasti sedar hakikat ini.


Dengan terus terang beliau mengaku, kembali menulis kerana pergolakan 1998 akibat pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada kerusi Timbalan Perdana Menteri (TPM). Politik sentiasa menjadi obsesi penulis ini. Malah hampir semua karya-karya beliau, terutamanya nonfiksyen sangat sarat dengan nada politik dan kritik sosialnya. Razali nyata bukan dua bagian daripada teks dan dunia realiti, sebuah kejujuran.


50 Tahun mengajak umat Melayu merenung kembali nasib bangsa dalam catur besar politik negara. Apabila mengulas politik orang Melayu, tidak lepas tidak, persoalan MIC dan MCA mesti turut disebut. Bagi Razali, orang Melayu ketinggalan dalam banyak bidang dan tidak punya pressure group seperti bangsa-bangsa lain. Hindraf misalnya menjadi mekanisme check and balance kepada MIC. Begitu juga DAP dan MCA, walau pun DAP pada dasarnya adalah terbuka untuk pelbagai kaum.


Paling menarik dalam buku ini adalah tentang kisah 'kesetian' Cina MCA sesudah pengharaman Umno 20 tahun lalu. Mengikut Razali, apabila sebuah parti dominan dalam kerajaan diharamkan, maka ia tidak punya sebarang kuasa atau hak politik. Maksudnya, dalam period itu, MCA merupakan parti terbesar dan terkuat dalam BNl. Secara praktikalnya, MCA oleh memimpin BN, seterusnya melantik Perdana Menteri yang baru daripada kalangan orang Cina. Namun, Razali juga tidak memberi jawapan kepada persoalan yang beliau timbulkan ini. Beliau menggantungkan kepada pembaca.


Selain itu, 50 Tahun adalah sejarah biasa yang tidak kita baca daripada buku teks sejarah di sekolah. Selamat membaca. Tidak sia-sia. Hadiah Razali sempena usia emas 50 tahun Malaysia. - Mohd Jimadie Shah Othman



Share life's special moments with Photo Gallery. Windows Live Photo Gallery

Sabtu, April 12, 2008

Opera China hilang kepala (kabilah)

Tentang filem The Warlords

Kehebatan panggung China adalah pada penceritaannya yang kaya dengan nilai falsafah politik. Layar Hollywood pula pada plot dan momen-momen memikat dan menakjubkan. Jika sebuah filem dapat menyatupadukan dua elemen ini maka konflik antara komersialisme dan nilai, kulit dan substance akan selesai.

The Warlords, sebuah buah tangan yang tidak berapa lama daripada layar China cuba menyatupadukan kedua-dua elemen ini, tetapi gagal. Hasilnya, ia menjadi sebuah filem yang tidak berkualiti lagi membosankan.

The Warlords berkisah tentang kekuasaan dan pertentangan sesama sendiri antara ketua-ketua kabilah di China lama. Kisah tentang sebuah zaman kemiskinan dan orang kebanyakan terpaksa menyertai kepala kabilah untuk mendapatkan makanan, perlindungan dan tanah.

Filem ini dipenuhi dengan babak aksi-aksi perlawanan dan kepahlawanan yang mencemaskan. Diadun teliti menjadikan ciri heroic protagonis terserlah. Tetapi selain itu, ceritanya perlahan, bertele-tele, suram dan kelam, sekelam visual dan tata cahanya. Maka, dengan sedaya upaya saya berjuang supaya mata tidak terpejam. Itu disiplin yang saya paksakan setiap kali menonton. Tetapi akhirnya saya tewas. Filem ini tidak mampu saya habiskan dan tidak juga akan saya ulang tonton kembali, sekurang-kurangnya buat masa terdekat ini.

Apa sudah jadi dengan panggung opera China? Filem sesudahnya Three Kingdom yang aku tonton pada hari pertama tayangannya juga macam tahi ayam. Jauh api dari panggang, ibarat langit dan bumi dengan kisah tiga negara yang kita dengar dan belajar dari sejarah. Apa sudah jadi dengan opera China?

