IKLAN

Cari Blog Ini

Selasa, Disember 29, 2009

2 perempuan, pulau-pulau, seperti apa saja

Barangkali aku ini 'jambu' juga. Hampir semua perempuan yang menyentuh perasaanku terakam dalam bait-bait sajak hodoh dan bodoh.

Salah seorang kekasihku waktu sewaktu belajar dulu namanya Sarah. Kini menikah; dan sering mengembara. Sarah, sudahkah kau ketemu apa yang kaugeledahi?

Dan Susan - gadis dusun yang dibabtiskan dua kali di gereja, depan bapa  dan biarawati-biarawati - moga berbahagialah juga engkau di kedai kuda.

Ini dua sajakku untuk mereka, seperti pulau-pulau, seperti apa saja.


SARAH, JANGAN KAUTIKAM AKU

Ketika kupulang dengan sebilah belati
dari kerongkong Ismail 
(kini Hajar mabuk dengan tari tawakal 
di Safa dan Marwah)
nur Tuhan lebih menikam sukma tajam
lebih runcing dari segala
mata cemburu sang Sarah
kubenamkan kisaran prajuritku
ke dada kiri sendiri
akhirlah ketuanan di tubuh hamba
tiada yang lebih berdarah, Sarah
dari bilah-bilah suhuf Ibrahim yang merah.

SEGUMPAL API

Violin. Kuda-kuda yang terpedaya. Pecah. Maka pecahlah. Sebiji epal ditukik sekerat-sekerat. Oh, Susan, tertelankan olehmu buah larangan Adam dan Hawa. Aku melihat ular yang tertawa. Dan, kita juga dilempar bersama ular. Tuhan memenggal kakinya dan terciptalah antara kami, cinta, dendam, kutukan. Nyanyian sang violin menjadi salakan yang tak berdaya memadamkan neraka. Oh, Susan, epal-epal berdiri mengangkang di pelupuk mata, di kupingmu. Aku Adam. Alismu bagai sungai susu. Kelak kami melahirkan syaitan. Adam, aku melahirkan tanduk-tanduk. Tanduk-tanduk melahirkan nama-nama. Nama-nama melahirkan kutukan-kutukan. Kutukan-kutukan melahirkan segumpal api. Aku menggigitnya di geraham hingga gigiku jadi hijau. Dan Adam, kulit-kulit epal, aku dapati tubuhku terkongkong. 

Aku Adam. Telah kupatungkan seorang Maria. Aku mencintaimu sebagai perempuan, sebagai manusia.


Sumber: Antologi Pennyair Muda Malaysia-Indonesia 2009, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)





Basterds dan imaginasi-imaginasi lain

Bulan ini sedikit aneh. Kalau masa itu pohon, ia sungguh-sungguh rendang, berwarna-warni, berbuah lebat. 

Bulan ini sedikit aneh, saya punya masa membelek beberapa buku dan menonton beberapa buah tangan Hollywood. Saya membaca Mea Culpa karya Amirul Fakir, Salun Eskotikata suntingan Alina dan juga cerpen Kompas pilihan 2008, Smokol dari tanah seberang. 

Dalam masa yang membaca kumpulan cerpen Negeri Kabut, malah sempat menghadiri sesi dialog dengan penulisnya, Seno Gumira Ajidarma. Alangkah bahagianya.

Kemudian, Inglorious Basterds. Ya, filem ini memang basterds. Saaya kecewa membaca rebiu beberapa pihak yang berpendapat kononnya buah tangan Quentin Tarantino itu terlalu bagus, membawa bentuk baru perkauman (new form of rasisme), pascamoden dan antihero. 

Oleh itu, saya menghabiskan dua jam dengan harapan yang akhirnya punah berkecai. Ia cuma biasa-biasa sahaja. Selepas menontonnya, kesimpulan saya cuma satu: filem ini memang basterds.


Ahad, Julai 19, 2009

Japanese 2

Aku tidak sangka, sekeping CD di FitnessFirst dengan label "Japanese 2" rupa-rupanya buah tangan Kurosawa. Aku juga tidak ingat judul terakhir filem Kurosawa yang aku tonton. Tetapi ia macam kompilasi filem-filem pendek. Ada kisah budak laki-laki dengan raja musang di hutan, kisah tentara yang bertemu dalam terowong dan juga, tentang hantu tok nenek orang Jepun. Aku tahu kisahnya bagus.