Di manakah dia dulu yang aku cinta dengan sepenuh jiwa? Dimanakah dikau, sayang? - Mohd Jimadie Shah Othman

Khamis, April 10, 2008

Pesta Buku (Teks)

Ha, ha, ha! Semua penulis dan blogger sedang ghairah berkisah tentang buku apa yang mereka beli dan siapa yang mereka jumpa di Pesta Buku (Teks) dekat PWTC. Ha, ha, ha! Tahun ini aku tidak ke sana. Aku terbayangkan mamat-mamat dan minah-minah Lingua Phone yang suka menyekat orang lalu lalang dan 'paksa' orang beli kits belajar bahasa dia. Aku juga terbayangkan lambakan buku-buku kerja sekolah dan nota-nota sekolah yang mengalahkan buku-buku lain. Aku terbayangkan buku-buku agama terbitan Jahabersa dan yang seangkatan dengannya. Oleh kerana bayangan semua itu, aku tidak pergi. Walau terlajak ke kawasan itu, walau macam mana macet pun, aku lebih rela dengar Radio Era dan hisap rokok. Sekali sekala aku melalak seorang diri. Tidak, aku belum tergoda.

Kenapa Amiene Rev Menulis Nopen?

[Dari blog Duke Amiena Rev (http://dukeamienerev.blogspot.com)]

(Entri ini saya muatkan kembali di sini dengan membuang sebagian kecil para yang bersifat personal dan saya rasakan tidak penting. - Jimadie)

SOALAN
: Nampaknya berita saudara menulis nopen secara tiba-tiba mengejutkan beberapa pihak hingga ada yang menganggap anda telah berjaya mendapat satu lagi penerbit. Adakah tanggapan ini benar?

AMIENE REV: Tidak benar. Saya belum bercadang untuk mencari penerbit yang baru selepas mengenali dua penerbit sedia ada, walaupun saya juga cuba mendekati beberapa penerbit lain untuk melihat pendirian mereka mengenai hakcipta, keprihatinan mereka dan interaksi mereka. Setakat ini, saya akan berurusan dengan dua penerbit yang saya rasakan terbaik di Malaysia, secara peribadi. Dua penerbit terbaik di Malaysia (secara peribadi) ini ialah PTS Publication dan KarnaDya. Terbaik secara peribadi di sini bermaksud mereka bersedia menerbitkan genre-genre yang saya cadangkan (genre fiksyen remaja, misteri, thriller, perang dan fantasi) selain mereka sangat mengambil berat soal-soal kebajikan penulis seperti hakcipta, saraan hidup, moral, motivasi dan mampu menjawab setiap persoalan yang dikemukakan penulis. Dalam erti kata lain, mereka juga mudah dihubungi dan tidak membiarkan kita dalam tanda tanya.

Sekiranya ada penulis-penulis yang berminat menghantar karya, jangan pening-pening lagi, hantarlah karya ke penerbit buku dan novel karnadya.com.my atau www.pts.com.my (atau boleh menimba ilmu menerusi www.universitipts.com). Sama ada penulisan ilmiah, fakta atau fiksyen, remaja, dewasa atau kanak-kanak, semuanya mempunyai peluang untuk diterbitkan.

KarnaDya dan PTS juga mempunyai perancangan masa depan yang baik untuk buku-buku anda seperti peluang untuk buku anda dipasarkan ke luar negara, peluang untuk dijadikan drama televisyen atau filem, peluang kebajikan dan penjagaan royalti, peluang mengikuti bengkel-bengkel penulisan dan sebagainya. Hakcipta anda terjamin.


SOALAN: Satu soalan yang sering berlegar-legar di kepala peminat anda, adakah anda akan mencari penerbit yang lain?

AMIENE REV: Peminat? Manalah orang macam saya ni ada peminat. Perkataan mencari itu kurang sesuai dan seharusnya digantikan dengan menambah urusan. Saya akan membuat urusan dengan penerbitan yang lain sekiranya saya rasakan perlu dari segi meningkatkan peluang novel-novel saya diterbitkan dengan lebih cepat atas faktor royalti. Jika ada mungkin untuk tujuan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.


SOALAN: Maksud saudara, sekiranya kerja-kerja menerbitkan buku saudara didapati agak lambat dengan satu-satu penerbit, maka saudara akan menambah bilangan penerbit yang akan berurusan dengan saudara?