Oh, sepanjang cuti empat hari selepas pulang daripada Manek Urai, aku tidak memanfaatkan masa dengan sebaiknya. Aku membazir seperti seorang hartawan yang dermawan. Semalam aku ingin menulis satira budak-budak pemakai baju hitam yang diberkas polis. Aku gagal. Aku bertukar menjadi sungguh-sungguh pemalas.

2
Ada ramalan horoskop yang sungguh-sungguh menghantui aku. Seorang virgo, pantas memulakan sesuatu, tetapi jarang dapat menghabiskannya. Macam betul saja.
Posted by Picasa

Sabtu, Julai 18, 2009

Tepi kain, dalam kain


Malam tadi saya menulis di Facebook: Jimadie Shah di antara dua kaca: (1) kaca monitor, (2) kaca TV. Oleh itu ada teman-teman tersalah sangka kononnya saya hendak jadi wartawan penyiaran. Ha, ha, Ha! Ini adalah "kaca" yang hakiki, bukan "kaca" maknawi. Di sebelah laptop ini, kurang 1 meter, ada kaca TV kecil yang selalu kelabu kerana arealnya patah.

2
Begitu juga sajak atau kerja kreatif. Kamu selalu sangka yang aneh-aneh itu selalunya ada makna kedua, yang tersirat. Boleh jadi ia tidak pernah ada langsung. Kamu yang tertipu, memeras otak sampai pening tiga hari tiga malam.

3
Oh, saya tersungguh-sungguh bosan berblog (ini cuma pr dengan kamu saja). Saya mahu cuba blog foto. Semua orang busy body, semua orang penyibuk mahu tahu hidup orang daripada jaga tepi kain sendiri.

Dalam kain aku dan dalam kain kamu sama sahaja. Ha, ha, ha! Kamu kononnya rasa malu.
Posted by Picasa

Isnin, Julai 06, 2009

Durian

Saya tiba di Manek Urai petang tadi. Ia belum semeriah yang saya sangkakan. Kalau mood hari ini berterusan, ia akan jadi sebuah pilihanraya yang tenang dan paling penyantun, sesantun keramahan orang Kelantan, sesantun manis gadis dan perempuannya di desa.

Kami tinggal tidak beberapa jauh daripada bandar Machang. Sepanjang perjalanan, dari Kuala Lumpur ke Bentong, dari Bentong ke Raub, ke Merapoh, ke Gua Musang, ke Kuala Kerai, ke Machang, saya tidak tergoda dengan yang lain, melainkan satu: Durian!

Esok kami akan membalas dendam, selepas tamat penamaan calon. Jaga kau.

Jumaat, Julai 03, 2009

“Katak-katak telah menghuni kepalaku…”

Firman dari balik corong kadbord dan gumpalan kertas, aku mendengarmu bergelintaran dalam kemilau, seperti halo para santo. Bagai matahari agong meratib dan mabokan dalam gelita yang pemalu. Juga diam. Juga dungu.


Baca lanjut tiga sajak -- "Geluk", "Tetes" dan "Pontianak, Isteri dengan Wajah Semurni Tanah" dalam Jalan Telawi.

Selasa, Jun 30, 2009

Cis, Perlisunshine


Tulisan mengenai raja mempelam Perlis tidak boleh padan dari kepala otak saya. Ia, saya fikir mempunyai hubung kait dengan "pengiraan undi penuh emosi" dalam kongres tahunan khas PKR dua minggu lalu.

Apakah kaitan antara mempelam harum manis -- kini Perlisunshine -- dengan pindaan perlembagaan PKR?

Ya, orang sanggup berhempas pulas mensuguhkan suati istilah atau nama baru; tetapi orang tidak bersungguh-sungguh melihat prestasi dan kualitinya.

Parti beginikah yang hendak menjadi alternatif kepada yang sudah sedia ada?

Cis, Perlisunshine!

Isnin, Jun 15, 2009

Membaca media

Kelmarin malam, selepas pulang daripada bertugas di Bangi, saya singgah makan makan malam di Puchong Utama, tidak berapa jauh dari kediaman saya.

Sebelum itu, saya ke kedai 24 jam, 7-Eleven untuk membeli rokok. Seperti biasa, sebelum menguak pintu, saya selalu sempat menjeling ke bahagian akhbar dan majalah.

"Dakwa dua Datuk", itu judul muka depan Utusan Malaysia hari itu.

Di sebelahnya, terdapat gambar besar penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said. Serentak, mucul beberapa persoalan di kepala saya ketika itu.

Pertama, bagaimana A Samad, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Samad, boleh keluar di muka depan akhbar Umno ini?

Kalau beberapa tahun lalu ketika beliau menulis kumpulan sajak "Dirgahayu Dr Mahathir" itu saya boleh terima. Tetapi, ia berlaku tatkala sasterawan, budayawan dan ahli akedemik dilihat begitu lantang mempersoalkan kerajaan, terutamanya dalam isu Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pak Samad malah pernah dilaporkan berkata di blog-blog, "undilah sesiapa sahaja, tetapi jangan undi Umno".

Kedua, timbul persoalan lain: "Kenapa dua datuk ini perlu didakwa?"

Namun apabila membaca beberapa perenggan dalam berita itu, ia sebenarnya menceritakan kisah "dua ahli Umno bergelar Datuk" yang dikatan terlilbat dalam kes rasuah pembinaan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Persoalan ini mudah dijawab, ingin melariskan akhbar. Tetapi persoalan pertama dilihat begitu sukar ditelaah. Mengangkat dan menonjolkan Pak Samad sebesar itu boleh saja membayangkan PPSMI bakal dimansuh.

Seperti beberapa minggu sebelum dan selepas perhimpunan besar membantah PPSMI pada 7 Mac lalu, apabila akhbar arus perdana tidak mampu blackout berita sebesar ini, mereka melaporkannya dengan sungguh positif.

Seakan-akan mereka tahu, dasar itu akan dimansuh, kerajaan bakal tunduk, dan seseorang perlu mendapat kreditnya. Mereka mendambakannya kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada media arus perdana, yang tunduk menyerah, layu dan leweh kepada kekuasaan pemerintah.

Tunduk, umpama perempuan yang paling tidak bermaya, dan layu di kelangkangan laki-laki.

Aku bangun seawal jam lapan pagi hari ini, antaranya untuk menulis keluh-kesah ini. Sedangkan ini merupakan hari cuti buatku.

Rabu, Jun 03, 2009

'Jual' tuhan, agama, seks...

Sesudah betapa seriusnya manusia 'menjual' tuhannya, sejak dari zaman tok nadok lagi, sekarang si pelupa (insan) itu mula menjual agamanya. 

Apakah ini juga agenda konsumerisme - kononnya rukun iman kapitalisme - aku juga tidak tahu. 

Sedikit masa lalu, sejurus selepas 40,000 "si baju kuning" membanjiri ibu kota, tiba-tiba kita melibat besar gedabaknya iklan Kopi Bersih di muka depan organ rasmi PKR, Suara Keadilan.`

Begitu juga dengan evolusi kopi di Malaysia, tidak seperti ratusan tahun lalu ketika ia memasuki Eropah, menjana kewujudan salon, perbincangan terbuka dan intelektualiti. 

Evolusi kopi di Malaysia tidak kurang hebatnya apabila munculnya jenama-jenama agong. Antaranya, Kopi Jantan, Kopi Janda, Kopi Ali Guar, bahkan Kopi Tok Guru. Mungkin juga ada Kopi Keras, Kopi Teguh, Kopi Bangkit, Kopi Tegak, Kopi Lintah dan segala macam kopi lagi.

Tetapi bagaimana pula dengan konsumerisme yang menjual ulama? Beli Harakah! Dan belek. Dan baca. 

Jangan malas.

Rabu, Mei 20, 2009

Dunia imaginasi penukang filem yang terlalu asing

Brainscan: Aku Dan Topi Ajaib (2008), Syukur 21 (2000), XX-Ray (1992) dan lain-lain

Bandingkannya dengan filem fiksyen Sains Hollywood semasa, misalnya Push, Star Trek dan X-Men Origins: Wolverine; dan jawab persoalan ini: Kenapa jurang perbezaannya antara kedua-dua jenis produk seni ini nyata berbeza? 

Sedangkan, dalam masa yang sama, jalur seni lain seperti sastera kita membuktikan wujudnya karya seperti Manuklon oleh Rahmat Harun. 

Kenapa? Selain banyak menonton drama ASTRO dan cerekarama TV3, jawapannya ada: Pekerja filem tak baca novel. 

Tak kiralah basaha apa pun. Tak kiralah profesor atau siapa-siapa.