AMIENE REV: Ya, begitulah. Kita kena fikirkan faktor di sekeliling kita juga. Selain hubungan dengan penerbit, hubungan dengan keluarga juga perlu dijaga. Saya berharap agar dapat menyambung pengajian dengan kadar yang lebih cepat agar dapat pulang kembali ke Malaysia untuk menjaga kedua-dua orang tua saya atau membawa mereka tinggal bersama-sama saya di luar negara. Siapa lagi yang hendak menjaga mereka jika bukan anak mereka sendiri.


SOALAN: Oh, begitu rupanya. Adakah saudara tidak risau yang mungkin ada penerbit yang tidak suka dengan cara 'kahwin' ramai penerbit ini?

AMIENE REV: Penerbit tidak ada hak untuk menyekat penulis dari segi memilih penerbit. Itu tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Setakat ini saya telah pun berterus terang dengan penerbit-penerbit sedia ada dan saya mendapat maklum balas positif daripada mereka. Buku-buku saya akan ditulis mengikut kehendak penerbit. Jika Penerbit A tidak menerima cara penulisan yang demikian, maka saya akan mengusulkan kepada Penerbit B dan begitulah seterusnya. Dalam konteks ini, terdapat dua faktor utama kenapa saya menambah urusan dengan penerbit baru. Faktor pertama, faktor masa yang diperlukan untuk penerbit menerbit dan mengedar satu-satu buku. Faktor kedua, faktor masa menunggu pembayaran royalti. Sebenarnya kedua-dua faktor berkait. Lebih banyak buku terbit, Insya-Allah, moga-moga dimurahkan rezeki untuk mendapat lebih banyak royalti dalam satu-satu masa.


SOALAN: Kenapa saudara menulis nopen dan apakah maksud nopen dari sudut pandangan saudara?

AMIENE REV: Sebenarnya saya masih cuba memahami maksud nopen. Sama ada ia bermaksud novel-cerpen atau novel pendek. Kedua-duanya lebih kurang sama. Saya juga sedang mengkaji ciri-ciri nopen seperti format penulisan nopen dan sebagainya. Saya difahamkan genre nopen dianggap kurang popular maka susah untuk mendapatkan rujukan berkaitan dengan cara penulisan nopen. Berdasarkan pemerhatian terhadap nopen-nopen sedia ada, saya mempunyai dua pandangan. Menerusi pandangan pertama, saya berpendapat bahawa nopen ini memiliki bilangan bab yang kecil, dan setiap bab boleh berdiri sendiri seperti sebuah cerpen. Setiap bab memiliki cerita.

Saya memetik tulisan Saudara Mohd Jimadie Shah Othman di dalam blognya yang mengenai nopen seperti berikut: "

"Beberapa pengkitik sastera menamakan genre yang kurang popular ini sebagai nopen, gabungan daripada perkataan "novel" dan "cerpen". Genre ini dikatakan dirintis oleh Sasterawan Negara S. Othman Kelantan dengan novelnya Noghogo Astana dan penulis terkenal Anwar Ridwan dengan novelnya Naratif Ogonshoto yang membolot Hadiah Sastera Perdana.


Genre seperti ini lazimnya bermula dengan sebuah idea asas yang mendokong sebuah statemen. Kemudian, daripada idea asas itulah watak-watak dicipta dan dikembangkan untuk mendokong idea pengarang. Cerita seperti ini lazimnya sangat idealis dan ideologis. Nopen boleh dilihat sebagai sebuah keseluruhan; dalam masa yang sama berjuzuk-juzuk, boleh berdiri sendiri, tiada fokus cerita dan penuh dengan sub-plot."


(sumber petikan: jimadieshah.multiply.com - 24 Februari 2008)

(Jimadie's Site di Multiply tidak lagi beroperasi. Tulisan saya tersebut boleh dibaca di http://jimadieshah3.blogspot.com dalam entri Sastera Baru Era Big Brother. - Jimadie)

Berdasarkan kajian ini, maka saya menghasilkan tiga nopen yang berjudul Kisah Orang Lapar, Makan Daun dan Bubur Kertas. Saya masih mempelajari konsep penulisan nopen dan sedang berusaha mendapatkan jawapan daripada orang-orang berpengalaman dalam genre ini.


Saya berpendapat, selain menulis cerpen, nopen yang lebih dekat dengan penulisan novel merupakan satu cara untuk menguji kebolehan saya dalam bidang penulisan, sama ada pendekatan yang digunakan boleh menarik perhatian pembaca atau pun tidak. Ada kemungkinan besar, nopen ini akan diberikan secara percuma kepada beberapa orang yang saya kenal untuk memberikan maklum balas mengenai karya-karya tersebut.