Selasa, Mei 19, 2009

Orang Bionik, Cicakman, Keluang-man, Ultraman (dan lain-lain)

Aku tulis catatan ini setelah mencuri-curi tonton siri televisyen baru Bio-Nik di TV3 malam tadi.

Hero bionik atau Cicakman, atau Keluang-man (dan lain-lain) akan selalu gagal menjadi ikon Melayu. Superhero ala Disney, Marvel Comics, Ultraman adalah superhero di luar biologi budaya kita. 

Bayangkan, bagaimana mampu kita bayangkan, bagaimana mungkin Ultraman itu mendapat kuasa daripada cahaya. Tetapi orang Jepun memahaminya dengan sungguh-sungguh. Bukankah agama mereka Shinto itu satu pengabdian kepada dewa suci matahari yang memberikan kehidupan kepada umat manusia. 

Pahlawan supernatural sebenar kita adalah Badang. Jejaka kampung, miskin dan terhina yang memperoleh kuasa seledang selepas menyantap muntah hantu. Namun, perkara ini tidak pernah menjadi model kepada penciptaan adiwira di Malaysia. 

Kenapa? Banyak sangat menonton ASTRO-kah? 

Mohd Jimadie Shah Othman

Ahad, Mei 17, 2009

Penulis untuk dijual

Ketika masih menuntut, selain faktor ideologi, motivasi utama saya menghasilkan kerja-kerja kreatif hanya satu: Wang.

Sehingga kini, sesekali apabila poket semakin cetek, motivasi itu selalu datang kembali dengan wajah seribu pesona.

Dalam dunia karang-mengarang di Malaysia, banyak pihak mendambakan 'tangan jahat' penulis, daripada pemblog sampai wartawan cabuk.

Sekurang-kurangnya juga, masih ramai yang datang kepada kita dan mengemukakan rayuan tidak berlesen: "kau tulislah macam ini...."

Oleh itu, jika ingin kaya sebagai pekerja kreatif, bersedialah menjual (diri).

***

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga memperuntukan RM2,000 sebagai hadiah pertama supaya mencipta testimoni untuk mereka melalui pertandingan mengarang esei.

"Menjadi satu testimony kepada masyarakat tentang kesungguhan dan iltizam pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam pembangunan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan," objektif pertandingan itu dipetik.

Tetapi nampaknya, tajuk tunggal yang diberikan "Pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan" terlalu jujur bunyi. Pertandingan mengangkat bakul untuk Jawi.

(Penghormatan dan sanjungan tidak boleh diminta atau dipaksa, tetapi datang daripada hati kecil yang paling suci.)

Bercakap soal Jawi, imaginasi spontan yang terkarang dalam kepala kita, antaranya, pemecatan dua imam popular -- saksi sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan, Ramlang Porigi dan khatib yang menyeru kepada pemerintahan telus dan adil, Firdaus Mohamed Supri.

Hanya itu bayangan segerera saya tentang "pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan" Saudara ada bayangan segera yang lain?

Juga tiada bukan? Selamat menjual.

Mohd Jimadie Shah Othman

Sabtu, Mei 16, 2009

Menari-nari

Ibu bapa saya ingin sangat saya jadi guru. Tetapi saya enggan. Saya mohon derhaka kepada mereka 12 tahun lalu. Saya menjadi wartawan. Ibu dan ayah saya tidak juga menggunakan daulatnya menyumpah saya menjadi batu. Mereka menerima juga.
 
Hari ini apabila bertemu rakan-rakan yang menjadi guru, hati kecil saya tidak percaya. Ha, ha, ha, macam mana kamu boleh jadi guru? Kita dulu kan sama-sama curi tengok gambar blue?
 
Mereka juga akan ketawa. Barangkali dialog yang sama juga diucapkan oleh guru-guru sebelum kami, dan sebelum mereka.
 
Kita kongsi ini: Kalau guru kencing menari, anak murid kencing menari-menari.

Mohd Jimadie Shah Othman



Isnin, Mac 02, 2009

tiga cawan teh, sebelum tumbangnya cao cao

Apabila menonton kisah tiga negara versi The Red Cliff II buah tangan John Woo, saya mengisytiharkannya sebanding Troy -- perang besar yang turut melibatkan campurtangan Langit demi merebut seorang perempuan jelita, Helen yang jelita. 

Tetapi, kenyataan itu ditentang oleh beberapa peminat Homer -- si pemintal cerita yang buta.

Perang kerana seorang perempuan di medan Troy itu sampai mengungkapkan sebuah peribasaha Ingggeris "the face that launched a thousand ships" bagi menggambarkan kejelitaan seorang wanita.

Tetapi dalam versi John Woo, walaupun boleh dipertikaikan, keayuan itu tidak kalah kepada Troy.

Momen-momen Xiao Qiao, isteri Zhou Yu -- stategis pakatan Liu Bei dan Sun Quan mudik menentang arus sejuta kapal Cao Cao di Tebing Merah, berbekalkan kemahiran teh Cina paling tinggi.

Di depan jeneral Cao Cao, beliau menangguhkan masa dengan hanya tiga cawan kecil teh Cina. Cawan pertama yang sempurna, cawan kedua yang lebih enak manakala cawan ketiga, ketika angin berputar beralih arah, penuh dan melimpah.

"Inilah hati kamu yang tepu dan tidak boleh mendengar nasihat. Oleh itu, kamu dan tenteramu akan pulang hampa daripada Tebing Merah," kata si jelita, juga seksi.

Kemudian angin menyebelahi pakatan Liu Bei dan Sun Quan. Dan tewaslah sejuta kapal Cao Cao, hangus terbakar di teluk.

Saya melihat alangkah seksinya perempuan itu. Alangkah anggunnya Xiao Qiao -- jelita, pintar, penuh berhelah.

Tetapi, kata teman-teman kami, kisah tiga negara itu hanya sebanding hikayat Hang Tuah. Saya percaya, tetapi saya cuma merujuk kepada versi John Woo.

Isnin, Februari 23, 2009

upin dan ipin: daripada kelucuan, kepada nostalgia

Geng: Pengembaraan Bermula (selepas ini disebut Geng sahaja) berada di makam lebih tinggi daripada Cicakman (arahan Yusry Abd Halim) sekual pertama dan kedua. 

Tidak ada aspek yang boleh dipertikaikan dalam Geng, kecuali dua perkara. Pertama, soal teknikaliti animasinya dan kedua, persembahannya yang menenggelamkan dua tarikan penting cerita itu: Upin dan Ipin. 

Geng menyerupai, dan sebaik Kampung Boy (karektor ciptaan Datuk Lat) dan Aku Budak Minang (Ujang). Bezanya kedua-dua kartun tersebut tidak lagi dinikmati, bahkan mungkin dilupakan generasi zaman ini yang lebih terdedah dengan manga dan anime Jepun. 

Geng, saya kira penanda aras baru dalam dunia animasi Malaysia yang tidak pernah menjadi, termasuklah apa yang cuba dirintis karya selekeh dan kehilangan jatidiri, Keluang Man dan Silat Lagenda (Hassan Abd Muthalib) yang semacam keliru antara silat Melayu dan kung fu Cina.

Filem yang diangkat daripada siri kartun hampir 30 minit di TV9 ini nyata menjadi 'taubat' kepada kartun animasi Malaysia yang terlalu berkiblatkan Jepun, juga Amerika. Watak dalam siri tv-nya Upin dan Ipin merupakan budak kampung yang real, digemari anak zaman sekarang yang kebanyakannya membesar di bandar dan kota-kota. Juga, nostalgia kepada si dewasa.

Daripada kelucuan, kepada nostalgia. Begitulah kesan selepas menonton filem animasi kira-kira 1 jam setengah itu. Kita tidak mampu tertidur.

Selasa, Januari 20, 2009

'Syaitan' politik

Sebagai seorang yang pro-peralihan kuasa, setiap kali mendengar BN tewas dalam pilihanraya -- tidak kira pilihanraya kecil atau pilihanraya umum -- perasaan saya selalu bersujud syukur.

Tetapi dalam masa yang sama, jauh di lubuk nurani ini, ia sesungguhnya berdetap kencang -- menggentarkan, menggongcangkan.

Ia mengingatkan kita kepada sebaris doa ulama dan bijak pandai terdahulu, " ya, Allah, jauhkanlah kami daripada syaitan; dan (kejahatan) politik."

Apabila menguncupnya sebuah entiti politik. Lembaga lawannya akan turut mengambang. Apabila mengecilkan raksasa BN, gergasi Pakatan Rakyat pula menjadi agam.

Dan, lazimnya sesuatu yang baru itu sudah barang tentu sukar diramal. Maka, kejahatan akan selalu bermarajalela.