SOALAN: Apakah perkara pertama yang menyebabkan anda menulis nopen? Adakah kerana mendapat dorongan daripada sesiapa? Penulis terkenal misalnya.

AMIENE REV: Kalau secara langsung, tidak ada. Namun, tidak dinafikan terdapat banyak perkara atau faktor yang mendorong saya menulis nopen. Pertama, saya melihat buku koleksi nopen Biarlah Ku Sendiri (KarnaDya), nopen Satu Penantian (KarnaDya), novel mini Pudarnya Cinta Cleopatra (Habiburrahman El Shirazy - AR) dan novel-cerpen K-Eight (Sindiket Soljah).

Saya juga terdorong untuk menulis nopen kerana tertarik dengan personaliti Novelis Popular dan Remaja - Aina Emir, Novelis Islami - Habiburrahman El Shirazy, Tokoh Blogger Sinaganaga dan Tokoh Blogger Tok Rimau. Mereka inilah yang sentiasa saya ingat semasa idea untuk menulis nopen itu datang. Tafsiran saya terhadap format penulisan nopen juga terbina selepas meneliti cara penulisan nopen yang mereka gunakan.

Faktor lain yang mendorong saya menulis nopen, ialah faktor masa. Saya mendapat nopen yang ditafsirkan sebagai novel mini memiliki 4-5 bab sahaja. Saya sebelum ini pernah menyiapkan 4 bab dalam masa 6 hari untuk sebuah novel berat. Maka saya berpendapat, nopen merupakan permulaan terbaik sebelum saya menuju ke genre yang lebih serius.


SOALAN: Adakah anda memiliki idea-idea untuk penulisan novel?

AMIENE REV: Ya, sudah ada. Sudah berpuluh-puluh idea dan cuma belasan idea sahaja yang telah dimaklumkan kepada dua penerbit yang disebutkan. Dua atau tiga tahun lalu saya ada mengirimkan beberapa sampel bab novel perang kepada orang terpenting PTS, dan sampel tersebut mendapat maklum balas positif. Saya masih ingat komen yang diberikan: "Inilah corak penulisan yang sedang kita cari!" Komen tersebut telah memberi semangat baru kepada saya. untuk menceburi bidang penulisan novel perang pada masa akan datang. Sebenarnya sampel tersebut adalah salah satu daripada sekuel untuk novel-novel perang yang akan dikirimkan pada kemudian hari. Lebih menarik, saya juga akan melukis sendiri ilustrasi-ilustrasi dalaman untuk novel-novel saya. Alhamdulillah, kerana saya telah diberikan Tuhan bakat dalam bidang lukisan maka dapatlah saya bercerita dalam dua bentuk kecerdasan iaitu spatial dan verbal. Saya juga memiliki beratus-ratus episod untuk karya berbentuk komik/novel ilustrasi dengan beratus-ratus watak yang dicipta sejak saya masih di sekolah rendah. Namun saya berpendapat untuk menghasilkan penulisan terlebih dahulu.


SOALAN: Terdapat segelintir peminat yang mengirimkan e-mel atau mesej (menerusi web komuniti tertentu) yang mengatakan anda tidak suka membaca novel cinta, kerana anda suka membaca novel yang berunsurkan intelektual sahaja. Adakah ini benar?

AMIENE REV: Karutlah. Saya suka membaca novel yang berunsur intelektual. Itu benar. Saya juga pernah jatuh hati dengan novel cinta. Novel Ayat-ayat Cinta merupakan novel cinta Islami yang pernah menggoda saya untuk membeli nopen Pudarnya Cinta Cleopatra. Saya juga berasa kelakar apabila menerima maklum balas daripada seorang pembaca yang mengatakan dia tidak terfikir yang saya akan meminati dan membaca Novel Ayat-ayat Cinta.


SOALAN: Adakah anda juga berminat untuk menghasilkan novel cinta atau nopen cinta?

AMIENE REV: Ada. Sudah ada, tetapi bukan novel cinta semata-mata. Saya faham ramai orang suka membaca kisah-kisah cinta kerana mereka hendak mencari panduan terbaik untuk diaplikasikan ke alam percintaan mereka. Namun, saya juga ada merancang dua sekuel untuk satu kisah cinta yang agung. Sudah semestinya ini bukan karya yang berdasarkan perasaan atau emosi semata-mata tetapi melibatkan faktor intelektual. Nantikan kemunculan Romantis Selatan 1 - Surat Untuk Takdir dan Romantis Selatan 2 di pasaran pada masa akan datang. Novel ini ditulis untuk memenuhi kehendak seorang sahabat.


SOALAN: Apakah pencapaian terbaik anda dalam bidang penulisan?

AMIENE REV: Tidak ada yang begitu menarik selain karya-karya saya pernah mendapat tempat di dalam majalah dan novel. Cuma kenangan yang paling manis ialah apabila hasil tulisan saya menghiasi bilik-bilik darjah semasa di zaman sekolah, kata-kata ucapan saya diulang-ulang oleh guru-guru semasa mereka mengajar di dalam kelas, dan apabila buku-buku latihan karangan saya dijaja ke kelas-kelas tingkatan senior (PMR dan SPM, sedangkan saya ketika itu baru di tingkatan satu/dua) oleh guru Bahasa Melayu, dan guru itu meminta pelajar-pelajar senior yang hendak menghadapi peperiksaan PMR dan SPM supaya mencontohi karangan saya. Itu sahaja. Namun, saya sentiasa rasakan yang setiap penulisan saya itu masih banyak kekurangannya, apatah lagi selepas lama meninggalkan dunia penulisan.


SOALAN: Ada orang mengatakan anda ialah J.R.R Tolkien Malaysia, apa reaksi anda?

AMIENE REV: (Ketawa bersopan) Ada sebabnya kenapa saya pernah dipanggil sedemikian. Nantikan kemunculan karya-karya agung saya di pasaran. Karya-karya inilah yang dahulunya menyebabkan saya mahu menulis novel dalam Bahasa Inggeris kerana karya-karya ini pernah dinilai oleh orang-orang tertentu sebagai berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa. Atas nasihat seorang pensyarah, saya belum boleh mendedahkan karya-karya agung ini yang hanya tersimpan di dalam kepala saya. Manuskrip asal telah dimusnahkan. Karya-karya ini dicipta semasa saya berusia 13-17 tahun. Ini membuktikan orang Malaysia juga boleh menghasilkan karya-karya agung pada usia yang sangat muda sebagaimana orang-orang Barat. Sebab itu, saya amat menitikberatkan soal pemilihan penerbit. Cuma penerbit yang berpotensi dan terbaik sahaja yang akan dipilih.


SOALAN: Adakah KarnaDya dan PTS merupakan dua penerbit yang saudara maksudkan?

AMIENE REV: Ya, tetapi saya sebenarnya masih bimbang sekiranya karya-karya saya tidak menepati kriteria penerbitan mereka. Sebelum ini saya pernah bertanya kepada beberapa orang novelis, adakah mereka pernah merasa bimbang yang karya mereka akan ditolak. Ada novelis yang memberitahu saya, itu perkara normal. Setiap penulis pun memiliki kebimbangan ini, takut-takut karya mereka tidak memenuhi kehendak penerbit dan ditolak. Oleh itu, saya tidak boleh bersenang-lenang. Saya masih perlu banyak belajar dan menimba ilmu dalam bidang penulisan dan penerbitan agar boleh menghasilkan novel yang laris di pasaran dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada pembaca, tentunya dari aspek intelektual, rohani dan emosi.


SOALAN: Apakah pendirian anda mengenai penulisan fiksyen?

AMIENE REV: Saya berpendapat, penulisan fiksyen, tidak kira novel, cerpen atau nopen, semuanya mempunyai peranan yang sama dari sudut pendidikan, iaitu kita menulis sebagai penyampai ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pembaca. Maka setiap karya penulisan yang ditulis haruslah memainkan peranan dalam membentuk tamadun bangsa yang lebih baik dan membangun. Penulisan novel adalah satu bentuk pendidikan insan.


Kung Fu Dunk pun tak best

Bola keranjang bukanlah tentang slam yang menarik dan bergaya, tetapi kerjasama sebagai sebuah pasukan.