Itu adalah kegusaran saya. Kerana itu, buat masa ini saya cenderung pemerintahan minimal, selain kebebasan.Kerajaan jangan sampai masuk dalam kelambu, misalnya. Kerajaan hanya bertanggungjawab terhadap harta dan nyawa rakyatnya.

Tetapi persoalan yang kedua, seperti yang tergantung dalam diskusi kanan sebulan lalu di Jalan Telawi, Bangsar, sebesar manakah tolak ansur akan saiznya kerajaan yang kita inginkan? Sebesar manakah?

Soalan ini saya fikir tidak digemari "perdana menteri dalam penantian" kita, Najib Razak; atau, nama yang lain di sebelah Pakatan, Anwar Ibrahim.

Perasaan saya yang tadi kembali ketika pengurus pilihanraya, Wan Mustapha Wan Hassan Sabtu lalu mengumumkan, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut memenangi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 2,631 undi -- lebih seribu lebih daripada angka yang saya ramalkan.

Dalam satu sisi yang lain, maksudnya, tahap pengembangan kuasa itu melebihi jangkauan dan imaginasi saya (atau semua kita). Alangkah ngerinya.

Sabtu, Januari 17, 2009

PAS menang majoriti 1210?

Aku kata PAS akan memang dengan majoriti 1210 undi di Kuala Terengganu. Kamu percaya? -- Mohd Jimadie Shah Othman

Khamis, Januari 15, 2009

Bab perpisahan

Ini hari ke-15 -- sesudah 1 Januari -- aku cuba berhenti merokok. Sejak Maghrib semalam hingga Maghrib hari ini, 24 jam, telah 14 batang Winston Light kuselesaikan. Maksudnya: Jimadie Shah gagal lagi untuk hari yang ke-15.

Namun, dalam masa yang sama, chewing gum (kiri, foto hiasan) hijau kedai mamak Mydin telah memberikan aku ketagihan baru. Gula-gula liat itu yang asalnya direncanakan sebagai alternatif kepada nikotin telah pun menjelma menjadi ketagihan kedua.

Dan, selain pembaziran sebanyak RM5.50 sehari, kini bertambah 80 sen, mengembang kepada RM6.30. (Kalau beli di kedai 24 jam, 7-Eleven -- orang kata kedai Yahudi -- kosnya sudah tentu lebih tinggi.)

Rokok telah memberikan saya pembalasan kerana kecurangan saya yang tidak mahu lagi mencumbuinya tepat di bibir, 14 hingga 20 kali sehari. Sedangkan telah hampir sembilan tahun kami membumbu kasih.

Ia buat saya rasa berdosa. Namun, diakui, saya juga buat ia rasa dikhianati.

Benar, cinta, kepada apa, siapa pun tetap menyakitkan. Apatah apabila sampai kepada bab perpisahan. Ia buat kita lesu menyanyikan lagu sayonara. -- Mohd Jimadie Shah Othman

Selasa, Januari 06, 2009

Tuhan satu (sajak)

Tuhan Satu

Pada tubuhmu kulihat api,
pada tubuhmu Jibril!

Aku dan Muhammad, kami tercipta dari dua
saf. Dari bening Dhuha dingin itu, sekujur
tubuh menyuci di debu.

Pada tubuhmu kulihat api,
pada tubuhmu Jibril!

Dari Dhuha, ada dada yang menyala-nyala.
Api tauhid. Pengakhiran pun menjadi permulaan.
Dan Tuhan itu Satu.

Mohd Jimadie Shah Othman
Mac 2008


Nota:
Selepas membaca Jantung Lebah Ratu, buat tangan Nirwan Dirwanto yang dirampungkan di musim luruh tahun lalu di Iowa, berahi saya menulis sajak mencanak tegang (walaupun gaya, stail dan pengucapannya beliau, bagi saya, segah "buttersound" band rock Butterfingers saja).

Buat permulaan, saya muatkan kembali sebuah kerja kreatif sebelum ini. buat membakar semangat. Sajak ini terbit pertama kali di Mingguan Wasilah, saya tidak ingat bila. Tidak penting.

Sajak ini terilham daripada ucapan si bapak Indonesia, Bung Karno.

Oh, nampaknya ini yang pertama sesudah sepuluh bulan.

'Gua bunuh 23 manusia (satu saudara)'

"Gua pembunuh bayaran. Gua bunuh 23 manusia, satu saudara. Donny gua tembak di dada. Dia gua sangka polisi. Dia anggap gua saudara. Tetapi orang yang menganggap gua sebagai saudara itu telah gua tembak mati." -- Marwan, pembunuh upahan.

* * *

Manusia terbaik di Indonesia adalah seorang penjahat. Sempurna, tagline yang tidak perlu dipetik sekerat-sekerat.

Suatu ketika dulu, naga-naga menguasai bumi ini. Mereka kuat. Tetapi oleh kerana kelebihan itu, mereka bongkak dan sombong, berperang dan berbunuh-bunuhan. Oleh itu, tinggallah sembilan naga-naga terakhir di muka bumi, bagai penerus (tradisi) jin dan syaitan.

Begitu juga makhluk-makhluk terkuat di kampung kecil, di satu penjuru pedalaman Indonesia. Tiga sekawan -- Marwan yang kuat, Donny yang pintar dan Lenny (foto kiri) yang setia -- mendapati satu perkara: darah bisa mengundang sesuatu yang amat berharg; darah melahirkan Rupiah.

Tiga belas tahun bersama, membunuh demi wang, sebelum datangnya satu malam yang celaka, Donnya mati dengan pistol saudaranya sendiri, Marwan.

Peristiwa itu mengubah haluan mereka. Namun, niat baik tidak selalu datang berlenggang dan senang-lenang. Tiga sekawan terpaksa membayar harga yang sungguh-sungguh mahal. Mereka membuktikan orang Indonesia yang baik bukanlah becok (bapok).

(Mungkin) bersambung....


Foto Wikipedia

Isnin, Januari 05, 2009

Allah semua manusia II

Oh, perkataan “Allah” sungguh-sungguh menjadi rebutan; juga mengundang emosi.

Benar, saya, Yasmin atau siapa-siapa yang tidak menggalas gelar "ustaz atau ustazah" sudah barang tentu tidak dapat turut sama membahaskan nama tuhan kami yang Esa, yang dicintai, yang dipuja dan dipuji manusia.

(Pandangan kami itu) pastinya tidak sahih, mengelirukan; bahkan sesat lagi menyesatkan.

Oleh itu, tinggallah tuan-tuan yang 'maha' alim -- yang mempunyai serban paling besar (atau paling berat) -- paling layak membicarakan hal itu.

Tinggalkah kamu, sekejap membawa cop liberal, sekejap Islam Liberal untuk dicetak di dahi-dahi kami. Engkaulah yang paling benar.

Buat sahabat-sahabatku dalam PAS, nah! (Takkan kena Khalid Samad kata baru kamu nak percaya?)