Kung Fu Dunk punya separuh Shaolin Soccer. Aktor utama pula gabungan hero macho Cina, Jet Li dan Andy Lau. Dua puluh lima peratus lagi si humor selekeh Stephen Chow. Ia serius, tegang, bergaya, namun sesekali pula menjadi sangat terasing. Begitulah filem ini berpecah-pecah menjadikannya sebuah karya yang sederhana.

Sebagai sebauh produk Taiwan, sudah pasti kecinaan filem ini begitu ketara. Dunia samseng dan kehebatan kung fu bergabung mendominasi penceritaan.

Kung Fu Dunk diadaptasi daripada sebuah manga terkenal Jepun, juga dengan judul sama. Walau bagaimana pun, Semangat komik Jepun sebagai peta utama filem ini tidak terserap dengan baik.

Manga bertemakan sukan biasanya sarat dengan persahabatan, strategi dan gaya. Di Jepun, semua sukan mempunyai komiknya sendiri, daripada kick boxing sampai bola sepak.

Filem ini tentang pemuda yatim yang membesar di sekolah kung fu, dihalau dan memilih bola keranjang sebagai profesyen baru. Dia menjadi bintang dalam sekelip mata. Padahal kemahiran beliau juga akibat daripada pendidikan dan pengalaman kung funya daripada kecil.
Memasuki sebuah kelab dengan ketua pasukan yang pemabuk, wira slam, menjadikannya kecil.

“Kepten, ajarkan saya slam,” kata Hero (edisi manga menggunakan nama lain), teraju utama filem ini.

Di sinilah bermula kisah tentang bola keranjang yang sebenar.

Filem ini tidak berapa menarik. Jangan tanya saya apa kesudahannya. Tetapi kung fu mampu menghentikan masa dan melakukan keajaiban.


Sumber gambar: http://i232.photobucket.com/albums/ee175/zanxiang89/Jay%20chou/Jaychou13.jpg

Isnin, April 07, 2008

Hari men-delete

Kenapa kita perlu menghabiskan segera tulisan kita? Pertama, kita akan menjadi makin malas dan akhirnya tulisan akan pernah ada titik akhir. Kedua, emosi, mood dan pandangan kita berubah, makanya kita akan menapis diri kita yang lalu. Terakhir, menulis bukanlah menunjukkan kepandaian diri, tetapi kebodohan.


Dalam folder cerpen saya dalam komputer, sebahagiannya adalah cerpen-cerpen yang tak siap. Sejak pagi saya cuba memberikannya titik akhir. Namun selalu gagal. Putus idea, saya melompot ke cerpen lain. Kemudian cerpen lain. Kemudian cerpen lain. Kemudian tanpa sedar, satu persatu telah saya delete. Ia buat saya puas.

Oleh kerana itu, menulis tak harus ditangguh-tangguh, jika tidak, kita akan menapis dan menelan diri kita sendiri yang lalu. Terakhirm menulis bukanlah menunjukkan kepandaian diri, tetapi kebodohan. Menulis adalah menelanjangi diri sendiri.

Israeli Post?

Sabtu (Ahad lalu) ketika makan keaw teaw (entah macam mana ejaannya) kerang dekat-dekat Puchong Perdana, aku terima sebuah panggilan telefon. Teman kami itu begitu teruja dengan sebuah artikel dalam Israeli Post tentang Anwar Ibrahim. Ketika melayari internet, aku tau, yang sebenarnya dalam Jerusalem Post, bukan Israeli Post. Aku juga teruja ingin membacanya. Maka aku membacanya. Kamu boleh turut serta. Layari http://www.jpost.com/servlet/Satellite?pagename=JPost%2FJPArticle%2FShowFull&cid=1205420740299. Yang pastinya ini bukan cerita Israiliyat.

Membaca tulisan ini memberikan kita tanggapan bahawa Yahudi yang kita kenal sebagai anti-Islam itu tidak takut dan malu-malu lagi mengulas perjalanan politik negara umat Islam. Mereka tidak lagi hidup dalam bayang-bayang. Untuk kita, misalnya, bersediakah kita menerima hakikat bahawa tidak semua Yahudi jahat? Bersediakah kita untuk itu. Shani Ross, Yahudi si pengarang tulisan ini bukan tidak kenal latar agama Anwar yang agak tebal, dengan Abim misalnya. Malah dia juga menyebut tokoh oposisi itu, "As a proponent of moderate Islam, cultural and religious impartiality, and liberal democracy...."

Baca Doraemon pun salah?

FITNA hanya sebuah filem pendek tidak sampai 15 minit. Ia disiarkan melalui Internet di laman web Liveleak.com oleh ahli politik dan perundangan Belanda, Geert Wilders. Wilders barang tentu bukanlah pemain atau tonggak penting dalam industri ini, tetapi kesannya, seluruh dunia Islam memberontak daripada Pakistan sampai Indonesia. Soalnya, apakah yang mendorong protes aksi sebesar ini? Jawapannya hanya satu: Emosi. Justeru, tidak hairan kalau orang yang turun memprotes dengan ancaman darah buat politikus Belanda itu sendiri tidak pernah, walau sedetik menonton filem penuh kontroversi itu. [Baca lanjut]

Jumaat, April 04, 2008

Kalau aku jadi penerbit (KEMASKINI)

Kalau aku jadi penerbit, kamu semua berpeluang masuk majalah.


Dua gadis cilik lengkap beruniform di Olahraya Pendidikan Khas ke-12 Wilayah Persekutuan baru-baru ini.


Nora yang manis di walimatul urus beliau bersama Ichi di Kukup, Tanjung Piai, Johor.


Gambar proses 'rundingan' di Brickfields, aku curi-curi ambil daripada tingkat tiga bangungan berdekatan tahun lalu menggunakanan kamera telefon bimbit. Di bangunan itu juga aku pernah lihat wanita bogel melarikan diri daripada polis.


Senibina di Sydney, aduh, sungguh menarik! Ketika itu hujan renyai-renyai. Aku fikir foto ini diambil dekat-dekat The Rock, jika tidak salah.

Nampaknya sebahagian gambar-gambar lain ada masalah untuk dilihat. Jika berminat, sila lawati laman Flickr saya di alamat http://flickr.com/photos/jimadieshah.

Selasa, April 01, 2008

Pembelajaran Berkesan untuk Memahami Bahasa Isyarat

PERSOALAN bahasa isyarat bukanlah persoalan bahasa per se. Ia juga melibatkan aspek-aspek lain yang berhubung langsung dengannya. Oleh itu, apabila berbicara soal bahasa isyarat, kita tidak boleh mengabaikan pandangan dan realiti daripada disiplin psikologi, pengamalan dan budaya orang Pekak sebagai pengguna utama bahasa ini.[Baca lanjut]