2
Tulisan ini tiba-tiba mencanak naik setangga demi setangga dalam carta berita popular di sini.

IKLAN

Terdapat ralat dalam alat ini

Label

Personal (47) Filem (42) Politik (32) Budaya (21) Sastera (21) Kreatif (16) Agama (15) Blogzine republik KATA (14) Artikel (11) Buku (11) Jalan Telawi (11) Meor Yusof Aziddin (11) Pekak (11) Pendidikan (9) Pencerahan (8) Sejarah (8) Cinta (7) Kewartawanan (7) Lagu (7) Sajak (7) Bahasa (6) Belasungkawa (6) Jimadie Shah Othman (6) Media (6) Teater (6) Blog Foto (5) Deaf Cultures (5) Fiksyen (5) MySL (5) Subversif (5) Anwar Ibrahim (4) Foto (4) Islam (4) Komuniti Pekak (4) Lao Zi (4) Maskara (4) Puisi (4) Tao (4) society (4) Adi Putra (3) Bahasa Isyarat (3) Carutan (3) Cerpen (3) Folk (3) Kemanusiaan (3) Metafizik (3) Rumah Pena (3) A Samad Ismail (2) Ahmad Kamal Abu Bakar (2) Aidil Fitri (2) Amin Iskandar (2) Anugerah Khatulistiwa (2) BN Perikatan (2) Catatan Pinggir (2) Daiyan Trisha (2) Demo (2) Drama (2) Etika (2) Gambar (2) Hamsad Rangkuti (2) Ili Farhana (2) Islam dan Pluralisme (2) Jepun (2) Karam Sikh (2) Komedi (2) Maskara 7 (2) Mikon (2) Mingguan Wasilah (2) Novel (2) PRU 12 (2) Pantun (2) Pas (2) Pramoedya Ananta Toer (2) Sastera Underground (2) Seni Multimedia (2) Seni Persembahan (2) Soceity (2) Sosial (2) Tanggapan (2) Tidak dikategorikan (2) Travelog (2) Utusan Malaysia (2) Yahudi (2) lagu raya (2) pop (2) sam ahmad (2) 'Mantan' Sasterawan Negara (1) 10 x 10: 100 Minutes to Change the World (1) 127 Hours (1) 1957: Hati Malaya (1) 1998 (1) 300 (1) 9 Naga (1) A. Samad Said (1) AEI (1) Ahadiat Akashah (1) Al-Hidayah (1) Allah (1) Amerika Syarikat (1) Amiena Rev (1) Ana Raffali (1) Antara-Agama (1) Apuke (1) Aron Ralston (1) Ashutosh Gowarika (1) Astro (1) BERSIH (1) Balik Pulau (1) Berhala (1) Berita Harian (1) Bibir Dalam Pispot (1) Black 14 (1) Blog (1) Bumi Manusia (1) Bunyi (1) Chairil Anwar (1) Chamil Wariya (1) China (1) Cowboys and Aliens (1) DAP (1) Danny Boyle (1) Datuk (1) Democrat (1) Demonstrasi (1) Denias (1) Dominic Sena (1) Ezam Mohd Noor (1) Fikh Wanita (1) Free Burma (1) Fun (1) GAPENA (1) Gangguan Teksual (1) Gerak (1) Goenawan Mohamad (1) HINDRAF (1) Harry Potter (1) Hassan Abdul Karim (1) Hindi (1) Hollowood (1) Hollywood (1) Ibrani (1) Interview (1) Istana (1) James Franco (1) Jodha (1) KTBM (1) Kakiscript Playwright Competition (1) Karya (1) Katholik (1) Keadilan (1) Kebab Connection (1) Kebebasan Kreatif (1) Komputer (1) Komrad (1) Korea (1) Kristian (1) Kung Fu Dunk (1) La Nuit des Caligraphes (1) Makanan (1) Malaysian Book of Records (1) Mamat Khalid (1) Man Laksa (1) Manga (1) Manifesto (1) Mary Magdalena (1) Mat Sentul (1) Melaka (1) Merdeka (1) Muzik (1) Napoleon (1) Naskhah (1) Negaraku (1) Negarakuku (1) Nick Murphy (1) Nicolas Cage (1) Nopen (1) Novel bersiri (1) Obama (1) P. Ramlee (1) PKN (1) PKR (1) PRM (1) Pakatan (1) Pantoum (1) Papua (1) Pemanasan global (1) Pena (1) Pendidikan Khas (1) Penulis (1) Pilihan Raya (1) Politik Baru YB J (1) Potret (1) Prima (1) Progresive Folk (1) Promosi (1) Psikologi (1) Puchong (1) Pulau Pinang (1) Pushna (1) Rajinikhan (1) Rasuah (1) Razak Moheidin (1) Reformasi (1) Republican (1) Revolusi Kebudayaan (1) Ria (1) Rise of the Planet of the Apes (1) Rock (1) Ron Howard (1) Rudi Soedjarwo (1) Sarawak (1) Sasterawan Negara (1) Satira (1) Season of the Witch (1) Semusim di Neraka (1) Shah Rukh Khan (1) Shamsiah Mohd No (1) Sharif Shaa'ri (1) Shuffle (1) Siasah (1) Sivaji the Boss (1) Soekarno (1) Sosialis (1) SoundCloud (1) Subbudaya (1) Sucker Punch (1) Sukan (1) Syed Husin Ali (1) TV Realiti (1) Taiwan (1) Teman Muhasabah (1) The Da Vinvi Code (1) The Last Life in Universe (1) The Warlords (1) Turki (1) Umno (1) Umno PKR (1) Video (1) Wayang Pacak (1) Woman On Top (1) Xiu Xiu (1) Yeshoshafat Harkabi (1) Yusmadi Yusoff (1) Zack Snyder (1) Zaid Ibrahim (1) adiwira (1) arahkiri (1) berani bercinta (1) dendang buat ibu (1) duta solaris (1) entri yang pernah ditarik balik (1) gig (1) ingin jadi manusia (1) instrumental (1) iseekmusic (1) kotak hitam 5.0 (1) malay mail (1) moi last von (1) puisi jadi senjata (1) ramadan (1) satuarah (1) single (1) zulfikar samsuri (1)