IKLAN

Terdapat ralat dalam alat ini

Label

Personal (47) Filem (42) Politik (32) Budaya (21) Sastera (21) Kreatif (16) Agama (15) Blogzine republik KATA (14) Artikel (11) Buku (11) Jalan Telawi (11) Meor Yusof Aziddin (11) Pekak (11) Pendidikan (9) Pencerahan (8) Sejarah (8) Cinta (7) Kewartawanan (7) Lagu (7) Sajak (7) Bahasa (6) Belasungkawa (6) Jimadie Shah Othman (6) Media (6) Teater (6) Blog Foto (5) Deaf Cultures (5) Fiksyen (5) MySL (5) Subversif (5) Anwar Ibrahim (4) Foto (4) Islam (4) Komuniti Pekak (4) Lao Zi (4) Maskara (4) Puisi (4) Tao (4) society (4) Adi Putra (3) Bahasa Isyarat (3) Carutan (3) Cerpen (3) Folk (3) Kemanusiaan (3) Metafizik (3) Rumah Pena (3) A Samad Ismail (2) Ahmad Kamal Abu Bakar (2) Aidil Fitri (2) Amin Iskandar (2) Anugerah Khatulistiwa (2) BN Perikatan (2) Catatan Pinggir (2) Daiyan Trisha (2) Demo (2) Drama (2) Etika (2) Gambar (2) Hamsad Rangkuti (2) Ili Farhana (2) Islam dan Pluralisme (2) Jepun (2) Karam Sikh (2) Komedi (2) Maskara 7 (2) Mikon (2) Mingguan Wasilah (2) Novel (2) PRU 12 (2) Pantun (2) Pas (2) Pramoedya Ananta Toer (2) Sastera Underground (2) Seni Multimedia (2) Seni Persembahan (2) Soceity (2) Sosial (2) Tanggapan (2) Tidak dikategorikan (2) Travelog (2) Utusan Malaysia (2) Yahudi (2) lagu raya (2) pop (2) sam ahmad (2) 'Mantan' Sasterawan Negara (1) 10 x 10: 100 Minutes to Change the World (1) 127 Hours (1) 1957: Hati Malaya (1) 1998 (1) 300 (1) 9 Naga (1) A. Samad Said (1) AEI (1) Ahadiat Akashah (1) Al-Hidayah (1) Allah (1) Amerika Syarikat (1) Amiena Rev (1) Ana Raffali (1) Antara-Agama (1) Apuke (1) Aron Ralston (1) Ashutosh Gowarika (1) Astro (1) BERSIH (1) Balik Pulau (1) Berhala (1) Berita Harian (1) Bibir Dalam Pispot (1) Black 14 (1) Blog (1) Bumi Manusia (1) Bunyi (1) Chairil Anwar (1) Chamil Wariya (1) China (1) Cowboys and Aliens (1) DAP (1) Danny Boyle (1) Datuk (1) Democrat (1) Demonstrasi (1) Denias (1) Dominic Sena (1) Ezam Mohd Noor (1) Fikh Wanita (1) Free Burma (1) Fun (1) GAPENA (1) Gangguan Teksual (1) Gerak (1) Goenawan Mohamad (1) HINDRAF (1) Harry Potter (1) Hassan Abdul Karim (1) Hindi (1) Hollowood (1) Hollywood (1) Ibrani (1) Interview (1) Istana (1) James Franco (1) Jodha (1) KTBM (1) Kakiscript Playwright Competition (1) Karya (1) Katholik (1) Keadilan (1) Kebab Connection (1) Kebebasan Kreatif (1) Komputer (1) Komrad (1) Korea (1) Kristian (1) Kung Fu Dunk (1) La Nuit des Caligraphes (1) Makanan (1) Malaysian Book of Records (1) Mamat Khalid (1) Man Laksa (1) Manga (1) Manifesto (1) Mary Magdalena (1) Mat Sentul (1) Melaka (1) Merdeka (1) Muzik (1) Napoleon (1) Naskhah (1) Negaraku (1) Negarakuku (1) Nick Murphy (1) Nicolas Cage (1) Nopen (1) Novel bersiri (1) Obama (1) P. Ramlee (1) PKN (1) PKR (1) PRM (1) Pakatan (1) Pantoum (1) Papua (1) Pemanasan global (1) Pena (1) Pendidikan Khas (1) Penulis (1) Pilihan Raya (1) Politik Baru YB J (1) Potret (1) Prima (1) Progresive Folk (1) Promosi (1) Psikologi (1) Puchong (1) Pulau Pinang (1) Pushna (1) Rajinikhan (1) Rasuah (1) Razak Moheidin (1) Reformasi (1) Republican (1) Revolusi Kebudayaan (1) Ria (1) Rise of the Planet of the Apes (1) Rock (1) Ron Howard (1) Rudi Soedjarwo (1) Sarawak (1) Sasterawan Negara (1) Satira (1) Season of the Witch (1) Semusim di Neraka (1) Shah Rukh Khan (1) Shamsiah Mohd No (1) Sharif Shaa'ri (1) Shuffle (1) Siasah (1) Sivaji the Boss (1) Soekarno (1) Sosialis (1) SoundCloud (1) Subbudaya (1) Sucker Punch (1) Sukan (1) Syed Husin Ali (1) TV Realiti (1) Taiwan (1) Teman Muhasabah (1) The Da Vinvi Code (1) The Last Life in Universe (1) The Warlords (1) Turki (1) Umno (1) Umno PKR (1) Video (1) Wayang Pacak (1) Woman On Top (1) Xiu Xiu (1) Yeshoshafat Harkabi (1) Yusmadi Yusoff (1) Zack Snyder (1) Zaid Ibrahim (1) adiwira (1) arahkiri (1) berani bercinta (1) dendang buat ibu (1) duta solaris (1) entri yang pernah ditarik balik (1) gig (1) ingin jadi manusia (1) instrumental (1) iseekmusic (1) kotak hitam 5.0 (1) malay mail (1) moi last von (1) puisi jadi senjata (1) ramadan (1) satuarah (1) single (1) zulfikar samsuri (1)